Takhrij

Sunday, 26 May 2019

Hadith doa Jibril menjelang Ramadhan


Benarkah doa Jibril AS menjelang Ramadhan dengan lafaz ini ?



“Ya Allah, abaikan puasa umat Muhammad jika sebelum masuk Ramadhan dia tidak melakukan tiga hal ini:

Tidak minta maaf kepada kedua orang tuanya.
Tidak bermaafan dengan sahabat-sahabatnya.
Tidak bermaafan dengan orang sekitarnya.

Maka Rasulullah SAW mengaminkan sebanyak tiga kali (untuk tiga hal ini)”


Ulasan Berkaitan Persoalan Di Atas

Bagi menjawab persoalan di atas, hadith di atas sudah tersebar dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Untuk itu, kami nyatakan di sini bahawa:-

 hukum hadith tersebut adalah PALSU (MAUDHU') dan direka oleh sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab dan kita tidak boleh sesekali menyebarkannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. 

Ia tidak ditemukan dalam kitab-kitab hadith.

Bahkan, seperti baru muncul di era internet ini. Jadi, berhati-hatilah sebelum menyebarkan kepada teman-teman anda di media sosial.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat 3 buah hadith yang hampir serupa seperti di atas bertaraf hasan dan sahih yang lebih utama untuk diamalkan.



Di sini dinyatakan tiga riwayat hadith yang berkaitan;

1-         Hadith Jabir bin ‘Abdullah RA:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، " أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَرَ ، فَلَمَّا رَقَى الدَّرَجَةَ الأُولَى ، قَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّالِثَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، سَمِعْنَاكَ تَقُولُ : آمِينَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ؟ قَالَ : لَمَّا رَقِيتُ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ".

-أخرجه البخاري في الأدب المفرد , باب منذكر عنده النبي (ص) فلم يصل عليه, رقم حديث 644 وقال السخاوي: هو حديث حسن. والطبراني في تهذيب الأثار, باب مسند طلحة بن عبيد الله, رقم حديث 356. والدارقطني في الأفراد كما في التهذيب التهذيب (7/195) وإبن شاهين في فضائل شهر رمضان (9) والبيهقي في الشعب (3350) وإبن عساكر في فضائل شهر رمضان (6) وغيرهم.


Terjemahan:

Daripada Jabir bin ‘Abdullah RA, bahawa Nabi SAW menaiki mimbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut: “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut: “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut: “Amin”. Para sahabat bertanya: “Ya Rasullullah, kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali”. Baginda menjawab: “Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: “Celakalah seseorang hamba yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin.” Kemudian Jibril berkata: “Celakalah seseorang hamba yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkan nya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin.” Kemudian Jibril berkata: “Celakalah seseorang hamba yang nama engkau (iaitu nama Rasullullah SAW) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.”


Takhrij

HR. al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad,  no. 644, dihasankan oleh al-Albani; al-Tabrani dalam al-Tahzib al-Athar, no. 356; al-Daruqutni dalam al-Afrad (7/195); al-Baihaqi dalam al-Syu‘abul Iman, no. 3350; Ibn Syahin dalam Fadhail Syahru Ramadhan, no. 9; Ibn ‘Asyakir dalam Fadhail Syahru Ramadhan, no. 6

2-       Hadith riwayat Abu Hurairah RA:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ  :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ.

-أخرجه الترمذي في سننه, كتاب الدعوات, باب قول رسول الله (ص) رغم أنف رجل..., رقم حديث 3545 , عن أبي هريرة رضي الله عنه, وقال أبو عيسى : هذا حديث حسن غريب من هذا الوجه وأحمد في مسنده (2/254) رقم حديث 7139, وإبن حبان في صحيحه (908) والحاكم في المستدرك (1/549)  حديث رقم 7256, والبيهقي في الدعوات (152) وغيرهم.


Terjemahan

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Celakalah seseorang apabila namaku disebut-sebut di hadapannya dan dia tidak mengucapkan selawat kepadaku. Dan celakalah seseorang, apabila Bulan Ramadhan menemuinya kemudian berlalu pergi sebelum dia mendapatkan keampunan, dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak dapat memasukkannya ke dalam Syurga (kerana kebaktiannya)."



Takhrij

HR. at-Tirmizi, no. 3545 beliau berkata hadith ini hasan gharib dan al-Albani menilainya hasan sahih, Ahmad, no. 7139; Ibn Hibban dalam sahihnya, no. 908; al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 7256; al-Baihaqi dalam al-Da‘waat, no. 152.


3-       Hadith riwayat Ka’ab bin ‘Ujrah RA:


عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآَلِهِ وَسَلَّمَ : " احْضَرُوا الْمِنْبَرَ " ، فَحَضَرْنَا ، فَلَمَّا ارْتَقَى دَرَجَةً ، قَالَ : " آمِينَ " ، فَلَمَّا ارْتَقَى الدَّرَجَةَ الثَّانِيَةَ ، قَالَ : " آمِينَ " ، فَلَمَّا ارْتَقَى الدَّرَجَةَ الثَّالِثَةَ ، قَالَ : " آمِينَ " ، فَلَمَّا نَزَلَ ، قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، لَقَدْ سَمِعْنَا مِنْكَ الْيَوْمَ شَيْئًا مَا كُنَّا نَسْمَعُهُ ، قَالَ : " إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ الصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَرَضَ لِي ، فَقَالَ : بُعْدًا لِمَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَلَمْ يَغْفَرْ لَهُ ، قُلْتُ : آمِينَ ، فَلَمَّا رَقِيتُ الثَّانِيَةَ ، قَالَ : بُعْدًا لِمَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، قُلْتُ : آمِينَ ، فَلَمَّا رَقِيتُ الثَّالِثَةَ ، قَالَ : بُعْدًا لِمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ عِنْدَهُ أَوْ أَحَدُهُمَا ، فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، قُلْتُ : آمِينَ " . هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحُ الإِسْنَادِ ، وَلَمْ يُخَرِّجَاهُ .

-أخرجه الحاكم في المستدرك, كتاب البر والصلة, باب سعيد إبن أبي مريم (4/134-135), حديث رقم 7321, وقال الذهبي هذا حديث صحيح الإسناد ، ولم يخرجاه, والطبراني في الكبير (19/144( والبيهقي في الشعب (1471) والبخاري في الكبير (4/1/220) وغيرهم.


Terjemahan

Daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar”. Maka kami pun berhimpun. Lalu baginda menaiki anak tangga mimbar dan berkata: “Amin.” Ketika naik ke anak tangga kedua, baginda berkata lagi: “Amin.” Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, baginda berkata lagi: “Amin.” Dan ketika baginda turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu daripada tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail A.S telah membisikkan (doa) kepadaku dengan berkata: “Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni.” Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: “Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan selawat ke atasmu.” Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: “Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya (telah tua), namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga (dengan berbakti kepadanya).” Lalu aku pun mengaminkannya.


Takhrij

HR. al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 7321 beliau mensahihkan hadith ini; al-Tabrani dalam al-Kabir (19/144); al-Baihaqi dalam al-Syu‘abul Iman, no.1471; al-Bukhari dalam al-Kabir (4/1/220).

Memadailah dengan tiga hadith yang diutarakan di atas yang cukup jelas untuk disebarkan kepada masyarakat. Adalah kewajipan kita untuk memelihara hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan yang disandarkan kepada Baginda SAW.


Berdasarkan hadith ini juga, tiga hal yang disebut di dalam hadith yang sahih ini adalah:

1) Orang yang bertemu bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

2) Orang yang tidak berlaku baik kepada kedua orang tuanya sehingga dia meninggal.

3) Orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW apabila disebut kepadanya.


Rujukan:

Irsyad al-hadith siri ke-80, Pejabat mufti wilayah persekutuan.

Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith, Portal Hadith Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 30 April 2019.

No comments:

Post a Comment