Hadith
Daripada Ma’qil bin
Yasar, bahawa Nabi SAW bersabda:
اقْرَؤُوْا يَسٍ عَلَى مَوْتَاكُمْ
Terjemahan
Bacalah surah Yasin
kepada orang yang meninggal di antara kamu (HR. Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah,
Ibnu Hibban, al-Hakim).
Takhrij
HR. Abu Daud no.
3121, didhaifkan oleh al-Albani.
HR. Ibnu Majah no.
1448, didhaifkan oleh al-Albani.
HR. Ahmad no. 19416,
didhaifkan oleh al-Arnauth.
HR. Ibnu Hibban
no. 3002, didhaifkan oleh al-Arnauth.
HR. Al-Hakim no.
20174, beliau mendiamkannya.
Imam al-Nawawi
mengatakan sanad hadith ini adalah lemah kerana terdapat padanya dua orang
perawi yang tidak dikenali (al-Azkar, 144).
Imam Ibn Qathan
berkata hadith tersebut tidak sahih kerana Abu Uthman tidak dikenali dan tidak
meriwayatkan daripadanya kecuali Sulaiman bin Yasar. Apabila dia tidak dikenali
maka bapanya lebih tidak dikenali padahal dia meriwayatkan daripadanya” (Bayan
al-Wahm wa al-Iham, 5/49).
Perbahasan
Terdapat satu hadith
bertaraf hasan dalam membahaskan isu hampir serupa. Tetapi hadith tersebut
menyatakan bacaan Yaasin itu adalah kepada orang yang hendak meninggal dunia.
Imam al-Hafiz Ibn
Hajar menyatakan terdapat sebuah hadith yang terdapat di dalam Musnad Imam
Ahmad dengan sanad yang hasan (al-Isabah, 5/249), daripada Safwan RA:
حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ،
أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ، حِينَ اشْتَدَّ
سَوْقُهُ، فَقَالَ: " هَلْ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَقْرَأُ يس؟ " قَالَ:
فَقَرَأَهَا صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ
مِنْهَا قُبِضَ، قَالَ: وَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ: إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ
الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا.
Terjemahan:
“Menceritakan
kepadaku para syeikh (guru) bahawa mereka menghadiri Ghudhaif bin Harith
ats-Thumali ketika beliau sedang menghadapi sakitnya maut, maka dia berkata :
“Apakah ada di antara kalian yang mahu membacakan Yasin ?”. Dia (Safwan)
berkata, maka Salih bin Syuraih al-Sakuniy membacanya (Yasin), tatkala sampai
pada ayat ke 40 lalu Ghudhaif wafat. Dia (Safwan) juga berkata : “Para syeikh
(guru) mereka berkata :“Apabila dibacakan samping orang yang hendak meninggal
nescaya Allah akan meringankan baginya disebabkan dengan bacaan tersebut”(HR.
Ahmad no. 16355). Al-Albaani menyatakan isnad hadith ini sahih dalam Irwaa’
al-Ghaleel, 3/152. Al-Arnauth juga menghasankan hadith ini.
Ada ulama yang
menganggap hadith ini adalah syawahid kepada hadith yang disebutkan di atas
seperti Imam al-Hafidz al-Murtadha
az-Zabidi (Ittihaf Saadatil Muttaqin 10/71).
Kesimpulan
Hendaklah membezakan
waktu bilakah sepatutnya surah Yaasin ini dibacakan. Sama ada pada orang yang
hendak meninggal atau yang telah meninggal.
Menurut pandangan
sederhana Ibnu Utsaimin, bagi mereka yang mengatakan status hadith pertama itu
sahih, maka membaca surah Yaasin bagi orang yang hendak meninggal adalah
sunnah, dan bagi mereka yang mengatakan status hadith ini lemah (dhaif), maka
perbuatan tersebut bukan sunnah. (Fatawa Ibn Utsaimin, 17/72).
Manakala amalan
membaca surah Yaasin atau surah al-Quran yang lain pada orang yang telah
meninggal dunia, maka tidak terdapat suatupun hadith yang sahih. Membaca Yaasin
pada orang yang telah meninggal dunia, berkumpul membaca 40x dan sebagainya
adalah merupakan perbuatan yang tiada tuntunannya dalam agama, maka hendaklah
dijauhkan (Fatwa Soal Jawab Islam, no. 734).
Dan berkata Ibnu
Taimiyah: Membaca al-Quran ke atas orang yang sudah mati adalah bidaah dan ini
berbeza dengan membaca surah Yaasin kepada orang yang nazak ( hampir mati,
bukan telah mati) yang mana ia disunatkan (al-Ikhtiyaaraat, ms. 91).
Surah Yasin
membicarakan tentang Tauhid dan kebangkitan, janji-janji syurga kepada mereka
yang beriman.
Bacaan Yasin
digalakkan di baca keatas orang yang sedang menghadapi kematian menurut jumhur
Imam Mazhab Fiqh. Amalan tersebut bukanlah bid’ah, akan tetapi ia merupakan
perkara yang dikhilafkan.
Khilaf ulama pada
perkataan موتاكم "mautakum"
1- Ada yang
mentafsirkan -telah meninggal atau meninggal di kalangan kamu
2-Ada yang
mentafsirkan - hampir meninggal di kalangan kamu (nazak)
Yang paling tepat
adalah pandangan ke-2 kerana:
Ini selaras dengan
hadith dalam Sahih Muslim no. 916:
{ لقنوا موتاكم لا إله إلا الله }
"Ajarlah
Lailahaillallah kepada orang yang hampir mati di kalangan kamu."
Dan pengertian itu
semakna dan disokong atsar sahabat berdasarkan hadith Safwan dalam riwayat
Ahmad no. 16355 yang berstatus hasan.
Rujukan
Irsyad al-Hadith siri
ke- 177, Mufti Wilayah Persekutuan
Fatwa Soal Jawab
Islam no. 734.
http://www.al-ahkam.net/home/content/membaca-yasin-keatas-orang-mati-atau-ketika-nazak
No comments:
Post a Comment