Wednesday 19 June 2024

Kepalsuan riwayat ucapan Imam Malik tentang tasawuf

 

 

مَنْ تفقَّهَ ولم يتصوف فقد تفسق، ومَنْ تصوَّف ولم يتفقه فقد تزندق، ومن جمعَ بينهما فقد تحقَّق

 

Sesiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa mengamalkan tasawuf, maka dia telah menjadi fasiq. Dan sesiapa yang mengamalkan tasawuf tanpa mempelajari ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq (murtad). Dan sesiapa yang menggabungkan antara kedua-duanya, maka dia telah mencapai kebenaran. ”

 

Takhrij

 

Ucapan ini DINYATAKAN dalam:

 

Qawaid al-Tasawwuf, Ahmad Zaruq al-Fasi hal. 22

 

Syarah ‘Ayn al-‘Ilm wa Zayn al-Hilm, oleh Mulla ‘Ali al-Qari 1/33

 

Hashiah ‘Ali al-‘Adawi kepada Syarh al-Zarqani ‘ala Matn al-‘Izziyyah fi al-Fiqh al-Maliki 3/195

 

Tanwir al-Qulub fi Mu’amalat ‘Allam al-Ghuyub, oleh Amin al-Kurdi hal. 467.

 

Tanpa SANAD atau merujuk kepada sumber primer.

 

Penilaian sanad

 

Imam Malik bin Anas meninggal dunia pada tahun 179 Hijrah.

 

1. Ahmad Zaruq al-Fasi [m 899 H]. Jarak masa antara Imam Malik dan beliau adalah 720 tahun. Sekurang-kurangnya kita memerlukan 7 orang perawi thiqah untuk menyambungkan antara kedua-duanya.

 

2. Mulla ‘Ali al-Qari [m. 1014 H]. Jarak masa antara Imam Malik dan beliau adalah 835 tahun. Sekurang-kurangnya kita memerlukan 8 orang perawi thiqah untuk menyambungkan antara kedua-duanya.

 

3. Al-‘Adawi, Abu al-Hasan ‘Ali bin Ahmad bin Makram al-Sa’idi [m. 1189 H]. Jarak masa antara Imam Malik dan beliau adalah 1010 tahun. Sekurang-kurangnya kita memerlukan 12 orang perawi thiqah untuk menyambungkan antara kedua-duanya.

Di manakah sanad itu?

 

Penilaian teks

 

Ucapan ini tidak diriwayatkan dalam kitab Imam Malik, iaitu al-Muwatta’ atau mana-mana kitab murid imam Malik yang terawal seperti al-Mudawwanah al-Kubra, iaitu koleksi fatwa-fatwa Imam Malik yang dikumpulkan oleh Asad bin al-Furat dan Suhnun, menerusi Ibn al-Qasim. Tiada sebarang kenyataan Imam Malik tentang tasawuf dalam kitab ini.

 

Ucapan ini juga tiada dalam kitab pengumpul riwayat daripada Imam Malik seperti Ibn Zayd al-Qayrawani, al-‘Utbi dan Ibn Rusyd.

 

Imam Malik bin Anas adalah tokoh besar dalam ilmu fiqh. Beliau tidak pula terlibat dengan tasawuf seperti tokoh-tokoh sufi lain.

 

Adakah Imam Malik telah menghukum dirinya sebagai fasiq?

 

Demikian juga murid-murid Imam Malik atau ulama tersohor Mazhab Maliki seperti Ibn Zayd al-Qayrawani, Ibn ‘Abdil Barr, Ibn Rusyd dan Abu al-‘Abbas al-Qurtubi tidak terlibat dengan tasawuf. Adakah mereka mengabaikan pesanan imam mereka?

 

Kesimpulan

 

Daripada penjelasan di atas, disimpulkan bahawa ucapan yang disandarkan kepada Imam Malik adalah PALSU, walaupun ia seringkai diulang-ulang oleh golongan pro Tasawuf.

 

Benarlah kata-kata ‘Abdullah bin al-Mubarak, “Sanad itu sebahagian daripada agama. Jika bukan kerana sanad, nescaya sesiapa pun boleh mendakwa apa yang dia kehendaki.”

 

Rujukan

 

Fatwa Syabakah Islamiyah no. 59757

 

https://al-maktaba.org/book/31621/17139

 

https://www.facebook.com/pseudohadis/videos/edisi-khaskepalsuan-riwayat-ucapan-imam-malik-tentang-tasawuf-penceramah-nuruddi/259332447889494/

No comments:

Post a Comment

Hadith tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil

  Matan hadith   نوم العالم أفضل من عبادة الجاهل   Terjemahan   Tidurnya orang alim lebih baik dari ibadahnya orang jahil   ...