Wednesday 19 June 2024

Hadith berniaga adalah 9/10 sumber rezeki

 

Hadith tersebut datang dengan lafaz:

 

حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ثنا دَاوُدُ بْنُ أَبِي هِنْدَ عَنْ نُعَيْمِ بْنِ عَبْدِ الرحمن قال بَلَغَنِي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ. وقال نُعَيْمٌ: كسب الْعُشْرِ الْبَاقِي فِي السَّائِمَةِ يَعْنِي الْغَنَمَ

 

Maksudnya: Kata Nuaim bin Abd Rahman: telah sampai kepadaku bahawa Nabi saw bersabda: 9/10 daripada rezeki (datangnya) dari perniagaan. Kata Nuaim: 1/10 yang berbaki (dari rezeki) datang dari pengembalaan yakni gembala kambing.

 

Takhrij

 

HR. al-Musaddad dalam Musnadnya sepertimana disebutkan Ibnu Hajar dalam al-Matalib al-'Aliah 7/352

 

Abu Ubaid menyebutkan hadith ini dalam kitabnya Ghariul Hadith 1/299

 

Al-Busiri dalam Ithaf al-Khiarah 3/77 menilai sanad hadith ini lemah disebabkan Nuaim itu tidak dikenali.

 

Abu Hatim al-Razi menyatakan bahawa beliau meriwayatkan hadith dari Nabi secara mursal (terputus sanad), ini bermakna beliau adalah tabi'in dan bukannya sahabat. Ini bermakna sanadnya terputus. (al-Jarh wa al-Ta'dil 8/461)

 

Dakwaan Ibnu Mandah bahawa beliau adalah sahabat tidak benar kerana al-Bukhari menyatakan beliau adalah tabi'in (al-Tarikh al-Kabir 8/97; al-Thiqat Ibnu Hibban 5/477, al-Jarh wa al-Ta'dil 8/461).  Pandangan inilah yang disokong oleh Ibn Hajar. (al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah 6/510)

 

Kesimpulan: Hadith ini dhaif kerana mursal (sanadnya terputus)

 

Hadith ini juga diriwayatkan dari jalur Yahya bin Jabir al-Taii riwayat Said bin Mansur dalam sunannya seperti yang disebut oleh al-Suyuti dalam kitabnya al-Jami' dan ia juga dhaif disebabkan mursal (sanadnya terputus) (al-Jami' al-Saghir 14/ 55).

 

2. Terdapat juga hadith lain dengan makna yang lebih kurang sama dengan hadith di atas:

 

- يا معشر قريش لا يغلبنكم الموالي على التجارة فإن الرزق عشرون بابا تسعة عشر منها للتاجر وباب واحد منها للصانع وما أملق تاجر صدوق إلا فاجر حلاف مهين

 

Wahai sekalian Quraisy, jangan biarkan bangsa asing menguasai perniagaan, sesungguhnya rezeki itu mempunyai 20 pintu, 19 daripadanya adalah daripada perniagaan dan satu pintu (rezeki) lagi daripada pembuat (manufacturer). Sekali-kali peniaga yang bercakap benar tidak akan menjadi miskin kecuali jika dia jahat (penipu) selalu bersumpah dan hina.

 

Hadith ini riwayat Ibn al-Najjar (Kanz al-Ummal 4/60) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus 5/287 daripada Ibn Abbas.

 

al-Dailami meriwayatkan hadith ini secara ta'liq (tanpa menyebut sanadnya) manakala sanad Ibn Najjar pula terdapat perawi yang bernama Mindal bin Ali dan Imam Ahmad, Yahya ibn Ma'in dan Abu Zur'ah mengatakan bahawa dia lemah (dhaif) (al-Dhu'afa' 4/266, Mizan al-I'tidal 4/180)

 

Terdapat Ibnu Juraij dalam sanad ini dan dia merupakan mudallis yang meriwayatkan secara al- 'an'anah (العنعنة) menyebut 'an sahaja tanpa menyatakan dia mendengar hadith ini secara jelas. Maka hadis ini dhaif.

 

- Hadith ini diriwayat juga dari jalur yang lain:

 

عمر بن حفص ، نا ابن جريج ، عن عطاء عن ابن عباس قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يا معشر قريش لا يغلبنكم الموالي على التجارة ، فإن البركة في التجارة فصاحبها لا يفتقر (1) ، إلا تاجر حلاف مهين

 

HR. Ibnul A'rabi dalam Mu'jamnya 3/232

 

Hadith ini juga dhaif (lemah) disebabkan Umar bin Hafs. al-Baihaqi mendhaifkannya (Mizan al-I'tidal 1/566)

 

Terdapat Ibn Juraij dalam sanad ini dan dia merupakan mudallis yang meriwayatkan secara al- 'an'anah (العنعنة) menyebut 'an sahaja tanpa menyatakan dia mendengar hadith ini secara jelas. Maka hadith ini dhaif.

 

Hadith ini juga tidak menyebut tentang bilangan pintu rezeki seperti hadith sebelum ini. Ini bermakna hadith ini tidak boleh menguatkan hadith di atas.

 

Hadith ini diriwayatkan juga dari Ibn Mas'ud:

 

 ( الرزق عشرون بابا فتسعة عشر بابا للتاجر وباب للصانع بيده )

 

Rezeki itu ada 20 pintu, 19 daripadanya untuk peniaga, dan satu untuk pembuat (manufacturer) dengan tangannya.

 

HR. Ibnu Abi al-Dunia dalam kitab Islah al-Mal hal. 73.

 

Tetapi hadith ini dhaif jiddan (terlalu lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Juwaibir bin Said dan dia dihukum matruk (al-kasyif az-Zahabi 1/298)

 

 

Kesimpulan

 

Tidak ada satu riwayat pun sahih@hasan dalam bab ini. Manakala hadith-hadith ini juga tidak boleh dinaiktaraf menjadi hasan lighairih kerana sebahagiannya daif jiddan dan sebahagian lainnya pula tidak mempunyai lafaz bilangan pintu rezeki yang dinyatakan. Maka semua riwayat dalam bab ini dhaif. Wallahua'lam.

 

Rujukan

 

Fb Dr Rozaimi

 

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2689-irsyad-al-hadith-siri-ke-292-perniagaan-adalah-sumber-rezeki-terbesar

No comments:

Post a Comment

Hadith tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil

  Matan hadith   نوم العالم أفضل من عبادة الجاهل   Terjemahan   Tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil   ...