Tuesday 21 March 2023

Pujian dan keutamaan ahli hadith

 

 

1.       Ahli hadith adalah golongan yang dijamin kemenangan oleh Nabi saw

 

Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

 

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة

 

Sentiasa akan ada dari umatku suatu golongan yang selalu kuat di atas kebenaran hingga datang hari kiamat (HR. Muslim no. 2889 dan yang lainnya)

 

Ibn Mubarak, Yazid bin Harun, Imam Ahmad , Ibnu al-Madini, Imam Bukhari, Ahmad bin Sinan dll menyatakan maksud golongan yang disebutkan Nabi saw itu adalah ahli hadith (Syaraf Ashab Al-Hadith hal. 26-27).

 

 

2.       Didoakan Nabi saw agar wajah berseri ketika mendengar, mempelajari dan menyampaikan hadith

 

Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam :

 

 

نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مَقَالَتِي فَوَعَاهَا وَحَفِظَهَا وَبَلَّغَهَا فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ

 

Semoga Allah menjadikan berseri-seri wajah orang yang mendengarkan sabdaku lalu memahaminya dan menghafalkannya kemudian dia menyampaikannya, kerana boleh jadi orang yang membawa (mendengarkan) fikih akan menyampaikan kepada yang lebih faham darinya [H.R. Tirmidzi no. 2658, Ibnu Majah no. 232 dan Ahmad no. 4157, sahih).

 

3.       Ahli hadith pembela ketulenan hadith-hadith nabi saw

 

Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam :

 

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله

 

Ilmu (hadith) ini dibawa pada setiap generasinya oleh orang – orang yang adil (terpercaya dan baik agamanya) (HR. Baihaqi, sahih)

 

4.       Ahli hadith paling hampir dengan kebenaran

 

Imam al-Syafie RA  berkata:

 

عليْكُمْ بِأَصْحَابِ الحَدِيْثِ فَإِنَّهُمْ أَكْثَر النَاس صَوَابًا

 

Hendaklah kamu bersama dengan ahli hadith, sesungguhnya kebanyakkan daripada mereka adalah orang hampir dengan kebenaran (Zam al-Kalam wa Ahlihi 3/26; Adabul Syariyyah 1/231).

 

5.       Belajar hadith tajam hujahnya

 

 

Imam al-Syafie rh  berkata:

 

وَمَنْ كَتَبَ الْحَدِيْثَ قَوِيَتْ حُجَّتُهُ

 

Barangsiapa yang menulis (belajar) hadith maka kuatlah hujahnya (Jami' al-Bayan 2/169)

 

 

6.       Ahli hadith paling fakih tentang agama

 

Berkata Imam Ahmad rh:

 

 Tidak ada satu kaum pun menurut saya lebih baik dari Ahli Hadith, mereka tidak mengetahui kecuali hadith dan mereka yang paling afdal berbicara tentang ilmu Ad-Din (Syarafu Ashabul Hadith hal. 48).

 

 

7.       Ahli hadith adalah rujukan kebenaran

 

Harun Ar-Rasyid rh menyatakan:

 

Saya mencari empat hal lalu saya mendapatkannya pada empat kelompok:

Saya mencari kekufuran maka saya mendapatkannya pada Jahmiyah,

Saya mencari Ilmu Kalam dan perdebatan maka saya mendapatkannya pada Mu’tazilah,

Saya mencari kedustaan maka saya mendapatkannya pada Rafidhah (Syiah) dan

Saya mencari Al–Haq (kebenaran) maka saya mendapatkannya bersama Ashabul Hadith (Syarafu Ashabul Hadith hal. 55).

 

 

8.       Siapa itu ahli hadith?

 

Ahli Hadith adalah....

 

Mereka yang mempunyai perhatian terhadap hadith baik riwayah mahupun dirayah, mereka bersungguh-sungguh dalam mempelajari hadith-hadith Nabi shallallahu alaihi wasallam dan menyampaikannya serta mengamalkannya, mereka iltizam (komitmen) dengan sunnah, menjauhi bidaah dan ahli bidaah serta sangat berbeza dengan para pengikut hawa nafsu yang mendahulukan perkataan manusia di atas perkataan Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dan mendahulukan akal-akal mereka yang rosak yang bertentangan dengan Al–Quran dan As-sunnah.(Makanatu Ahli Al-Hadits hal. 4-5; Ma’alim Al–Inthilaqah Al–Kubra hal.54)

 

9.       Fiqh ahli hadith solusi perbezaan pendapat

 

Abu al-Hasanat Muhammad Abdul Hayyi rh berkata :

 

Barangsiapa yang meneliti dengan objektif dan menyelami lautan fiqh dan usul dengan tanpa rasa kecondongan, nescaya dia akan tahu benar dan yakin bahawa majoriti masalah – masalah furu' (cabang) dan usul (pokok) yang diperselisihkan para ulama, maka mazhab ahli hadithlah lebih kuat daripada yang lainnya. Dan sungguh, ketika saya melewati banyak perbezaan pendapat, saya mendapati bahawa pendapat para ahli hadith dekat kepada keobjektifan. Sungguh mengagumkan! Kepada mereka harus berterima kasih. Kenapa tidak? Mereka adalah benar – benar pewaris para nabi dan wakil syariatnya. Semoga Allah mengumpulkan kita bersama mereka dan mematikan kita di atas kecintaan mereka dan sirah mereka ” (Silsilah Hadith Sahih 1/545-546).

 

10.   Ahli hadith tonggak syariat pemusnah bidaah

 

Telah berkata Khatib al-Baghdadi:

 

“Di dalam ahli hadith terdapat orang alim, faqih (ahli fiqh), khatib, pendakwah yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara yang mungkar. Allah SWT jadikan mereka sebagai tiang atau rukun di dalam syariat, pemusnah kepada perkara bidaah yang direka, mereka merupakan wakil-wakil Allah dalam mentadbir alam ini, mereka juga menjadi perantara antara Nabi SAW dan umatnya serta mereka ini adalah mujtahid (orang yang bersungguh-sungguh) menjaga agama ini...”. [Syaraf Ashab al-Hadith hal. 4]

 

11.   Ahli hadith tidak taksub tokoh tertentu

 

Telah berkata Ibn Taimiyyah:

 

“Ahli hadith ialah satu kumpulan yang berjaya, mereka ini adalah pengikut kepada sunnah Rasulullah SAW dan mereka tidak melampau (ta’assub) dalam mengikut tokoh tertentu melainkan mereka ini bersungguh-sungguh dalam mengikut petunjuk Nabi SAW”. [Majmu’ al-Fatawa 3/347]

 

12.   Ilmu hadith ilmu paling mulia

 

Syaikh Sa’d ibn Abdillah al-Humaid ditanya :

 

 Mengapa kita belajar ilmu hadith?

 

Beliau menjawab : Kita belajar ilmu hadith :

 

1. Kerana dia adalah ilmu yang paling mulia

2. Kerana ahli hadith, merekalah yang menjadi sinar yang terang benderang. Kalau kita lihat imam yang empat, kita temukan tiga dari mereka adalah merupakan imam yang terkenal dalam ilmu hadith. Imam Malik, kitab Muwatthanya penuh dengan hadith. Imam Syafi’i kitab al-Umm beliau penuh dengan hadith yang dipaparkan beliau lengkap dengan sanadnya, begitu juga kitab Risalah beliau.Dan salah satu murid beliau menyusun Musnad as- Syafi’i yang diambil dari hadith – hadith yang beliau riwayatkan di dalam kitab – kitab beliau, jadilah kitab itu terkenal dengan nama Musnad as-Syafi’i, begitu juga kitab Sunan. Adapun Imam Ahmad, ahli hadith yang teratas dan tidak diketahui bahawa Imam Ahmad menulis di bidang fiqh walaupun satu huruf, walau sudah diketahui bahawa beliau termasuk ahli fiqih. Beliau melarang murid – murid beliau menulis pendapat semata dan mendorong mereka untuk menulis hadith (Fatawa Haditsiyah oleh Syaikh Sa’d ibn Abdillah al-Humaid : 5)

 

13.   Penuntut ilmu hadith adalah orang yang paling banyak berselawat

 

Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda:

 

أَوْلَى النَّاسِ بِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَىَّ صَلاَةً

 

Manusia yang terdekat dariku di hari kiamat adalah orang yang terbanyak berselawat kepadaku [HR. Tirmidzi no. 484, hasan lighairih].

 

Khatib Baghdadi rh berkata, Abu Nuaim  rh menyampaikan kepada kami, Keutamaan yang mulia ini terkhusus bagi para perawi dan penukil hadith, kerana tidak diketahui satu kelompok di kalangan ulama yang lebih banyak berselawat kepada Rasulullah shallallahu alaihi wasallam dari mereka, baik itu (selawat) berupa tulisan ataupun ucapan (Syaraf Ashhabil Hadith hal.35).

 

Sufyan Ats-Tsauri rh bertutur, Seandainya tidak ada faedah bagi shahib al-hadits (penuntut ilmu hadith) kecuali berselawat kepada Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam maka itu sudah cukup baginya kerana sesungguhnya dia sentiasa berselawat kepada Nabi shallallahu alaihi wa sallam selama nama beliau ada di dalam kitab (Syaraf Ashhabil Hadith hal.36)

 

14.   Ahli hadith mendapat keutamaan yang besar ketika mengadakan rihlah mencari hadith

 

Allah azza wajalla berfirman:

 

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدونَ الآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

 

(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian) [QS. At-Taubah: 112].

 

Yazid bin Harun  rh bertanya kepada Hammad bin Zaid rh, Wahai Abu Ismail, apakah Allah menyebut tentang ash–habul hadith di dalam Al-Quran? Beliau menjawab, “Iya, apa engkau tidak mendengar firman Allah azza wajalla (beliau membaca ayat di atas), perintah ini berlaku bagi setiap yang mengadakan rihlah untuk menuntut ilmu dan fiqh lalu kembali kepada kaumnya untuk mengajarkan ilmu tersebut kepada mereka (Syaraf Ashhabil Hadith hal.59)

 

Imam Ahmad rh mengatakan bahawa saya telah mendengarkan Imam Abdurrazzaq rh menafsirkan ayat di atas bahawa yang dimaksudkan oleh ayat tersebut adalah para ashhabul hadith (penuntut ilmu hadith) (Syaraf Ashhabil Hadith hal.59).

 

Ibrahim bin Adham rh berkata, “Sesungguhnya Allah azza wajalla mencegah bala bencana pada umat ini disebabkan rihlah yang dilakukan oleh para penuntut ilmu hadih (Syaraf Ashhabil Hadith hal.59)

 

Ikrimah Maula Ibnu Abbas radhiyallahu anhuma menafsirkan ayat Allah di surat At-Taubah ayat 112 “As–saaihuuna” sebagai para penuntut ilmu hadih  (Syaraf Ashhabil Hadith hal.60).

 

15.   Seutama-utama amalan adalah mempelajari ilmu hadith

 

Sufyan Ats-Tsauri rh berkata, “Saya tidak mengetahui amalan yang lebih afdhal di muka bumi ini dibandingkan mempelajari hadith bagi yang menginginkan dengannya wajah Allah azza wajalla (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 81) Beliau rh juga mangatakan, “Mendengarkan hadith merupakan kebanggaan bagi yang menginginkan dengannya dunia dan merupakan petunjuk bagi yang menginginkan dengannya akhirat  (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 81).

 

Waki bin Al-Jarrah  rh berkata, “Seandainya (meriwayatkan) hadith tidak lebih afdhal dari bertasbih tentu saya tidak meriwayatkannya (Syaraf Ashhabil Hadith hal.83).

 

Al-Khatib Al-Baghdadi rh menyimpulkan, “Mempelajari hadith pada zaman ini lebih afdal dari seluruh ibadah-ibadah yang sunah, disebabkan telah hilang sunnah dan orang tidak bergairah lagi dari mengerjakannya serta munculnya bidaah-bidaah lalu mereka (para ahli bidah) yang berkuasa dan mendominasi sekarang ini.” (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 86).

 

16.   Ahli hadith penjaga wahyu di bumi

 

Sufyan Ats-Tsaury rh berkata, Para malaikat adalah penjaga-penjaga langit dan Ashab Al-Hadith adalah penjaga-penjaga bumi (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 44)

 

Abu Daud  rh menegaskan, Seandainya bukan kelompok ini (para Ashab Al-Hadith yang menulis hadith-hadith maka sungguh Islam akan hilang (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 52).

 

17.   Ahli hadith pewaris harta warisan dan hikmah yang ditinggalkan Nabi saw

 

 

Imam Asy-Syaf’I rh menyatakan, Jika saya melihat salah seorang dari Ashabu Al-Hadith maka seakan-akan saya melihat salah seorang dari sahabat Rasulullah shallallahu alaihi wasallam.” Dalam riwayat lain beliau berkata, “Jika saya melihat salah seorang dari Ashabu Al-Hadith maka seakan-akan saya melihat Rasulullah shallallahu alaihi wasallam masih hidup (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 46).

 

18.   Ahli hadith adalah manusia terbaik

 

Imam Abu Abdillah Muhammad bin Abdillah Al-Hakim An-Naisaburi berkata setelah meriwayatkan dengan sanadnya dua ucapan tentang Ahlul Hadits (yang ertinya): Umar bin Hafs bin Gayyats berkata: Aku mendengar ayahku ketika dikatakan kepadanya: “Tidaklah engkau melihat Ashabul Hadith dan apa yang ada pada mereka?” Dia berkata: “Mereka sebaik-baik penduduk bumi.” Dan riwayat dari Abu Bakar bin Ayyasy: “Sungguh aku berharap Ahli Hadith adalah sebaik-baik manusia.” Kemudian beliau (Abu Abdullah Al-Hakim) berkata: “Keduanya telah benar bahawa Ashabul Hadith adalah sebaik-baik manusia. Bagaimana tidak demikian? Mereka telah mengorbankan dunia seluruhnya di belakang mereka. Kemudian menjadikan penulisan sebagai makanan mereka, penelitian sebagai hidangan mereka, mengulang-ulang sebagai istirahat mereka…” Dan akhirnya beliau mengatakan: “Maka akal-akal mereka dipenuhi dengan kelezatan kepada sunnah. Hati-hati mereka diramaikan dengan keredhaan dalam segala keadaan. Kebahagiaan mereka adalah mempelajari sunnah. Hobi mereka adalah majlis-majlis ilmu. Saudara mereka adalah seluruh Ahlus Sunnah dan musuh mereka adalah seluruh Ahlul Ilhad dan Ahlul Bidaah.” (Ma’rifatu Ulumul Hadith hal. 1-4)

 

19.   Ahli hadith adalah para wali Allah swt

 

Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal berkata, Ahli al-Quran dan ahli hadith adalah wali-wali abdal (wali-wali Allah). (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 20).

 

قَالَ أَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ (( إِنْ لَمْ يَكُنْ أَصْحَابُ الْحَدِيثِ هُمُ الْأَبْدَالَ فَمَنْ يَكُونُ))

 

Ahmad ibn Hanbal berkata, “Sekiranya ahli ahli hadith bukan wali-wali abdal, siapa lagi wali-wali abdal?”

 

قَالَ صَالِحُ بْنُ مُحَمَّدٍ الرَّازِيُّ (( إِذَا لَمْ يَكُنْ أَصْحَابُ الْحَدِيثِ هُمُ الْأَبْدَالَ فَلَا أَدْرِيْ مَنْ الْأَبْدَالُ))

 

Salih ibn Muhammad al-Razi berkata, “Sekiranya ahli ahli hadith bukan wali-wali abdal, saya tidak tahu siapakah abdal.”

 

Yazid bin Harun rh mengatakan, Seandainya Ashabul Hadith bukan para hamba dan wali Allah azza wajalla maka saya tidak mengetahui siapa lagi hamba-hamba dan wali-wali Allah azza wajalla (Syaraf Ashhab Al-Hadith hal. 50-51).

 

20.   Ahli hadith tinggi kedudukannya di sisi agama

 

Imam Abu Muhammad Al-Hasan Ibnu Abdurrahman bin Khalad Ar-Ramhurmuzi berkata: Allah telah memuliakan hadith dan memuliakan golongannya (Ahlul Hadith). Allah juga meninggikan kedudukannya dan hukumnya di atas seluruh aliran. Didahulukannya ia (hadith) di atas semua ilmu serta diangkatnya nama-nama para pembawanya yang memperhatikannya. Maka jadilah mereka (Ahlul Hadith) inti agama dan tempat bercahayanya hujjah. Bagaimana mereka tidak mendapatkan keutamaan dan tidak berhak mendapatkan kedudukan tinggi, sedangkan mereka adalah penjaga-penjaga Dien ini atas umatnya…” (Al-Muhadditsul Fashil hal. 1-4)

 

Rujukan

 

https://markazsunnah.com/fadilat-mempelajari-hadith-dan-para-ahli-hadith/#_ftn6

 

https://arabiyy.wordpress.com/2012/01/22/kelebihan-ahli-hadith-dari-buku-minhaj-al-huffaz/

No comments:

Post a Comment

Hadith tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil

  Matan hadith   نوم العالم أفضل من عبادة الجاهل   Terjemahan   Tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil   ...