Matan hadith
إِنَّ لِمَهْدِينَا آيَتَيْنِ لَمْ تَكُونَا مُنْذُ خَلْقِ السَّمَوَاتِ
وَالأَرْضِ تَنْكَسِفُ الْقَمَرُ لأَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَتَنْكَسِفُ الشَّمْسُ
فِى النِّصْفِ مِنْهُ وَلَمْ تَكُونَا مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ
وَالأَرْضَ.
Terjemahan
Sesungguhnya, Al-Mahdi yang kita
nantikan itu memiliki dua mukjizat yang belum pernah terjadi semenjak Allah
menciptakan langit dan bumi, (yakni) bulan mengalami gerhana pada malam pertama
(awal) bulan Ramadan, sedangkan matahari mengalami gerhana pada pertengahan
bulan itu, dan kedua hal itu belum pernah terjadi sejak Allah menciptakan
langit dan bumi.
Takhrij
AR. ad-Daraquthni 2/65, daripada Muhammad
ibn ‘Ali ra.
Dalam kajian hadith, para ulama
mendapati rantaian sanad hadith tersebut tidak sampai kepada Rasulullah SAW. Ia
hanya berhenti pada Muhammad bin Ali yang merupakan cucu Rasulullah SAW. Di
dalam istilah Ulum Hadith ini dinamakan hadith munqati’ atau terputus. Ini
kerana sandaran hadith ini tidak sampai terus kepada Rasulullah SAW.
Maka pada pandangan sebahagian
besar ulama, hadith yang kedudukannya begini tidak boleh dijadikan sandaran
pada hukum fiqh apatah lagi akidah.
Di dalam rantaian perawi yang
meriwayatkan hadith ini juga terdapat seorang yang bernama Amar bin Shamir.
Imam Daraqutni yang meriwayatkan hadith ini menyatakan bahawa perawi ini tidak
boleh dipercayai.
Riwayat tersebut sememangnya ada
disebut dalam Kitab Sunan Daraqutni melalui jalan riwayat yang berlainan. Namun
para ulama hadith menyatakan bahawa hadith ini adalah munqati’ dan Amar bin
Shamir merupakan seorang yang sangat diragui.
Di dalam kitab Mizanul I’tidal,
Imam al-Zahabi telah mengumpulkan ulasan para ulama mengenai terhadap Amar bin
Shamir.
Antaranya:
Imam Yahya Bin Main berkata:
“Perawi yang tidak dikenali”.
Berkata Imam Jauzjani: “Dia seorang penipu”.
Ibni Hibbaan menyatakan: “Seorang
Syiah yang mencaci sahabat dan mereka-reka hadith dengan menggunakan nama-nama
ulama yang berautoriti”.
Berkata Imam Bukhari: “Hadithnya
munkar.”
Imam Yahya berkata: “Perawiannya
tidak patut diterima”.
Berkata Imam Sulaimani: “Amar
mereka-reka cerita bagi menyokong dakwaan Syiah”.
Imam Nasaai berkata: “Perawiannya
ditolak.”
Kesimpulan
Atsar ini palsu ke atas nama cucu
Baginda saw (Mausuah Fi Ahadith Mahdi al-Dhaifah dan al-Maudhuat hal. 169;
Fatwa Soaljawab Islam no. 26836).
No comments:
Post a Comment