Thursday, 20 June 2019

Hadith Amalan Malam Raya



1. Bacaan tahlil khas dan ganjarannya


Matan Hadith


وقال الزهري : قال أنس ‍[رضي الله عنه] : قال النبي صلى الله عليه وسلم : ﴿من قال في كل واحد من العيدين : لا اله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد يحيي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو على كل شيء قدير ، أربعمائة مرة قبل صلاة العيد ، زوجه الله تعالي أربعمائة حوراء ، وكأنما أعتق أربعمائة رقبة ، ووكل الله تعالي به الملائكة يبنون له المدائن ، ويغرسون له الأشجار الي يوم القيامة﴾ . قال الزهري : ما تركتها منذ سمعتها من أنس . وقال أنس رضي الله عنه ما تركتها منذ سمعتها من النبي صلى الله عليه وسلم .


Terjemahan

Lebih kurang begini:-

Az-Zuhriy berkata : Telah berkata [Sahabat] Anas : Nabi [Muhammad] bersabda , semoga rahmat Allah sentiasa tercurah untuk beliau : "Barang siapa membaca di setiap ied dari dua hari ied [iaitu Aidul Fitri dan Aidul Adha] :

لا اله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد يحيي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو على كل شيء قدير

400 x sebelum solat ied , maka Allah Ta'ala memberi isteri untuk dirinya 400 bidadari , dan seakan-akan dia telah memerdekakan 400 budak , dan Allah mewakilkan baginya para malaikat untuk membangun kota-kota baginya dan menanamkan untuknya pohon-pohon [di surga] sampai hari kiamat [datang]" . Az-Zuhriy berkata : "Tidaklah aku tinggalkan bacaan itu semenjak aku mendengarnya dari Anas" . Anas berkata , semoga Allah senantiasa meredhai beliau : "Tidaklah aku tinggalkan bacaan itu semenjak aku mendengarnya dari Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, semoga rahmat Allah sentiasa tercurah untuk beliau.


Takhrij

HN. Kanzul Najah hal. 114. Dari Anas bin Malik. **Tanpa status.





2.  Bacaan tasbih khas dan ganjarannya


Matan Hadith

من قال سبحان الله وبحمده يوم العيد ثلثمائة مرة وأهداها لأموات المسلمين دخل في كل قبر ألف نور ويجعل الله في قبره إذا مات ألف نور


Terjemah

Barangsiapa yang membaca subhanallah wa bihamdihi pada malam hari raya dan ia menghadiahkan bacaan tersebut untuk kaum musliminin yang sudah wafat, maka seribu cahaya akan masuk di setiap kuburan, dan Allah akan memasukkan seribu cahaya ke kuburnya jika ia meninggal.


Takhrij

HN. Kanzul Najah hal. 113. **Tanpa sanad dan status.



Nota Tambahan

Kedua dua "hadith" ini juga di jumpai di dalam kitab

-Jami' al-Fawaid wa Jauhar Al-Qala’id karangan Asy-Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fatani

-Mukasyiaftul Quluub karangan Imam Ghazali, bab Fadhlul Ied (http://www.majelisrasulullah.org/forums/topic/amalan-malam-idul-fitri-idul-adha/)

-Tuhfat al-Ikhwan hal. 161-162 karangan Syihabudin al-Fasyini

-Nuhzat al-Majalis wa Muntakhab al-Nafais 1/162 karangan al-Sufuri


**Hadith yang diriwayatkan tanpa sanad dan status hendaklah ditinggalkan untuk di amalkan, kerana banyak lagi hadith sahih menunjukkan amalan yang hampir serupa untuk diamalkan. Dan kita masih tidak mampu untuk mengamalkan semua amalan di dalam hadith sahih. Maka mengapa kita masih hendak beramal dengan  amalan-amalan yang tidak jelas sumbernya?. 


Abdullah bin Mubarak rahimahullah mengatakan:

الإسناد من الدين، ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء

“Sanad adalah bagian dari agama. Jika tidak ada sanad, maka orang akan berkata semaunya.” (Muqaddimah Sahih Muslim, 1/12).


Manakala hadith....



Matan Hadith


زَيِّنُوا الْعِيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ وَالتَّكْبِيْرِ وَالتَّحْمِيْدِ وَالتَّقْدِيْسِ


Terjemahan

Hiasilah kedua-dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan tahlil,  takbir,  tahmid dan taqdis.


Takhrij

HR. Abu Nuaim di dalam Hilyatul Auliya' 2/288 dan Dailami di dalam Musnad Firdaus no. 3332, Syeikh al-Albani menilai hadith ini palsu di dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 3673

Dan hadith...



Matan Hadith


زَيِّنُوا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ


Terjemahan

Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir


Takhrij

HR. Thabarani di dalam Mu'jam as-Saghir no. 599. Syeikh al-Albani menilai hadith ini di dalam Dhaif Targhib no. 669 sebagai munkar.



Menurut Syeikh Saleh Munajid, ini bukanlah bermakna menghidupkan malam hari raya itu tidak dianjurkan. Bahkan disunnahkan menghidupkan setiap malam yang ada menurut kesepakatan ulama (Al-Adzkar hal. 145). Cuma yang dibahas di sini adalah seputar keutamaan menghidupkan malam dan mengikat malam-malam tersebut dengan ibadah-ibadah tertentu secara khusus. 

Maka dengan itu hidupkanlah malam raya tersebut dengan amalan apapun yang bersesuaian dengan kemampuan masa, tenaga, ilmu masing-masing tanpa iktikad perlunya menghidupkan amalan sedemikian dan sebegini diwaktu malam raya kerana ia adalah sunnah Nabi SAW, kecuali ia memang terdapat dalil yang sahih menegaskannya, seperti:-

Terdapat dalil sahih untuk melakukan takbir dan tahmid  PADA hari raya seperti:-


Firman Allah Taala:

.. وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.

" .. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah (dengan takbir dan tahmid) kerana mendapat pertunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur (QS al-Baqarah: 185)

Menurut Ibn Kathir rahimahullah, (bahagian akhir) ayat ini menjadi dalil syar'i mengenai takbir hari raya Aidil Fitri.  (Tafsir Ibn Kathir, 1/218).


Ulama berbeza pendapat tentang menghidupkan malam hari raya dengan takbir:-



Pertama

Boleh, kerana tidak ada larangan.

Di dalam kitab Al-Mubdi` Fi Syarhil Muqni` karya Muhammad bin Muflih Al-Muarrikh Al-Hanbali (2/191) disebutkan,”Dan disunnahkan untuk menghidupkan dengan takbir, tahmid dan lainnya pada kedua malam `Ied (Fitri dan Adha) berdasarkan dalil ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 185. Pendapat ini juga disebutkan juga di dalam tafsir Al-Jami` Li Ahkamil Quran karya Al-Qurthubi (2/302). Qurthubi menyebutkan, ayat di atas telah menjadi dasar masyru`iyah atas ibadah takbir di malam `Id, terutama aidil Fitri.

Demikian juga di dalam kitab Al-I`lam Bi Fawaidi `Umdatil Ahkam karya Ibnul Mulaqqin (4/255) disebutkan bahawa disunnahkan untuk menghidupkan malam `Ied, meski hadithnya dhaif.



Kedua

Tidak boleh, kerana  tidak ada contohnya dari Rasulullah SAW.


An-Nawawi di dalam Al-Majmu (5/48) mengatakan, “Pendapat majoriti ulama adalah tidak ada takbir saat malam hari raya. Takbir hanya dilakukan saat berangkat menuju tempat solat”.

Dalilnya:-

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يخرج يوم الفطر فيكبر حتى يأتي المصلى وحتى يقضي الصلاة فإذا قضى الصلاة قطع التكبير

“Bahwasannya bila Beliau shallallaahu ‘alaihi wasallam keluar (dari rumah beliau) pada hari aidilfitri, maka beliau bertakbir hingga tiba di tanah lapang dan hingga ditunaikannya solat. Apabila Beliau telah menunaikan solat beliau menghentikan takbir” (HR. Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannafnya no. 5667)

Sanad mursal sahih. Namun memiliki pendukung yang menguatkannya. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah Hadith Sahih no. 171.

Ibnu Qayyim pula berkata mengenai petunjuk pada malam nahar (iaitu malam aidiladha) dalam kitab Al-Manasik (1/212) : ”Kemudian Beliau shallallaahu ’alaihi wasallam tidur hingga waktu subuh. Beliau tidak menghidupkan malam tersebut. Tidak ada yang sahih satupun hadith yang berasal dari Baginda shallallaahu ’alaihi wasallam yang berbicara tentang menghidupkan dua malam hari raya”.


Jumhur ulama berpendapat: disunnahkan bahkan bertakbir dengan nyaring di mana pun, di rumah, di pasar, di jalan-jalan, di masjid ketika menjelang dilaksanakannya solat aidilfitri." (Fikhul-Islam wa Adillatuh karya Prof. DR. Wahbah Zuhayli).

  

Wallahu Taala 'Alam


Rujukan

Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah 2/235

Fatwa Soal Jawab Islam no. 12504 dan 127851


No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...