Kisah tular
Dari Usman bin Affan bin Dahaak
bin Muzahim daripada Abbas r.a., bapa saudara Nabi ﷺ dari Rasulullah ﷺ telah
bersabda : “Aku adalah orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur
pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat
yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya
berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat
yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur,
mereka akan mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka
semua akan berkata: “Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami
bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan oleh
Allah سبحانه وتعالى serta dibenarkan oleh para rasul.”
Ibnu Abbas r.a berkata: “Orang
yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah Muhammad ﷺ. Malaikat
Jibril a.s. akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Malaikat Israfil pula
datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Malaikat Izrail pula datang
dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga.”
Malaikat Jibril a.s. akan
menyeru: “Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad ﷺ ?”
Bumi akan berkata: “Sesungguhnya,
Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan
gunung-ganangku. Aku tidak tahu di mana kubur Muhammad ﷺ .”
Rasulullah ﷺ bersabda: “Lalu
diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad ﷺ ke awan langit. Maka, empat malaikat berada
di atas kubur.”
Malaikat Israfil bersuara: “Wahai
roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!”
Maka, kubur terbelah dua. Pada
seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika
Rasulullah ﷺ berdiri, Baginda ﷺ telah membuang tanah di atas kepala dan janggut
baginda ﷺ. Baginda ﷺ melihat kanan dan kiri. Baginda ﷺ dapati, tiada lagi bangunan. Baginda ﷺ menangis sehingga mengalir air matanya ke
pipi.
Malaikat Jibril as berkata
kepadanya: “Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi Allah سبحانه وتعالى
di tempat yang luas.”
Baginda ﷺ bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah
ini?”
Malaikat Jibril a.s. menjawab:
“Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari kerugian
dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah سبحانه وتعالى.”
Baginda ﷺ bersabda: “Kekasihku Jibril! Gembirakanlah
aku!”
Malaikat Jibril as. berkata:
“Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?”
Baginda ﷺ bersabda: “Bukan seperti itu pertanyaanku.”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?”
Baginda ﷺ bersabda: “Bukan itu
maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian
mereka?”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia,
sebelummu?”
Baginda ﷺ bersabda: “Nescaya
akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.”
Malaikat Jibril a.s. berkata
kepada baginda ﷺ : “Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad ﷺ dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!”
Malaikat Jibril a.s. datang
bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad ﷺ . Buraq cuba meronta-ronta. Malaikat
Jibril as berkata kepadanya: “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan
makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah سبحانه وتعالى? Sudahkah Allah سبحانه
وتعالى perintahkan kepadamu agar mentaatinya?”
Buraq berkata: “Aku tahu semua
itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia
menunggangku. Sesungguhnya, Allah سبحانه وتعالى akan datang pada hari ini di
dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.”
Baginda ﷺ bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu
berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”
Setelah berpuas hati, Buraq
membenarkan baginda ﷺ menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq
sejauh pandangan mata. Apabila Nabi Muhammad ﷺ berada di Baitul Maqdis di atas
bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as menyeru: “Wahai tubuh-tubuh
yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang
bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung,
dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan
Tuhan yang Maha Perkasa.”
Roh-roh telah diletakkan di dalam
tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada beberapa tingkat dengan bilangan roh
makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam tingkat. Langit di atas
bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan akan air yang sangat pekat
seperti air mani lelaki. Daripadanya, terbinalah tulang-tulang. Urat-urat
memanjang. Daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke
atas sebahagian tubuh tanpa roh.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Wahai Israfil! Tiup sangkakala tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan
penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang gembira dan suka.
Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita.”
Malaikat Israfil a.s. menjerit:
“Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuh mu.
Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan semesta alam.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada
tubuh-tubuhnya!”
Apabila roh-roh mendengar sumpah
Allah سبحانه وتعالى, roh-roh pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka,
kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad
mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing melihat.
Nabi ﷺ duduk di padang pasir
Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti belalang yang
berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad ﷺ merupakan satu umat (kumpulan). Nabi ﷺ
berhenti memperhatikan ke arah mereka. Mereka seperti gelombang lautan.
Malaikat Jibril as menyeru:
“Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah
disediakan oleh Allah سبحانه وتعالى.”
Umat-umat datang di dalam keadaan
satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad ﷺ berjumpa satu umat, baginda ﷺ
akan bertanya: “Di mana umatku?”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.”
Apabila nabi Isa a.s. datang,
Jibril a.s. menyeru: “Tempatmu!” Maka Nabi Isa a.s. dan Jibril a.s. menangis.
Nabi Muhammad ﷺ berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?”
Nabi Muhammad bertanya: “Di mana
umatku?”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan.”
Apabila mendengar cerita
demikian, Nabi Muhammad ﷺ menangis lalu
bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Lihatlah mereka wahai Muhammad ﷺ !”
Apabila Nabi Muhammad ﷺ melihat
mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada baginda ﷺ dengan apa yang
telah Allah سبحانه وتعالى muliakannya. Mereka gembira kerana dapat bertemu
dengan baginda ﷺ . Baginda ﷺ juga
gembira terhadap mereka.
Nabi Muhammad ﷺ bertemu umatnya
yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka
sambil menyeru: “Wahai Muhammad!”
Air mata mereka mengalir di pipi.
Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di
sisinya. Umat-umatnya menangis.
Ketika mereka di dalam keadaan
demikian, terdengar dari arah Allah سبحانه وتعالى seruan yang menyeru: “Di mana
Jibril?”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman di
dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat
Muhammad ﷺ ?”
Malaikat Jibril a.s. berkata:
“Mereka adalah sebaik umat.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad ﷺ bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan
di hadapanKu.”
Malaikat Jibril a.s. kembali di
dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk
ditayangkan kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Nabi Muhammad ﷺ berpaling ke arah umatnya lalu berkata:
“Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Orang-orang yang berdosa menangis
kerana terkejut dan takut akan azab Allah سبحانه وتعالى. Nabi Muhammad ﷺ memimpin mereka sebagaimana pengembala
memimpin ternakannya menuju di hadapan Allah سبحانه وتعالى.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah
diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!”
Hamba-hamba Allah سبحانه وتعالى
terdiam.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Hari ini, Kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka
usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan
mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik,
penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!”
Malaikat Jibril pergi berjumpa
Malik, penjaga neraka lalu berkata: “Wahai Malik! Allah سبحانه وتعالى telah
memerintahkanmu agar membawa Jahanam.”
Malaikat Malik bertanya: “Apakah
hari ini?”
Malaikat Jibril menjawab: “Hari
ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk membalas setiap jiwa
dengan apa yang telah mereka usahakan.”
Malaikat Malik berkata: “Wahai
Jibril! Adakah Allah سبحانه وتعالى telah mengumpulkan makhluk?”
Malaikat Jibril menjawab: “Ya!”
Malaikat Malik bertanya: “Di mana
Muhammad dan umatnya?”
Malaikat Jibril berkata: “Di
hadapan Allah سبحانه وتعالى!”
Malaikat Malik bertanya lagi:
“Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan nyalaan Jahanam apabila
mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang lemah?”
Malaikat Jibril berkata: “Aku
tidak tahu!”
Malik menjerit ke arah neraka
dengan sekali jeritan yang menggerunkan. Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya.
Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan panjang. Api dinyalakan
sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan bercucuran air mata
mereka (semuanya menangis).
Air mata sudah terhenti manakala
air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu
yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal
mereka sebenarnya tidak mabuk.
Rasulullah ﷺ Membela Umatnya
Di Padang Mahsyar orang yang
mula-mula berusaha ialah Nabi Ibrahim a.s. Baginda bergantung dengan asap Arsy
yang naik lalu menyeru: “TuhanKu dan Penguasaku! Aku adalah khalilMu Ibrahim.
Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku tidak meminta kejayaan Ishak dan
anakku pada hari ini.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih mengazab kekasihnya.”
Nabi Musa as datang. Baginda
bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “KalamMu. Aku tidak meminta
kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak meminta saudaraku Harun. Selamatkanlah aku
dari kacau bilau Jahanam!”
Nabi Isa as datang di dalam
keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru: “Tuhanku…
Penguasaku.. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak meminta melainkan diriku.
Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Suara jeritan dan tangisan
semakin kuat. Nabi Muhammad ﷺ menyeru:
“Tuhanku.. Penguasaku Penghuluku…. !Aku tidak meminta untuk diriku.
Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!”
Ketika itu juga, neraka Jahanam
berseru: “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?”
Neraka pula berseru: “Wahai
Tuhanku… Penguasaku dan Penghuluku! Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari
seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan
azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar
dengan penyeksaan.”
Malaikat Zabaniah menolaknya
sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka sujud i hadapan Tuhannya.
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Di mana matahari?” Maka, matahari dibawa mengadap Allah سبحانه وتعالى. Ia
berhenti di hadapan Allah سبحانه وتعالى.
Allah سبحانه وتعالى berfirman
kepadanya: “Kamu! Kamu telah memerintahkan hambaKu untuk sujud kepada kamu?”
Matahari menjawab. “Tuhanku! Maha
Suci diriMu! Bagaimana aku harus memerintahkan mereka berbuat demikian
sedangkan aku adalah hamba yang halus?”
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Aku percaya!”
Allah سبحانه وتعالى telah
menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali ganda. Ia telah
dihampirkan dengan kepala makhluk.
Ibnu Abbas r.h. berkata: “Peluh
manusia bertiti dan sehingga mereka berenang di dalamnya. Otak-otak kepala
mereka menggeleggak seperti periuk yang sedang panas. Perut mereka menjadi
seperti jalan yang sempit.”
Air mata mengalir seperti air
mengalir. Suara ratap umat-umat manusia semakin kuat.
Nabi Muhammad ﷺ lebih-lebih lagi
sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda ﷺ sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi,
baginda ﷺ rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya.
Para Nabi melihat keluh kesah dan
tangisannya. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan
Allah سبحانه وتعالى ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya.”
Daripada Thabit Al-Bani, daripada
Usman Am Nahari berkata: “Pada suatu hari Nabi ﷺ menemui Fatimah Az-Zahara’ r.h. Baginda ﷺ dapati, dia sedang menangis.”
Baginda ﷺ bersabda: “Permata hatiku! Apa yang
menyebabkan dirimu menangis?”
Fatimah menjawab: “Aku teringat
akan firman Allah سبحانه وتعالى.”
“Dan, kami akan menghimpunkan,
maka Kami tidak akan mengkhianati walau seorang daripada mereka.”
Lalu Nabi ﷺ pun menangis. Baginda
ﷺ bersabda: “Wahai permata hatiku! Sesungguhnya, aku teringat akan hari yang
terlalu dahsyat. Umatku telah dikumpulkan pada hari kiamat dikelilingi dengan
perasaan dahaga dan telanjang. Mereka memikul dosa mereka di atas belakang
mereka. Air mata mereka mengalir di pipi.”
Fatimah r.h. berkata: “Wahai
bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu terhadap lelaki?”
Baginda ﷺ menjawab: “Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari
itu, setiap orang akan sibuk dengan untung nasib dirinya. Adapun aku telah
mendengar firman Allah سبحانه وتعالى,
لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ
شَأْنٌ يُغْنِيهِ
“Setiap orang dari mereka pada
hari itu mempunyai urusan yang cukup menjadikannya sibuk dengan hal dirinya
sahaja.” (Surah ‘Abasa, ayat 37)
Fatimah r.h. bertanya: “Di mana
aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat nanti, wahai bapaku?”
Baginda ﷺ menjawab: “Kamu akan
menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku sedang memberi minum umatku.”
Fatimah r.h. bertanya lagi:
“Sekiranya aku dapati kamu tiada di telaga?”
Baginda ﷺ bersabda: “Kamu akan menjumpaiku di atas
Sirat sambil dikelilingi para Nabi. Aku akan menyeru: “Tuhan Kesejahteraan!
Tuhan Kesejahteraan! Para malaikat akan menyambut: “Aamiin.”
Ketika itu juga, terdengar seruan
dari arah Allah سبحانه وتعالى lalu berfirman: “Nescaya akan mengikuti
kata-katanya pada apa yang kamu sembah.”
Setiap umat akan berkumpul dengan
sesuatu yang mereka sembah. Ketika itu juga, neraka Jahanam melebarkan
tengkuknya lalu menangkap mereka sebagaimana burung mematuk kacang.
Apabila seruan dari tengah Arasy
kedengaran, maka manusia yang menyembah-Nya datang beriring. Sebahagian
daripada orang yang berdiri di situ berkata: “Kami adalah umat Muhammad ﷺ !”
Allah سبحانه وتعالى berfirman
kepada mereka, “Mengapa kamu tidak mengikuti orang yang kamu sembah?”
Mereka berkata: “Kami tidak
menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami tidak menyembah selainNya.”
Mereka ditanya lagi: “Kami
mengenali Tuhan kamu?”
Mereka menjawab: “Maha Suci
diriNya! Tiada yang kami kenali selainNya.”
Apabila ahli neraka dimasukkan ke
dalamnya untuk diazab, umat Muhammad ﷺ
mendengar bunyi pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat
Zabaniah mencela mereka. Mereka berkata: “Marilah kita pergi meminta syafaat
kepada Muhammad ﷺ !”
.
Manusia berpecah kepada tiga
kumpulan.
1. Kumpulan orang tua yang
menjerit-jerit.
2. Kumpulan pemuda.
3. Wanita yang bersendirian
mengelilingi mimbar-mimbar.
.
Mimbar para Nabi didirikan di
atas kawasan lapang ketika kiamat. Mereka semua berminat terhadap mimbar Nabi
Muhammad ﷺ. Mimbar Nabi Muhammad ﷺ terletak berhampiran dengan tempat berlaku
kiamat. Ia juga merupakan mimbar yang paling baik, besar dan cantik. Nabi Adam
as dan isterinya Hawa berada di bawah mimbar Nabi ﷺ .
Hawa melihat ke arah mereka lalu
berkata: “Wahai Adam! Ramai dari zuriatmu dari umat Muhammad ﷺ serta cantik wajah mereka.”
Mereka menyeru: “Di mana
Muhammad?”
Mereka berkata: “Kami adalah umat
Muhammad ﷺ . Semua umat telah mengiringi apa yang mereka sembah. Hanya tinggal
kami sahaja. Matahari di atas kepala kami. Ia telah membakar kami. Neraka pula,
cahaya juga telah membakar kami. Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah
kami agar memohon kepada Allah سبحانه وتعالى untuk menghisab kami dengan
segera! Sama ada kami akan pergi ke syurga atau neraka.”
Nabi Adam as berkata: “Pergilah
kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan dosa-dosaku. Aku mendengar firman
Allah سبحانه وتعالى: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya kerana lalai.”
Mereka pergi berjumpa nabi Nuh as
yang telah berumur, umur yang panjang dan sangat sabar. Mereka menghampirinya.
Apabila Nabi Nuh as melihat mereka, dia berdiri.
Pengikut (umat Nabi Muhammad ﷺ )
berkata: “Wahai datuk kami, Nuh! Tolonglah kami terhadap Tuhan kami agar Dia
dapat memisahkan di antara kami dan mengutuskan kami dari ahli syurga ke syurga
dan ahli neraka ke neraka.”
Nabi Nuh a.s. berkata:
“Sesungguhnya, aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah mendoakan agar kaumku
dimusnahkan. Aku malu dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Ibrahim kekasih
Allah سبحانه وتعالى! Mintalah kepadanya agar menolong kamu!”
Nabi Ibrahim a.s. berkata:
“Sesungguhnya aku pernah berbohong di dalam usiaku sebanyak tiga pembohongan di
dalam Islam. Aku takut dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Musa a.s.!
Mintalah pertolongan darinya!”
Nabi Musa a.s. berkata: “Aku
sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah membunuh seorang jiwa tanpa hak. Aku
membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri. Aku dapati dia melampaui batas
terhadap seorang lelaki Islam. Aku ingin memukulnya. Aku terperanjat kerana menyakitinya
lalu menumbuk lelaki tersebut. Ia jatuh lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan
dosaku. Pergilah kamu berjumpa Isa a.s.!”
Mereka pergi berjumpa Nabi Isa
a.s. Nabi Isa a.s. berkata: “Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى telah melaknat
orang-orang Kristian. Mereka telah mengambil aku, ibuku sebagai dua Tuhan
selain Allah سبحانه وتعالى. Hari ini, aku malu untuk bertanya kepadaNya
mengenai ibuku Mariam.”
Mariam, Asiah, Khadijah dan
Fatimah Az-Zahra’ sedang duduk. Ketika Mariam melihat umat Nabi Muhammad ﷺ dia
berkata: “Ini umat Nabi Muhammad ﷺ . Mereka telah sesat dari Nabi mereka.”
Suara Mariam, telah didengari
oleh Nabi Muhammad ﷺ Nabi Adam a.s.
berkata kepada nabi Muhammad ﷺ. “Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling
mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Nabi Muhammad ﷺ menjerit dari
atas mimbar lalu bersabda: “Marilah kepadaku, wahai umatku! Wahai sesiapa yang
beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari kamu melainkan aku
sentiasa memohon kepada Allah سبحانه وتعالى untukmu!”
Umat Nabi Muhammad ﷺ berkumpul di
sisinya.
Terdengar suara seruan: “Wahai
Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!”
Nabi Adam as berkata: “Wahai
Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan meminta kepadaku.”
Nabi Adam a.s. pergi menemui
Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه وتعالى berfirman kepadanya: “Wahai Adam!
Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!”
Nabi Adam a.s. bertanya: “Berapa
ramai untukku kirimkan?”
Allah سبحانه وتعالى berfirman:
“Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang ke syurga, 999 orang ke neraka.”
Allah سبحانه وتعالى berfirman
lagi: “Wahai Adam! Sekiranya Aku tidak melaknat orang yang berdusta dan Aku
haramkan pembohongan, nescaya Aku akan mengasihi anakmu keseluruhannya. Akan,
tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi orang yang mentaatiKu Neraka pula bagi
orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan memungkiri janji Wahai Adam!
Berhentilah di sisi Mizan (timbangan). Sesiapa yang mempunyai berat pada
kebaikannya daripada dosanya walaupun seberat biji sawi, bawalah dia untuk
memasuki syurga tanpa perlu berunding denganKu! Sesungguhnya Aku telah
menjadikan bagi mereka, satu kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan
dengan sepuluh pahala agar memberitahu mereka bahawa, sesungguhnya Aku tidak
akan memasukkan mereka ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan
dikembalikan dengan dosa bagi orang yang melampaui batas.”
Nabi Adam a.s. berkata: “Tuhanku!
Penguasaku! Engkau lebih utama bagi menghisab berbanding aku. Hamba itu adalah
hambaMu dan Engkau Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib!”
Takhrij
Kisah ini dipetik dari buku 1001
Duka Siri 1 "Himpunan Kisah-kisah Menyayat Hati".
Pengarang: Muhammad Isa Selamat.
Cetakan Darul Nu’man. Buku ini banyak mengandungi kisah-kisah yang tidak sahih.
Hasil semakan mendapati kisah ini
diceritakan secara kronologi kebangkitan di hari kiamat sehinggalah dihisab.
Dan hadith-hadith yang digunakan bercampur antara yang sahih dan tidak sahih.
Contoh-
Yang sahih:
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ
مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ
Aku adalah pemimpin anak Adam
pada hari Kiamat. Aku adalah orang yang pertama akan dibangkitkan daripada
kubur. Aku adalah orang pertama yang akan memberi syafaat dan dibenarkan memberi syafaat (HR. Muslim no. 2278).
Hadith nabi ada panji, memberi
syafaat setelah umat manusia berkeliling mencari nabi-nabi ulul azmi lain:
Aku merupakan pemuka keturunan
Adam AS pada hari kiamat dan panji pujian berada di tanganku. Meskipun begitu,
aku tidak sombong. Pada hari itu semua nabi, mulai dari Adam dan selainnya,
berada di bawah panjiku. Aku adalah orang yang pertama kali membelah bumi.
Meskipun begitu, aku tidak sombong." (HR. Muslim no. 194, Ahmad, Tirmidzi, dan Ibnu Hibban no. 6465,
sahih)
Yang tidak sahih
Kisah buraq dihadapkan kepada
Nabi saw, dan buraq meronta-ronta kerana ingin syafaat Nabi dan ingin masuk
syurga:
قل لصاحب الوجه الأنور والجبين الأزهر والخد الأحمر والحوض
والكوثر والشفاعة الكبرى أن يدخلني في شفاعته حتى أمكنه من ظهري ويطأ على نحري ويزداد
بذلك فخري ويكون يوم القيامة ذخري
Buraq berkata: “Aku tahu semua
itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia
menunggangku. Sesungguhnya, Allah سبحانه وتعالى akan datang pada hari ini di
dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.” Baginda ﷺ bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu
berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”
Kisah ini tidak ditemukan dalam
mana-mana kitab hadith muktabar sunnah melainkan ia datang dari sumber Syiah
(Multaqa Ahlil Hadith 72/246)
Antara yang bercampur antara
sahih dan tidak sahih lain termasuk:
-
Manusia
dihidupkan semula dari tulang sulbi (HR. Bukhari no. 4651, Muslim no. 2955),
pendetailan kisah adalah tiada asal seperti Jibril dan Isa menangis tanya
keadaan umat Nabi saw, Nabi saw gembira nampak umatnya berselawat dating ke
mahsyar ini tidak ditemui asal. Segala perbualan malaikat dengan Allah juga
tidak ditemui asal.
-
Manusia
berkeliling meminta syafaat para Nabi ulul azmi sahih riwayat mutaffaqun alaih
(HR. Bukhari no. 4712 dan Muslim no. 194). Tapi pendetailan neraka bersoaljawab
dengan Allah swt dan malaikat Zabaniyah serta Matahari ini tidak ditemui asal.
-
Hadith
keadaan mahsyar seperti manusia telanjang (hadith Aisyah: HR. Bukhari no. 6527,
Muslim no. 2859), manusia ditenggelami peluh (HR. Muslim no. 2864) manusia lain
sibuk dengan urusan masing-masing juga sahih (QS. Al-Ma’arij: 43-44; Maryam:
86, Thaha: 102; Isra’: 97). Pendetailan hadith manusia bertelanjang dan jumpa
ditelaga Nabi saw berdasarkan dialog Fatimah dan Nabi saw itu jelas tiada asal
berbau syiah yang ingin mengangkat ahlul bait. Hadith mimbar-mimbar para nabi
dan wanita yang 4 (Mariam, Asiah, Khadijah, Fatimah) dan Mariam berkata yang
umat Nabi sedang mencari Nabi saw untuk minta syafaat juga jelas tiada asal.
Hasil semakan mendapati kisah-kisah mimbar 4 wanita ini sangat mashyur
disebutkan dari sumber syiah seperti Bihar al-Anwar 8/51, Majma’ Nurin hal. 164
dan beberapa website syiah.
Rujukan
https://al-maktaba.org/book/31615/35748
No comments:
Post a Comment