Takhrij

Sunday, 26 May 2019

Hadith awal Ramadhan itu rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka


Matan Hadith


Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Permulaan bulan Ramadhan membawa kerahmatan, pertengahannya keampunan dan kesudahannya pelepasan dari api neraka”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, no. Hadith 2815]

Hadith ini diriwayatkan oleh sahabat Nabi yang masyhur iaitu Salman al-Farisi dan Abu Hurairah. Tetapi kedua-dua jalan adalah lemah, tidak mampu saling menguatkan untuk dinaik taraf kepada hasan lighairih


Hukum Hadith

Ibn Adiy: Padanya (sanad) terdapat Maslamah bin al-Salt dan dia tidak diketahui. [Lihat: al-Kamil fi Dhu’afa’, 4/325]

Al-Khatib al-Baghdadi: Padanya (sanad) terdapat Salam bin Sulaiman dan dia seorang yang dhaif dalam hadith. [Lihat: Awham al-Jama’ wa al-Tafriq, 2/147]

Al-‘Uqailiy: Tiada asal baginya dan ia daripada al-Zuhri. [Lihat: al-Dhu’afa’ al-Kabir, 2/162]

Al-Hafiz Ibn Hajar: : Padanya (sanad) terdapat Maslamah bin al-Salt. Telah berkata Ibn ‘Adiy bahawa dia (Maslamah) tidak diketahui. [Lihat: Mizan al-I’tidal, 8/59]

Al-Albani: Hadith ini adalah Dhaif Jiddan (teramat lemah) [Lihat: Dhaif al-Jami’, 1/135] dan di dalam silsilahnya beliau menghukum hadith ini sebagai Munkar. [Lihat: Silsilah al-Dha’ifah, 2/263]

Ibnu Khuzaimah mengatakan mengindikasikan hadith ini lemah dengan perkataan إن صح الخبر (Jika sahih khabar ini). [Az-Zawajir, Ibn Hajar Al-haithami, 1/384]



Tarjih

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah teramat lemah.

Ini kerana, seluruh bulan Ramadhan kesemuanya adalah rahmat, pengampunan dan pembebasan dari api neraka.

Salah satu dalil yang menunjukkan hal ini adalah:

من صام رمضان إيمانا واحتسابا ، غفر له ما تقدم من ذنبه
“Orang yang puasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari no.38, Muslim, no.760)

Dalam hadis ini, disebutkan bahawa keampunan Allah tidak dibatasi hanya pada pertengahan Ramadhan saja. Lebih jelas lagi pada hadis yang diriwayatkan oleh At Tirmizi, Rasulullah bersabda:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ، فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

“Pada awal malam bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan jin-jin jahat dibelenggu, pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Pintu syurga dibuka, tidak ada satu pintu pun yang ditutup. Kemudian ada penyeru yang menyeru: ‘Wahai penggemar kebaikan, ambillah sebanyak mungkin, wahai penggemar keburukan, tahanlah dirimu’. Allah SWT memberikan pembebasan dari neraka bagi hamba-Nya. Dan itu terjadi setiap malam” (HR. At Tirmidzi no. 682, disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih At Tirmizi)

Rujukan:

Irsyad al-Hadith siri ke-82, Mufti Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment