Ampunan Dosa Kerana Memandang
Ulama
وقال صلى الله عليه وسلم: من نظر إلى وجه العالم نظرة ففرح بها خلق الله
تعالى من تلك النظرة ملكا يستغفر له إلى يوم القيامة
Nabi ﷺ bersabda: “Barangsiapa memandang wajah orang alim dengan
pandangan yang menyenangkan maka Allah akan menciptakan malaikat dari pandangan
tersebut yang akan memohonkan ampunan kepada orang tersebut di hari kiamat.”
Takhrij
HR. Ibn Asakir dalam Tarikh
Dimasyq 49/366, daripada Abu Sa’id al-Khudri ra.
Sanadnya dhaif, terdapat perawi
yang majhul antaranya Qaid bin Bisr.
Ibnu Iraq al-Kinani dalam Tanzih
Syariah 1/281 mendhaifkan hadith ini.
Hadith penguat dalam bab ini
kesemuanya dhaif dari al-Azraq ra sanadnya kelam menurut az-Zahabi dalam Mizan
al-‘Itidal 3/681, dari Anas ra, palsu menurut Mulla Ali Qari dalam al-Asrar
al-Marfuah no. 356, dari Abu Hurairah ra, dhaif jiddan menurut Syeikh al-Albani
dalam Dhaif Jami’ no. 2855.
Memuliakan Ulama, Syurga
Imbalannya
وقال النبي صلى الله عليه وسلم: من أكرم عالما فقد أكرمني، ومن أكرمني فقد
أكرم الله، ومن أكرم الله فمأواه الجنة
Nabi ﷺ bersabda: “Barangsiapa memuliakan orang alim, bererti ia telah
memuliakan aku. Barangsiapa memuliakan aku, bererti memuliakan Allah. Barang
siapa memuliakan Allah, maka tempat kembalinya adalah syurga.”
Takhrij
Tidak ditemukan hadith ini dalam
kitab hadith muktabar Sunnah. Ia ditemukan dalam kitab hadith Syiah seperti
Jami’ al-Akhbar 1/38 karangan Muhammad al-Syai’iri, daripada Abu Hurairah ra.
Ibnu Iraq al-Kinani dalam Tanzih
Syariah 1/318 mendhaifkan hadith ini.
Keutamaan Tidurnya Ulama
وقال النبي صلى الله عليه وسلم: نَوْمُ العَالِمِ أَفْضَلُ مِنْ عِبَادَةِ
الجَاهِلِ
Nabi ﷺ bersabda: “Tidurnya orang ‘alim adalah lebih utama dari pada
ibadahnya orang bodoh.”
Takhrij
Tidak ditemukan hadith ini dalam
kitab hadith muktabar Sunnah. Ia ditemukan dalam kitab hadith Syiah seperti Man
la Yahduruhu al-Faqih 4/352-367 karangan Syeikh as-Shaduq, Makaraim
al-Akhlaq oleh al-Tabrizi hal. 441,
Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi 2/25, daripada Ali ra.
Hadith ini jelas kepalsuannya,
perawinya tidak dikenali sama ada dari kitab rijal Sunnah mahupun Syiah. Mulla
Ali al-Qari mengatakan, tidak ada satupun hadith marfu’ berkenaan bab ini. (al-Asrar
al-Marfuah fil Akhbar al-Maudhuah hal. 374.
Belajar Satu Bab Lebih Utama
وقال النبي صلى الله عليه وسلم: مَنْ تَعَلَّمَ بَابًا مِنَ العِلْمِ،
يَعْمَلُ بهِ أوْ لَمْ يَعْمَلْ بهِ كَانَ أَفْضَلَ مِنْ أَنْ يُصَلِّي أَلْفَ
رَكْعَةٍ تَطَوُّعًا
Nabi ﷺ bersabda: “Barang siapa belajar ilmu satu bab, diamalkan atau
tidak, adalah lebih utama dari pada solat sunnat 1000 (seribu) rakaat.”
Takhrij
HR. Ad-Dailami dalam Musnad
Firdaus 1/190 daripada Ibnu Umar ra. dan al-Khatib dalam Tarikh Baghdad 6/50,
Kanzul Ummal no. 28743 daripada Ibnu Abbas ra. Juga hadith ini banyak ditemukan
dari sumber syiah, seperti Misykatul Anwar no. 136, Bihar al-Anwar 1/180 dll.
Syeikh al-Albani menilai riwayat
dari Ibnu Umar munkar dalam Silsilah hadith Dhaif no. 3139, dan dari Ibnu Abbas palsu dalam Silsilah
Hadith Dhaif no. 6803
Keutamaan Berkunjung Kepada Orang
‘Alim
وقال النبي صلى الله عليه وسلم: مَنْ زَارَ عَالِمًا فَكَأَنَمَّا
زَارَنِي، وَمَنْ صَافَحَ عَالِمًا فَكَأَنَّما صَافَحَنِي، وَمَنْ جَالَسَ
عَالِمًا فَكَأَنَّما جَالَسَنِي في الدُّنْيَا، وَمَنْ جَالَسَنِي في الدُّنْيَا
أَجْلَسْتُهُ مَعِيْ يَوْمَ القِيَامَةِ
Nabi ﷺ bersabda: “Barang siapa mengunjungi orang alim, maka
seolah-olah ia mengunjungiku. Barang siapa berjabat tangan dengan orang alim,
maka seolah-olah ia berjabat tangan denganku. Barang siapa duduk berdampingan
dengan orang alim, maka seolah-olah ia duduk berdampingan dengan denganku di
dunia. Barang siapa duduk berdampingan denganku di dunia, maka ia akan duduk
berdampingan denganku di hari kiamat.”
Takhrij
HR. al-Sahmi dalam Tarikh Jurjan,
Abu Nu'aim dalam Tarikh Asbahan 2/364 dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus
daripada Ibnu 'Abbas ra.
Hadith ini dinilai sebagai palsu
oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah 1/159 no. 172, Ibnu 'Arraq dalam Tanzih al-Syari'ah
al-Marfu'ah 1/272, Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Masnu' no. 335 dan al-Asrar
al-Marfu'ah no. 490, al-Qawuqji dalam al-Lu'lu' al-Marsu' no. 568 dan Syeikh
al-Albani dalam Silsilah Hadith Dhaif no. 3333.
Rujukan
Fatwa Soljawab Islam no. 171514,
16067
Fatwa Syabakah Islamiyah no.
279550
No comments:
Post a Comment