Wednesday, 2 July 2025

Hadith palsu kisah pertanyaan sahabat berkenaan solat dengan fikiran melayang (tidak khusyuk)

 

 

Kisah tular

 

Pada suatu hari, di dalam majlis Rasulullah ﷺ, seorang sahabat duduk dengan wajah penuh kegelisahan. Matanya tertunduk, jemarinya saling menggenggam, seolah-olah ada sesuatu yang berat di hatinya. Dia menghela nafas, lalu dengan suara perlahan, dia berkata,

 

"Wahai Rasulullah, aku ingin bertanya… tetapi aku khuatir, mungkin pertanyaanku ini akan membuatku semakin malu di hadapan Allah."

 

Rasulullah ﷺ tersenyum lembut, tatapan baginda penuh kasih sayang. "Katakanlah, wahai saudaraku. Tidak ada soalan yang membuat seseorang hina jika dia bertanya untuk mencari kebaikan."

 

Sahabat itu mengangkat wajahnya perlahan, matanya mulai berkaca-kaca. "Wahai Rasulullah, aku merasa solatku sering tidak khusyuk. Kadang-kadang aku teringat urusan dunia, kadang-kadang fikiranku melayang entah ke mana. Aku takut solatku tidak diterima oleh Allah… adakah dengan solat seperti itu, aku tetap mendapat pahala?"

 

Sekejap, suasana menjadi hening. Para sahabat yang lain menunduk, turut merasakan kegelisahan yang sama. Mereka tahu betapa beratnya persoalan itu.

 

Namun, sesuatu yang tidak diduga berlaku. Rasulullah ﷺ tidak segera menjawab. Baginda menatap sahabat itu dalam-dalam, lalu air mata mulai mengalir di pipi baginda. Para sahabat terkejut—jarang mereka melihat Rasulullah ﷺ menangis dalam keadaan seperti ini.

 

Dengan suara yang bergetar, Rasulullah ﷺ berkata, "Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya syaitan tidak akan pernah berhenti berusaha mencuri bahagian dari solat seorang hamba, sehingga dia menjadi lalai. Tetapi ketahuilah… Allah tetap melihat usahamu."

 

Baginda menarik nafas dalam, lalu menyambung, "Wahai saudaraku, jika engkau meninggalkan solat hanya kerana takut tidak khusyuk, maka syaitan akan menang. Tetapi jika engkau tetap berusaha solat walaupun dengan fikiran yang sering terganggu, ketahuilah… setiap kali engkau berusaha kembali kepada Allah dalam solatmu, saat itulah Allah menyambutmu."

 

Air mata sahabat itu mengalir deras. Begitu juga para sahabat lain.

 

Kemudian Rasulullah ﷺ berkata dengan penuh kelembutan, "Bayangkan seorang ibu melihat anaknya berjalan ke arahnya, tetapi anak itu sering jatuh dan tersandung. Adakah ibu itu akan marah? Tidak! Sebaliknya, dia akan berlari menghampiri anaknya, mengangkatnya, dan mendakapnya erat. Begitulah Allah… Dia lebih penyayang daripada seorang ibu kepada anaknya. Selama engkau terus kembali kepada-Nya, Allah akan sentiasa menerimamu."

 

Sahabat itu menangis teresak-esak. Begitu juga para sahabat lain. Betapa Maha Pengasihnya Allah, betapa luas rahmat-Nya.

 

Sejak hari itu, sahabat tersebut tidak lagi berputus asa dalam solatnya. Dia terus berusaha, dan setiap kali fikirannya melayang, dia mengingati kata-kata Rasulullah ﷺ:

 

"Setiap kali engkau berusaha kembali, saat itulah Allah menyambutmu."

 

 

Takhrij

 

Palsu. Tidak ditemui dari mana-mana kitab hadith muktabar sunnah.

 

Yang terdekat adalah kisah Ali ra yang diberikan ganjaran jubah nabi jika berjaya solat khusyuk, dan kisah ini juga palsu, tidak ditemui asal:

 

Cerita bermula ketika Rasulullah SAW sedang duduk di serambi Masjid Nabawi bersama para sahabat sambil menanti waktu solat tiba. Di tengah-tengah perbualan hangat mereka, datang seorang lelaki daripada suku Badui yang ingin bertanya kepada Rasulullah SAW.

 

Lelaki Badui itu bertanya tentang solat yang tidak khusyuk kerana sering bercampur dengan fikiran mengenai urusan dunia. Dia ingin tahu bagaimana cara untuk solat dengan penuh khusyuk.

 

Pertanyaan lelaki Badui ini mungkin mewakili ramai umat Islam lain yang tinggal jauh dari ‘lingkaran’ Rasulullah SAW kerana berada di pedalaman, bukan dari kalangan sahabat Muhajirin mahupun Ansar.

 

Sebelum Rasulullah SAW sempat menjawab, Ali bin Abi Thalib RA yang turut berada di situ terus berkata dengan tegas, "Solat seperti itu tidak akan diterima oleh Allah, dan Allah tidak akan memandang solat yang demikian."

 

Mendengar kata-kata Ali, Rasulullah SAW kemudian bertanya kepadanya untuk menguji kebenaran pernyataan tersebut.

 

"Wahai Ali, apakah engkau mampu mengerjakan solat dua rakaat kerana Allah semata-mata tanpa terganggu oleh sebarang kesusahan, kesibukan, atau bisikan yang melalaikan?"

 

"Aku mampu melakukannya, ya Rasulullah," jawab Ali dengan penuh yakin.

 

Rasulullah SAW sudah mengetahui bahawa para sahabatnya daripada golongan Muhajirin dan Ansar mampu solat dengan khusyuk kerana mereka sering melihat dan mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh baginda sendiri.

 

Namun, baginda ingin memberikan pelajaran berharga kepada lelaki Badui tersebut bahawa Islam bukan hanya untuk sahabat yang dekat dengan Rasulullah SAW, tetapi adalah rahmat bagi seluruh alam.

 

Mendengar keyakinan Ali, Rasulullah SAW pun memberikan sedikit ‘ujian’.

 

Sebelum Ali mengambil wudhu untuk menunaikan solat, Rasulullah SAW tersenyum kepadanya dan berkata, "Wahai Ali, jika engkau mampu melakukannya, aku akan memberikanmu serbanku. Engkau boleh memilih sama ada serban buatan Syam atau Yaman."

 

Diketahui bahawa kedua-dua serban tersebut mempunyai kualiti terbaik.

 

Ali pun bangkit, mengambil wudhu, lalu menunaikan solat dua rakaat seperti yang disanggupinya di hadapan Rasulullah SAW. Semua yang hadir, termasuk lelaki Badui itu, yakin bahawa Ali pasti akan memperoleh hadiah daripada Rasulullah SAW.

 

Setelah Ali selesai solat, Rasulullah SAW bertanya, "Wahai Abul Hasan dan Husain, bagaimana pendapatmu? Adakah engkau dapat mengerjakannya dengan khusyuk dan sempurna?"

 

"Demi kebenaranmu, ya Rasulullah SAW," jawab Ali dengan nada murung.

 

"Sesungguhnya pada rakaat pertama, aku dapat solat dengan penuh khusyuk tanpa sebarang gangguan. Namun, ketika memasuki rakaat kedua, aku tiba-tiba teringat akan janji engkau dan berfikir dalam hati, 'Seandainya Rasulullah SAW memberikan serban Yaman, tentulah lebih baik daripada serban Syam.'"

 

Ali kemudian berkata lagi, "Demi hakmu, ya Rasulullah, tidak ada seorang pun yang dapat mengerjakan solat dua rakaat dengan benar-benar murni kerana Allah semata dan menumpukan ingatannya hanya kepada Allah."

 

Mendengar jawapan Ali, Rasulullah SAW tersenyum dan dengan penuh kelembutan bersabda, "Wahai Abu Thurab (gelaran bagi Ali), sesungguhnya perkara ini juga berlaku kepada orang lain. Khusyuk itu diukur mengikut kemampuan manusia. Yang paling penting, apabila fikiranmu terganggu dengan perkara lain, segera kembalikan fokus kepada solatmu."

 

Rasulullah SAW menambah lagi, "Ketika solat, kita hendaklah beribadah seolah-olah kita dapat melihat Allah dan berbicara dengan-Nya. Namun, jika tidak mampu mencapai tahap itu, sekurang-kurangnya ingatlah bahawa Allah sentiasa melihat kita, dan itu sudah mencukupi."

 

 

Rujukan

 

Fatwa Soaljawab Islam no. 288785

 

Fatwa Syabakah Islamiyah no. 373342

No comments:

Post a Comment

Hadith Keutamaan Menziarahi Orang Sakit

  Matan hadith   قَالَ -صلىّ الله عليه وسلّم-: إِذَا عَادَ الرَّجُلُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ مَشَى فِيْ خِرَافَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَجْلِسَ...