Beberapa minggu lepas, saya ada membuat
sedikit kajian tentang kitab Al-Juz Al-Mafqud Min Musannaf 'Abd Al-Razzaq.
Berbetulan, semalam tersebar video berkenaan kitab tersebut yang didakwa di
dalamnya mengandungi hadith berkenaan Nur Muhammad.
Saya menahan diri untuk
berkomentar kerana sibuk dengan beberapa urusan dan juga sudah banyak ulasan
yang telah diberikan. Cuma, saya melihat ada beberapa perkara perlu
diperhatikan, iaitu:
i - Penafian bahawa hadith
tersebut tidak ada dalam tulisan 'Abd Al-Razzaq bukanlah rekayasa golongan yang
dituduh sebagai "W", bahkan penafian tersebut turut disebutkan oleh
tokoh hadith kontemporari dalam kalangan sufi sendiri. Al-Shaykh 'Abdullah
Al-Ghumari menulis satu tulisan beliau berjudul Murshid Al-Ha'ir Li Bayan Wad'
Hadith Jabir, pada hal. 2 ada menulis:
وعزوه إلى رواية عبد الرزاق خطأ، لأنه لا يوجد في مصنفه ولا جامعه ولا
تفسيره.
"Penisbahan hadith tersebut
kepada riwayat 'Abd Al-Razzaq adalah silap kerana ia tidak terdapat dalam
Musannaf beliau, tidak juga dalam Jami' beliau dan tidak juga dalam Tafsir
beliau".
Kenyataan Al-Shaykh 'Abdullah
Al-Ghumari ini telah disokong oleh Al-Shaykh 'Abdullah Al-Harari dalam buku
beliau berjudul Risalah Fi Butlan Da'wa Awwaliyyah Al-Nur Al-Muhammadi, hal.
33.
ii- Penilaian hadith tersebut
sebagai palsu sebenarnya bukanlah hanya bersumberkan dari satu pihak yang
dituduh "W", sebaliknya masyhur dalam kalangan tokoh-tokoh hadith
kontemporari beraliran sufi sendiri tidak terkecuali menilainya sebagai palsu,
antaranya:
1- Al-Shaykh 'Abdullah Al-Harari,
pengasas gerakan Al-Ahbash melalui buku beliau Risalah Fi Butlan Da'wa
Awwaliyyah Al-Nur, hal. 32.
2 - Al-Shaykh Ahmad Al-Ghumari,
seorang tokoh hadith terkenal dari Maghribi turut menilai palsu hadith tersebut
dalam Muqaddimah beliau bagi kitab Al-Mughir 'Ala Al-Ahadith Al-Mawdu'ah Fi
Al-Jami' Al-Saghir, hal. 52.
iii- Berkait kitab yang
diviralkan iaitu Al-Juz Al-Mafqud, Shaykh Mahmud Sa'id Mamduh tokoh hadith di
Mesir yang beraliran sufi yang telah memberikan kata pengantar kepada kitab
tersebut, beliau sendiri seawal tahun 2007 menarik balik pujian beliau terhadap
kitab tersebut dan mengakui bahawa beliau tidak melakukan penelitian mendalam
terhadap kitab tersebut ketika memberikan kata pengantar dan setelah dilakukan
penelitian, terbukti kitab tersebut tidak boleh digunapakai sebagaimana artikel
berjudul بيان من الشيخ محمود سعيد ممدوح
حول ما طبع باسم ( الجزء المفقود من مصنف عبدالرزاق).
Sumber
No comments:
Post a Comment