Thursday, 11 February 2021

Maksud hadith tiada asal

 

 

1. Perkataan "tiada asal" atau "tidak terdapat asal", menurut Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah mempunyai beberapa makna. Dalam pendahuluan tahkik kitab al Masnu' oleh Imam Mulla Ali Qari, beliau menyimpulkan makna perkataan tersebut digunakan untuk 4 makna berikut:

 

1) Tiada sanad

2) Palsu

3) Kandungan hadis yang janggal berbanding keseluruhan nas syariah, samada al Quran, hadis sahih atau dhaif

4) Kandungan hadis yang tidak terdapat dalam al Quran atau hadis yang sahih.

 

2. Terdapat makna lain untuk perkataan tersebut. Antaranya ialah hadis itu lemah, sanadnya salah atau syaz, mungkar dll. Secara umumnya, perkataan tersebut menunjukkan hadis tersebut bermasalah. Sudut apa yang dipertikaikan boleh diketahui oleh pakar bidang hadis. Menurut Sheikh Abdul Fattah, perbezaan antara makna dan maksud perkataan tersebut boleh diketahui dengan petunjuk dan tanda dalam konteks ia diucapkan.

 

3. Imam Abu Hatim pernah mengeluarkan kenyataan, hadis ini batil tiada asal kepada hadis ' sesungguhnya amalan itu dengan niat ', sedangkan hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim. Jika disemak kenyataannya, beliau merujuk kepada sanad tertentu hadis tersebut yang mungkin beliau menganggapnya sebagai kesilapan atau tidak terpelihara.

 

4. Situasi sebegini normal di kalangan ulama terutama ulama terdahulu seperti penggunaan kalimah mungkar, mursal, tidak sahih dll. Ia bukan digunakan atas dasar istilah khas yang mempunyai satu makna sahaja. Justeru, pengamatan mendalam dan bertenang ketika membaca perkataan ulama sangat diperlukan.

 

5. Walaupun perkataan tersebut digunakan dengan pelbagai makna di kalangan ulama terdahulu, pemerhatian sepintas lalu menunjukkan ia pada zaman moden ini digunakan kepada hadis yang tidak dijumpai sanadnya. Pengkaji hadis masa kini tidak menggunakan untuk makna lain. Kecuali apabila menukilkan penyataan ulama terdahulu. Ketika itu, terdapat pengkaji moden merujuk kepada tiada sanad, palsu dll.

 

6. Bolehkah hadis tiada asal yang bermaksud tiada ditemui sanad dan sumber yang dirujuk, dianggap dan dinilai palsu? Jawapan: boleh dianggap demikian. Kata ibnu Iraq ketika menjelaskan tanda hadis palsu:

 

وَمِنْهَا مَا ذكره الإِمَام فَخر الدَّين الرَّازِيّ أَن يروي الْخَبَر فِي زمن قد استقرئت فِيهِ الْأَخْبَار ودونت فيفتش عَنهُ فَلَا يُوجد فِي صُدُور الرِّجَال وَلَا فِي بطُون الْكتب ... فاستفدنا من هَذَا أَن الْحفاظ الَّذين ذكرهم وأضرابهم إِذا قَالَ أحدهم فِي حَدِيث لَا أعرفهُ أَو لَا أصل لَهُ كفى ذَلِك فِي الحكم عَلَيْهِ بِالْوَضْعِ

 

[ابن عراق، تنزيه الشريعة المرفوعة عن الأخبار الشنيعة الموضوعة، ٨/١]

 

7. Terdapat ulama yang mengambil sikap bersangka baik terhadap hadis yang dinukilkan oleh ulama besar tetapi tidak dijumpai sanadnya dan sumber asal, seperti imam Sayuti terhadap hadis perbezaan umatku adalah rahmat. Namun situasi ini sangat jarang berlaku dan tidak dipersetujui oleh ulama lain.

 

8. Pendirian Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, hadis yang tidak dijumpai sanadnya adalah tidak bernilai dan tidak boleh berpegang dengannya.

 

9. Pendapat peribadi, hadis sebegini jika pencarian yang tidak ditemui sumbernya dilakukan oleh sekadar penuntut ilmu, ustaz, ilmuan biasa dan setarafnya, elok sekadar disebut tidak dijumpai setakat pencariannya. Ini meraikan keterbatasan kudrat dan ilmunya dalam bidang ini. Namun ia sudah cukup untuk orang awam menghindari dari berpegang dan menyebarkan hadis sebegini. Selagi tidak dibuktikan sebalik.

 

Namun jika terdapat yang berani terkedepan dan menilai hadis yang tidak ditemuinya sebagai palsu, ia bukan tindakan yang mungkar dan salah. Terutama pada zaman hadis Nabi telah dibukukan, mudah dicapai dan pencarian menyeluruh boleh dilaksanakan. Kecuali apabila dapatan dibuktikan sebaliknya.

 

Wallahualam.

Sumber:

Dr. Muslim Mustafa dalam telegram MSO-D1 hadith,3/2/2021

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...