Monday, 12 November 2018

Tidur selepas asar menyebabkan gila?





Adapun hadits yang berlegar ditengah masyarakat sejak berzaman lagi seperti:-


مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ، فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ، فلا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ


Maksudnya: “Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”


Adalah hadits yang tidak boleh dijadikan hujah larangan tidur selepas asar. 

Para ulama hadits terdahulu telahpun menilai dan menyemak semula kesahihan hadits ini dari segi sanad dan matannya. Antaranya adalah [Irsyad al-Hadits siri ke-227]:-


1. Imam Ibn Hibban mengatakan di dalam sanad hadits ini terdapat Khalid bin al-Qasim dan dia menyambung riwayat-riwayat yang terputus, menrafa’kan riwayat-riwayat yang mursal dan juga menyambung riwayat-riwayat yang mawquf maka TIDAK BOLEH menulis riwayatnya. [al-Majruhin, 334/1].

2. Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadits ini sebagai TIDAK SAHIH. [al-Mawdhu’at, 252/2] 

3. Imam al-Zahabi mengatakan di dalam sanad hadits ini terdapat Khalid bin al-Qasim yang dituduh berdusta. [Tartib al-Mawdhua’at, 239]. 

Apabila sesuatu hadits terdapat seorang perawi yang dituduh berdusta, maka secara automatik kesemua hadistnya tertolak dan hadits melalui periwatannya boleh jatuh ke tahap hadits palsu.

4. Imam al-Haithami mengatakan perawi bernama Amr bin al-Husain seorang yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). [Majma’ al-Zawaid, 119/5].

5. Imam al-Syaukani mengatakan bahawa di dalam sanad hadits ini terdapat perawi yang berdusta. [al-Fawaid al-Majmu’ah, 216].


6. Syeikh al-Albani menilai hadits ini sebagai dhaif. [Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah, 112/1].



Berdasarkan beberapa pendapat para ulama’ di atas, kita memahami bahawa sebahagian pendapat ulama’ mengdhaifkan hadith ini dan sebahagian yang lain memalsukan hadith ini. 

Maka dengan itu, hadith tersebut adalah teramat lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta. 

Hukum asal dari tidur adalah mubah (dibolehkan), dan tidak ada hadits sahih yang melarangnya.  Hukum syarak itu mestilah diambil dari hadits-hadits sahih, bukan dari hadits-hadits lemah apalagi hadits palsu yang didustakan atas nama Rasulullah SAW, dan tidak pula ditetapkan dari pendapat-pendapat manusia.

Maka dengan itu, dinyatakan bahawa tiada hadith sahih yang melarang tidur selepas asar.




Allah SWT menjadikan tidur untuk kita berehat kerana pada waktu siang manusia sibuk bekerja untuk mencari rezeki.

Ada orang waktu bekerjanya tidak sama dengan orang yang lain seperti doktor, jururawat, askar, polis, perkerja kilang dan macam-macam lagi.

Kerja sebegini semestinya memerlukan syif gantian. Ada yang syif pagi, ada yang petang dan ada yang malam. Maka, di sini dengan pasti waktu tidur mereka akan berbeza-beza.

Maka tidur pada waktu yang sepatutnya ( setelah habis waktu kerja merekalah ) dapat mengembalikan tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya.

Ini kerana, tanpa tidur yang secukupnya maka akan tergendalalah segala usaha yang ingin dilakukan pada hari-hari yang berikutnya. 

Islam itu memudahkan umatnya, dan luas dalam meraikan kepelbagaian kemampuan umatnya.

Jika sekiranya hadits larangan tidur pada sekian sekian waktu itu sahih, ini telah bertentangan dengan ruh Islam itu sendiri dalam meraikan kepelbagaian umatnya.

Dalam disiplin ilmu hadits, jika sesuatu hadits itu menyanggahi logik (fakta dan kajian), nas al-Quran dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahuilah ia hadits palsu. [al-Suyuthi dalam Tadrib al-Rawi].

Hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi SAW. [Manhaj al-Naqd fi 'Ulum al-Hadits, ms 301].

Tidak halal kepasa sesiapa yang mengetahui ia hadits palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya. ['Ulum al-Hadits lil Ibn Salah, ms 98].

Sementara itu terdapat juga Salaf dan beberapa golongan ulama yang membenci tidur selepas Asar berdasarkan pendapat mereka sebagai kebiasaan orang Arab, yang menyakini bahawa tidur selepas Asar itu banyak mengandungi keburukan seperti mengundang malas, melemahkan syahwat dan lain-lain penyakit [Zaad al-Ma'ad, 4/219; al-Adab al-Syar'iyyah, 3/159].

Tetapi setakat pencarian saya dalam jurnal-jurnal penyelidikan dan kesihatan, saya tidak menemui sebarang kajian yang menunjukkan hubungan waktu tidur lewat petang dengan masalah kesihatan. Saya hanya menemui hubungkait antara tidur berlebihan dengan status kesihatan mental dan penyakit kronik. Kajian yang dilakukan oleh Léger et al., 2014, menunjukkan individu yang tidur berlebihan lebih cenderung untuk mendapat penyakit mental dan pertambahan BMI tetapi tidak kepada penyakit kronik [PMID: 25226585]. Kajian yang sama juga menunjukan individu yang mempunyai waktu tidur yang kurang lebih berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit kronik. Dalam kajian lain, menunjukkan tidur berlebihan mempunyai risiko tinggi kepada punca penyakit kronik seperti diabetik dan kematian [PMID: 17053484, PMID: 27484757]. Satu kajian menarik yang diterbitkan dalam jurnal penyelidikan Sleep pada tahun 2006 menunjukkan tidur yang kurang mahupun berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit darah tinggi [PMID:16944668]. 

Bukti-bukti penyelidikan di atas juga menunjukkan keselarian dengan nas dalam syarak. Semua amalan
dan perbuatan hendaklah dilakukan dengan kadar yang sederhana. Baik dalam beribadat (tidak ghuluw), 
bermuamalat dan menjalankan kegiatan harian seperti makan dan tidur. Apabila kita melanggar aturan 
kesederhanaan dalam amalan dan perbuatan ini, maka ia akan memberikan kita natijah yang negatif dan
tidak diingini. 

Selesai.


Nota

Nombor PMID adalah merujuk kepada ID kepada artikel yang diterbitkan di bawah penerbit PubMed, seliaan National Center for Biotechnology Information, USA. Hampir keseluruhan artikel yang diterbitkan di PubMed adalah bekualiti tinggi dan diindeks oleh SCOPUS. Untuk membaca lebih lanjut lagi artikel yang saya gunakan dalam penulisan saya, pembaca boleh copy dan paste PMID tersebut di google, dan anda akan di hubungkan terus kepada artikel berkenaan.







No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...