Takhrij

Friday, 13 March 2020

Bismillah 5, 6, 7 dan sebagainya dalam mengubati pelbagai penyakit




Bacaan yang masyhur:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
 بسم الله الشافى
بسم الله الكافى
بسم الله المعافى
بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Dengan Nama Allah yang Menyembuhkan
Dengan nama Allah yang mencukupkan
Dengan Nama Allah yang mengembalikan
Dengan Nama Allah yang tiada mudharat sesuatu diatas di bumi dan dilangit dengan NamaNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi maha Mengetahui

Teks ini ditemukan terjemahan Kitab Mujarabat (hal. 162, Jakarta, 1980).

Memang banyak direkodkan dalam hadith doa-doa yang disebutkan oleh Rasulullah saw bermula dengan Bismillah. Contohnya (Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah 8/92):-

Memulai membaca al-Quran dan zikir.
Naik perahu dan kendaraan.
Masuk rumah, masuk masjid dan keluar dari rumah dan masjid.
Menyalakan dan memadamkan lampu.
Sebelum bersetubuh yang halal.
Ketika imam naik mimbar.
Ketika akan tidur.
Masuk dalam solat sunnah.
Menutup wadah (bejana).
Mula menulis.
Menutupi mata mayat dan memasukkannya dalam liang lahat.
Meletakkan tangan ketika membaca doa (ruqyah) pada anggota tubuh yang sakit.
Dan lain-lain lagi

Terdapat juga doa bismillah yang dibaca dengan tujuan perlindungan dari mudharat yang dibaca pagi dan petang seperti:-

"Bersabda Nabi saw : Sesiapa ketika petang membaca :

بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم

'Dengan Nama Allah yang tiada mudharat sesuatu diatas di bumi dan dilangit dengan NamaNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi maha Mengetahui' sebanyak 3 kali, nescaya ia tidak akan menimpa bencana pada pagi, nescaya tak akan menimpa bencana sehingga petang." - (HR. Tirmidzi no. 3388, hasan sahih Syeikh al-Albani)

Sheikh Abdul Aziz bin Baaz didalam Majmu Fatawanya 2/645-661 yang bertajuk "Hukum sihir dan perbomohan dan cara menanggalkannya" (حكم السحر والكهانة وما يتعلق بها ), ayat ini dicadangkan sebagai amalan pagi dan petang, iaitu dibaca sebanyak 3 kali sebagaimana didalam hadith.

Satu lagi doa yang selalui digunakan ialah doa Malaikat Jibril ketika merawat Nabi saw dengan ruqyahnya :

بسم الله أرقيك من كل شيء يؤذيك ، ومن شر كل نفس أو عين حاسد الله يشفيك ، بسم الله أرقيك

"Dengan Nama Allah saya melakukan Ruqyah untuk kamu, dari segala perkara yang menggangu kamu, dari segala kejahatan nafs atau mata-mata yang dengki semoga Allah menyembuhkan kamu, Dengan Nama Allah, aku lakukan Ruqyah kepada kamu"

Menurut Ibn Baaz, doa ini dibaca sebanyak 3 kali dihadapan pesakit dan diikuti oleh bacaan surah "Qul Huwa Allaah Ahad" dan al-Mu’wadhatayn.

Bagaimana kaedah membacanya?

Ada dua kaedah membaca do'a ini.

1. Menjadi amalan yang dilakukan selepas solat
2. Dibaca di hadapan orang yang dirasuk/pesakit, keatas Air atau minyak.

Bagi cara no:2 ini, Sheikh Bin Baaz berkata :


ومن ذلك أن يقرأ ما ذكرناه في ماء ويشرب منه المسحور ، ويغتسل بباقيه مرة أو أكثر حسب الحاجة ، فإنه يزول بإذن الله تعالى ، وقد ذكر هذا العلماء رحمهم الله ، كما ذكر ذلك الشيخ عبد الرحمن بن حسن رحمه الله في كتاب : ( فتح المجيد شرح كتاب التوحيد ) في ( باب ما جاء في النشرة ) وذكره غيره.

"Dia boleh membaca ayat-ayat ini diatas air, sebahagiannya boleh diminum oleh pesakit yag terkena sihir, dan ia menggunakan airnya selebihnya untuk membasuh, satu atau beberapa kali yang diperlukan. Ini akan membuang sihir tersebut dengan izin Allah. Ini telah dinyatakan oleh ulama'-ulama', Sheikh Abdul Rahman bin Hasan didalam Fath Al-Majeed Sharh Kitaab al-Tawheed didalam Bab Ma jaa;a fi'l-Nushrah, dan lain-lain. "


Menurut Bin Baaz kaedah yang paling baik ialah membacakan ayat tersebut kepada pesakit dan meniupkan keatasnya.


Bagaimana pula dengan Bismillah 6 atau 5?


Memang tidak dapat dinafikan, jampi/doa/Ruqyah yang biasa digunakan seperti Bismillah 5 sebahagiannya mengandungi doa yang terkandung di dalam banyak teks hadith. Walaubagaimana pun, syarat ruqyah di dalam Islam agak mudah, seperti juga doa dengan syarat tidak mengandungi syirik.

وقد قال النبي صلى الله عليه وسلم : ( لا بأس بالرقي ما لم تكن شركاً )

Telah bersabda Nabi saw "Tidak mengapa melakukan ruqyah, asalkan tidak mengandungi syirik" (HR. Abu Daud no. 3882, disahihkan oleh Ibn Baaz).

Mana-mana ayat yang menyebut nama Allah swt, selagi tidak mengandungi unsur-unsur syirik (mengalihkan penggantungan manusia terhadap Allah, mempercayai akan sekian-sekian fadhilat), maka ia boleh digunakan sebagai bacaan ruqyah.

Kesimpulannya, memang terdapat beberapa ayat-ayat yang bermula dengan Bismillah yang digunakan bagi tujuan perlindungan dan juga rawatan terkena sihir. Walaubagaimana pun, apa-apa ayat yang tidak mengandungi unsur syirik dan memohon kepada kesembuhan dari Allah, adalah dibolehkan (walaupun bukan dari hadith Nabi saw) termasuklah pelbagai jenis bacaan Bismillah. Untuk maklumat umum, fatwa Sheikh Abdul Aziz bin Baaz ini meliputi amalan-amalan yang dapat menghindari kita daripada bencana sihir dan juga cara-cara melakukan rawatan terhadap orang terkena sihir.

Berkenaan kitab tersebut pula:-

Seorang ahli Fatwa yang masyhur di Indonesia, Quraish Shihab (Fatawa Quraish Shibah 4/189) menilai kitab Mujarabat sebagai batil dan kandungannya bercanggah dgn ilmu dan akal. Kandungan kitab Mujaribat bertitik tolak atas khasiat nombor-nombor dan huruf-huruf. Fahaman ini asalnya diambil dari Yunani dan dikembangkan oleh Yahudi dan dinamakan ilmu " al-Hisab al-Jummal".


Syeikh Abdullah al-Jibrin berkata: “Kitab perbomohan dan yang sejenisnya memang kitab yang sesat dan menyesatkan. Sehingga tidak boleh diterima kebenaran isinya. Apalagi isinya justru sangat bertentangan dengan aqidah Islamiyah dan ajaran yang lurus dari syariat Islam. (Fatawa Islamiyah 3/365)


Wallahu 'alam

No comments:

Post a Comment