Tuesday, 17 March 2026

Atsar dari Ibnu Abbas ra ruqyah dengan cara meminum air basuhan ayat-ayat al-Quran

 Matan atsar

 

عن ابن عباس قال : إذا عَسِر على المرأة ولدها، فيكتب هاتين الآيتين والكلمات في صحفة، ثم تُغسل فتسقى منها : بسم الله الذي لا إله إلا هو الحليم الكريم، سبحان الله ربِّ السماوات السبع، وربِّ العرش العظيم، كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا - كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَ مَا يُوعَدُونَ لَمْ يَلْبَثُوا إِلا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ بَلاغٌ فَهَلْ يُهْلَكُ إِلا الْقَوْمُ الْفَاسِقُونَ

 

 

Terjemahan

 

Dari Ibnu ‘Abbas ia berkata : “Apabila ada seorang wanita yang kesulitan dalam proses bersalin anaknya, hendaklah ditulis dua ayat dan beberapa kalimah pada secarik kertas (yang direndam dalam bekas). Kemudian (air  dalam bekas itu) dibasuhkan dan diminumkan kepadanya. Kalimah tersebut adalah : “Dengan menyebut nama Allah, tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Maha Penyantun lagi Maha Mulia. Maha Suci Allah, Rabb langit yang tujuh dan Rabb ‘Arasy yang agung - Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari (QS. An-Naazi’aat : 46) - Pada hari mereka melihat ‘azab yang diancamkan kepada mereka (merasa) seolah-olah tidak tinggal (di dunia) melainkan sesaat pada siang hari. (Inilah) suatu pelajaran yang cukup, maka tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik (QS. Al-Ahqaaf : 35)”

 

Takhrij

 

AR. Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Musannaf no. 23974, ats-Tsa'labi dalam Tafsirnya 9/27 dan Ibnu Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah no. 619. Juga al-Baihaqi dalam Ad-Da‘awat al-Kabir no. 497. Dinukilkan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Al-Fatawa 19/64-65 dan Ibnul Qayyim dalam Zaadul Maad 4/326.

 

Atsar ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad (Masail Imam Ahmad no. 1623) dan Ibnu Abi Syaibah dari Ya'la bin 'Ubaid dari Sufyan at-Tsauri dari Muhammad bin Abi Laila dari al-Hakam dari Sa'id bin Jubair dari Ibn 'Abbas secara mauquf. Para perawi Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah yang disebutkan dalam Musnad semuanya adalah perawi Muslim kecuali Muhammad bin Abi Laila yang merupakan perawi terpercaya namun buruk hafalannya. Dalam al-Musnad terdapat Ya‘la bin ‘Ubaid, dan dalam riwayatnya daripada Sufyan terdapat kelemahan, sedangkan ia meriwayatkannya di sini daripadanya. Adapun al-Hakam bin ‘Utaybah, beliau adalah seorang yang thiqah lagi tsabat, namun kadang-kadang beliau melakukan tadlīs dan dalam riwayat ini beliau menggunakan lafaz ‘an‘anah.

 

Syeikh Muhammad ‘Amr bin ‘Abd al-Latif dalam Takmil al-Naf‘ bima Lam Yathbut bihi Waqf wa La Raf hal. 13 menyebutkan, hadith ini sangat lemah bahkan palsu. Ia diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yawm wa al-Lailah (no. 619) melalui jalan ‘Abdullah bin Muhammad bin al-Mughirah, berkata: Telah menceritakan kepada kami Sufyan al-Tsauri, daripada Ibnu Abi Laila, daripada al-Hakam, daripada Sa‘id bin Jubair, daripada Ibn ‘Abbas secara marfu‘.

 

Adapun Ibn al-Mughirah ini adalah perawi yang sangat lemah, bahkan dituduh (mereka-reka hadith). Al-‘Uqayli berkata: “Beliau keliru dalam sebahagian hadithnya dan meriwayatkan perkara yang tidak ada asalnya.” Al-Nasa’i pula berkata: “Dia meriwayatkan daripada al-Tsauri dan Malik bin Mighwal hadith-hadith yang keduanya lebih takut kepada Allah daripada meriwayatkannya.”

 

Al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah menyebut dalam al-Mizan (2/487–488) beberapa hadith riwayatnya, lalu beliau berkata: “Ini semua adalah hadith-hadith maudhu‘ (palsu).”

 

Hadith ini (baik marfu' atau mauquf Ibnu Abbas) didhaifkan oleh Syeikh Basyir Muhammad ‘Uyuun dalam tahqiqnya terhadap kitab ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah hal. 292 (Maktabah Daul Bayan Cet. 1/1407 H),

 

Cacat riwayat tersebut terletak pada madar (muara) sanad iaitu pada Ibnu Abi Laila. Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata tentang perawi tersebut: “Shaduq (jujur), sayyiul hifdhi jiddan (hafalannya sangat teruk)” [Taqribut Tahdzib hal. 871, no. 6121, tahqiq : Abu Asybal Al-Bakistani; Darul ‘Aashimah].

No comments:

Post a Comment

Hadith amalan diangkat di hari Nisfu Syaaban

  Matan hadith   إن جبريل أتاني ليلة النصف من شعبان قال قم فصل وارفع رأسك ويديك إلى السماء قال فقلت يا جبريل ما هذه الليلة قال يا محمد ي...