Takhrij

Sunday, 26 May 2019

Hukum hadith berpuasa selepas 15 Syaaban



Matan hadith


Larangan berpuasa selepas 15 Sya’aban

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلاَ تَصُومُوا ‏”‏ ‏.‏


Terjemahan

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila telah masuknya separuh Sya’aban, janganlah kalian berpuasa. 


Takhrij

HR. Sunan Abu Daud, Kitab al-Sawm, Bab Fi Karahat adz-Dzalik, dari Abu Hurairah, no: 2337 disahihkan oleh al-Albani.


Hadith ini juga diriwayatkan di dalam:-

Musannaf Abdul Razzaq no.7325

Musannaf Ibn Abi Syaibah no. 9026

Musnad Ahmad no. 9707

Sunan ad-Darimi no. 1781

Sunan at-Tirmizi no. 738

Sunan Ibnu Majah no.  1651

Sunan Kubra an-Nasaie no. 2923

kesemuanya daripada jalan Al-‘Ala’ bin Abdul Rahman daripada ayahnya daripada Abu Hurairah.

Madar (muara sanad) kepada hadith ini ialah Al-‘Ala’ bin Abdul Rahman (العلاء بن عبد الرحمن). Beliau bersendirian dalam meriwayatkan hadith ini daripada ayahnya.


Ulama berbeza pendapat dalam menilai status hadith ini.

Kebanyakan ulama hadis generasi awal (mutaqaddimin) menilai hadis ini sebagai dhaif,
kerana hadith ini bercanggah dengan apa yang diriwayatkan daripada nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda menyambungkan puasa antara Sya’ban dan Ramadhan. [Al-Mughni, 3/6].

Ulama' yang mendhaifkan hadith ini termasuk:-

Yahya bin Ma'in

Abdul Rahman bin Mahdi

Imam Ahmad

Abu Zur’ah al-Razi

Al-Atsram

Imam Muslim

Imam Abu Daud

Imam Baihaqi

Imam an-Nasaie

Al-Shaikh Mustafa al-Adawy

Al-Shaikh Abdul Aziz at-Tharifi


kerana bercanggah dengan hadith yang lebih sahih sebagai contoh:-

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

Janganlah kalian mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari kecuali seseorang yang telah biasa berpuasa, maka dia boleh berpuasa.

(HR. Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Tuqaddimu Ramadhan Bi Saum, dari Abu Hurairah, no. 1082).


Ulama' yang mensahihkan hadith ini termasuk:-

Imam at-Tirmidzi

Ibnu Hibban

Al-Hakim

At-Tahawi

Ibnu ‘Abdil Barr

Shaikh Syu’aib al-Arnauth

Shaikh al-Albani

Ahmad Syakir

Dakwaan berlaku percanggahan dengan hadis-hadis sahih lain tertolak kerana hakikatnya tidak wujud percanggahan. Ini kerana hadis-hadis sahih yang lain menunjukkan puasa pada separuh akhir Sya’ban berserta dengan separuh awal Sya’ban, dan puasa yang sudah biasa dilakukan yang jatuh pada separuh akhir Sya’ban. Adapun hadis Al-‘Ala’ menunjukkan larangan dengan sengaja berpuasa pada separuh akhir Sya’ban, bukan kerana kebiasaan dan bukan kerana menambah puasa yang telah dilakukan pada separuh pertama Sya’ban.

Dakwaan Al-‘Ala tidak mendengar daripada ayahnya adalah dakwaan yang bathil kerana telah tsabit beliau mendengar daripada ayahnya. Dalam Sahih Muslim terdapat riwayat Al-‘Ala’ daripada ayahnya menggunakan lafaz عن. (Tahzib al-Sunan, 3/1040-1044).


Hukum hadith

Jumhur ulama membenarkan berpuasa selepas 15 Sya’ban tanpa makruh (al-Islami wa Adillatuhu, 3/1635).

Dalam mazhab Hanbali pula tidak makruh berpuasa selepas separuh Sya’ban. Ini adalah pendapat mazhab. Adapun sebahagian ulama mazhab Hanbali berpendapat makruh. [Al-Inshaf, 3/246].

Manakala di sisi mazhab Syafie hukumnya haram atau makruh (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, 6/453-454; Fathul Bari, 4/129; al-Mu’tamad, 2/216).

Akan tetapi terdapat pengecualian seperti berikut:-

Tidaklah haram berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua Sya’ban apabila ia bersamaan dengan hari seseorang biasa berpuasa (isnin -khamis), atau apabila dia menyambung puasanya daripada sebelum separuh Sya’ban (Fiqh Al-Manhaji, 2/103-104; Lathaif Al Ma’arif, 244-245).


Rujukan

Fatwa Islamway no. 33664

Irsyad al-Hadith siri ke-73

No comments:

Post a Comment