Tajassus, adakah dilarang secara total tanpa ada ruang untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar? |
Islam adalah agama yang datang dari Pencipta yakni Allah Azza wa
Jalla. Ajaran untuk memuliakan manusia, oleh kerana itu, Islam melarang
pengikutnya dari segala perbuatan yang boleh merosakkan hubungan sesama
manusia. Di antaranya adalah tajassus.
Larangan Tajassus
Allâh Azza wa Jalla berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا
مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan syak wasangka,
kerana sebahagian dari syak wasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu
melakukan tajassus (mencari-cari keburukan orang). [Al-Hujurat: 12]
Semakna dengan ayat ini, disebutkan di dalam hadis yang sahih.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى
الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ
أَكْذَبُ الحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا،
وَلاَ تَدَابَرُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Dari Abu Hurairah, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau
bersabda, “Jauhilah syak wasangka, kerana sesungguhnya syak wasangka itu
berita yang paling dusta. Dan janganlah kamu melakukan tahassus, tajassus,
saling hasad, saling membelakangi, dan saling membenci. Jadilah kalian
bersaudara, wahai para hamba Allâh!”. [HR. Al-Bukhâri, no. 6064]
Makna Tajassus Dan Tahassus
Tajassus secara bahasa iaitu mencari-cari berita dan menyelidiki
sesuatu yang rahsia [Lisan al-Arab, 3/147].
Adapun larangan tajassus di dalam ayat di atas dijelaskan oleh para
ulama sebagai berikut:
1. Imam Ibnu Jarir ath-Thabari rahimahullah berkata,
“Janganlah sebagian kamu mencari-cari keburukan orang lain, dan
janganlah menyelidiki rahsia-rahsianya untuk mencari keburukan-keburukannya.
Hendaklah kamu menerima urusannya yang nampak bagi kamu, dengan yang nampak
itu hendaknya kamu memuji atau mencela, bukan dengan rahsia-rahsianya yang
tidak kamu ketahui.” [Tafsir ath-Thabari, 22/304]
2. Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata,
“Para mufassirin (ahli tafsir) mengatakan, tajassus adalah
mencari-cari keburukan dan cela kaum Muslimin. Maka makna ayat di atas adalah
janganlah salah seorang diantara kamu mencari-cari keburukan saudaranya untuk
diketahuinya, padahal Allâh Azza wa Jalla menutupinya”. [Al-Kabair, hlm. 159]
3. Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah berkata,
“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam ‘janganlah kamu melakukan
tajassus, janganlah kamu melakukan tahassus’, ada yang mengatakan bahawa
kedua kata itu memiliki makna yang sama, iaitu: menyelidiki berita-berita. Ada
yang mengatakan: Keduanya berbeza, tahassus iaitu engkau berusaha mendengarnya
sendiri, sedangkan tajassus iaitu engkau menyelidiki berita-berita dari orang
lain. Ada yang mengatakan: tahassus adalah berusaha mendengar perbualan orang
lain, sedangkan tajassus adalah mencari-cari keburukan-keburukan. Dari sini
dan lainnya diketahui, bahawa seseorang tidak boleh mencuri dengar perbualan
dari rumah orang lain, dan tidak boleh mencium atau menyentuh pakaian orang
lain, agar dia mendengar atau mendapatkan bau atau mendapati kemungkaran. Dan
tidak boleh mencari berita dari anak-anak suatu rumah, atau dari jirannya,
untuk mengetahui apa yang terjadi di dalam rumah jiran tersebut. Memang
benar, jika ada seseorang yang jujur memberitakan berkumpulnya orang-orang
yang sedang melakukan maksiat, maka boleh menceroboh mereka dengan tanpa izin,
ini dikatakan oleh al-Ghazali”. [Az-Zawajir ‘an Iqtirâfil Kabâir, 2/268].
4. Dr. Wahbah al-Zuhaili rahimahullah berkata,
Tajassus dari sudut istilah bermaksud: "Mencari
cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia."
[Tafsir al-Munir, 26/247].
5. Imam al-Maraghi rahimahullah berkata,
Tajassus
adalah mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah:
Sebaliknya kamu hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai
dirinya. [Tafsir al-Maraghi, 13/6506].
Berdasarkan
pengertian di atas, ia membawa kepada pemahaman bahawa mencari-cari kesalahan
yang tersembunyi merupakan perbuatan yang dilarang dalam ayat
tersebut. Sebaliknya, jika kesalahan dan keaiban itu jelas kepada kita
maka bolehlah kita mengambil tindakan.
Ini
dijelaskan lagi dengan kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud R.A ketika beliau
dibawakan kepadanya seorang lelaki yang terdapat titisan arak di janggutnya.
Lalu Abdullah berkata: Sesungguhnya kita telah dilarang dari melakukan
tajassus. Akan tetapi, apabila jelas kepada kita sesuatu maka kita mengambil
tindakan terhadapnya [HR Abu Daud, 4890- sahih].
Tajassus Termasuk Dosa Besar
Para Ulama memasukkan perbuatan tajassus ke dalam senarai dosa besar,
sepertimana disenaraikan oleh imam adz-Dzahabi dalam kitab al-Kabâir dan Ibnu
Hajar al-Haitami dalam kitab az-Zawâjir.
Selain larangan keras dalam ayat di atas, demikian pula terdapat
ancaman keras dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Antara lain:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، عَنِ
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: وَمَنِ اسْتَمَعَ إِلَى
حَدِيثِ قَوْمٍ، وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، أَوْ يَفِرُّونَ مِنْهُ، صُبَّ فِي
أُذُنِهِ الآنُكُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Dari Ibnu ‘Abbâs Radhiyallahu anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
sallam, Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa berusaha
mendengarkan perbicaraan orang-orang lain, sedangkan mereka tidak suka
(didengarkan), atau mereka menjauh darinya (berusaha menyembunyikan perbualan
tersebut), maka pada telinganya akan dituangkan cairan tembaga pada hari
kiamat.” [HR. Al-Bukhâri, no. 7042].
Ibnu Hajar al-Haitami berkata,
“Perbuatan tajassus ini dikategorikan sebagai dosa besar adalah jelas
berdasarkan hadis ini, walaupun aku tidak melihat ulama menyebutkannya.
Kerana dituangkan cairan tembaga pada dua telinga pada hari kiamat merupakan
ancaman yang sangat keras. Kemudian aku lihat sebagian ulama menyebutkannya”.
[Az-Zawâjir ‘an Iqtirâfil Kabâir, 2/268].
Bahkan mata orang yang berusaha melihat-lihat rumah orang lain boleh
untuk dicungkil!
Ini menunjukkan bahawa tajassus bukan perkara yang ringan, bahkan
sangat besar dan berat.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ:
قَالَ أَبُو القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ أَنَّ امْرَأً
اطَّلَعَ عَلَيْكَ بِغَيْرِ إِذْنٍ فَخَذَفْتَهُ بِعَصَاةٍ فَفَقَأْتَ عَيْنَهُ،
لَمْ يَكُنْ عَلَيْكَ جُنَاحٌ
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Abu Qâsim
Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Jika seseorang mengintipmu dengan
tanpa izin lalu engkau melemparnya dengan kerikil sehingga engkau mencungkil
matanya, engkau tidak berdosa”. [HR. Al-Bukhâri, no. 6902; Muslim, no. 2158].
Kerosakan Tajassus
Allâh Azza wa Jalla Maha Bijaksana, setiap larangan pasti membawa
kerosakan.
Demikian pula larangan tajassus. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam
sudah menjelaskan akibat buruk tajassus kepada masyarakat sebagaimana
diriwayatkan di dalam hadits berikut:
عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّكَ
إِنِ اتَّبَعْتَ عَوْرَاتِ النَّاسِ أَفْسَدْتَهُمْ، أَوْ كِدْتَ أَنْ
تُفْسِدَهُمْ» فَقَالَ أَبُو الدَّرْدَاءِ: «كَلِمَةٌ سَمِعَهَا مُعَاوِيَةُ
مِنْ رَسُولِ اللَّهِ نَفَعَهُ اللَّهُ تَعَالَى بِهَا
Dari Mu’âwiyah Radhiyallahu anhu, dia berkata” “Aku pernah mendengar
Rasûlullâh n bersabda, “Jika engkau mencar-cari keburukan-keburukan orang,
engkau telah merosakan mereka atau engkau hampir merosakkan mereka.” [HR. Abu
Dawud, no. 4888 - sahih].
Yang harus menjadi perhatian bersama, termasuk yang dilarang iaitu
melakukan tajassus kepada suami atau isteri atau jiran tetangga, atau muslim
lainnya, yang tidak nampak dengan mata dihadapannya akan keburukan yang
dilakukan mereka.
Hukum Tajassus
Dari keterangan di atas jelas baawa tajassus adalah dilarang, bahkan
dosa besar, jika dilakukan terhadap kaum Muslimin.
Namun sebagian ulama juga menjelaskan ada bentuk-bentuk tajassus
(mencari-cari berita) yang tidak haram.
“Tajassus memiliki tiga hukum iaitu haram, wajib dan
dibolehkan [al-Mausû’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/162]
1-
Adapun yang haram
adalah tajassus kepada kaum Muslimin berdasarkan sangkaan semata-mata
tanpa bukti.
Imam
al-Nawawi berkata: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar makruf dan
nahi munkar mencari-cari serta melakukan tajassus dan menceroboh ke
rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu
hendaklah dia mengubahnya [Syarah Sahih Muslim, 2/26].
Imam
al-Ramli (tokoh besar mazhab Syafie) berkata: Tidak boleh bagi seseorang
untuk mencari-cari kesalahan dan melakukan tajassus serta memecah masuk ke
dalam rumah-rumah berdasarkan sangkaan [Nihayah al-Muhtaj, 4/47-49].
Imam
Muhammad Saleh Uthaymeen berkata: Seseorang tidak boleh melakukan intipan
berdasarkan syak wasangka semata-mata kepada orang lain, kerana kita tidak
berhak untuk menilai seseorang berdasarkan apa yang nampak di depan mata
sahaja. Tetapi jika terdapat indikasi yang bersertakan bukti menunjukkan ke
arah kemaksiatan, maka dia boleh melakukan tajassus, menegur malah mencegahnya
dari awal [Fatawa al-Liqa’ al-Shahri, no. 50].
Imam
al-Ghazali berkata: Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah
(pasukan pencegah kemungkaran) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang
menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka
tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini.
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi
di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin
daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia
nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah
tersebut..[Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990].
Dr
Yusof al-Qaradhawi berkata: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun
jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan
menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau
merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera
video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya [Min Fiqh
al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124].
2-
Tajassus
yang wajib, dinukilkan bahawa Ibnul Majasyun rahimahullah berkata,
“Saya berpendapat bahawa para pencuri dan perompak harus dikejar ke
tempat-tempat yang disyak sebagai tempat persembunyian mereka, perlu dibantu
untuk menangkap mereka agar mereka dibunuh atau diusir dari negara. Dan
mengejar mereka tentu dengan tajassus dan mencari-cari (menyelidiki) berita
mereka”.
Apa yang termasuk dalam dosa kategori kedua (melibatkan kepentingan
umum), ia dibenarkan untuk dicegah. Sepertimana dengan perasuah, perompak,
pemecah amanah awam, perogol dan siapa sahaja yang dosanya itu boleh
mengancam pihak lain, maka perlakuannya itu didedahkan dengan tujuan
mengelakkan pihak lain menjadi mangsa dan dizalimi (Dr Mohd Asri Zainul
Abidin, Berita Harian, 6/10/2018).
3- Adapun
tajassus yang dibolehkan adalah ketika terjadi perang
antara kaum Muslimin dengan orang-orang kafir. Maka boleh mengirim mata-mata
untuk mengetahui berita tentang jumlah dan peralatan tentera kafir, di mana
mereka berada, dan semacamnya.
Demikian juga, pihak berkuasa pemerintah boleh
membongkar para pelaku maksiat apabila terdapat bukti yang kukuh apabila
disiasat, kerana memang kaedah kekuasaan adalah amar ma’ruf dan nahi munkar”.
[Al-Mausu’ah ‘Atur
al-Fiqhiyyah alMuyassarah. Kuwait: Dar al-Nafais. Jil 1. hlm 424-425].
Imam al- Ramli berkata: Ya, jika berat
sangkaannya bahawa berlaku maksiat sekalipun dengan qarinah (petunjuk) yang
jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya maka dibolehkan
untuknya melakukan tajassus. Bahkan
wajib ke atasnya untuk melakukan tajassus sekiranya dia khuatir perkara
tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan
perbuatan zina [Nihayah al-Muhtaj, 4/47-49]. Pendapat ini juga dikemukakan
oleh Qadhi Iyadh dalamal-Ahkam al- Sulthaniah (halaman 366).
Imam
al-Ghazali berkata: Maksiat yang sedang berlaku dan pelakunya sedang
melakukannya contohnya memakai sutera, memegang ʿoud (diistilahkan
juga sebagai qanbūs atau gambus) dan arak. Maka menghalang
maksiat ini adalah wajib dengan segala yang termampu selama tidak
membawa kepada maksiat yang lebih keji atau sama dengannya. Dan
ini terpakai kepada mana-mana individu dan rakyat.
Demikian
juga, Imam al-Ghazali menambah: Begitu juga duduk berdua-duaan dengan
wanita ajnabī (al-khalwah
bi al-ajnabiyyah) itu sendiri adalah perbuatan maksiat kerana ia
pada sangkaan, akan terjadi maksiat. Dan mendatangkan sesuatu yang
menimbulkan sangkaan maksiat itu adalah maksiat. Kami maksudkan
dengan ‘sangkaan’ itu adalah sesuatu yang dilakukan insan pada kebiasaan
untuk terjadinya sesuatu maksiat, yang mana dia tidak ada kemampuan
untuk mencegahnya. Maka, hakikatnya itu hisbah (pelaksanaan
amar ma’aruf nahi mungkar) adalah pada maksiat yang sedang
terjadi, tidak berlaku kepada maksiat yang masih dalam jangkaan (boleh
jadi berlaku atau tidak) [Ihya’ Ulum al-Din,2/382-384].
Dr
Mustafa Bugha dan Muhyiddin Mitsu berkata: Sekiranya mungkar yang kuat
sangkanya cuba disembunyikan adalah melibatkan pencerobohan terhadap
kehormatan yang mungkin terlepas daripada dihalang disebabkan sikap lengah
dan masa yang telah berlalu seperti perbuatan zina dan pembunuhan, maka dia
boleh mengintip dalam perkara-perkara mungkar seumpama ini pada tempat-tempat
yang menimbulkan syak dan sangka agar kuman-kuman keji tidak menjadi cergas
dalam lubuk kekejian dan dosa [al-Wafi fi Syarh al-Arba‟in alNawawiyyah,
halaman 262].
Kesimpulan
dan cadangan
Dalam memahami tajassus dalam isu amar ma’aruf nahi mungkar ini,
penguasa mestilah membezakan antara dosa peribadi dan dosa yang boleh
melibatkan kepentingan umum.
Ada dua jenis dosa yang dilakukan manusia.
Yang pertama; dosa antara dirinya dengan Allah. Mudarat dosa itu
terkena kepada dirinya sendiri. Contohnya zina, minum arak, berjudi dan
seumpamanya. Dalam kata lain, ia dosa ataupun aib peribadi antara hamba
dengan Tuhannya. Ini tidak dibenarkan melakukan tajassus.
Diriwayatkan daripada Abd al-Rahman Bin Auf katanya:
حَرَسْتُ لَيلَةً مَعَ عُمَرَ بنُ الخَطَّابِ
بالمَدِينَةِ إِذ تَبَيَّن لَنَا سِرَاجٌ فِي بَيتِ بَابِهِ مُجافَى عَلَى قَومٍ
لهُم أَصْوَاتٌ مُرتَفِعَةٌ ولَغَط. فَقَالَ عُمَرُ: هَذَا بَيت رَبِيعَة بنُ
أُمَيَّة بنُ خَلَف وَهُم الآَن شَرَب فَمَا تَرَى، قُلتُ: أَرَى أَنَّا قَدْ
أَتَينَا مَا نَهَى اللهُ عَنهُ وَلَا تَجَسَّسُوا وَقَد تَجَسَّسْنَا،
فَانْصَرَفَ عُمَرُ وَتَرَكَهُم
Maksudnya: “Aku pernah satu malam bersama Umar bin al-Khattab membuat
rondaan di kota Madinah kemudian kami dapati sebuah rumah adanya pelita yang
dipasang dan terdapat satu pintu yang sedikit jauh daripada orang lain.
Terdapat padanya beberapa orang yang suaranya kuat dan bising. Maka Umar
berkata: “Ini rumah Rabiah Bin Umayyah Bin Khalaf, mereka sekarang minum
arak, apa pendapatmu: “jawabku: Aku berpendapat sebenarnya kita telah datang
apa yang Allah larang daripadanya iaitu jangan mengintip sedangkan kita
mengintip, lantas Umar berpaling dan meninggalkan mereka.”
Riwayat al-Tabarani 1806, al-Hakim 4/419, dan al-Baihaqi 18080.
Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih sanadnya dan tidak dikeluarkan oleh
Syaikhan. Imam al-Zahabi bersetuju dengan kesahihan hadis ini.
Dosa peribadi hendaklah disembunyikan dan tidak diuar-uarkan. Jika
kita lihat dalam hadis Rasulullah, baginda cuba menyembunyikan dosa peribadi
antara seseorang itu dengan Allah. Larangan menceritakan kemaksiatan diri
ini, dinyatakan banyak sekali dalam teks hadis (HR Muslim, 1695; Sunan
Nasaie, 7125; Muwattha, 1508), dan diantaranya adalah:-
Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada
Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku berasmara dengan seorang wanita di hujung
bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya.
Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu." Lalu Umar
al-Khattab berkata kepadanya: "Allah telah tutupi keaibanmu (alangkah
baik) jika engkau menutupi (keaiban) dirimu". Rasulullah tidak berkata
apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi."Rasulullah menyuruh seorang
lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya), 'Dan
dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada
waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu
menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi
peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat'. (Surah Hud ayat 114). Maka
ada seorang bertanya: "Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?
Jawab Rasulullah: Bahkan untuk manusia keseluruhannya” [HR Muslim, no. 4964].
Hadis ini menunjukkan seseorang itu tidak disuruh mengakui dosa
peribadinya sekalipun di hadapan Rasulullah, apatah lagi mendedahkannya di
hadapan orang lain. Dan ini juga ditegaskan oleh Imam Syafie seperti
dinaqalkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqhalani dalam Faatul Baari, 12/124. Menutup
keaiban itulah yang disuruh, bukan mencari keaiban peribadi orang lain untuk
didedahkan [drmaza, 2011, 1379].
Aib seseorang muslim hendaklah ditutup sepertimana disabda oleh Nabi
SAW:
Daripada
Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda:
ومَن
ستَرَ مسلمًا ستَرَه اللهُ يومَ القيامةِ
Maksudnya:
Dan barangsiapa menutup keaiban seorang Muslim, Allah akan menutup keaibannya
di hari akhirat [HR Bukhari, no.2442].
Yang kedua; dosa antara dirinya dengan Allah namun pada masa sama
mendatangkan bahaya ataupun mudarat kepada pihak lain. Contohnya rasuah,
menyebarkan hadis palsu, merompak, mencuri, mengedar dadah, merogol, pecah
amanah dan seumpamanya. Dosa ini bukan sahaja antara hamba dengan Allah,
tetapi ia boleh mengancam pihak lain. Maka dalam kes seperti ini tajassus
adalah dibolehkan [Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Berita
Harian, 6/10/2018].
Sesungguhnya atsar Umar al-Khattab di atas jelas menunjukkan kepada
kita bagaimana kaedah dan sifat sebenar pemimpin yang mengikuti sunnah. Dan
ini menunjukkan prihatin dan cakna pemerintah kepada rakyat tentang isu-isu
dosa dan maksiat. Justeru, amar makruf dan nahi mungkar adalah digalakkan
tetapi ditegah melakukan tajassus kecuali dalam beberapa keadaan yang
dibenarkan syariat. Ini bertujuan memelihara hak masing-masing yang perlu
dihormati.
Antara hak tersebut ialah:
Dr. Yusof al-Qaradhawi berkata:
Dikaitkan kewajipan mengubah itu
dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang
kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman
kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak
menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari
kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia
melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman
ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan
tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan
dalam hadis sahih: (bermaksud):” Setiap umatku diberikan keampunan kecuali
orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (HR Bukhari, 5608). Justeru, tiada
seorang pun mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan hukuman
terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya
maksiat hati seperti riak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan
lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak
dibantah selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita
diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Adapun hal-hal
yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah.
[Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar
al-Syuruq].
Begitu juga kadangkala pengintip menghalalkan cara yang haram
bertujuan sampai kepada matlamat, perkara seperti ini juga perlu diambil
kira.
Pihak yang berkuasa hendaklah menggariskan kaedah dan peraturan yang
diperhaluskan dari semua sudut dan faktor, untuk mengelak daripada melakukan
tajassus yang diharamkan.
Antaranya adalah [Bayan Linnas, siri 42; drmaza, 2011, no. 1415]:-
a) Serbuan
bukan dilakukan semata-mata kerana sangkaan
b) Serbuan
hendaklah dilakukan berdasarkan maklumat yang sahih dan diyakini
kebenarannya, serta disampaikan oleh orang yang bukan fasiq. Jika orang yang
fasiq melaporkannya hendaklah proses tabayyun (selidik) dilakukan.
c) Hendaklah
meminta izin dan kebenaran masuk tanpa menceroboh dan memecahkan pintu serta
lain-lain.
Ini
berdasarkan firman Allah S.W.T:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا
غَيۡرَ بُيُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَاۚ
ذَٰلِكُمۡ خَيۡر لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُون
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman janganlah kalian memasuki rumah-rumah selain
rumah kalian sehinggalah kalian meminta izin dan memberi salam kepada ahli
rumahnya. Yang demikian itu lebih baik untuk kalian mudah-mudahan kalian
mendapat peringatan. (Surah Al-Nuur : 27).
d) Intipan
hanyalah dilakukan oleh pegawai hisbah bukan orang awam.
e) Pegawai yang
dihantar itu terlatih dan memiliki ilmu pengetahuan dan akhlak yang benar
berkenaan tugasan tersebut.
f) Jika serbuan
dibuat dilarang melakukan rakaman atau memanggil media dan menyebarkan di
berita.
Allah berfirman:
Sesungguhnya
orang-orang yang ingin, suka agar tersiar (berita) perbuatan keji di kalangan
orang-orang yang Beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di
akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui. (An-Nur,
19)
Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w:
“Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman
tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan
kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum
muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari
keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya (HR Abu Daud, no. 4880 - hasan).
g) Hendaklah
serbuan itu dilakukan selepas mempunyai tanda-tanda yang jelas atau bukti yang
mencukupi.
Ini
berdasarkan atsar daripada Ibn Mas’ud yang mengatakan:
إِن يَظْهَر لَنَا شَيء نَأخُذ بِهِ
Maksudnya: Sekiranya
telah jelas kepada kita sesuatu, maka kita mengambil tindakan terhadapnya [HR Abu
Daud, no. 4890-Isnadnya sahih].
Sebahagian
pihak mengkritik beberapa tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa semasa
melakukan operasi serbuan. Seperti perbuatan menceroboh masuk tanpa izin dan
bersikap kasar, menceroboh masuk ke dalam bilik pasangan yang sudah
berkahwin, serta beberapa kes lain. Teguran-teguran sebegini tidak dinafikan
dalam usaha memastikan operasi pencegahan maksiat tidak menjadi fitnah
terhadap agama Islam.
_________________________________________________________________________
Rujukan
1.
http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1823-bayan-linnas-siri-41-g25- dan- isu-khalwat
4.
Norita, K.
(2015). Konsep penyiasatan dalam Islam. Jurnal Pengajian Islam, 8 (2), 98-123
|
Thursday, 18 October 2018
Subscribe to:
Posts (Atom)
Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as
Matan kisah Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...
-
Hadith tular Malaikat menyentuh pipi wanita lalu bertanya kepada Allah S.W.T . "Ya Allah , kenapa pipi perempuan kelihatan ranu...
-
Teks Sayyidah Fatimah pernah mengadu kepada Rasulullah ﷺ bahwa dia ingin seperti wanita-wanita lain berhias dengan barang emas. ...
-
Matan Hadith عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ " قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! لَيْسَ الشَّهِيدُ إِلَّا مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ ...