Friday, 18 December 2020

Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina

 Matan hadith

 

اُطْلُبُوْا العِلْمَ وَلَوْ في الصِّينِ

 

 

Terjemahan

 

Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China

 

Takhrij

 

HR. al-Uqaili dalam ad-Dhuafa’ 2/230, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil fi Dhuafa’ 4/118,  Abu Nu’aim al-Ashbahani dalam Tarikh Ashbahan 2/106, al-Baihaqi dalam al-Madkhal ila Sunan al-Kubra 1/244 dan Syu’abul Iman no. 1612,  al-Khathib al-Bagdadi dalam Tarikh Baghdad 9/363, Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’u Bayanil ‘Ilmi wa Fadhlih 1/14-15, Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at 1/215. Sanad mereka semua dari jalur Abu ‘Atikah Tharif bin Sulaiman, dari Anas bin Malik ra, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

 

Hadith ini berstatus sangat lemah bahkan palsu. Di dalamnya terdapat perawi bernama Abu  ‘Atikah Tharif bin Sulaiman. Imam al-Bukhari dan Abu Hatim ar-Razi menilai hadith riwayatnya sangat lemah (Tahdzibut Tahdzib 12/158).

 

Imam al-‘Uqaili berkata, “Dia (Abu  ‘Atikah Tharif bin Sulaiman) ditinggalkan hadithnya.

 

Imam Ibnu Hibban berkata dalam al-Majruhin 1/382, hadithnya Abu ‘Atikah sangat mungkar. Ibnu Jauzi dalam al-Maudhuat 1/216 membawakan penilaian palsu dan tidak ada asal usulnya hadith ini oleh Ibnu Hibban.

 

Imam al-Bazzar menilai hadith ini tidak ada asalnya dalam Musnad al-Bazzar 1/175.

 

Demikian pula para Imam lainnya menghukumi hadith ini sebagai hadith palsu atau sangat lemah, seperti al-Uqali, Ibnu Adi, al-Baihaqi, as-Sakhawi (Maqasid Hasanah hal. 121) , asy-Syaukani (Fawaid al-Majmuah hal. 272) dan Syeikh al-Alban (Silsilah Hadith Dhaif no. 416).

 

Jalur periwayatan lain

 

Hadith yang semakna juga diriwayatkan dari jalur lain dari Anas bin Malik ra. Dikeluarkan oleh Imam Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’u Bayânil ‘Ilmi wa Fadhlih 1/21. Tapi hadith ini juga palsu, kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim al-‘Asqalani, az-Zahabi berkata dalam Mizanul I’tidal 4/449, Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim al-‘Asqalani adalah pendusta.

 

Juga diriwayatkan dari sahabat lain, Abu Hurairah ra, dikeluarkan oleh Ibnu Adi dalam al-Kamil fi Dhuafa’ 4/177. Hadith ini juga palsu, kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Ahmad bin Abdillah al-Juwaibari. An-Nasaie dan ad-Daraquthni berkata tentangnya, dia adalah seorang pendusta (Lisanul Mizan 1/193). Ibnu Adi berkata dalam al-Kamil fi Dhuafa’ 1/177 dia adalah seorang pemalsu hadith dan menilai hadith ini dengan sanad ini adalah batil.

 

Kesimpulan

 

Hadith ini adalah hadith palsu atau paling ringan pun adalah dhaif jiddan (sangat lemah) dari semua jalur periwayatannya. Imam al-Baihaqi  berkata dalam Syuabul Iman 4/174, hadith  ini diriwayatkan dari berbagai jalur dan semuanya lemah. Dan begitu juga pendapat Syeikh al-Albani ra. dalam Silsilah Hadith Dhaif 1/604, menyatakan bahawa hadith ini palsu dan batil dari semua jalur periwayatannya

No comments:

Post a Comment

Hadith Keutamaan Menziarahi Orang Sakit

  Matan hadith   قَالَ -صلىّ الله عليه وسلّم-: إِذَا عَادَ الرَّجُلُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ مَشَى فِيْ خِرَافَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَجْلِسَ...