Takhrij

Friday, 23 September 2022

Juzuk Kitab Musannaf Abdurrazzaq yang hilang telah ditemui?

 

 

Kes manuskrip hadith Nur Muhammad dalam Musannaf Abdul Razak ini isu sejak awal tahun 2000 lagi; ia bukan isu baru.

 

Buat yang tak faham isu, aku bagi ringkasan isu ini (minta betulkan kalau mana silap, sebab aku tulis berdasarkan ingatan aku je ni):

 

1. Golongan Sufi dan ulama yang terpengaruh dengan fahaman Sufi seperti Al-Qastalani percaya bahawa ada hadith Nur Muhammad riwayat Jabir dalam juzu' kitab Musannaf Abdul Razak yang didakwa hilang;

 

2. Golongan Barelwiyah mendakwa mereka telah jumpa manuskrip juzu' Musannaf Abdul Razak tentang hadith Nur Muhammad yang hilang itu, dan kemudian mereka hantar manuskrip itu kepada Dr. Isa Al-Himyari; manuskrip ini didakwa berasal dari Baghdad pada tahun 838 Hijrah yang ditulis oleh seorang yang bernama Ishaq ibn Abdul Rahman Al-Sulaymani;

 

3. Ramai para ulama hadith dan pentahqiq kitab pada ketika itu telahpun menilai manuskrip itu sebagai manuskrip palsu yang tiada gaya tulisan Arab; bahkan gaya tulisan khat manuskrip itu jelas menunjukkan ia gaya tulisan khat India, bukan gaya tulisan khat Arab Baghdad pada kurun ke-10 Hijrah; kertas manuskrip itu pula tidaklah mempunyai usia yang panjang seperti dakwaan golongan Barelwiyah India.

 

- Sheikh Adib Al-Kamadani, seorang pakar hadith dan pentahqiq dari Damsyik yang meneliti manuskrip ini berserta kandungannya dan gaya tulisan khatnya telah berkata bahawa usia manuskrip ini tidak lebih daripada beberapa tahun sahaja. Maknanya ia manuskrip baharu; dan bukanlah berasal daripada tahun 838 Hijrah seperti dakwaan golongan Barelwiyah;

 

- Sheikh Adib Al-Kamadani meminta Isa Al-Himyari untuk semak manuskrip ini kerana ia sangat jelas bahawa ia manuskrip yang baharu; namun Isa Al-Himyari mendakwa manuskrip ini merupakan salinan daripada manuskrip asal yang musnah akibat kebakaran di perpustakaan negara Kesatuan Soviet akibat peperangan; jadi benarlah tekaan Sheikh Adib bahawa usia manuskrip itu hanyalah beberapa tahun sahaja, dan bukan berusia ratusan tahun seperti dakwaan golongan Barelwiyah ketika itu;

 

- Sheikh Adib Al-Kamadani memohon agar Isa Al-Himyari meminta pihak dari India itu menghantar seluruh salinan yang didakwa sebagai Musannaf Abdul Razak itu, dan bukan hanya helaian tersebut; namun pihak di India tidak menghantarkannya, dan Isa Al-Himyari juga tidak menghantar salinan manuskrip yang dimiliki olehnya kepada Sheikh Adib Al-Kamadani walaupun Sheikh Adib memintanya untuk menghantar salinan manuskrip tersebut kepadanya.

 

- Sheikh Abdul Qudus Nadheer Al-Hindi, seorang ulama India yang melihat salinan manuskrip ini menyatakan dengan jelas bahawa gaya Bahasa Arab yang ditulis dalam manuskrip ini adalah gaya tulisan India; jadi ia tidak mungkin berasal daripada Baghdad seperti dakwaan golongan Barelwiyah;

 

3. Dr. Isa Al-Himyari percaya manuskrip itu merupakan manuskrip yang hilang daripada Musannaf Abdul Razak, dan kemudian dia menyatakan bahawa dia akan menerbitkan kitab Musannaf Abdul Razak berkenaan juzu' ini dengan tahqiqnya sendiri, walaupun dia dihalang oleh Sheikh Adib Al-Kamadani untuk melakukan demikian kerana manuskrip dan hadith dalam manuskrip itu jelas palsu tanpa sebarang sanad;

 

4. Pada tahun 2005, Dr. Isa Al-Himyari menerbitkan kitab "Juz Awwal min al-Musannaf  Al-Hafiz al-Kabir Abu Bakr ‘Abdul Razak ibn Humam As-San’ani". Mahmud Sa'id Mamduh menulis pendahuluan untuk kitabnya ini dan menyatakan bahawa dia yakin dengan kajian Isa Al-Himyari tentang manuskrip palsu ini;

 

5. Sheikh Muhammad ibn Zayd ibn Umar At-Tuklah telah menulis kitab "Deefa’ ani Nabi wa Sunnatihi Al-Mutaharah wa Kashf Tawatu' Isa Al-Hiymari wa Mahmud Sa’id Mamduh Ala Wadil Hadith” yang mendedahkan pembohongan Isa Al-Himyari dan Mahmud Sa'id Mamduh mengenai dakwaan mereka tentang manuskrip Musannaf Abdul Razak dalam kitab "Juz Awwal min al-Musannaf  Al-Hafiz al-Kabir Abu Bakr ‘Abdul Razak ibn Humam As-San’ani".

 

Kesimpulannya

 

*Hadith Nur Muhammad itu memang hadith palsu;

 

*Hadith Nur Muhammad memang tidak wujud dalam kitab hadith Musannaf Abdul Razak;

 

*Pada awal tahun 2000, golongan Barelwiyah menghantar manuskrip yang mengandungi hadith Nur Muhammad yang didakwa sebagai halaman Musannaf Abdul Razak yang hilang;

 

*Ramai para ulama hadith dan muhaqiq pada zaman itu seperti Sheikh Adib Al-Kamadani yang tahu bahawa manuskrip ini palsu dan menghalang agar ia diterbitkan; namun Isa Al-Himyari tetap menerbitkannya seolah-olah ia  sahih dan Mahmud Sa'id Mamduh bersubahat dalam penipuannya ini;

 

*Penipuan mereka dibongkarkan oleh Sheikh Muhammad ibn Zayd ibn Umar At-Tuklah dalam kitabnya "Deefa’ ani Nabi wa Sunnatihi Al-Mutaharah wa Kashf Tawatu' Isa Al-Hiymari wa Mahmud Sa’id Mamduh Ala Wadil Hadith”

 

*Kes ini berlaku awal tahun 2000-an; orang yang bergelumang dalam bidang hadith dan terlibat dalam bidang tahqiq kitab sudah lama tahu tentang kejadian ini.

 

Sekian.

 

Wallahualam.

 

Sumber

 

https://www.facebook.com/100034180625185/posts/pfbid0Tdt7UyxeSsr6s9eFYP3Caw7LSeutFn8EQy71H94sV3Zpf8YqQuQrsxYq2Amzvbagl/

No comments:

Post a Comment