Nu'aiman ibnu Amr Al-Anshary
adalah penduduk Madinah dari keturunan kaum Anshar, dari Bani Najjar. Pada
waktu perang Badar, dia turut berjihad bersama Rasulullah S.a.w. Di kalangan
para sahabat, Nu'aiman terkenal sebagai sahabat yang suka bergurau.
1. Kisah dengan penjual
madu/kurma/barang dagangan
Pada suatu hari, Nu'aiman memberi
madu kepada Rasulullah S.a.w sebagai hadiah. Madu itu dia beli daripada orang
kampung. Ketika dia memberikan madu itu kepada Rasulullah, dia membawa
bersamanya penjual madu tersebut. Tanpa pengetahuan Rasulullah, Nu'aiman
menyuruh penjual tersebut meminta wang daripada Rasulullah sebagai ganti harga
madu itu. Dan ketika Rasulullah S.a.w sedang membahagikan madu itu kepada para
sahabat yang hadir di rumahnya, penjual tersebut berteriak : "Bayarlah
harga maduku itu?" Kemudian Rasulullah berkata : "Ini pasti idea
Nu'aiman". Kemudian Rasulullah memanggilnya dan bertanya : "Mengapa
kamu lakukan hal ini?" Nu'aiman menjawab : "Saya ingin mendapatkan
kebaikanmu wahai Rasulullah S.a.w. Saya tidak mempunyai apa-apa".
Rasulullah pun tersenyum dan akhirnya dia memberi wang kepada penjual
tersebut. (Majalisah wa al-Jawahir no.
749, al-Isti'ab 4/1529, sanadnya hasan).
2. Kisah dengan unta yang
disembelih
Ada seorang lelaki datang dari
kampung terus ingin menghadap Rasulullah S.a.w (kemudian masuk ke dalam
masjid). Dia meninggalkan unta haiwan tunggangnya di halaman. Ada sebahagian
sahabat yang berkata kepada Nu'aiman : "Sembelihlah haiwan itu kemudian
kita makan dagingnya bersama-sama. Kami ingin sangat makan daging ketika ini.
Nanti wang ganti ruginya biar Rasulullah yang membayarnya." Nu'aiman
menyetujui permintaan sahabat itu dan akhirnya dia menyembelih haiwan tersebut.
Ketika orang kampung itu keluar dari masjid, dia terkejut dan menjerit kerana
haiwan tunggangannya mati. Rasulullah pun keluar rumah dan bertanya :
"Siapa yang melakukan hal ini? Para sahabat menjawab : " Nu'aiman,
wahai Rasul". Kemudian Rasulullah mencari Nu'aiman dan menjumpainya sedang
bersembunyi di balik daun kurma di dalam parit tidak jauh dari rumah Duba'ah
bin al-Zubair bin 'Abd al-Muttalib. Rasulullah dapat menemui kerana ada seorang
yang memberitahu tempat persembunyian Nu'aiman. Kemudian Rasulullah menyuruhnya
keluar, dan melihat wajah Nu'aiman penuh dengan debu. Rasulullah bertanya
kepadanya : " Mengapa kamu melakukan hal ini?" Nu'aiman menjawab :
"Orang-orang yang menunjukkan tempat aku bersembunyilah yang menyuruhku
melakukan hal ini wahai Rasulullah". Setelah mendengar jawapan itu,
Rasulullah membuang debu yang ada di wajah Nu'aiman dengan senyuman, kemudian
Baginda mengganti harga unta yang telah disembelih itu. (al-Sirah al-Halabiyyah
2/375, al-Isti'ab 4/1527-1528, sanadnya dhaif (mu'dhal), Raba'ah bin Utsman tidak mendengar dari sahabat Nabi saw).
3. Kisah beliau dengan Suwaibit
Selalunya Nu'aiman yang
memperkenakan orang lain, tetapi ada satu kisah dimana Nu'aiman telah diperkenakan
oleh sahabatnya sendiri iaitu Suwaibit. Suwaibit dan Nu’aiman adalah dua orang
sahabat Baginda s.a.w yang kerap membuatkan Baginda s.a.w tertawa dengan
kelakuan mereka yang melucukan dan menggembirakan hati. Kedua-dua sahabat ini
di antara tentera Perang Badar dan peristiwa lucu ini berlaku setahun sebelum
kewafatan Baginda s.a.w. Satu ketika kedua-dua sahabat ini pergi mengikuti
Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a berniaga di Busra. Ketika itu, Nu’aiman membawa
bekalan makanan. Lalu Suwaibit menyuruh Nu’aiman memberikan bekalan tersebut
kepadanya untuk dimakan. Nu’aiman memberitahunya bahawa dia akan mengeluarkan
bekalan tersebut apabila Saidina Abu Bakar sampai kepada mereka. (Suwaibit seakan tidak puas hati dengan
tindakan Nu'aiman itu). Ketika itu, ada sekumpulan manusia datang berhampiran
mereka. Suwaibit mengambil kesempatan dengan bertanya kepada mereka, “adakah
kamu hendak membeli hamba (Nu’aiman) daripadaku?”. Lalu kumpulan tersebut
bersetuju untuk membeli hamba daripada Suwaibit, dan dia telah berpesan bahawa
hambanya akan berkata “saya merdeka”. Oleh itu, apabila dia berkata demikian,
jangan peduli dan biarkan dia. Lalu mereka membeli hamba (konon) Suwaibit itu
dengan seekor unta muda. Suwaibit pun mengalungkan tali unta tersebut ke leher
Nu’aiman (hamba). Lalu mereka pergi dengan membawa Nu’aiman dengan tali unta
tersebut. Nu’aiman segera berkata kepada mereka, "aku adalah seorang
merdeka, dan bukannya hamba." Dan ini hanyalah gurau senda Suwaibit
semata-mata. Lalu mereka melepaskan Nu’aiman kerana hamba tersebut telah
berkata “aku merdeka”. Setelah itu, dia segera menemui Suwaibit dan
menceritakan hal tersebut kepada Saidina Abu Bakar. Lalu Saidina Abu Bakar
menyuruh Suwaibit mengembalikan semula unta muda tersebut kepada sekumpulan
manusia tersebut. Apabila cerita ini disampaikan kepada Nabi s.a.w, baginda
tertawa kerana kelucuannya. Dan kisah
ini menyebabkan Rasulullah S.a.w dan para sahabat tersenyum apabila diungkitkan
tentang kisah ini selama setahun. (Sunan
Ibnu Majah no. 3719, Ahmad no. 26729, al-Isti'ab 4/1526, dhaif menurut al-Bushiri dalam Misbah az-Zujajah 4/115, dan al-Albani).
4. Kisah beliau dengan Makhrumah
Ada pula kisah Nu'aiman pada
zaman Khalifah Utsman bin Affan. Seorang buta iaitu Makhrumah bin Naufal yang
berusia 115 tahun, dia berdiri di masjid untuk kencing. Para sahabat berteriak,
"masjid, masjid!" Maka
Nu'aiman memimpin tangannya membawa ke satu bahagian lain masjid. Setelah itu
Nu'aiman berkata kepadanya, "kencinglah di sini." Maka para sahabat
berteriak lagi dan Makhrumah berkata,
"Celaka kamu!" Siapakah yang membawaku ke tempat ini? Mereka menjawab, "Nu'aiman!".
Makhrumah berkata, "Sungguh jika aku beruntung, aku akan pukulnya dengan
tongkatku!" Nu'aiman datang semula
kepada Makhrumah selang beberapa hari kemudian. Kali ini Nu'aiman membuat suara
lain, agar Makhrumah tidak cam bahawa itu adalah Nu'aiman. Nu'aiman bertanya
kepada Makhrumah, "Apakah kamu inginkan Nu'aiman?" Makhrumah mengiyakannya, lantas Nu'aiman
membawa orang buta tersebut kepada Saidina Utsman yang sedang solat dalam
masjid. Nu'aiman berkata, "Di depan mu itu adalah Nu'aiman." Makhrumah pun terus memukul orang yang
disangkanya Nu'aiman, tetapi rupa-rupanya adalah Khalifah Utsman bin Affan.
Sahabat-sahabat berteriak, "Kamu telah memukul Amirul Mukminin!" Bayangkan kenakalan Nu'aiman, sehinggakan
khalifah (pemerintah) pun dia boleh pekenakan.
Akan tetapi orang tidak marah dengan Nu'aiman, kerana masing-masing
sudah tahu tentang kelucuannya (al-Isti'ab 4/1528, sanadnya dhaif (inqitha' antara Abdullah bin Mus'ab).
No comments:
Post a Comment