Abstrak
Kajian ini membincangkan usaha ulamak Hadith (Ahl
al-Hadith atau al-Muhaddithun) dalam menilai sesuatu hadith yang diriwayatkan
daripada Rasulullah s.a.w. Ulamak Hadith telah merumuskan pelbagai formula
untuk menjaga kesucian sunnah Rasulullah s.a.w. Di antara usaha yang mereka
tekankan ialah al-I‘tibar iaitu pencarian al-Shawahid wa al-Mutaba‘at. Usaha
ini penting dalam menjelaskan kedudukan sesuatu hadith yang
mungkin dianggap sahih atau da‘if jika dilihat sendirian tetapi
sebenarnya bukan demikian. Kajian ini menjelaskan secara ringkas berkenaan
definisi al-I‘tibar, al-Shawahid dan al-Mutaba‘at. Seterusnya perbincangan
diteruskan dengan penjelasan garis panduan perlaksanan usaha murni ini. Kajian mendapati
usaha ini merupakan satu bidang ilmu yang perlu dikuasai oleh pengkaji dalam
bidang hadith.
Pengenalan Ringkas Berkenaan Al-Shawahid Wa
Al-Mutaba‘At Dan Al-I‘Tibar
Sebagai pendahuluan, eloklah jika diperhatikan erti
ketiga-tiga perkataan ini iaitu al-Shawahid, al-Mutaba‘at dan al-I‘tibar.
Setiap perbincangan hanya akan membuahkan hasil yang memuaskan apabila definisi
perkara yang dibincangkan itu dapat difahami sebelum
diterokai dengan lebih lanjut.
Definisi Al-Shawahid
Al-Shahid atau al-Shawahid ialah
seorang periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith
daripada sahabiy yang lain samada dari sudut lafaz atau erti
(al-Qudah1424H-2003, 93).
Definisi Al-Mutaba‘At
Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at ialah
seorang periwayat menyertai periwayat lain dalam periwayatan hadith
daripada sahabiy yang sama dari sudut lafaz atau erti
(al-Qudah1424H-2003, 93).
Al-Mutaba‘ah atau al-Mutaba‘at terbahagi
dua iaitu:
1. Mutaba‘ah
Tammah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat shaykhnya sehinggalah ke
penghujung sanad.
2. Mutaba‘ah
Qasirah: Penyertaan itu bermula daripada peringkat selepas shaykhnya
sehinggalah ke penghujung sanad (al-Qudah1424H-2003, 93).
Berikut ialah satu gambarajah yang menerangkan
tentang kedudukan al-Mutaba‘ah al-Tammah, al-Mutaba ‘ah al-Qasirah dan
al-Shahid (lihat: al-Qudah1424H-2003, 94):
Hadith asal |
Mutaba‘ah Tammah |
Mutaba‘ah Qasirah |
Shahid |
الشهر تسع وعشرون...فإن غم عليكم فأكملوا العدة
ثلاثين |
فإن غم عليكم فأكملوا
العدة ثلاثين |
...فكملوا ثلاثين |
إذا رأيتموا الهلال فصوموا
وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فأكملوا العدة ثلاثين |
Rasulullah |
Rasulullah |
Rasulullah |
Rasulullah |
Abdullah bin Umar |
Abdullah bin Umar |
Abdullah bin Umar |
Abdullah bin Abbas |
Abdullah bin Dinar |
Abdullah bin Dinar |
Muhammad bin Zaid |
Muhammad bin Hunain |
Malik |
Malik |
‘Asim bin Muhammad |
‘Amr bin Dinar |
Al-Shafi’iy |
Abdullah bin Maslamah |
Ibn Khuzaymah |
Sufyan |
- |
Al-Bukhari |
- |
Muhammad bin Abdullah bin Zaid |
- |
- |
- |
Al-Nasai |
Definisi Al-I‘Tibar
Al-I‘tibar pula ialah usaha dan kajian menyeluruh
terhadap jalur-jalur hadith untuk mengenalpasti al-Shawahid dan al-Mutaba‘at (Ibn
Kathir 1417H-1997, 69).
Peranan Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Dalam Penilaian
Hadith
Di dalam menilai sesuatu hadith, para ulamak telah
menggariskan pelbagai dasar dan garis panduan yang teliti dan mendalam. Antara
lain, mereka menekankan pengumpulan jalur-jalur hadith supaya dikaji khususnya
dari sudut penelitian sanad. Hadith tidak boleh dihukum sahih atau da‘if hanya
dengan melihat satu jalur sahaja.
Kemungkinan jalur sesuatu hadith itu sahih akan
tetapi disebabkan beberapa perkara tertentu, ianya akan dikira sebagai da‘if.
Di antara perkara yang menjadikan sesuatu hadith sahih itu da‘if ialah
jika hadith sahih itu mengandungi tambahan yang menyalahi
hadith sahih lain yang lebih kuat, samada dari sudut dabt (keteguhan),
bilangan atau lain-lain. Hadith yang pertama adalah da‘if dan
dinamakan shadh manakala hadith yang kedua adalah sahih dan
dinamakan mahfuz (Al-‘Asqalani t.th., 28).
Dari sudut lain pula, kemungkinan juga jalur
sesuatu hadith itu da‘if, akan tetapi apabila ada jalur lain yang
menguatkannya, maka hadith pertama itu bertukar kepada hasan li
ghairih (Al-‘Asqalani t.th., 55). Hadith hasan li
dhatih juga dapat dinaik tarafkan kepada sahih li
ghairih dengan al-shawahid wa al-mutaba‘at (Al-‘Asqalani
t.th., 25)
Al-Shawahid Wal Mutaba‘At Boleh Menguatkan Hadith
Seperti yang telah dijelaskan, di antara peranan
al-shawahid wa al-mutaba‘at ialah menguatkan hadith. Hadith da‘if boleh ditukarkan
kepada hasan li ghairih manakala hadith hasan li
dhatih pula boleh ditukarkan kepada sahih li ghairih.
Berikut adalah garis panduan perbincangan ini.
Garis Panduan Menguatkan Hadith Dengan Al-Shawahid
Wa Al-Mutaba‘At
1. Hadith Da‘If Khafif Al-Da‘F Kepada
Hasan Li Ghairih
Sekiranya sesuatu hadith itu khafif al-da‘f (lemah
secara ringan), ianya dapat dinaiktarafkan kepada hasan li ghairih dengan
bantuan shawahid dan mutaba‘at yang
berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang banyak) dalam
keadaan ini berperanan mengenepikan sifat al-da‘f daripada
hadith tersebut. Berkata Ibn Hajar Al-‘Asqalani (t.th., 55):
ومتى توبع السيء الحفظ
بمعتبر، وكذا المستور، والمرسل، والمدلس: صار حديثهم حسنا لا لذاته بل بالمجموع.
Maksudnya: Dan bila periwayat yang lemah hafalannya
diiringi oleh hadith yang muktabar, juga periwayat yang mastur (tidak
dikenali keadaannya), hadith mursal dan hadith mudallas;
hadith mereka akan bertukar menjadi hasan bukan dengan dirinya sendiri akan
tetapi secara berkumpulan.
Berkata Dr. Muhammad ‘Ijaj al-Khatib (1405H-1985,
156-157):
فكل حديث ضعيف لقدح في
العدالة، كالكذب على رسول الله صلى الله عليه وسلم، أو التهمة به، أو للكذب في
أحاديث الناس، والفسق في القول أو العمل، والابتداع بكفر، ونحو هذا، لا يرتقي عن
درجة الضعف، ولو كثرت طرقه، لشدة سوء أسباب هذا الضعف، وتقاعد الجابر عن جبر ضعف
الراوي، وقد يرتقي بمجموع طرقه عن كونه منكرا أو لا أصل له، إلى درجة المستور
السيء الحفظ.
والحديث الضعيف لسبب قادح في
الحفظ والضبط، مما لم تـُثـْلـَم عدالة رواته، إذا كثرت طرقه ارتقى من الضعيف إلى
الحسن لغيره، لأن مجيئه من طريق مقبول، أو طرق أخرى يجبر ضعفه، ويتبين للدارس أن
حفظ راوي الضعيف بالطريق الأول لم يختل ضبطه فيه، لذا ارتقى عن الضعيف.
وكذلك كل ما كان ضعفه لأرسال
أو تدليس، أو لجهالة بعض رواته، فإن هذا الضعف يزول بمجيئه من وجه آخر، ويصير
الحديث حسنا لغيره، للعاضد الذي عضده.
Maksudnya: Setiap hadith yang da‘if kerana
tohmahan dalam al-‘adalah (keadilan) seperti penipuan ke atas
Rasulullah s.a.w., atau tohmahan melakukan penipuan ini, atau penipuan dalam
kata-kata manusia, atau kefasikan dalam percakapan atau amalan, dan melakukan
bid‘ah yang kufur, dan yang seumpamanya; hadith itu tidak akan naik dari
tahap da‘if walaupun jika jalurnya banyak. Ini kerana
punca-punca da‘f (kelemahan) ini amat kritikal dan kelemahan
periwayat di sini tidak dapat diperbaiki. Akan tetapi, dengan jalur yang
banyak, hadith itu dapat berubah daripada hadith munkar atau la
asla lah (tiada asal baginya) kepada tahap periwayat mastur (yang
tidak dikenali) dan sayyi’ al-hifz (yang lemah
hafalannya).
Hadith yang da‘if disebabkan kelemahan
dalam hafalan dan kekuatan ingatan yang tidak terkesan dengannya keadilan
periwayat-periwayat, jika jalurnya banyak, hadith itu akan bertukar
daripada da‘if kepada hasan li ghairih. Ini kerana kedatangan
hadith itu dari jalur yang diterima atau dari jalur-jalur lain dapat
memperbaiki kelemahannya. Jelaslah di sini bagi pengkaji bahawa hafalan
periwayat hadith yang da‘if melalui jalur pertama tidak
rosak dabt (keteguhannya). Dengan itu hadith itu meninggalkan
peringkat da‘if.
Begitu jugalah halnya dengan hadith da‘if kerana irsal atau tadlis atau
periwayat majhul (tidak dikenali), kelemahan itu akan terhakis
dengan kedatangan jalur lain. Hadith itu bertukar kepada hasan di
ghairih dengan jalur yang menguatkannya.
Dapatlah dirumuskan di sini bahawa antara kriteria
hadith khafif al-da‘f (lemah secara ringan) ialah sifat al-da‘f tidak
berpunca daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran) salah
seorang periwayatnya dan tidak juga berpunca daripada kelemahan tahap din (keagamaan)
salah seorang periwayatnya. Hadith da‘if yang dapat
dinaiktarafkan kepada hasan li gahirih adalah empat iaitu
periwayat yang sayyi’ al-hifz, periwayat yang majhul al-hal
/ mastur, hadith mursal dan hadith mudallas.
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 378-379):
روى البزار من طريق عبد الله
بن يزيد ثنا عبد الرحمن بن زياد عن راشد بن عبد الله المعافري عن عبد الله بن يزيد
عن عبد الله بن عمرو أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال [أفضل الصدقة إصلاح ذات
البين].
Hadith
ini da‘if kerana Abdul Rahman bin Ziyad berada pada
tahap da’if. Akan tetapi hadith ini naik taraf kepada hasan
li ghairih dengan hadith mutaba‘ah berikut yang
bertaraf sahih:
قال الإمام الترمذي حدثنا
هناد حدثنا أبو معاوية عن الأعمش عن عمرو بن مرة عن سالم بن أبي الجعد عن أم
الدرداء عن أبي الدرداء قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [ألا أخبركم بأفضل
من درجة الصيام والصلاة والصدقة؟] قالوا بلى قال [صلاح ذات البين فإن فساد ذات
البين هي الحالقة].
قال أبو عيسى هذا حديث
صحيح ويروى عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال [هي الحالقة لا أقول تحلق الشعر
ولكن تحلق الدين]. (سنن الترمذي، كتاب صفة القيامة والرقائق والورع، باب منه، رقم
2433).
2. Hadith
Hasan Li Dhatih Kepada Sahih Li Ghairih
Sekiranya hadith hasan li dhatih datang
melalui jalur yang banyak, ianya akan naik ke tahap sahih li ghairih.
Berkata Muhammad Jamal al-Din al-Qasimi (1425H-2004, 144):
اعلم أن الحسن إذا روي من
وجه آخر، ترقى من الحسن إلى الصحيح، لقوته من الجهتين، فيعتضد أحدهما بالآخر، وذلك
لأن الراوي في الحسن متأخر عن درجة الحافظ الضابط مع كونه مشهورا بالصدق والستر،
فإذا روي حديثه من غير وجه، ولو وجها واحدا قوي بالمتابعة وزال ما كان يخشى عليه
من جهة سوء حفظ راويه، فارتفع حديثه من درجة الحسن إلى الصحيح.
Ketahuilah
bahawa sekiranya hadith hasan diriwayatkan daripada jalur lain, ianya akan naik
daripada peringkat hasan kepada sahih kerana
kekuataannya dari dua sudut, lalu setiap satu akan menguatkan yang lain.
Periwayat hadith hasan dikira rendah sedikit daripada peringkat periwayat yang
menghafal dengan teguh walaupun dia dikenali dengan kebenaran dan kebaikan.
Jadi jika hadithnya datang dari jalur lain, walaupun satu jalur, ianya akan
menjadi kuat dengan mutaba‘ah (kewujudan mutabi‘)
dan terhakislah keraguan terhadapnya dari sudut kelemahan hafalan periwayatnya.
Dengan ini hadith itu naik daripada peringkat hasan kepada sahih.
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 62-65):
قال الإمام الترمذي حدثنا
علي بن حجر أخبرنا حرملة بن عبد العزيز بن الربيع بن سبرة الجهني عن عمه عبد الملك
بن الربيع بن سبرة عن أبيه عن جده قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم [علموا
الصبي الصلاة ابن سبع سنين واضربوه عليها ابن عشر.]
قال وفي الباب عن عبد
الله بن عمرو. قال أبو عيسى حديث سبرة بن معبد الجهني حديث حسن صحيح. (سنن
الترمذي، كتاب الصلاة، باب ما جاء متى يؤمرالصبي بالصلاة، رقم 372).
Hadith
ini bertaraf Hasan li dhatih kerana Abdul Malik bin al-Rabi‘ berada
pada tahap hasan. Hadith ini naik taraf kepada Sahih li
ghairih dengan hadith Shahid berikut yang juga
bertaraf Hasan li dhatih kerana Sawwar Abu Hamzah al-Sayrafiy
berada pada tahap hasan:
قال الإمام أبو داود حدثنا
مؤمل بن هشام يعني اليشكري حدثنا إسمعيل عن سوار أبي حمزة قال أبو داود وهو سوار
بن داود أبو حمزة المزني الصيرفي عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال قال رسول
الله صلى الله عليه وسلم [ مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم
عليها وهم أبناء عشر وفرقوا بينهم في المضاجع.]
حدثنا زهير بن حرب حدثنا
وكيع حدثني داود بن سوار المزني بإسناده ومعناه وزاد [وإذا زوج أحدكم خادمه عبده
أو أجيره فلا ينظر إلى ما دون السرة وفوق الركبة.] قال أبو داود وهم وكيع في اسمه
وروى عنه أبو داود الطيالسي هذا الحديث فقال حدثنا أبو حمزة سوار الصيرفي. (سنن أبي داود، كتاب الصلاة،
باب متى يؤمر الغلام بالصلاة، رقم 418).
Al-Shawahid Wa Al-Mutaba‘At Boleh Melemahkan Hadith
Dari sudut yang lain, di antara peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at ialah
menekankan penolakan terhadap sesuatu hadith. Hadith da‘if shadid
al-da‘f dan hadith maudu‘tidak sekali-kali dapat
diselamatkan. Berikut adalah garis panduan perbincangan ini.
Garis Panduan Melemahkan Hadith Dengan Al-Shawahid
Wal Mutaba‘At
1. Hadith Da‘If
Shadid Al-Da‘F Kekal Bahkan Bertambah Da‘if
Sekiranya sesuatu hadith itu shadid al-da‘f (lemah
secara serius), ianya tidak akan dapat dinaik tarafkan kepada hasan li
ghairih walaupun mempunyai shawahid dan mutaba‘at yang
berbilang-bilang. Kathrah al-turuq (jalur yang banyak) dalam
keadaan ini hanya akan menambahkan sifat al-da‘f pada hadith
tersebut. Berkata Muhammad Nasir al-Din al-Albani (1422H-2001, 31):
Antara
perkara masyhur di kalangan ulamak ialah jika sesuatu hadith itu datang
daripada jalur-jalur yang banyak, hadith itu akan menjadi kuat dan hujjah
walaupun setiap jalur itu secara tersendirinya adalah da‘if. Akan tetapi kenyataan ini bukan secara umum.
Sebaliknya, di sisi ulamak yang teliti, ini bergantung kepada sifat al-da‘f dari
sudut kelemahan hafalan periwayat dan bukannya dari sudut tuduhan terhadap tahap
kebenaran periwayat mahupun keagamaannya. Jika tidak, hadith itu tidak akan
menjadi kuat walaupun jalurnya banyak.
Berkata Abdul Qadir al-Arnaut (al-Qasimi 1425H-2004, 154):
وبناء على
ما تقدم: ليس كل حديث ضعيف يرتقي بمجموع طرقه. بل قد تزيده كثرة الطرق
ضعفا على ضعفه.
Berdasarkan
perbincangan ini, bukan semua hadith da’if boleh naik taraf
dengan jalur yang banyak. Bahkan mungkin jalur yang banyak itu
menambahkan da‘f (kelemahan) di samping da‘f (kelemahan)
yang sedia ada.
Dengan itu dapatlah disimpulkan bahawa kriteria
hadith shadid al-da‘f (lemah secara serius) ialah sifat al-da‘f berpunca
daripada kelemahan tahap sidq (kebenaran) atau kelemahan
tahap din (keagamaan) salah seorang periwayatnya seperti
berikut (al-Khayrabadiy 1423H-2003, 289):
1- Salah seorang
daripada periwayatnya pembohong atau pemalsu.
2- Salah seorang
daripada periwayatnya dituduh pembohong atau dituduh pemalsu.
3- Salah seorang
daripada periwayatnya fasiq.
4- Hadith itu
bersifat shadh atau munkar.
5- Hadith itu
bersifat ma‘lul.
Contoh (Dr. al-Murtada 1415H-1994, 94-109):
من حفظ على أمتي أربعين
حديثا من أمر دينها بعثه الله يوم القيامة في زمرة الفقهاء والعلماء
Maksudnya:
Sesiapa yang menghafal untuk umatku empat puluh hadith berkenaan urusan agama
mereka, Allah akan bangkitkannya pada hari Kiamat kelak bersama golongan
fuqaha’ dan
ulamak.
Berkata al-Imam Yahya bin Sharaf al-Nawawi (Nazim,
1410H, 14):
واتفق الحفاظ على أنه حديث
ضعيف وإن كثرت طرقه
Maksudnya:
Para huffaz telah bersepakat mengatakan ini hadith da‘if walaupun jalurnya
banyak.
Walaupun
hadith ini mempunyai dua puluh lima jalur daripada tiga belas para sahabat,
namun hadith ini tidak naik taraf kepada hadith hasan li ghairih kerana da‘f (kelemahannya)
adalah serius seperti berikut:
1- Enam
belas jalur-jalurnya mengandungi periwayat yang pemalsu, dituduh dengan
pemalsuan, pembohong dan dituduh dengan pembohongan.
2- Tiga
jalur-jalurnya yang lain mengandungi periwayat yang dihukum matruk
al-hadith (ditinggalkan hadithnya).
3- Lima jalur-jalurnya
yang lain mu‘allaq (tergantung), di samping wujudnya
periwayat majhul (tidak dikenali), atau dua orang majhul atau
periwayat da‘if.
4- Satu
jalurnya yang lain mengandungi dua periwayat majhul dan
wujud inqita‘ (sanad terputus).
2. Hadith Maudu‘
Kekal Bahkan Bertambah Maudu‘
Berkenaan dengan hadith maudu‘[1] pula, ianya tidak akan sekali-kali
dikuatkan oleh apa-apa sekalipun dari sudut ilmu hadith. Perkara ini amat jelas
kerana hadith maudu‘ sebenarnya bukanlah hadith yang
boleh disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan para ulamak hadith
mengharamkan periwayatannya kecuali untuk menjelaskan perihal sifat wad‘ (kepalsuannya)
(al-Qudah 1424-2003,183). Justeru kathrah al-turuq (jalur yang
banyak) tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada hadith maudu‘.
Hadith maudu‘ juga tidak boleh
disifatkan sebagai mutawatir kerana sifat tawatur itu
hanyalah untuk hadith yang sahih sahaja[2]. Menyifatkan satu hadith maudu‘ sebagai mutawatir hanyalah
menyerlahkan lagi kecetekan intelektual dan kelemahan penguasaan disiplin ilmu
hadith.
PERHATIAN!
1. Hukum
Terhadap Sanad Tidak Semestinya Hukum Terhadap Matan
Di dalam mengeluarkan sesuatu hukum terhadap sanad
sesuatu hadith sebagai dacif atau dacif
shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc disebabkan
kelemahan sifat salah seorang periwayatnya seperti dacif,
munkar al-hadith mahupun kadhdhab, sebenarnya yang dihukum
ialah hadith tersebut secara spesifik; iaitu sanad dan matannya. Justeru, jika
ditemui matan yang mirip dengan hadith pertama itu, daripada sanad yang sahih
atau hasan, hadith yang kedua itu diterima. Dengan ini, pelaksanaan adalah
berdasarkan hadith yang kedua dan bukannya hadith yang pertama. Dalam kes ini
juga hadith yang pertama itu statusnya bertukar hasan lighayrih jika
asalnya dacif (khafif al-dacf), kekal dacif jika
asalnya dacif jiddan atau dan kekal juga mawduc jika
asalnya mawduc. Dapatlah perkara ini digambarkan
dalam gambarajah berikut:
Hukum hadith pertama |
Hukum hadith kedua (shahid @ mutabacah) |
Natijah hukum hadith pertama |
Status penerimaan atau penolakan |
Dacif |
Hasan atau Sahih |
Bertukar jadi Hasan lighayrih |
Hadith pertama dan kedua diterima |
Dacif jiddan |
Hasan atau Sahih |
Kekal Dacif Jiddan |
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima |
Mawduc |
Hasan atau Sahih |
Kekal Mawduc |
Hadith pertama ditolak, hadith kedua diterima |
2. Tidak Semua
Kenyataan Yang Benar Itu Hadith
Apabila seseorang itu mengeluarkan kenyataan yang
benar, kenyataannya hendaklah diterima sebagai kenyataan yang benar. Itulah
yang adil baginya. Akan tetapi perlulah ditekankan bahawa kenyataan itu tidak
boleh disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. semata-mata kerana ianya adalah
kenyataan yang benar. Untuk menyandarkannya kepada Rasulullah s.a.w., perlulah
dinyatakan dalil iaitu sanad yang sahih atau hasan. Jika wujud satu sanad yang
bersambungan terus kepada Rasulullah s.a.w. dengan menepati syarat sahih atau
hasan, barulah kenyataan itu boleh disandarkan kepada Baginda s.a.w.
Dengan ini, dapatlah ditetapkan bahawa erti matan
yang sahih dari sesuatu hadith yang mawduc masih
boleh diterima sebagai kenyataan yang benar tetapi ianya haram disandarkan
kepada Rasulullah s.a.w.!
Kesimpulan
1- Para ulamak
hadith atau ahli al-hadith atau al-muhaddithun memberikan penekanan yang besar
terhadap peranan al-shawahid wa al-mutaba‘at.
2- Di dalam
usaha untuk menilai kekuatan atau kelemahan sesuatu hadith, pengkaji hendaklah
mendalami atau setidak-tidaknya memberi perhatian kepada peranan al-Shawahid
wal-Mutaba‘at.
3- Hadith da‘if
khafif al-da‘f boleh dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at manakala
hadith da‘if shadid al-da‘f dan juga hadith maudu‘ tidak
boleh dikuatkan oleh al-Shawahid wal-Mutaba‘at.
4- Kelemahan
dalam bidang ini boleh menyebabkan kesilapan dalam menguatkan hadith atau
melemahkan hadith.
5- Keperluan
merujuk kepada penilaian para ulamak yang pakar dalam bidang hadith dalam usaha
untuk menyatakan kesahihan atau kelemahan hadith.
6- Sekiranya
terdapat satu hadith yang mempunyai pelbagai sanad di mana sanad pertama dacif
shadid al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc manakala
sanad yang lain sahih atau hasan, hadith ini boleh diamalkan berdasarkan hadith
yang sahih atau hasan itu. Hadith pertrama yang dacif shadid
al-dacf (dacif jiddan) atau mawduc itu
tetap tidak boleh diterima walaupun matannya telah sabit dengan hadith kedua.
Dalam ertikata lain, perlulah diambil matan hadith ini daripada hadith yang
kedua dan bukannya hadith yang pertama.
RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.
Al-‘Asqalani,
Ibn Hajar. t.th. Nuzhah al-Nazar Bi Sharh Nukhbah al-Fikar Fi Mustalah
Hadith Ahl al-Athar. Ta‘liq Abu ‘Abd al-Rahim Muhammad Kamal al-Din
al-Adhamiy. Al-Qahirah: Maktabah al-Turath al-Islamiy.
Al-Albani,
Muhammad Nasir al-Din. 1422H-2001. Tamam
al-Minnah Fi al-Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah. al-Riyadh:
Dar al-Rayah.
Al-Qudah, Dr. Sharaf Mahmud. 1424H-2003. al-Minhaj
al-Hadith Fi Mustalah al-Hadith. Kuala Lumpur, Albayan Corporation Sdn.
Bhd.
Al-Tahhan, Dr. Mahmud, 1407H-1987. Taysir
Mustalah al-Hadith. Al-Riyad: Maktabah al-Ma‘arif.
Al-Qasimi, Muhammad Jamal al-Din. 1425H-2004. Qawa ‘id
al-Tahdith Min Funun Mustalah al-Hadith. Tahqiq al-Shaykh ‘Abd al-Qadir
al-Arnaut. Bayrut: Muassasah al-Risalah.
Nazim Muhammad Sultan. 1410H. Qawa‘id Wa
Fawaid Min al-Arba ‘in al-Nawawiyyah. Al-Riyad: Dar al-Hijrah.
Al-Khatib, Muhammad ‘Ijaj. 1421H-2001. Usul
al-Hadith ‘Ulumuh Wa Mustalahuh. Bayrut: Dar al-Fikr.
Al-Khatib, Muhammad ‘Ijaj. 1405H-1985. al-Mukhtasar
al-Wajiz Fi ‘Ulumu al-Hadith.Bayrut: Muassasah al-Risalah.
Al-Qattan, Manna‘. 1412H-`992. Mabahith Fi
‘Ulum al-Hadith. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.
Ahmad Muhammad Shakir. 1417H-1997. al-Ba
‘ith al-Hathith Sharh Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith Li al-Hafiz Ibn Kathir.
Tahqiq Dr. Badi‘ al-Sayyid al-Lahham. Dimishq: Dar al-Fayha’ dan al-Riyad: Dar
al-Salam.
Dr. al-Murtada al-Zayn Ahmad. 1415H-1994. Manahij
al-Muhaddithin Fi Taqwiyah al-Ahadith al-Hasanah Wa al-Da‘ifah. Al-Riyad:
Maktabah al-Rushd.
Al-Khayrabadiy, Dr. Muhammad Abu al-Layth.
1423H-2003. ‘Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu ‘asiruha. Selangor: Dar
al-Shakir.
Sumber
http://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2013/05/perkongsian-maklumat-berkenaan-al.html
No comments:
Post a Comment