Takhrij

Thursday, 28 April 2022

Penggunaan hadith dhaif dalam fadhail amal

 

Majoriti ulama hadith berpendapat bahawa hadith-hadith yang dhaif boleh digunakan untuk Fadhail al-A’mal.

 

Imam Al-Nawawi rahimahullah berkata:

 

الحديث ثلاثة أقسام، صحيح، وحسن، وضعيف قالوا: وإنما يجوز الاحتجاج من الحديث في الأحكام بالحديث الصحيح أو الحسن . فأما الضعيف فلا يجوز الاحتجاج به في الأحكام والعقائد وتجوز روايته والعمل به في غير الأحكام كالقصص، وفضائل الأعمال، والترغيب والترهيب

 

Hadith terbahagi kepada tiga bahagian: Sahih, Hasan, Dhaif. Para ulama berkata: Di dalam urusan hukum-hakam, hanyalah dibenarkan berhujah dengan hadith sahih atau hasan. Adapun hadith dhaif, tidak boleh berhujah dengannya pada hukum-hakam, akidah, akan tetapi dibenarkan meriwayatkannya dan beramal dengannya pada selain hukum-hakam seperti kisah-kisah, fadhail al-A’mal, dan At-Targhib wa At-Tarhib.  [Yahya bin Syarf Al-Nawawi, Al-Majmu’ Sharh Al-Muhazzab 1/98].

 

Imam Abdul Rahman bin Mahdi rahimahullah berkata:

 

إذا روينا عن النبي ﷺ في الحلال، والحرام، والأحكام، شددنا في الأسانيد، وانتقدنا الرجال، وإذا روينا في فضائل الأعمال والثواب، والعقاب، والمباحات، والدعوات تساهلنا في الأسانيد

 

Apabila kami meriwayatkan daripada Nabi s.a.w tentang halal dan haram, hukum-hakam, kami akan bertegas dalam isu sanad, kami akan mengkritik perawi hadith. Apabila kami meriwayatkan dalam urusan Fadhail al-A’mal, pahala, dosa, perkara-perkara mubah, doa-doa, maka kami akan longgar dalam urusan sanad. [Al-Hakim, Al-Mustadrak ‘Ala Al-Sahihayn, 1/666]

 

Bahkan Imam Al-Nawawi mendakwa wujudnya ijma’ dalam hal ini. Kata beliau:

 

وقد اتفق العلماء على جواز العمل بالحديث الضعيف في فضائل الأعمال"

 

Ulama bersepakat dibenarkan beramal dengan hadith dhaif dalam Fadhail al-A’mal. [Al-Nawawi, Al-Arba’un Al-Nawawiyyah hal. 42-43]. Hal yang sama disebutkan oleh Mulla ‘Ali Qari. [Al-Mulla ‘Ali al-Qariy, Al-Asrar Al-Marfu’ah Fi Al-Akhbar Al-Mawdhu’ah hal.315].

 

Akan tetapi pernyataan ia merupakan ijma’ masih perlu diperhalusi semula kerana terdapat nukilan ulama-ulama silam yang bertentangan dengan hal ini. Akan tetapi di sini bukanlah tempat untuk membincangkannya.

 

Syarat Hadith Dhaif Dalam Fadhail Al-A’mal

 

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah menyatakan:

 

"لكن اشتهر أن أهل العلم يتسامحون في إيراد الأحاديث في الفضائل وإن كان فيها ضعف، ما لم تكن موضوعة. وينبغي مع ذلك اشتراط أن يعتقد العامل كون ذلك الحديث ضعيفا، وأن لا يشهر بذلك، لئلا يعمل المرء بحديث ضعيف، فيشرع ما ليس بشرع، أو يراه بعض الجهال فيظن أنه سنة صحيحة".

 

Adalah sudah diketahui bahawa para ulama bersikap longgar dalam menukilkan hadith-hadith fadhail walaupun pada hadith-hadith itu ada kelemahan selagi mana hadith itu tidak palsu. Hal itu disertai dengan syarat-syaratnya iaitu yang beramal dengan hadith itu hendaklah beri’tikad bahawa hadith itu dhaif, tidak mempopularkannya supaya seseorang tidak beramal dengan hadith dhaif, lalu mensyariatkan apa yang bukan sebahagian daripada syariat, atau sebahagian orang yang jahil akan menyangka ia merupakan sunnah yang sahih. [Ibn Hajar Al-Asqalani, Tabyin Al-‘Ajab Bi Ma Warada Fi Shahri Rajab hal. 23].

 

Imam Al-Sakhawi yang merupakan murid kepada Imam Ibnu Hajar menyebutkan:

 

"وقد سمعت شيخنا مرارا يقول وكتبه لي بخطه أن شرائط العمل بالضعيف ثلاثة:

 

Aku telah mendengar guru kami (iaitu Al-Imam Ibnu Hajar) beberapa kali menyatakan kepada ku dengan tulisannya bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif ada tiga iaitu:

 

الأول: متفق عليه أن يكون الضعف غير شديد فيخرج من أنفرد من الكذابين والمتهمين بالكذب ومن فحش غلطه.

 

Pertama: Syarat ini disepakati, iaitu hendaklah kelemahan hadith itu tidak terlalu berat. Oleh itu terkeluarlah hadith-hadith yang perawinya bersendirian sedangkan mereka itu daripada golongan pemalsu hadith, atau dituduh pendusta, atau perawi yang tersangat teruk kesilapannya.

 

 الثاني: أن يكون مندرجا تحت أصل عام فيخرج ما يخترع بحيث لا يكون له أصل أصلا.

 

Kedua: Hendaklah isi kandungan hadith itu termasuk dalam perkara yang mempunyai asalnya secara umum. Oleh itu terkeluarlah hadith-hadith yang mereka-reka perkara baru yang tiada asalnya.

 

 الثالث: أن لا يعتقد عند العمل مع ثبوته لئلا ينسب إلى النبي ﷺ ما لم يقوله.

 

Ketiga: Hendaklah ketika beramal tidak beri’tikad akan kesahihannya agar tidak menisbahkan kepada Nabi s.a.w apa yang tidak baginda katakan.

 

قال: والأخيران عن ابن السلام وعن صاحبه ابن دقيق العيد والأول نقل العلائي الاتفاق عليه".

 

Kata Imam Al-Sakhawi: Dua syarat yang terakhir itu adalah daripada Ibn Al-Salam, dan sahabatnya Ibn Daqiq al-Eid, manakala syarat pertama, Imam Al-‘Alaie menukilkan kesepakatan tentangnya. [Al-Sakhawi, Al-Qawl Al-Badi’ Fi Al-Solat Al-Habib Al-Shafi’ hal. 472-473].

 

Oleh itu kita akan dapati syarat pertama dan ia syarat yang disepakati ialah hadith itu hendaklah tidak terlalu dhaif. Iaitu hadith itu mestilah bukan sebuah hadith yang ada perawi kazzab/pemalsu hadith, atau tertuduh berdusta, atau yang sangat teruk kesilapannya, dan mereka bersendirian pula dalam meriwayatkannya.

 

Oleh itu penting untuk kita mengetahui hadith-hadith yang dhaifnya ringan, dan dhaifnya berat. Pecahan hadith-hadith dhaif ini tersangat banyak, akan tetapi disebutkan di sini apa yang perlu sahaja.

 

Hadith dhaif ringan:

 

Ia adalah hadith-hadith yang dapat dikuatkan dengan mutaba’at atau syawahid yang semisal dengannya atau lebih kuat daripadanya. Setiap hadith yang kecacatannya disebabkan oleh terputusnya sanad, maka ia termasuk dalam dhaif ringan. Antaranya:

 

a)       Al-Mu’allaq- Hadith yang gugurnya seorang atau lebih perawi daripada awal sanad. Akan tetapi jika gugur semua perawi tanpa diketahui asal usulnya, maka jadilah ia hadith yang tiada asal padanya.

 

b)      Al-Mursal- Gugurnya perawi selepas tabi’in.

 

c)       Al-Mu’dhal- Gugurnya 2 perawi atau lebih secara berturut-turut.

 

d)      Al-Munqathi- Gugurnya 1 perawi atau lebih di tengah-tengah sanad tanpa berturut-turut.

 

e)      Al-Mudallis- Berlakunya tadlis dengan syarat tidak diketahui identiti perawi yang tersembunyi itu.

 

Manakala hadith yang lemah disebabkan oleh kritikan kepada perawinya, boleh dipecahkan kepada dua iaitu dhaif yang ringan dan berat.

 

Yang ringan ialah yang perawjinya majhul atau mubham, dan yang perawinya lemah hafazannya atau mukhtalit. [Abu al-Laits, Ulum Al-Hadith Asiluha Wa Mu’asiruha hal. 166].

 

Hadith Dhaif Berat

 

Ia merupakan hadith-hadith yang tidak dapat dikuatkan dengan sokongan syawahid atau mutaba’at. Ia adalah hadith-hadith berikut:

 

a)      Maudhu’- Ia merupakan hadith yang padanya ada perawi kazzab atau pemalsu hadith. Selain daripada itu, hadith palsu jua dikenali dengan matan atau teks hadith itu apabila teksnya menyanggahi al-Quran, hadith-hadith mutawatir, ijma’ yang qat’ie, atau bercanggah dengan akal yang sejahtera sehingga tak dapat diterima takwil.

 

b)      Matruk- Ia hadith yang padanya ada perawi yang tertuduh pendusta. Telah terbukti dia berdusta dalam perkataannya bersama manusia lain, akan tetapi belum terbukti dia memalsukan hadith.

 

c)       Munkar- Ia merupakan hadith yang diriwayatkan oleh perawi dhaif bercanggah dengan riwayat perawi thiqah. Ia jua adalah hadith yang padanya terdapat perawi yang sangat teruk kesilapannya, banyak kelalaiannya, atau jelas kefasikannya.

 

d)      Syaz- Ia merupakan hadith yang diriwayat perawi thiqah yang bercanggah dengan perawi yang lebih thiqah atau bercanggah dengan ramai perawi thiqah yang lain.

 

e)      Ma’lul- Hadith yang wujud padanya kecacatan tersembunyi yang merosakkan kesahihannya walau zahirnya terselamat daripada kecacatan itu.

 

[Rujuk Ibnu Hajar, Nuzhatun Nazhar Fi Tawdhih Nukhbatil Fikar, 107, Abu al-Laits, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Muasiruha, 226-227, 243].

 

 

Kewujudan Hadith Ini Dalam Kitab Merupakan Hujah Ia Boleh Disebarkan?

 

Terdapat istilah yang popular dalam isu ini, antaranya:

 

من أسند لك فقد أحالك

 

Sesiapa yang membawa sanad kepada kamu, maka dia telah memindahkan tanggungjawab kepada kamu.

 

من أسند فقد برئت ذمته

 

Sesiapa yang membawakan sanad, maka telah terlepaslah tanggungjawabnya SIlsilah Hadith Dhaif 1/9).

 

Ini kerana dengan membawakan sanad hadith, ia membolehkan mereka yang mendengar riwayat itu meneliti akan kesahihannya dengan memeriksa sanadnya. Oleh itu tidak hairanlah hadith-hadith sebegini wujud dalam kitab-kitab hadith yang awal yang bersanad.

 

وقد عاب عليه إسماعيل بن محمد بنا الفضل التيمى جمعه الأحاديث بالافرد مع ما فيها من النكارة الشديدة والموضوعات وفي بعضها القدح في كثير من القدماء من الصحابة وغيرهم وهذا أمر لا يختص به الطبراني فلا معنى لافراده اليوم بل أكثر المحدثين في الإعصار الماضية من سنة مائتين وهلم جرا إذا ساقوا الحديث بإسناده اعتقدوا انهم برؤا من عهدته والله اعلم

 

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan hal ini dalam Lisan al-Mizan selepas membincangkan tentang Imam Ath-Thabarani di mana beliau banyak meriwayatkan hadith-hadith perawi yang berlakunya akan nakarah yang terlalu berat, dan palsu. Hal ini turut berlaku kepada imam-imam terdahulu di mana mereka membawakan hadith dengan sanadnya, dan mereka beri’tikad bahawa dengan membawa sanad itu maka mereka telah berlepas diri daripada hal itu (Lisanul Mizan 4/128).

 

Imam al-Iraqi menyebutkan hal serupa dalam Sharh At-Tabsirah wa At-Tazkirah hal. 96:

 

وكل من أودع حديث أبي - المذكور - تفسيره ، كالواحدي ، والثعلبي والزمخشري مخطئ في ذلك ؛ لكن من أبرز إسناده منهم ، كالثعلبي ، والواحدي فهو أبسط لعذره ، إذ أحال ناظره على الكشف عن سنده ، وإن كان لا يجوز له السكوت عليه من غير بيانه ، كما تقدم . وأما من لم يبرز سنده ، وأورده بصيغة الجزم فخطؤه أفحش ، كالزمخشري .

 

Sesiapa yang membawakan hadith Ubai yang disebutkan (yang merupakan hadith palsu berkaitan fadhilat surah-surah dalam al-Quran) di dalam tafsirnya seperti Al-Wahidi, At-Tsa’labi, Al-Zamakhsyari, mereka telah melakukan kesilapan dalam hal ini. Akan tetapi sesiapa yang membawakan sanadnya seperti At-Tsa’labi, dan Al-Wahidi, maka mereka diberikan keuzuran, kerana ia telah memindahkan tanggungjawab memeriksa sanad itu kepada yang mendapati riwayat itu, walaupun begitu tidak boleh dia mendiamkan diri tanpa menerangkan hal itu, sebagaimana telah diterangkan. Adapun sesiapa yang tidak membawakan sanadnya, dan menukilkannya dengan lafaz jazam@pasti, maka kesalahannya adalah lebih teruk sebagaimana Al-Zamakhsyari.

 

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam An-Nukat 1/128:

 

وكان ذكر الإسناد عندهم من جملة البيان

 

Dengan menyebutkan sanad yang ada pada mereka, maka itu adalah sebahagian daripada penjelasan (tentang hadith itu).

 

Imam Al-Nawawi dalam isu penggunaan hadith lemah dalam fadhail al-A’mal ini kelihatan sangat longgar berbanding Ibnu Hajar kerana zahir perkataan beliau membenarkannya hatta hadith yang tersangat lemah selagi mana bukan hadith maudhu’. Imam Al-Nawawi dalam kitabnya Al-Irsyad menyebutkan:

 

يجوز عند أهل الحديث وغيرهم التساهل في الأسانيد، ورواية ما سوى الموضوع من أنواع الضعيف من غير اهتمام ببيان ضعفها. ويجوز العمل بها. فيما سوى صفات الله وأحكام الشرع من الحلال والحرام وغيرهما. وذلك كالمواعظ والقصص، وفضايل الأعمال، وساير فنون الترغيب والترهيب وما لا تعلق له بالأحكام والعقايد.

 

Ahlul Hadith dan selain mereka meringankan tentang urusan sanad dan riwayat apa yang selain daripada maudhu’ daripada jenis-jenis hadith dhaif yang lain tanpa memberatkan untuk menerangkan kedhaifannya, dan dibenarkan beramal dengannya, pada perkara-perkara selain sifat Allah, hukum-hakam syara’ daripada halal dan haram dan selain keduanya. Begitu juga dalam hal-hal nasihat, kisah-kisah, fadhail al-A’mal, at-Targhib wa at-Tarhib, dan apa-apa yang tidak berkaitan dengan hukum-hakam dan akidah.

 

فرع: إذا أردت رواية الحديث الضعيف بغير إسناد، فلا تقل فيه: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كذا، وما أشبهه من الألفاظ  الجازمة، وإنما تقول: روي عن رسول الله صلى الله عليه وسلم كذا، أو بلغنا عنه كذا، أو ورد عنه، أو جاء عنه، أو نقل عنه، أو روى بعضهم، وما  أشبهه وهكذا الحكم فيما تشك في صحته. وإنما تقول: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم، فيما ظهر صحته. والله أعلم

.

Apabila dinukilkan hadith dhaif tanpa sanad, janganlah menyebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda atau semisal dengannya daripada lafaz-lafaz jazam/pasti. Hendaklah kamu menyebutkan:  Diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w, atau telah sampai kepada kami, atau telah datang daripadanya, atau dinukilkan daripadanya, atau sebahagian orang meriwayatkan, atau apa-apa lafaz yang semisal dengannya. Begini jualah kepada hadith-hadith yang diragui statusnya. Sesungguhnya  perkataan: Rasulullah s.a.w bersabda hanya disebutkan kepada apa yang jelas kesahihannya. [Al-Nawawi, Irsyad Thullab al-Haqaiq hal. 92-93].

 

Kata beliau dalam Al-Azkar:

 

قال العلماءُ من المحدّثين والفقهاء وغيرهم: يجوز ويُستحبّ العمل في الفضائل والترغيب والترهيب بالحديث الضعيف ما لم يكن موضوعاً

 

Ulama hadith, fiqh, dan selain mereka berkata: Dibenarkan dan digalakkan beramal dalam fadhail al-A’mal, dan al-Targhib wa at-Tarhib dengan hadith dhaif selagi mana ia bukan palsu.  [Al-Azkar hal. 8]

 

Al-Shaikh Nuruddin al-Itr dalam tahqiqnya kepada kitab Al-Irsyad menyebutkan pada bahagian nota kaki kenyataan di atas berkaitan hadith dhaif dan fadhail al-A’mal bahawa ia hendaklah mematuhi 3 syarat yang ditetapkan, sebagaimana telah disebutkan sebelum ini syarat-syarat yang digariskan oleh Imam Ibn Hajar.

 

Imam Ibnu ‘Allan ketika mengulas perkataan Imam Al-Nawawi ini menyatakan:

 

قوله: (والترغيب والترهيب) أي بسائر فنونه وكذا كل ما لا تعلق له بالأحكام والعقائد كما قاله في الإرشاد. قوله: (ما لم يكن موضوعاً) وفي معناه شديد الضعف فلا يجوز العمل بخبر من انفرد من كذاب ومتهم بكذب ومن فحش غلطه فقد نقل العلائي الاتفاق عليه وفي صلاة النفل من المجموع ما يقتضي ذلك وبه

 

Perkataan Imam Al-Nawawi: Selagi mana bukan maudhu’/palsu. Ia bermaksud dhaif yang berat. Tidak dibenarkan beramal dengan khabar yang bersendirian perawi kazzab, tertuduh berdusta, yang sangat teruk kesilapannya. Al-‘Alaie menukilkan kesepakatan ulama tentang hal ini. (Penolakan Imam Al-Nawawi) kepada solat sunat (Raghaib) di dalam Al-Majmu’ menunjukkan hal ini. [Al-Futtuhat Al-Rabbaniyyah 1/83].

 

Ini kerana Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’ mengeluarkan perkataan keras kepada solat Raghaib:

 

الصلاة المعروفة بصلاة الرغائب وهي ثنتى عشرة ركعة تصلي بين المغرب والعشاء ليلة أول جمعة في رجب وصلاة ليلة نصف شعبان مائة ركعة

 

Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sunat sebanyak 12 rakaat yang didirikan antara Maghrib dan Isya pada malam Jumaat pertama dalam bulan Rejab, dan solat malam Nisfu Sya'ban sebanyak 100 rakaat;

 

وهاتان الصلاتان بدعتان ومنكران قبيحتان

 

kedua-dua ini adalah solat yang bidaah lagi munkar lagi keji.

 

ولا يغتر بذكرهما في كتاب قوت القلوب واحياء علوم الدين ولا بالحديث المذكور فيهما فان كل ذلك باطل

 

Janganlah tertipu dengan nukilan tentang solat ini di dalam kitab Qutul Qulub (oleh Imam Abu Talib al-Makki) dan Ihya Ulumuddin (oleh Imam al-Ghazali), dan tidak juga dengan hadith yang disebutkan tentang kedua solat ini. Sesungguhnya semua itu adalah bathil.

 

Perawi-perawi hadith solat Raghaib kalau kita lihat dalam kitab Al-Jarh wa Al-Ta’dil, mereka adalah yang tertuduh berdusta, dan bukannya disepakati sebagai perawi yang kazzab. [Mizan al-I’tidal, 3/142, Lisan al-Mizan 5/555].

 

Oleh itu perkataan madhu’ oleh Imam al-Nawawi ini boleh difahami termasuk di dalamnya hadith-hadith yang tersangat lemah. Ini berdasarkan kritikan keras Imam Al-Nawawi sendiri kepada solat Raghaib.

 

Jika mahu difahami secara zahirnya ia hanya untuk hadith yang ada perawi kazzab, maka Imam al-Nawawi tetap meletakkan syarat agar ia dinukil tanpa sanad dengan lafaz menunjukkan kelemahannya, dan bukan dengan lafaz yang jazam/pasti.

 

Kesimpulan:

 

1- Hadith dhaif yang boleh digunakan untuk Fadhail al-A’mal adalah hadith yang dhaifnya ringan.

 

2- Hendaklah dinukilkan dengan lafaz yang menunjukkan ia dhaif.

 

Jazakumullahu khair.

 

#MMMR

 

Rujukan

 

https://www.kulalsalafiyeen.com/vb/showthread.php?p=365395

 

Faedah daripada page rasmi FB Ust. Mohd Masri

No comments:

Post a Comment