Takhrij

Wednesday, 15 July 2020

Dalil –dalil lemah membaca al-Quran disisi orang meninggal dunia


Matan hadith


عَنِ ابْنِ جُرَيْجٍ قَالَ: حُدِّثْتُ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، أَنَّهُ قَالَ: «احْضُرُوا مَوْتَاكُمْ فَأَلْزِمُوهُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَغْمِضُوا أَعْيُنَهُمْ، وَاقْرَءُوا عِنْدَهُمُ الْقُرْآنَ


Terjemahan

Dari Ibn Juraij, dia berkata, diriwayatkan dari Umar al-Khattab, beliau berkata, Ziarahlah orang yang hampir mati dikalangan kamu dan bacakan pada mereka Lailahaillallah dan tutuplah kelopak matanya apabila telah mati dan bacakan kamu sekalian di sisinya akan al-Quran


Takhrij

HR. Aburrazaq dalam Musannafnya no. 6043 dan Ibn Abi Syaibah no. 10882.


Ibnu Juraij adalah perawi yang tsiqah, akan tetapi beliau selalu melakukan tadlis dan irsal. Ia mentadliskan dengan lafaz “ an qala, ukhbirtu ‘an fulan, hadditsu ‘an fulan” dan ad-Daraquthni berkata Ibnu Juraij adalah seorang pentadlis yang buruk (Tahzibut Tahzib 1/363; jarh wa Ta’dil 5/356-358; Taqribut Tahdzib hal. 624; Tabaqat Mudalisin hal. 141 no. 83).

Selain itu ketadlisannya juga disebutkan oleh Yahya Ibnu Sa’id, Imam Ahmad dan Az-Zahabi. Berkata Imam Ahmad, jika Ibnu Juraij meriwayatkan dengan lafaz “akhbarani atau sami’tu” maka ia terpuji, jika dia menggunakan “telah berkata si fulan dan dikhabarkan kepadaku” maka dia membawakan hadith yang munkar (Siyar ‘Alam an Nubala 6/328).

Pada riwayat yang dipakai Ibnu Juraij menggunakan lafaz “qala” hadditsuhu ‘an fulan (Umar al-Khattab) dengan demikian jelaslah tadlisnya. Maka darjat hadith di atas adalah dhaif.

Dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah sanadnya adalah:

عن أبي خالد الاحمر عن يونس عن الحسن قال عمر





Hadith-hadith lain:


عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلاَ تَحْبِسُوْهُ وَأَسْرِعُوْا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ وَلْيُقْرَأْ عِنْدَ رَأْسِهِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَعِنْدَ رِجْلَيْهِ بِخَاتِمَةِ سُوْرَةِ الْبَقَرَةِ فِي قَبْرِهِ

Diriwayatkan dari Ibnu Umar, Beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda, “Jika diantara kalian ada yang meninggal, maka janganlah dilewatkan (pengurusan jenazah), segeralah dimakamkan. Dan bacakanlah di samping kuburnya, Surah Al-Fatihah di dekat kepala dan ayat terakhir Surat Al-Baqarah di dekat kakinya”. (HR. Thabarani dalam al-Mu'jam Kabir no. 13613, Baihaqi dalam Syuab al-Iman no. 9294, dan Tarikh Yahya bin Main 2/345).

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan bahawa status hadith di atas adalah marfu’ HASAN. (Fathul Bari 3/184).

Syeikh al-Albani pula  menilai hadith ini dhaif jiddan dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 4140.

Al-Haithami dalam Majma Zawaid 3/47 mengisyaratkan kedhaifan hadith ini dengan menyatakan hadith ini melalui perawi yang dhaif bernama Yahya bin Abdullah al-Babluti.

Yang benar ia mauquf kepada Ibnu Umar sepertimana dinyatakan Ibnu Main dalam Tarikh Yahya bin Main 2/345; Tarikh Ibnu Asakir 50/297 (Fatwa Soaljawab Islam no. 262129).

Terdapat lagi seorang perawi yang didhaifkan oleh Abu Hatim dan Ibnu Adi (Tahdzibut Tahdzib 11/211), yakni Ayub Ibni Naheek. Dia juga dinilai matruk oleh al-Azdi (Mizan al-‘Itidal 1/294).


وَذَكَرَ الْخَلاَّلُ عَنِ الشُّعْبِي قَالَ كَانَتِ اْلأَنْصَارُ إِذَا مَاتَ لَهُمُ الْمَيِّتُ اِخْتَلَفُوْا إِلَى قَبْرِهِ يَقْرَءُوْنَ عِنْدَهُ الْقُرْآنَ

Al-Khallal menyebutkan dari Syu’bi bahawa jika diantara sahabat Ansar ada yang meninggal, maka mereka bergantian ke kuburnya membaca al-Quran” (Ibnu Qayyim, Ar-Ruh hal. 14).


حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ غِيَاثٍ عَنِ الْمُجَالِدِ عَنِ الشَّعْبِيِّ قَالَ كَانَتِ الأَنْصَارُ يَقْرَؤُوْنَ عِنْدَ الْمَيِّتِ بِسُوْرَةِ الْبَقَرَةِ

Diriwayatkan dari Sya’bi bahawa sahabat Ansar membaca surah al-Baqarah di dekat orang yang telah meninggal” (HR. Ibnu Abi Syaibah 4/74 no. 10953, Ibnu hajar berkata dalam Taqrib terdapat perawi yang tidak kuat “laisa bi qawi”bernama Ibnu Saíed. Syeikh al-Albani menilai sanad atsar ini dhaif dalam Ahkam al-Janaiz 1/193)


Berkata Syeikh Utsaimin :


وأما القراءة للميت بمعنى أن الإنسان يقرأ و ينوي أن يكون ثوابها للميت، فقد اختلف العلماء رحمهم الله هل ينتفع بذلك أو لا ينتفع؟ 
على قولين مشهورين الصحيح أنه ينتفع، ولكن الدعاء له أفضل


“Dan ada pun bacaan Quran bagi mayat dengan makna orang lain membaca dan meniatkan pahalanya kepada mayat maka sungguhnya telah berlaku khilaf dikalangan ulamak adakah memberi menafaat atau tidak. Atas dua pendapat yang masyhur keduanya yang sahih ialah sungguhnya memberi menafaat dan tetapi berdoa kepadanya lebih afdhal.” (Majmu’ Fatawa Rasail 17/220-221).


Rujukan

Fatawapedia no. 35831


Mausuah al-Masail al-Fiqhiyyah 4/179

No comments:

Post a Comment