Perkara ini khilaf para ulama.
a) ada yang mengatakan mereka
tidak mengetahui, kerana alam mereka telah terpisah.
b) ada sebahagian menyatakan
mereka mengetahui.
Pendapat (b) menggunakan beberapa
dalil, antaranya adalah hadith berikut:-
Hadith pertama
Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ رَجُلٍ يَمُرُّ بِقَبْرِ الرَّجُلِ الَّذِي
كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ، إِلَّا رَدَّ اللَّه
عَلَيْهِ روحه حَتَّى يرد عَلَيْهِ السَّلَام
Tidaklah seorang laki-laki
melintas ke kuburan laki-laki meninggal yang dikenalinya saat di dunia,
kemudian ia mengucap salam kepadanya, kecuali Allah mengembalikan roh kepada
(jasad)nya sehingga yang meninggal itu boleh menjawab salam kepadanya.
Takhrij
HR. Hibban dalam al-Majruhin
1/480, daripada Abu Hurairah ra.
Ulama sekali lagi khilaf
menentukan darjat hadith ini. Sebahagian mengatakan ianya sahih.
Tetapi dhaif menurut majoriti
ulama hadith. Antaranya Ibnu Asakir dalam Tarikh Dimasyq 10/380, az-Zahabi
dalam Mizan I'tidal 2/565, Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif no.
4493.
Hadith kedua
آنس مَا يكون الْمَيِّت فِي قَبره إِذا زَارَهُ من كَانَ
يُحِبهُ فِي دَار الدُّنْيَا
Sesenang-senangnya mayat di alam
kubur adalah ketika diziarahi oleh orang yang dicintainya semasa di dunia
Takhrij
HN. as-Suyuthi dalam Busyra
al-Kaib 1/10 dan Syarah al-Shudur 1/202, juga ditemukan dalam Irsyadul ‘Ibad
hal. 32, tanpa sanad.
Ini jelas menunjukkan
ketidakasahihan hadith tersebut, kerana gagal tapisan pertama yakni keberadaan
sanad yang sah.
Hadith ketiga
عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما من رجل يزور قبر أخيه
ويجلس عنده إلا استأنس به ورد عليه حتى يقوم
Diriwayatkan dari Aisyah, ia
berkata bahawa Rasulullah Saw bersabda: Tak seorang pun yang berziarah ke makam
saudaranya dan duduk di dekatnya, kecuali ia merasa senang dan menjawabnya
hingga meninggalkan tempatnya.
Takhrij
HR. Ibnu Abu Duniya dalam
al-Qubur, sepertimana disebutkan al-Iraqi dalam Takhrij Ihya 4/216, dan beliau
mendhaifkan hadith tersebut kerana terdapat perawi yang tidak dikenali,
Abdullah bin Sam’an.
قال ابن القيم الأحاديث والآثار تدل على أن الزائر متى جاء علم به الميت
وسمع سلامه وأنس به ورد عليه وهذا عام في حق الشهداء وغيرهم فإنه لا يوقت قال وهو
أصح (بشرى الكئيب بلقاء الحبيب للحافظ جلال الدين السيوطي ١/ ١٠)
Ibnu al-Qayyim berkata: Hadith
dan dalil dari para Sahabat menunjukkan bahawa ketika penziarah datang, maka
mayit mengenalnya, mendengar salamnya, senang dengan kedatangannya dan menjawab
salamnya. Hal ini berlaku umum, baik untuk orang yang mati syahid atau yang
lainnya, dan hal ini berlaku setiap waktu. Ibnu al-Qayyim berkata: Ini adalah
pendapat yang lebih kuat” (al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuthi dalam Busyra al-Kaib
1/10).
Prinsip asas dalam perkara ghaib
yang perlu diketahui
Seseorang yang telah mati, dan
berada di alam kubur, dia sibuk dengan dirinya sendiri, dan akan mempertanggung
jawabkan seluruh amalannya.
Mengimani bahawa tidak ada yang
mengetahui perkara ghaib kecuali hanya Allah Azza wa Jalla semata, sedangkan
para Nabi dan RasulNya tidak mengetahui perkara ghaib, kecuali pada hal-hal
yang telah dikhabarkan oleh Allah ta’ala kepada mereka.
Sebagaimana firman Allah:
"(Dia adalah Rabb) Yang
Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang
yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diridhaiNya, maka sesungguhnya Dia
mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya." (QS.
Al-Jin: 26-27)
Dalam ayat lain Allah Azza wa
Jalla berfirman:
"Dan di sisi Allah-lah
kunci-kunci yang ghaib." [QS. Al-An’am :59].
Maka berbicara atau meyakini
sesuatu yang berkaitan dengan alam kubur tanpa dalil dari Al-Quran mahupun
hadith sahih adalah tidak boleh dilakukan.
Sebab perbahasan kubur adalah
perkara ghaib yang sulit dijangkau akal fikiran, perasaan ataupun penyelidikan
mahupun pengalaman seseorang.
Alam kubur juga dinamakan alam
barzakh. Sedangkan kata barzakh bererti pemisah antara dua hal (QS ar-Rahman:
20).
Sehingga bila seseorang meninggal
dunia akan ada dinding pembatas yang amat tebal dan memisahkan antara dunia dan
akhirat.
Kerana itu, sesungguhnya
seseorang yang telah mati, dan berada di alam kubur, dia sibuk dengan diri
sendiri, mempertanggungjawabkan seluruh amalannya.
Kerananya jika dia seorang yang
soleh, maka akan mendapatkan nikmat kubur, sedangkan jika dia orang kafir, akan
mendapatkan siksa kubur. Dengan demikian dia tidak akan sempat memikirkan orang
lain, walaupun keluarganya sendiri di dunia.
Mujahid menjelaskan, alam barzakh
itu adalah alam yang memisahkan antara dunia dan akhirat atau alam antara
sesudah mati dan hari kebangkitan (Tafsir Ibnu katsir dan at-Thabari).
Al-Ashfahani menjelaskan, alam
barzakh adalah alam pemisah antara manusia dan kesempatan mencapai darjat yang
tinggi di akhirat.
Seperti di firmankan dalam surah
al-Mukminun ayat 11,
“… Dan di hadapan mereka ada
dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan.”
Kesimpulan
Daripada kita sibuk nak tentukan
arwah melihat/mengetahui atau tak amalan dan perbuatan orang yang hidup, lebih
baik kita fokuskan kepada amalan yang sahih dari hadith Nabi yang lain seperti,
doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat, amal jariah, doa dan istighfar
kepada mereka dan mengamalkan nasihat tunjuk ajar amal kebaikan yang pernah
mereka tunjuki pada kita.
Dalilnya:-
عن أبي هريرة رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إذَا مَاتَ
الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثَةِ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ
جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Dari Abu Hurairah RA berkata:
Rasulullah bersabda: "Apabila manusia itu meninggal dunia maka terputuslah
segala amalnya kecuali tiga: iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat atau
anak soleh yang mendoakan kepadanya." (HR. Muslim no. 1631).
مَن سَنَّ في الإسْلامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بها بَعْدَهُ، كُتِبَ
له مِثْلُ أَجْرِ مَن عَمِلَ بها، وَلا يَنْقُصُ مِن أُجُورِهِمْ شيءٌ، وَمَن سَنَّ
في الإسْلامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، فَعُمِلَ بها بَعْدَهُ، كُتِبَ عليه مِثْلُ
وِزْرِ مَن عَمِلَ بها، وَلا يَنْقُصُ مِن أَوْزارِهِمْ شيءٌ
Siapa yang menghidupkan sunnah
(perbuatan) yang baik dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang lain setelahnya
maka dicatat untuknya mendapatkan pahala seperti orang yang mengamalkannya,
tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Siapa yang menghidupkan tradisi
yang buruk di tengah kaum muslimin, kemudian diikuti oleh orang lain
setelahnya, maka dia mendapatkan dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya
tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun. (HR. Muslim no. 2398, Ahmad no.
19674).
سَبْعٌ يَجْرِيْ لِلْعَبْدِ أَجْرُهُنَّ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ وَهُوَ فِي
قَبْرِهِ : مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا ، أَوْ أَجْرَى نَهْرًا ، أَوْ حَفَرَ بِئْرًا ،
أَوَ غَرَسَ نَخْلًا ، أَوْ بَنَى مَسْجِدًا ، أَوْ وَرَثَ مُصْحَفًا ، أَوْ
تَرَكَ وَلَدًا يَسْتَغْفِرُ لَهُ بَعْدَ مَوْتِهِ
“Ada tujuh amalan yang pahalanya
tetap mengalir untuk seorang hamba setelah dia meninggal, padahal dia berada di
dalam kuburnya:”
(1) orang yang mengajarkan ilmu
agama,
(2) orang yang mengalirkan sungai
(yang mati)
(3) orang yang membuat sumur,
(4) orang yang menanam kurma,
(5) orang yang membangun masjid,
(6) orang yang memberi mushaf
al-Quran, dan
(7) orang yang meninggalkan
seorang anak yang senantiasa memohonkan ampun untuknya setelah dia wafat.” (HR.
al-Bazzar dalam Musnadnya no. 7289, al-Baihaqi dalam Syuabul Iman no. 3449,
hasan lighairih).
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ
تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى
ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا
يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Siapa yang mengajak ke jalan
petunjuk, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengikutinya,
tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya siapa yang mengajak
kepada kesesatan maka dia mendapat dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya,
tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.”(HR. Muslim no. 2674).
Syaikhul Islam mengatakan,
النبي صلى الله عليه وسلم لم يجعل للأب مثل عمل جميع ابنه ، ولا نعلم دليلا
على ذلك ، وإنما جعل ما يدعوه الابن له من عمله الذي لا ينقطع
Nabi shallallahu ‘alaihi wa
sallam tidaklah menjadikan pahala untuk bapa sama dengan pahala amal anaknya.
Kami tidak mengetahui adanya dalil tentang itu. Namun beliau jadikan ajakan
kebaikan kepada anaknya, bahagian dari amal orang tuanya, yang tidak akan
terputus. (Jami’ul Masail Ibnu Taimiyah, 4/266).
Sabda Nabi saw:
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ
فِي الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ:
بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
Sesungguhnya Allah akan
mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata:
Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar
anak kamu kepadamu” (HR. Ahmad no. 10610, sanadnya hasan).
Bagaimanakah jika anak tidak
soleh dan tidak mempunyai kecukupan harta untuk jariah?
Jangan risau, kita masih
mempunyai lagi satu talian alternatif untuk beramal bagi orang yang telah
tiada.
Yakni, doa dan istighfar sesama
muslim, perintahnya umum, disebutkan dalam al-Quran dan hadith.
Perintah istighfar bukan saja
ditujukan untuk dosa mustaghfir (orang yang beristighfar). Tapi juga
diperintahkan untuk dimintakan bagi saudara seiman. Sejumlah ayat menunjukkan
akan anjuran istighfar model ini.
Allah Subhanahu wa Ta'ala
berfirman kepada Rasul-Nya Shallallahu 'Alaihi Wasallam,
فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ
وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
Maka ketahuilah, bahawa
sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan
bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan (QS.
Muhammad: 19).
Doa Nabiyullah Ibrahim dan Nuh
‘alaihima al-salam menjadi bukti akan keutamaan istighfar untuk kaum mukminin
dan mukminat.
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ
الْحِسَابُ
(Doa Nabi Ibrahim): Ya Tuhan kami,
beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada
hari terjadinya hisab (hari kiamat)(QS. Ibrahim: 41).
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا
وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا
Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu
bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman
laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang
zalim itu selain kebinasaan (QS. Nuuh: 28).
Allah mengabadikan sifat
Ahlussunnah wal Jama’ah dalam Al-Qur'an, yang salah satu sifat mereka suka
mendoakan kebaikan kepada saudara seiman mereka.
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا
بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا
إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Ya Tuhan kami, beri ampunlah
kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan
janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang
yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha
Penyayang".” (QS. Al-Hasy: 10)
Syaikh Abdurrahman bin Nashir
al-Sa’di berkata dalam menafsirkan doa ini, “Doa ini mencakupi semua kaum
mukminin, terdahulu dari kalangan sahabat, orang sebelum dan sesudah mereka.
Ini merupakan bahagian dari keutamaan iman, bahawa kaum mukminin sebahagian
mereka mengambil manfaat dari sebahagian yang lain, sebahagian mereka mendoakan
kebaikan untuk sebahagian yang lain kerana sebab sama-sama beriman. Di mana iman
ini mewajibkan adanya ikatan persaudaraan antara kaum mukminin yang di antara
cabangnya adalah sebahagian mereka mendoakan kebaikan untuk sebahagian yang
lain dan sebahagian mereka mencintai sebahagian yang lain.”
Memohonkan ampunan untuk kaum mukminin
adalah bahagian dari mendoakan kebaikan untuk mereka. Ini merupakan hak
persaudaraan seiman. Iaitu berharap agar Allah memberikan ampunan atas
dosa-dosa mereka dengan dihilangkan dosa tersebut dan hukuman atasnya dari
mereka.
Tentang keutamaan istighfar untuk
kaum mukminan ini ditunjukkan sabda Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam,
مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ كَتَبَ اللهُ لَهُ
بِكُلِّ مُؤْمِنٍ وَمُؤْمِنَةٍ حَسَنَةً
Siapa yang beristighfar
(memintakan ampunan) untuk orang-orang beriman laki-laki dan perempuan maka
Allah mencatat kebaikan untuknya sebanyak kaum muminin dan mukminat.”(HR.
al-Thabarani dan dihasankan Syaikh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no. 6026.
Al-Haithami berkata tentangnya dalam Majma’ al-Zawaid 1/213, sanadnya baik)
Ini dikuatkan dengan keterangan
lain, bahawa siapa yang mendoakan saudara muslimnya tanpa diketahui oleh yang
didoakan maka ada malaikat yang mengaminkan doanya tersebut dan mendoakan
kebaikan semisalnya untuk dirinya.
Dari Abu Darda’ Radhiyallahu
'Anhu, Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda,
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ
مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ
بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Doa seorang muslim untuk
saudaranya (muslim lainnya) yang tidak berada di hadapannya akan dikabulkan
oleh Allah. Di atas kepala orang muslim yang berdoa tersebut terdapat seorang
malaikat yang ditugasi menjaganya. Setiap kali orang muslim itu mendoakan
kebaikan bagi saudaranya, nescaya malaikat yang menjaganya berkata, “Amin
(semoga Allah mengabulkan) dan bagimu hal yang serupa.” (HR. Muslim no. 2733)
No comments:
Post a Comment