Matan hadith
وَمِنْه صَلَاة رَكْعَتَيْنِ للأنس فِي الْقَبْر رُوِيَ عَن النَّبِي صلى
الله عَلَيْهِ وَسلم أَنه قَالَ لَا يَأْتِي على الْمَيِّت أَشد من اللَّيْلَة
الأولى فارحموا بِالصَّدَقَةِ من يَمُوت فَمن لم يجد فَليصل رَكْعَتَيْنِ يقْرَأ
فيهمَا أَي فِي كل رَكْعَة مِنْهُمَا فَاتِحَة الْكتاب مرّة وَآيَة الْكُرْسِيّ
مرّة و التكاثر مرّة والْإِخْلَاص عشر مَرَّات وَيَقُول بعد السَّلَام
Terjemahan
Di antaranya (solat sunat) iaitu
solat dua rakaat untuk manusia yang telah meninggal dunia. Diriwayatkan
daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW pernah bersabda: “Pada malam pertama mayat
itu dikebumikan maka keadaan mayat akan berada di dalam keluh kesah . Oleh itu,
kasihanilah kamu dengan mengurangkan keluh kesah mayat itu dengan bersedekah.
Jika tidak mampu bersedekah, maka solatlah dua rakaat dan bacalah pada setiap
rakaat satu kali surah al-Fatihah, satu kali surah al-Takathur, satu kali ayat
kursi dan 10 kali surah al-Ikhlas lalu hendaklah dia berdoa sesudah memberi salam
dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي صليت هَذِه الصَّلَاة وَتعلم مَا أُرِيد اللَّهُمَّ
ابْعَثْ ثَوَابهَا إِلَى قبر فلَان ابْن فلَان فيبعث الله من سَاعَته إِلَى قَبره
ألف ملك مَعَ كل ملك نور وهدية يؤنسونه إِلَى يَوْم ينْفخ فِي الصُّور
“Ya Allah! Sesungguhnya aku telah
melakukan solat ini, sedang Engkau Maha Mengetahui apa yang aku maksudkan. Ya
Allah! Kirimkanlah pahalanya ke kubur si Fulan bin Fulan, nescaya Allah SWT
mengirimkannya pada saat itu juga seribu malaikat ke kuburnya bersama tiap-tiap
malaikat itu adanya pada mereka cahaya dan hadiah serta mereka juga turut
berbaik-baik dengan mereka sehingga ditiup akan sangkakala.”
Takhrij
HR. Abu Hasan Ali bin Ahmad bin
Yusuf bin Ja’far al-Hakkari dalam Hadiyyah al-Ahya’ al-Amwat wa ma Yasilu
Ilaihim, 1/185.
Imam al-Zahabi di dalam kitabnya
Siyar A’lam An-Nubala’ pernah berkata bahawa Sheikh al-Hakkari merupakan
seorang ahli sufi yang zuhud. Namun begitu, menurut Ibn Asakir, beliau
berpendapat bahawa Sheikh al-Hakkari ini tidak tsiqah dalam meriwayatkan hadith.
(Siyar A’lam An-Nubala’, 19/68).
Bahkan, matan hadith ini tidak
dijumpai di dalam kitab-kitab hadith muktabar yang lain.
Hadith ini juga dinukilkan dalam
kitab Melayu oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani dalam Nihayah
al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in 1/107 dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari
dalam Kitab Perukunan Besar hal. 21.
Hadith ini tidak ditemukan asal .
Rujukan
Irsyad al-Hadith no. 462
Fatwa Syabakah Islamiyah no.
111303
No comments:
Post a Comment