Takhrij

Friday, 18 February 2022

Atsar Umar al-Khattab ra memukul hamba wanita memakai tudung

 

Atsar ini berkaitan Asbabun Nuzul ayat 59 surah Al-Ahzab,  dalam Kitab Ad-Durrul Mantsur Fi Tafsiril Quran Bil Ma’tsur bab 59, 6/660 Imam As-Suyuthi menyebutkan sebuah atsar,

 

حَدَّثَنَا وَكِيعٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا شُعْبَةُ ، عَنْ قَتَادَةَ ، عَنْ أَنَسٍ ،قَالَ رَأَى عُمَرُ أَمَةً لَنَا مُتَقَنِّعَةً فَضَرَبَهَا وَقَالَ لَا تَشَبَّهِي بِالْحَرَائِرِ

 

Anas berkata: Umar melihat seorang hamba yang menutup kepalanya, maka dia memukulnya dan berkata jangan menyerupai wanita merdeka.

 

Dalam riwayat lain dari ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya:

 

حدثنا عبد الأعلى عن معمر عن الزهري عن أنس قال : رأى عمر جارية متقنعة فضربها وقال : لا تشبهين بالحرائر

 

Anas berkata: Umar melihat seorang hamba yang menutup kepalanya, maka dia memukulnya sambil berkata, "Jangan menyerupai perempuan yang merdeka".

 

Dan

 

دخلت على عمر بن الخطاب أمة قد كان يعرفها لبعض المهاجرين أو الأنصار , وعليها جلباب متقنعة به , فسألها: عتقت؟ قالت: لا: قال: فما بال الجلباب؟! ضعيه عن رأسك , إنما الجلباب على الحرائر من نساء المؤمنين , فتلكأت , فقام إليها بالدرة , فضرب بها رأسها حتى ألقته عن رأسها

 

Seorang hamba wanita datang kepada Umar ra. Umar mengenali beliau adalah salah seorang Ansar. Wanita tersebut memakai jilbab yang menutupi muka/kepala beliau  Lalu Umar bertanya kepada wanita itu, "Apakah engkau sudah merdeka?" Wanita itu menjawab "Tidak". Umar berkata, dan mengapakah akan hal ini (jilbab)?, turunkan dari kepala anda. Jilbab adalah untuk para wanita yang merdeka dari orang beriman. Wanita tersebut masih enggan. Lalu Umar datang kepadanya dan memukul wanita tersebut sehingga beliau menanggalkan jilbabnya*.

 

Takhrij

 

AR. Ibnu Abi Syaibah 2/230, al-Baihaqi dalam Sunan Kubra 2/227 daripada Anas bin Malik ra.

 

Sanadnya sahih menurut Imam Baihaqi.

 

Atsar tersebut sahih menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Dirayah 1/124, Syeikh al-Albani dalam Irwaul Ghalil 6/204 no. 1796.

 

Sahih menurut Syeikh Mustafa Adhawi dalam Jami’ Ahkam al-Nisa’ 1/339.

 

Berbeza pula dengan al-Qatthan, beliau mengatakan riwayat ini tidak sahih dalam Ahkam al-Nazar 1/230.

 

*Tidak sahih (https://islamarchive.cc/H_85616).

 

 

Penjelasan

 

Ada sejumlah riwayat, mengenai latar belakang turunnya ayat ini. Satu di antaranya, disampaikan  Ibnu Sa’ad dalam bukunya al-Thabaqat dari Abu Malik. Katanya, “ Suatu malam, para isteri Nabi Saw keluar rumah untuk memenuhi keperluannya. Saat itu, kaum munafiq menggoda dan mengganggu (melecehkan) mereka. Mereka mengadukan peristiwa itu kepada Nabi. Ketika Nabi menegur, kaum munafiq itu berkata, “ Kami kira mereka adalah hamba-hamba perempuan.” Lalu turun surat  al-Ahzab ayat 59 (al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj 22/107).

 

Ibnu Jarir at-Thabari, menyimpulkan ayat ini sebagai larangan menyerupai cara berpakaian hamba-hamba perempuan. Umar pernah memukul seorang hamba yang memakai jilbab sambil memarahi, “Apa kamu menyerupai perempuan merdeka, hei hamba perempuan ?.” (Ibnu al-Arabi, Ahkam al-Quraan, 3/1587).

 

Dari informasi asbab nuzul ayat di atas menunjukkan baHawa jilbab ketika turun ayat tersebut hanya sebagai ciri pembeza antara perempuan merdeka dari hamba perempuan, bukan pembeza antara perempuan muslimah dari perempuan non-muslimah. Tetapi bukanlah bermaksud mereka (hamba) tidak perlu menutup aurat besar yang lain. Ciri pembeza dalam ayat ini disebutkan dengan meletakkan di atas kain kepala atau tudungnya dan atau dengan menyelimuti tubuhnya sebahagian.

 

Ini kerana perintah memakai hijab adalah, pada wanita merdeka, adapun hamba mereka tidak diwajibkan (bila tidak ada fitnah), akan tetapi bila dikhuatiri fitnah akan menimpa mereka, maka mereka perlulah mengenakan hijab sebagai langkah pencegahan (Tafsir Ibnu Abi Hatim 12/3; Fatwa Soalajawab Islam no. 8489).

 

Imam Ath Thabari juga menyebutkan hal ini dalam tafsirnya,

 

لا يتشبهن بالإماء في لباسهن إذا هن خرجن من بيوتهن لحاجتهن، فكشفن شعورهن ووجوههن.

 

Tidak boleh (isteri-isteri Nabi) menyerupai para hamba wanita dalam berpakaian. Jika mereka (para hamba wanita) keluar dari rumah-rumah mereka kerana ada keperluan, maka mereka menampakkan rambut-rambut dan wajah-wajah mereka (Tafsir at-Thabari 20/324).

 

Tidak berjilbabnya hamba perempuan masuk akal, kerana tugas-tugas berat  mereka untuk melayani majikannya, melakukan kerja, jual beli di pasar (al-Mughnii 7/101; Majmu’ al-Fataawa 15/418).

 

Hamba-hamba perempuan itu sudah biasa keluar dan mundar-mandir ke pasar untuk melaksanakan tugasnya melayani tuan mereka. Oleh kerana itu, kalau mereka dipaksa berjilbab secara penuh maka akan mengalami kesulitan. Tidak demikian halnya perempuan-perempuan medeka kerana mereka diperintahkan untuk tinggal di rumah-rumah mereka seperti yang terkandung dalam Surah al-Ahzab: 33.

 

Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu. (QS. Al-Ahzab:33)

 

dan dilarang keluar kecuali kalau ada keperluan, maka bagi mereka yang tidak akan mengalami kesulitan dan keberatan berjilbab.

 

 

Imam An-Nawawi Rahimahullah dalam Al-Majmu’ Syarhul Muhazzab3/175 menjelaskan:

 

قال الشيخ أبو حامد وغيره : وأجمع العلماء على أن رأس الأمة ليس بعورة مزوجة كانت أو غيرها إلا رواية عن الحسن البصري أن الأمة المزوجة التي أسكنها الزوج منزله كالحرة والله أعلم

 

Syeikh Abu Hamid dan para ulama selain beliau mengatakan, Telah sepakat (ijma) ulama baHawa kepala seorang hamba wanita bukanlah aurat baik yang telah menikah atau yang tidak. Kecuali riwayat Imam Hasan Al-Basri menyatakan baHawa budak wanita yang dinikahi maka kedudukannya sama dengan wanita yang merdeka.

 

Atas dasar itu ,  surat al- Ahzab 59, tampaknya hanya membicarakan  ciri khusus pakaian perempuan merdeka, yang membezakannya dari pakaian hamba perempuan. Ciri itu  adalah jilbab. Jadi, ayat ini secara lahiriah, serta didukung  latar belakang turunnya, hanya membicarakan  jilbab sebagai ciri perempuan merdeka, untuk membezakannya dengan hamba perempuan. Agar mereka yang sudah merdeka tidak diganggu oleh para lelaki fasik ketika mereka keluar rumah, kerana pada masa itu wanita merdeka sering keluar pada malam hari untuk keperluan hajat dan selalu diganggu oleh laki-laki fasik tersebut kerana mereka menduga baHawa yang mereka ganggu adalah para hamba, oleh kerana itu jilbab sebagai pembeza antara wanita hamba dan wanita yang sudah merdeka. Dalam tafsir ini juga menjelaskan baHawa wanita yang belum merdeka tidak diperkenankan memakai jilbab kerana takut mereka akan menyerupai wanita yang sudah merdeka. (Al-Jami’ fi Ahkam al-Quran lil Qurthubi 7/156).

 

Ini kerana asalnya, setelah memperhatikan bagaimana kebiasaan wanita Arab jahiliyah adalah tidak memiliki rasa malu dan mengenakan pakaian yang terbuka, seperti yang dilakukan oleh hamba sahaya wanita mereka, hingga membuat para lelaki bebas mengeksplorasi pandangan mereka dan menimbulkan fikiran-fikiran kotor dan tidak senonoh terhadap mereka, maka Allah SWT menyuruh kepada RasulNya untuk memerintahkan para wanita itu untuk memanjangkan penutup kepala mereka apabila ingin keluar rumah kalau ada suatu keperluan (Al-Jami’ fi Ahkam al-Quran lil Qurthubi 7/156).

 

Maka dengan itu, Umar pernah melihat seorang hamba sahaya mengenakan penutup kepala, maka ia akan memukulnya dengan sebuah tongkat, sebagai penghormatan untuk pakaian yang dikhususkan untuk orang-orang yang merdeka. Ini kerana pada waktu itu memang dikenali para hamba wanita suka menyamar sebagai wanita merdeka yakni berselindung disebalik jilbab untuk tidak dikenali identiti mereka. Dalam satu riwayat menjelaskan Umar memukul itu adalah disebabkan, hamba wanita tersebut tidak menjaga perilaku, seperti sengaja mendedahkan diri di depan khalayak lelaki.

 

ما روي عن عمر - رضي الله عنه - أنه رأى- وهو يخطب الناس- أمة خرجت من بيت حفصة تجوس الناس ملتبسة لباس الحرائر (متقنعة) فلما انصرف دخل على حفصة ابنة عمر فقال: من المرأة التي خرجت من عندك تجوس الرجال؟ قالت تلك جارية عبد الرحمن. قال: فما يحملك أن تلبسي جارية أخيك لباس الحرائر فقد دخلت عليك ولا أراها إلا حرّة فأردت أن أعاقبها

 

Dalam satu majlis, Umar melihat seorang wanita keluar dari rumah Ummul Mukminin Hafsah ra ketika menyampaikan khutbah, wanita itu mengenakan pakaian seperti wanita merdeka dan keluar melalui dikhalayak lelaki. Umar masuk ke dalam rumah Hafsah lalu bertanya “Siapakah wanita yang baru saja keluar dari rumah dikalangan lelaki?” Hafsah menjawab “Beliau adalah itu aldalah hamba kepada Abdul Rahman (abang Hafsah)”. Umar lalu bertanya, mengapakah wanita tersebut berpakaian seperti wanita merdeka? Aku menyangka beliau adalah wanita merdeka, dan pasti akan menghukum beliau (kerana berjalan di tengah lelaki) (HR. Imam Malik dalam al-Muwattha no. 1773, Sunan Kubra al-Baihaqi no. 3037 dan disahihkan oleh al-Baihaqi).

 

Bagi isu memukul pula, perkataan ‘darab’ dalam atsar (فَضَرَبَهَا) boleh bermaksud beragam seperti mengibas (flap), mengarahkan/cucuk jari atau objek pada seseorang (poke) ataupun memukul (hit). Riwayat ini tidaklah menunjukkan baHawasanya Umar memukul wanita itu secara tidak sesuai (tanpa peri kemanusiaan). Ia hanya memberitahu yang Umar tidak membenarkan wanita tersebut utnuk memakai jilbab seperti wanita merdeka (Multaqa ahlalhadeeth).

 

Ibnu Qatthan pula berkomentar mengenai riwayat ini:

 

هذا نصُّه وليس بصحيح ولا فيه أكثر من إنكاره عليها أن تتزيَّا بزي يظن يها من أجله أنها حرة

 

Ini telah diriwayatkan secara jelas daripada Umar dan ia tidak sahih. Ia mengandungi tidak lebih daripada kecamannya terhadapnya kerana memakai pakaian untuk membuat orang lain menganggap dia seorang wanita yang bebas (Ahkam al-Nazhar 1/230).

 

Jadi dia hanya dihukum kerana dia cuba membuat orang lain menganggap dia seorang wanita yang bebas.

 

Ada juga yang berpendapat baHawa kewajipan menutup tubuh atau mengenakan jilbab sekarang ini sudah mencakupi seluruh kalangan wanita, baik itu yang merdeka mahupun yang hamba sahaya (Al-Jami’ fi Ahkam al-Quran lil Qurthubi 7/157).

 

Rujukan

 

Fatwa Soalajawab Islam no. 8489

 

https://kulalsalafiyeen.com/vb/showthread.php?t=61638

https://www.wijatnikaika.id/2020/01/jilbab-hijab-dan-perdebatan-penanda.html 

https://muslimskeptic.com/2021/04/26/the-basis-for-gender-separation-in-islam/

http://forum.twelvershia.net/sahabah-ahlulbayt/responding-to-umar's(r)-and-abdullah-bin-umar's(r)-treatment-with-slave-girls/?nowap;PHPSESSID=jcjg813v9sslifvsa73evehtf5

https://debunkingantiislamists.quora.com/Naked-Slave-Girls-in-Islam?comment_id=6388996&comment_type=3

https://islamarchive.cc/H_85616

https://shamela.ws/book/524/269#p1

No comments:

Post a Comment