Thursday 20 June 2024

Hadith ganjaran pahala membaca al-Fatihah 1x, al-Ikhlas 11x dan ayat kursi 1x semasa menziarahi kubur

 

Video tiktok (melalui akaun @irzandamha) yang viral dari ustaz Muhaizad yang mengatakan bila masuk ke kuburan bacalah seperti yang tertera pada tajuk di atas.

 

1. al-Ikhlas

 

من مر بالمقابر فقرأ {قل هو الله أحد} إحدى عشرة مرة ثم وهب أجره للأموات، أعطي من الأجر بعدد الأموات.

 

Barang siapa yang melalui perkuburan lalu membaca surah al-Ikhlas sebanyak sebelas kali, kemudian dia menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang yang telah mati, maka dia diberikan ganjaran sebanyak jumlah orang-orang yang telah mati itu.

 

Takhrij

 

HR. al-Khalal dalam Fadh'ail al-Ikhlas dan al-Dailami dalam al-Firdaus, daripada Ali ra, seperti mana disebutkan dalam Silsilah Hadith Dhaif no.1290, 3277.

 

Palsu menurut as-Sakhawi dalam al-Ajwubah al-Mardhiyah 1/169 kerana terdapat dua perawi pendusta iaitu Abdullah bin Ahmad bin Amar at-Thaie dan bapanya.

 

Hadith palsu menurut Syeikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif dan disetujui oleh oleh Syeikh Masyhur bin Hasan al-Salman dalam Silsilah al-Ahadith Dhaifah wal Maudhuah Mujarradah an al-Takhrij no. 8674.

 

 

2. ayat kursi

 

إذا قرأ المؤمن آية الكرسي ، و جعل ثوابها لأهل القبور ، أدخل الله تعالى في كل قبر مؤمن من المشرق إلى المغرب أربعين نوراً ، و وسع الله عز و جل عليهم مضاجعهم ، و أعطى الله للقارئ ثواب ستين نبياً ، و رفع له بكل ميت درجة ، و كتب له بكل ميت عشر حسنات

 

Apabila seorang mukmin membaca ayat Kursi, dan menghadiahkan pahalanya kepada ahli kubur, maka Allah‎ ta'ala memasukkan ke dalam tiap-tiap kubur orang mukmin dari timur sampai barat 40 cahaya. Dan Allah Azza wa Jalla memperluas untuk ahli-ahli kubur tempat tidurnya. Dan Allah  memberikan kepada pembaca ayat kursi tersebut pahala 60 orang nabi, dan dia dinaikkan satu darjat bagi orang yang membacanya daripada tiap-tiap mayat yang dibacakan ayat kursi tersebut.Dan ditulis baginya 10 kebaikan daripada tiap-tiap mayat tersebut.

 

Takhrij

 

HR. al-Qurthubi dalam at-Tadzkirah hal.  277, daripada Anas ra

 

Hadith palsu (https://dorar.net/fake-hadith/367)

 

Palsu menurut pentahqiq kitab at-Tadzkirah al-Qurthubi, iaitu Khalid Muhammad Uthman.

 

Akan tetapi memang ada hadith yang lafaznya seperti itu diriwayatkan oleh Ali ra:-

 

ما من مؤمن ولا مؤمنة يقرأ آية الكرسي ويجعل ثوابها لأهل القبور إلا لم يبق على وجه الأرض قبر إلا أدخل الله فيه نورا، ووسع قبره من المشرق إلى المغرب، وأعطاه الله بكل ملك في السموات عشر حسنات، وكتب الله للقارئ ثواب سبعين شهيدا

 

Tidaklah seorang mukmin lelaki atau perempuan yang membaca ayat al-Kursi dan menghadiahkan pahala kepada ahli kubur kecuali tidak ada satu kubur pun di muka bumi melainkan Allah memasukkan cahaya ke dalamnya dan melapangkan kuburnya. dari timur ke barat, dan Allah menganugerahkan kepada setiap malaikat di langit sepuluh kebaikan, dan Allah menulis untuk pembacanya pahala tujuh puluh orang yang mati syahid.

 

Takhrij

 

HR. ad-Dailami dalam Musnad Firdaus

 

Tidak sahih (Fatwa Syabakah Islamiyah no. 108769)

 

Kerana terdapat perawi pendusta dalam sanadnya.

 

Disebutkan oleh Ibnu Iraq dalam Tanzih Asy-Syariah 1/301,  terdapat seseorang bernama Ali bin Utsman Al-Asyuj, yang menurut Az-Zahabi mengenai dirinya dalam Al-Mizan 3/33, dia dianggap sebagai pendusta oleh para nuqqad hadith.

 

 

3. al-Fatihah

 

 

 مَنْ دَخَلَ الْمَقَابِرَ ثُمَّ قَرَأَ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَأَلْهَاكُمْ التَّكَاثُرُ ثُمَّ قَالَ إِنِّي جَعَلْت ثَوَابَ مَا قَرَأْت مِنْ كَلَامِك لِأَهْلِ الْمَقَابِرِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ كَانُوا شُفَعَاءَ لَهُ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى

 

Barangsiapa memasuki kawasan pemakaman kemudian ia membaca surah al-Fatihah, lalu surah al-ikhlas, lalu surah at-takatsur, kemudian ia mengatakan bahawa saya memberikan pahala bacaan tersebut kepada para ahli kubur dari kalangan orang mukmin lelaki dan perempuan, maka mereka semua para ahli kubur akan mendapatkan pertolongan dari Allah SWT.

 

Takhrij

 

HR. Abul Qasim al-Zanjani dalam al-Fawaid sepertimana disebutkan al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwadzi 3/77, daripada Abu Hurairah ra.

 

Al-Mubarakfuri menilai hadith ini dhaif.

 

Dan,

 

زيدُ بن الْحباب، نَا إِبْرَاهِيم بن عُثْمَان، عَن الحكم، عَن مقسم، عَن ابْن عَبَّاس " أَن النَّبِي [صلى الله عَلَيْهِ وَسلم] قَرَأَ على الْجِنَازَة بِالْفَاتِحَة

 

Sesungguhnya Nabi SAW membaca keatas jenazah surah al-Fatihah.

 

Takhrij

 

HR. Tirmidzi no. 1026, daripada Ibnu Abbas ra

 

Imam Tirmidzi  dan al-Mubarakfuri berkata sanadnya tidaklah kuat.

 

al-Hafiz Abu Thahir dalam taaliqnya atas Sunan Tirmidzi dan az-Zahabi dalam Tanqih al-Tahqiq, 1/315, menilai hadith ini terlalu dhaif.

 

Ini kerana, dalam sanad ini terdapat perawi yang halik (perawi yang binasa), matruk dan dhaif jiddan bernama Ibrahim bin Utsman, dia sebenarnya  adalah Abu Syaibah Al Wasithi (Talkhisul Kabir 2/674, Nailul Authar 4/102)

 

Halik, matruk  atau laisa bi thiqah adalah lafaz-lafaz yang digunakan dalam taraf ketiga oleh az-Zahabi, Ibnu Hajar dan as-Suyuthi dalam martabat al-Jarh iaitu  menunjukkan pendustaan dan  pemalsuan.

 

Periwayat yang demikian ini (halik) tidak dapat dijadikan hujjah hadithnya dan juga tidak dapat dijadikan i‘tibar (Nuruddin 'Itr, ‘Ulumu Al-Hadits, hal. 95).

 

Hadith ini munkar menurut ulama salaf, anak murid Ibn Main, iaitu Shalih bin Muhammad al-Jazarah (Tarikh Baghdad 6/111).

 

 

Manakala hadith yang sama dari sanad datang dari Ummu Syarik juga dhaif:-

 

حَمَّاد بن جَعْفَر، نَا شهر بن حوشبٍ، حَدَّثتنِي أم شريكٍ الأنصاريةُ، قالتْ: " أمرنَا رسولُ اللهِ [صلى الله عَلَيْهِ وَسلم] أَن تقْرَأ على الْجِنَازَة بفاتحةِ الكِتَابِ

 

Kerana perawi bernama Hammad bin Ja'far yang dinilai munkarul hadith oleh Ibnu Adi (Tanqih al-Tahqiq, 1/315).

 

Hadith Ummu Syarik ini juga didhaifkan sanadnya oleh as-Syaukani dalam Nailul Authar 4/102.

 

Lebih parah lagi, al-Imam Bukhari berkata dalam al-'Ilal al-Kabir, hadith ini diucapkan oleh seorang yang dhaif dan pendusta bernama Ibn Aun.

 

Syeikh al-Albani menilai hadith ini dhaif dalam Dhaif Ibnu Majah no. 293.

 

Penulis As-Sunnah wa al-Mubtada`aat rahimahullah, as-Shukairi selepas menjabarkan sekian riwayat berkenaan bacaan al-Quran buat mayyit, lalu menukilkan perkataan ad-Daraquthni:

 

‘Di dalam bab ini, tidak ada satu hadith pun yang sahih.”

 

(As-Sunnah Wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar hal. 106)

 

 

Al-Syeikh Muhammad Redha, yang menulis tafsir al-Manar 8/268 berkata:

 

 “Ketahuilah bahawasanya apa yang masyhur tersebar di kalangan orang Badwi dan bukan badwi dari membaca al-Fatihah kepada mayat tidak terdapat petunjuk dari satu hadith yang sahih mahupun yang dhaif, ianya termasuk di dalam bidaah yang bertentangan dengan nas-nas yang qat'iyyah, akan tetapi ianya berlaku disebabkan senyapnya orang-orang yang memakai pakaian ulama dan persetujuan mereka terhadap perbuatan tersebut, disamping ianya berterusan di lakukan oleh orang awam dalam bentuk (seolah-olah) ianya termasuk perkara sunat yang digalakkan atau termasuk dalam perkara fardhu yang dituntut.”

 

 

 

Al-Syeikh Hamid al-‘Attar pula di dalam laman web yang memuatkan fatwa-fatwa terkini tokoh-tokoh ulama semasa dunia Arab, islam-online.net (http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=0m2vUm) berkata:

 

 “Adapun bacaan al-Quran sekitar tanah perkuburan juga adalah masaalah khilafiah, sebahagian mengatakannya bid’ah dan sebahagian yang lain mengharuskannya. Dan pendapat yang mengatakannya bid’ah adalah lebih rajih (kuat) dari sudut dalil disebabkan ketiadaan petunjuk yang mengkhususkan tempat itu (tanah perkuburan untuk dibacakan al-Quran). Dan tiadalah bacaan al-Quran di kubur itu satu faedah tertentu, tidak ada juga kelebihan yang khusus, bahkan  sama seperti orang yang membacanya di rumah, dan bacaan (al-Quran) yang dilakukan di rumah itu adalah lebih afdhal sebagai keluar dari khilaf. Ketahuilah bahawasa bukan diambil kira pada membaca surah tertentu seperti al-Fatihah (kepada mayat), dan tindakan mengkhususkannya (suarh al-Fatihah) kepada mayat adalah suatu tindakan membuat syariat yang tidak diizinkan oleh Allah, yakni ia termasuk di dalam bid’ah, akan tetapi yang diambil kira ialah nilai/niat orang yang membacanya dan keikhlasan bacaannya, maka berdasarkan itu, anda boleh membaca mana-mana surah yang anda suka tanpa berkeyakinan adanya keutamaan pada satu surah tertentu.”

 

Rujukan

 

https://www.attabiin.com/membaca-al-fatihah-ataupun-al-quran-di-sisi-kuburan/

 

https://www.manis.id/2016/11/membacakan-al-fatihah-untuk-orang/

No comments:

Post a Comment

Hadith tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil

  Matan hadith   نوم العالم أفضل من عبادة الجاهل   Terjemahan   Tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil   ...