Tuesday, 10 April 2018

Memahami khilaf dalam agama dengan pemahaman yang betul




إِنَّ الْحَمْدَ لله نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بلله مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ الله فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إله إلا الله وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ


Sesungguhnya pujian hanya bagi Allah. Kita memujiNya, meminta pertolongan kepada-Nya dan keampunan daripada-Nya. Kita berlindung dengan Allah daripada kejahatan diri kita dan keburukan amalan perbuatan kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, tiada yang dapat menyesatkannya. Dan sesiapa yang disesatkan, tiada yang dapat memberikan petunjuk kepadanya. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (yang layak disembah) melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.



1
Islam adalah agama yang dibangunkan di atas dasar ilmu. Ia mendidik umatnya untuk tidak berkeyakinan mahupun beramal dalam urusan agama, melainkan dengan ilmu yang tepat lagi benar, memiliki asas dan dasar yang absah, dan dapat dipastikan melalui petunjuk wahyu. Argumen dan alasan beragama tersebut dinamakan sebagai dalil.

2
Dalil dalam islam adalah bersumberkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW (sabda, perbuatan, dan pengakuannya). Sunnah dikukuhkan oleh Al-Quran sebagai dasar agama yang sepadan dan seiring dengannya, dan sama sekali tak bertentangan.

3
Selain itu, hierarki di bawahnya pula, terdapat dalil-dalil lain yang diakui dan disepakati oleh Al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan majoriti ulama (baca ijma’). Namun sebahagian pula ada diperselisihkan oleh para ulama (baca khilaf).

4
Maka, ijma’ juga merupakan salah satu dari dalil dalam islam. Tetapi khilaf belum tentu, kerana masih memerlukan dalil untuk menentukan sesuatu keputusan. Supaya apa yang dipilih dari keputusan itu nanti adalah paling mendekati kebenaran.

Allah berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (QS. an-Nisa: 59).
Nabi SAW bersabda:
 “Sesungguhnya sepeninggalku akan terjadi banyak perselisihan. Maka hendaklah kalian berpegang pada sunnahku dan sunnah khulafa ar-rasyidin. Peganglah ia erat-erat, gigitlah dengan gigi geraham kalian” (HR. Abu Daud 4607, Ibnu Majah 42, disahihkan Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud)
Hadis ini juga memberi faedah bahawa Al-Quran dan Sunnah difahami dengan pemahaman para salaf.
Selain itu, Rasulullah SAW bersabda:
 “Bani Israil akan berpecah menjadi 74 golongan, dan umatku akan berpecah menjadi 73 golongan. Semuanya di neraka, kecuali satu golongan”. Para sahabat bertanya: “Siapakah yang satu golongan itu, ya Rasulullah?”. Beliau menjawab: “Orang-orang yang mengikutiku dan para sahabatku” (HR. Tirmidzi no. 2641. Dalam Takhrij Al Ihya (3/284) Al’Iraqi berkata: “Semua sanadnya jayyid”, Dihasankan oleh Al-Bani).
Jelas sekali bahawa jika ada perselisihan maka penyelesaiannya adalah kembali kepada dalil, dan tentunya difahami dengan pehamaman generasi terbaik umat Islam iaitu sahabat Nabi, tabi’in dan tabi’ut tabi’in

5
Islam melarang perselisihan kerana ia akan membawa kepada perpecahan.

Dalam banyak ayat, Allah memuji persatuan dan menegah perselisihan,
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Berpegang teguhlah kalian semua dengan tali Allah (aturan Allah), dan jangan berpecah belah. (QS. Ali Imran: 103)
6
Kebenaran itu bersumber dari Allah dan RasulNya. Kebenaran itu tunggal dan tidak berbilang, kecuali terdapat petunjuk lain dari Rasulullah SAW, yang umumnya berkait dengan tatacara ibadah tertentu.

Seperti beberapa redaksi doa iftitah, doa rukuk, doa sujud, dan sebagainya, yang diisitilahkan para ulama dengan khilaf tanawwu’ (perbezaan yang sifatnya beragam).

7
Apa itu Khilaf?


Khilaf boleh diistilahkan dengan bahasa yang mudah difahami sebagai perselisihan pendapat di kalangan ulama1.

Kaedah ulama dalam berinteraksi dengan khilaf adalah tidak saling berbantah-bantah kerana masalah itu difahami dengan cara yang pelbagai. Pada asalnya khilaf merupakan keluasan dalam syariat dan rahmat bagi umat. Tetapi khilaf juga boleh menjadi sempit jika ia dicemari hawa nafsu, kepentingan tertentu atau berlaku tanpa mengikut disiplin keilmuan yang betul. Pada ketika itu rahmat tersebut boleh bertukar menjadi perpecahan, perbalahan, dan huru-hara di dalam ummah.

8
Bagaimana ia boleh terjadi?2*


a)Kemampuan menguasai ilmu tidak sama dari segi akal fikiran dan kefahaman
b)Perbezaan dalam pencapaian ilmu
c)Perbezaan dalam penguasaan ilmu-ilmu bahasa arab
d)Perbezaan tentang kehujahan beberapa sumber hukum
e)Perbezaan tentang syarat-syarat yang wajib dipenuhi pada hadis sahih yang boleh dijadikan hujah
f)Perbezaan tentang beberapa qawa’id usuliyyah (kaedah, uslub, manhaj dalam istinbath hukum)
g)Khilaf tentang qiraat dalam al-quran al-karim
h)Khilaf disebabkan perbezaan dalam berinteraksi dengan percanggahan dalil-dalil

*Perbahasan untuk 3 faktor ini sangat panjang.

9
Jenis – jenis khilaf



Para ulama membagi ikhtilaf menjadi 2, iaitu:-

a)   Khilaf Yang Muktabar, iaitu masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara dasar, dalam masalah-masalah yang khilafnya muktabar, diharuskan berpegang kepada mana-mana pendapat samada melalui pentarjihan dengan dalil, atau taqlid kepada ulama yang muktabar.

Sufyan Al-Tsaury berkata:

“Apa-apa yang diperselisihkan oleh fuqaha, aku tidak melarang seorang pun dari kalangan sahabat-sahabatku untuk berpegang dengannya”. (Al-Faqih Wa Al-Mutafaqqih 2/69).

Perselisihan seperti ini terbahagi kepada dua bahagian3:

Pertama: Ikhtilaf Tanawwu’

Pengertian ikhtilaf tanawwu’ adalah: Perbezaan yang berlaku pada pendapat-pendapat fiqh dari sudut jenis, yang tidak bercanggahan dan tidak menafikan di antara satu sama lain. Iaitu kesemua pendapat fiqh itu berada dalam jenis yang sama dan tidak bercanggahan.

Ikhtilaf ini berlaku disebabkan terdapatnya dalil-dalil ke atas satu jenis daripada ibadah. Maka seseorang itu kadangkala beramal dengan satu dalil dalam ibadah tersebut. Kadangkala dia beramal dengan dalil lain yang warid berkenaan ibadah yang sama.

Sebagai contoh, waridnya dalil-dalil yang banyak berkenaan sifat istiftah (bacaan doa istiftah/iftitah dalam solat). Antaranya seperti berikut, Abu Hurairah meriwayatkan dari Nabi SAW bahawa baginda membaca doa istiftah seperti berikut:-

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ المَشْرِقِ وَالمَغْرِبِ اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ  اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالبَرَدِ

Maksudnya : Ya Allah, jauhkanlah di antaraku dan juga kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau telah menjauhkan di antara timur dan juga barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku daripada kesalahan-kesalahan sebagaimana telah dibersihkan baju yang putih daripada kotoran. Ya Allah, basuhkanlah kesalahan-kesalahanku dengan air, salji, dan juga air sejuk. Riwayat al-Bukhari (744) dan Muslim (598)

Manakala dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah. Beliau menceritakan bahawa Rasulullah SAW apabila bangun pada waktu malam, baginda memulakan solat baginda dengan bacaan berikut:-

اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ  وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ  فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ  عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ  أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ  فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ  اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: Wahai Allah, Tuhan kepada Jibrail, Mikail, dan juga Israfil. Tuhan yang menciptakan langit-langit dan juga bumi. Tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan juga perkara yang nyata. Engkau menghukum di antara hamba-hamba-Mu terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku akan kebenaran terhadap apa yang mereka perselisihkan dengan keizinan-Mu. Sesungguhnya Engkau memberikan hidayah kepada sesiapa yang Engkau kehendaki ke arah jalan yang lurus. Riwayat Muslim (770)

Oleh itu, jika sesorang mengamalkan kedua-dua dalil yang sahih di atas di dalam dua solat yang berbeza, sekalipun terdapat perbezaan lafaz antara keduanya akan tetapi perbuatan tersebut tidaklah tercela. Ini kerana, dia beramal dengan kedua-dua lafaz yang mempunyai dalil sahih padanya di dua tempat yang berbeza. Bahkan dia dalam hal ini mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W. Maka ini yang dipanggil sebagai ikhtilaf tanawwu’ iaitu perbezaan dalam jenis lafaz.

Demikianlah juga perbezaan yang berlaku di dalam bacaan-bacaan ketika rukuk dan sujud. Ini kerana, terdapat pelbagai riwayat yang menyatakan beberapa bacaan dan lafaz yang berlainan untuk dibaca semasa sujud dan juga semasa rukuk.

Kedua: Ikhtilaf Tadhaadh (اختلاف تضاد)

Ikhtilaf tadhaadh juga termasuk di dalam kategori al-Ikhtilaaf al-Saaigh (perselisihan yang dibenarkan). Definisinya adalah: Ikhtilaf yang berlaku pada pendapat-pendapat fiqh yang saling bercanggahan dan berbeza di antara satu sama lain.

Ikhtilaf tadhaadh ini berlaku pada permasalahan fiqh yang sabit dengan dalil yang sahih akan tetapi dalalahnya adalah zhanni (tidak pasti) dan bukannya qath’ie (pasti). Contohnya adalah perbezaan pendapat para fuqaha daripada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu ingin mengerjakan solat maka basuhlah wajah-wajah kamu, dan tangan-tangan kamu sehingga ke siku. Dan sapulah kepala-kepala kamu dan (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke buku laliSurah Al-Maaidah (6).

Berdasarkan kepada ayat di atas, ia merupakan ayat yang sahih dan sabit secara qath’ie (qath’iyyah al-Thubut). Akan tetapi, pada kalimah وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ itu dianggap sebagai zhanniyah al-dalalah (dalalah yang zhanni). Justeru berlaku beberapa perbezaan pandangan dalam fiqh berkenaan bahagian kepala yang perlu disapu semasa mengambil wuduk.

Sebahagian fuqaha berpendapat, bahawa yang perlu disapu adalah keseluruhan kepala. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa yang disapu adalah separuh kepala. Ada juga yang menyatakan bahawa yang disapu adalah satu perempat kepala, manakala pendapat di sisi mazhab Imam Al-Syafie pula adalah serendah-rendah apa yang berlaku padanya nama sapuan, maka itupun memadai.

Maka perbezaan pendapat yang berlaku di sisi para fuqaha dalam isu-isu seumpama ini adalah dinamakan sebagai Ikhtilaaf al-Tadhaadh dan ia dibenarkan di dalam syarak. Selama mana khilaf itu berlaku pada nas-nas yang sahih dan dalalahnya adalah zhanni.


b) Khilaf Yang Tidak Muktabar, iaitu Khilaf Yang Keji lagi Dicela. Pendapat yang tidak muktabar ialah pendapat yang sudah jelas kebatilannya, dan dipastikan kesilapannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan nyata. Lalu kita putuskan bahawa ia adalah pendapat yang silap tanpa ada sebarang keraguan. Khilaf yang tidak muktabar seperti ini mestilah diingkari dan diperjelaskan kedhaifan atau keganjilannya, serta diterangkan kesahihan pendapat yang lain dengan hujah.

Ini berpunca daripada empat sebab:
•   Kejahilan
•   Kezaliman dan penderhakaan
•   Mengikut hawa nafsu
•   Menyalahi manhaj Nabawi dalam penerimaan hukum Syara’ dan cara mengamalkannya.

Yang menjadikan ia sebagai perselisihan yang tercela adalah pada dua keadaan3:

Pertama: Setiap Permasalahan Fiqh Yang Sabit Dengan Dalil Yang Sahih Lagi Qathi’yyah al-Dalalah.

Sebagai contohnya adalah firman Allah S.W.T:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
Maksudnya: Dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakatSurah Al-Baqarah (43).

Ayat di atas berkaitan dengan isu fiqh, iaitu solat yang merupakan perbuatan yang dituntut kepada setiap mukallaf. Dalil di atas adalah qath’ie dari sudut thubut (kesabitannya) dan ia juga qath’ie dari sudut dalalah. Ini kerana, yang difahami dari dalil tersebut hanyalah makna yang satu iaitu kewajipan solat dan kewajipan menunaikan zakat.

Maka jika ada mana-mana individu yang mendakwa bahawa solat itu tidak wajib dan zakat juga tidak wajib ditunaikan, maka perbezaan ini adalah tercela dan tidak dibenarkan.

Kedua: Setiap Permasalahan Fiqh Yang Berlaku Ijma’ Padanya

Sebagai contohnya, di antara perkara yang para ulama ijma’ padanya adalah: Bukti ke atas sesiapa yang mendakwa, manakala sumpah ke atas orang yang didakwa. Kenyataan ini disebutkan oleh Imam Ibn Al-Munzir Rahimahullah di dalam kitabnya al-Ijma’ Hlm. 62. Maka sesiapa yang berbeza dengan hal ini, seperti dia mengatakan bahawa orang yang didakwa yang perlu mendatangkan bukti bagi menafikan tuduhan ke atasnya, maka ikhtilaf ini adalah tidak dibenarkan lagi tercela. Ini kerana ia telah bercanggahan dengan ijma’.

Begitu juga telah ijma’ para ulama bahawa rukuk itu wajib di dalam solat bagi sesiapa yang berkemampuan untuk melakukannya. Ini dinyatakan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni (1/495).

Maka jika seseorang mendakwa bahawa rukuk itu tidak wajib bagi siapa yang mampu melakukannya, sebaliknya sunat sahaja maka kenyataannya ini dikategorikan sebagai ikhtilaf al-mazmum kerana menyanggahi ijma’ para ulama.

10
Adab dalam menyikapi perbezaan pendapat


a)Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sebarang sentimen taksub mazhab secara buta tuli tanpa ilmu.

b)Berlapang dada dalam meraikan perbezaan pendapat (baca khilaf yang dibenarkan sahaja). Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga untuk meraikan umat Islam yang dating dari pelbagai latar belakang ras dan budaya.

c)Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul ataupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

d)Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita atau mencaci mereka yang berbeza dengan kita dalam masalah khilafiyyah.

e)Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti.

f)Kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati para ulama’.


Ibnu Taimiyah berkata, “Masalah ijtihadiyah seperti ini tidak boleh diingkari dengan tangan. Dan tidak boleh seorang pun memaksa untuk mengikuti pendapatnya. Akan tetapi yang dilakukan adalah sampaikanlah hujjah dengan penjelasan ilmiah. Jika telah terang salah satu dari dua pendapat yang diperselisihkan, ikutilah. Namun untuk pendapat yang lain tidak perlu diingkari (dengan keras).” (Majmu’ Fatawa, 30: 80).

Imam Nawawi rahimahullah berkata, “Masalah khilaf sudah terjadi di antara para sahabat, tabi’in dan ulama sesudah mereka –radhiyallahu ‘anhum ajma’in-. Hal seperti ini tidak perlu diingkari. Demikian mereka juga berkata bahawa tidak boleh bagi seorang mufti (ahli fatwa) dan tidak pula seorang qadi (hakim) menentang orang yang menyelisihinya selama hal itu tidak menyelisihi dalil yang tegas, ijma’ (kesepakatan ulama) dan qiyas jalii.” (Syarah Muslim, 2: 24).


Kesimpulan


Dianjurkan untuk keluar dari medan perselisihan.

Ulama fiqih menyebutkan suatu kaedah yang penting untuk dijadikan pegangan iaitu:

يُسْتَحَبُّ الْخُرُوْجُ مِنَ الْخِلاَفِ

“Dianjurkan untuk keluar dari perselisihan.”

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Rujukan

1. Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Lakhmi al-Gharnati (t.t), “al-Muwafaqat”, Kaherah. Matba’ah ‘Ali Subaih Wa Auladihi. jld : 4, hal : 110
2. Umar Sulaiman al-Asyqar dan Muhammad Othman Syabir (1996), al-Urdun. Dar al-Nafais, “Masail fi al-Fiqh al-Muqarin”, hal : 10
3. Irsyad Usul Fiqh  ke-18: Pembahagian Ikhtilaf. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.




No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...