Takhrij

Saturday, 7 August 2021

Malaikat tidak masuk rumah orang yang berjunub?

 Hadith yang dimaksudkan adalah:


Diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :


لاَ تَدْخُلُ الْمَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلاَ كَلْبٌ وَلاَ جُنُبٌ


Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat padanya gambar, anjing, dan juga orang yang berjunub (HR. Abu Daud no. 227, al-Nasa’ie no. 261, Ahmad no. 1290)


Al-Haitami al-Makki membawakan penilaian Imam Bukhari dalam al-Zawajir 2/32, perlu penelitian lanjut (dhaif).


Didhaifkan oleh Syeikh al-Albani apabila perkataan junub dimasukkan sekali.


Syeikh al-Arnauth menilai sahih hadith ini tanpa perkataan junub.


Syarah



Kata Imam Al-Khattabi: Yang dimaksudkan dengan malaikat di sini adalah mereka yang turun dengan membawa keberkatan dan rahmat dan bukannya malaikat al-hafazhah kerana sesungguhnya mereka sama sekali tidak berpisah dari orang yang berjunub atau pun orang yang tidak berjunub (Ma’alim Al-Sunan 1/75).


Syeikh Badruddin Al-‘Aini ketika mensyarahkan hadith di atas ini beliau berkata : Yang dimaksudkan dengan junub dalam hadith ini adalah individu yang mengambil mudah dalam isu mandi junub dan menjadikan hal tersebut sebagai kebiasaan sehingga membawa kepada terlepasnya satu solat bahkan membawa kepada terlepasnya beberapa solat. Dan bukanlah yang dimaksudkan oleh hadith ini bagi mereka yang melewatkan mandi wajib namun dia berniat untuk mengerjakannya. Atau yang dimaksudkan dari hadith ini adalah mereka yang tidak mengangkat hadasnya secara menyeluruh atau secara sebahagian. Ini kerana, seseorang yang berwuduk maka telah terangkat sebahagian hadas dari dirinya (Umdah Al-Qari 3/242).


Justeru, makna golongan berjunub dalam hadith di atas ini bukanlah difahami secara mutlak. Namun, ia khusus kepada mereka yang memandang enteng lagi remeh kepada mandi wajib dengan meninggalkan ia secara terus dan membawa kepada meninggalkan solat. Ini kerana, jika hadith ini datang secara umum maka ia akan bercanggahan dengan perbuatan Rasulullah seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata :


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَنَامُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَمَسَّ مَاءً


Rasulullah S.A.W pernah tidur dalam keadaan berjunub tanpa menyentuh air (mandi wajib) (HR. Abu Daud no. 228, sahih dengan syawahid)


Maka hadith ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri pernah tidur dalam keadaan berjunub dari sudut baginda tidak mandi wajib terlebih dahulu sebelum tidur dan menangguhkan perlaksanaannya sehingga baginda bangun dari tidur.


Rujukan


al-Kafi li al-Fatawi no.1626


No comments:

Post a Comment