Tuesday, 15 December 2020

Kesalahan dalam memahami makna hadith Huzaifah ra berkaitan periode pemerintahan umat islam

 

Matan hadith

 

«تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ  فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَيَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلاَفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»

 

Terjemahan

 

Di tengah-tengah kalian terdapat zaman kenabian, atas izin Allah ia tetap ada. Lalu  Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian. Ia ada dan atas izin Allah ia akan tetap ada. Lalu Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian akan ada kekuasaan yang zalim; ia juga ada dan atas izin Allah ia akan tetap ada. Lalu Dia akan mengangkatnya jika Dia berkehendak mengangkatnya.  Kemudian akan ada kekuasaan diktator yang menyengsarakan; ia juga ada dan atas izin Alah akan tetap ada.  Selanjutnya  akan ada kembali Khilafah yang mengikuti manhaj kenabian.

 

Takhrij

 

HR. Ahmad no. 18406, Abu Daud al-Thayalisi dalam Musnadnya no. 439, Al-Bazzar dalam Sunannya no. 2796, daripada Huzaifah ra.

 

Al-Haithami dalam Majma Zawaid 5/191 berkata para perawinya tsiqah.

 

Syeikh al-Arnauth dalam taaliqnya ke atas Musnad Ahmad berkata sanad hadith ini hasan.

 

al-‘Iraqi dalam kitab Mahajjat al-Qurb ila Mahabbat al-‘Arab hal. 175 berkata hadith ini sahih.

 

 

Ya benar hadith ini sahih maka pemahaman ke atas hadith ini juga perlulah yang sahih juga. Supaya maknanya tepat dan sampai mengikut kehendak apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw.

 

Perkara ini ditegaskan para ulama:

 

إنَّ الرَّجُلَ إذا تكلَّم في غير فَنِّه أتى بالعجائب

 

Sesungguhnya seseorang itu jika berbicara diluar disiplin ilmunya pasti mendatangkan hal-hal kontroversi (Fathul Bari 4/39)

 

Imam Malik r.a. berkata:

 

الْعَجَلَةُ فِي الْفَتْوَى نَوْعٌ مِنَ الْجَهْلِ وَالْخُرْقِ

 

Ketergesa-gesaan dalam berfatwa merupakan jenis kebodohan dan kebingungan. (Al-Baihaqi, Al-Madkhal ila al-Sunan al-Kubra’ atsar no. 817; Al-Baghawi dalam Syarah al-Sunnah 1/306).

 

Anggapan sesetengah ulama (yang bukan ahli dalam hadith) dan penggemar teori konspirasi menterjemahkan kepada 5 fasa kepimpinan umat Islam tidaklah tepat. Kerana menurut kesepakatan ulama bisyarah (khabar gembira) khilafah an-nubuwah pada fasa ke-5 itu adalah zaman khilafahnya Umar Abdul Aziz (w101h).

 

Di antara ulama tersebut 1) al-Imam Ahmad bin Hanbal, 2) Abu Bakar al-Bazzar, 3) Abu Daud al-Thayalisi, 4) Abu Nu’aim al-Ashfihani, 5) al-Hafiz al-Baihaqi, 6) al-Hafizh Ibn Rajab al-Hanbali, 7) al-Hafizh Jalaluddin al-Suyuthi, dan 8) Syaikh Yusuf bin Isma’il al-Nabhani.

 

Syaikh Yusuf bin Ismail al-Nabhani al-Asy’ari al-Syafi’i, ulama Sunni, datuk kepada Syaikh Taqiyyudin al-Nabhani (pendiri Hizbut Tahrir), menyebutkan dalam kitabnya, Hujjatullah ‘ala al-’Alamin fi Mu’jizat Sayyid al-Mursalin hal. 527, bahawa yang dimaksud dengan khilafah al-nubuwwah dalam hadith Hudzaifah tersebut adalah khilafahnya Umar bin Abdul Aziz.

 

Pandangan para ulama di atas telah sesuai dengan matan hadith yang sering sengaja tidak sebutkan sekali sebagai sambungan riwayat diatas. Iaitu setelah Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah, maka Yazid bin Nu’man berkata kepadanya: “Saya harap Umar bin Abdul Aziz sebagai Amir al-Mu’minin (Khalifah) setelah masa raja yang bengis dan diktator”. Kemudian Umar bin Abdul Aziz senang dengan hal itu dan mengaguminya (HR. Ahmad 4/273).

 

Bahkan al-Hafiz Ibn Katsir dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah 12/696, menyebutkan bahawa para ulama sepakat bahawa ia (Khalifah Umar bin Abdul Aziz), termasuk jajaran imam yang adil, termasuk al-khulafa al-rasyidan dan imam yang berdiri di atas petunjuk. Ibn Katsir lalu menggolongkannya ke dalam jajaran khalifah yang disebutkan baginda Rasulullah , dari Jabir bin Samurah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:

 

«لَا يَزَالُ الدِّينُ قَائِمًا، حَتَّى يَكُونَ اثْنَا عَشَرَ خَلِيفَةً مِنْ قُرَيْشٍ»

 

Urusan Din ini senantiasa tegak, hingga ada dua belas khalifah, seluruhnya dari keturunan Quraysyi.” (HR. Muslim no. 1822, Abu Daud no. 4281 dan Ahmad no. 20805, disahihkan oleh Syeikh al-Arnauth).

 

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali berkata: “Kajian tentang imamah (khilafah) bukan termasuk hal yang penting. Ia juga bukan termasuk bahagian kajian ilmu rasional, akan tetapi termasuk baghaian dari ilmu fikih (ijtihad ulama). Kemudian masalah imamah berpotensi melahirkan sikap fanatik. Orang yang menghindarkan dari menyelami soal imamah lebih selamat dari pada yang menyelaminya, meskipun ia menyelaminya dengan benar, dan apalagi ketika salah dalam menyelaminya”. (al-Iqtishad fi al-I’tiqad  hal. 200).

 

Fatwa al-Azhar juga menegaskan bahawa: “Sistem khilafah, imarah, pemerintahan, presiden republik dan lainnya adalah sekedar sebuah istilah, bukan termasuk nama dalam agama dan bukan hukum agama” (Fatawa al-Azhar 7/359).

 

No comments:

Post a Comment

Hadith amalan diangkat di hari Nisfu Syaaban

  Matan hadith   إن جبريل أتاني ليلة النصف من شعبان قال قم فصل وارفع رأسك ويديك إلى السماء قال فقلت يا جبريل ما هذه الليلة قال يا محمد ي...