Matan hadith
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَأَحْسَنَ
وُضُوءَهُ ثُمَّ خَرَجَ عَامِدًا إلَى الْمَسْجِدِ فَلَا يُشَبِّكَنَّ يَددَهُ
فَإِنَّهُ فِي صَلَاةٍ
Terjemahan
Jika salah seorang daripada kalian berwuduk maka sempurnakanlah
wuduknya, kemudia apabila dia keluar menuju ke masjid maka janganlah dia
melakukan tasybik pada tangannya kerana dia itu berada dalam keadaan solat.
Takhrij
HR. Abu Daud no. 562, Ibnu Majah
no. 967 dan al-Tirmidzi no.386, disahihkan oleh Syeikh al-Albani
Penjelasan
Ketika solat makruh bagi seseorang itu untuk menggenggam secara tasybik.
Mengikut jumhur ulama, larangan yang sama juga berlaku bagi seseorang bersiap
sedia menuju solat. Adapaun jika sudah selesai solat, maka itu tidak mengapa.
Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Telah bersepakat para ashab (ulama
Syafieyyah) dan selain daripada mereka tentang hukum makruh melakukan tasybik
pada jari jemari ketika dalam perjalanan menuju masjid, ketika di dalam masjid
pada hari Jumaat, dan selainnya, dan dimakruhkan semua bentuk perbuatan sia-sia
selama mana seseorang itu menuju solat, atau menunggunya dengan menggunakan
hadith di atas.
Berkata al-Khattabi: “Perbuatan tasyabbuk ini dilakukan orang sebagai
satu benda perkara yang sia-sia. Sebahagian mereka pula meletupkan jari
jemarinya. Sebahagian manusia pula duduk ihtiba (duduk di atas punggung sambal
menegakkan dua peha dan memeluk pehanya), sambil bertasybik jari jemarinya
sehingga mungkin dia akan dikalahkan dengan tidur lalu menjadi sebab batallah
wuduknya. Oleh kerana itu dilarang bagi orang yang bersiap sedia untuk solat
daripada berbuat semua yang disebut tadi kerana demikian tidak sesuai bagi
orang yang hendak bersolat.” Terkecuali daripada hal ini ialah apa yang disebut
dalam Sahih al-Bukhari.” [al-Majmu` Syarh al-Muhazzab 4/544-545].
Dan terdapat pengecualian terhadap perkara ini. Tidak dimakruhkan
tasybik ketika selain waktu menuju dan menunggu solat sekalipun di dalam
masjid. Ini kerana telah sahih daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda juga
melakukan tasybik.
Daripada Ibn Umar R.Anhuma berkata:
شَبَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَصَابِعَهُ
Maksudnya: “Nabi SAW melakukan menggenggam secara tasybik pada jari
jemarinya.” (HR. Bukhari no. 478).
Daripada Abu Musa al-Asy`ari R.Anhuma,
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu dengan orang beriman
yang lain seumpama binaan yang saling mengukuh.” Lalu Baginda menggenggam
tasybik. HR. Bukhari no. 482.
Hikmah larangan
Didalam Hasyiyah ath Thahawi ‘ala Maraqi al Falah, ”Hikmah larangan dari
menjalin jari jemari adalah bahawa perbuatan itu berasal dari syaitan, dapat
menyebabkan tidur dan tidur di antara posisi yang boleh menyebabkan hadas (al Mausu’ah
al Fiqhiyah 2/4164 – 4165). Dan mengelak menyerupai solat orang yang dibenci (Yahudi)
apabila dilakukan di dalam solat sepertimana hadith dari Ibnu Umar ra:
Dalam riwayat lain Rasulullah shallallahu
‘alaihi wa sallam bersabda,
عن إسماعيل بن أمية، قال: سألت نافعاً عن الرجل يصلي وهو مشبِّك يديه؟ قال:
قال ابن عمر: تلك صلاة المغضوب عليهم.
“Dari Isma’il bin Umayyah, ia berkata: Aku bertanya kepada Naafi’
tentang seorang laki-laki yang menjalin jari-jemarinya (tasybik) ketika solat?
Maka ia berkata: Telah berkata Ibnu ‘Umar: “Itu adalah cara solat orang-orang
yang dimurkai oleh Allah.” (HR. Abu Daud no. 993, sanadnya hasan dan semua
perawinya tsiqah, disahihkan oleh Syeikh al-Albani)
Rujukan
Al-Kafi li al-Fatawi no. 669, Mufti Wilayah
Persekutuan.
Fatwa Lajnah Daimah Lilbuhutsil Ilmiyyah wal Ifta' no. 21389
No comments:
Post a Comment