Thursday 18 October 2018



     


Tajassus, adakah dilarang secara total tanpa ada ruang untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar?


Image result for kanta dan binokular


Islam adalah agama yang datang dari Pencipta yakni Allah Azza wa Jalla. Ajaran untuk memuliakan manusia, oleh kerana itu, Islam melarang pengikutnya dari segala perbuatan yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Di antaranya adalah tajassus.


Larangan Tajassus


Allâh Azza wa Jalla berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan syak wasangka, kerana sebahagian dari syak wasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu melakukan tajassus (mencari-cari keburukan orang). [Al-Hujurat: 12]

Semakna dengan ayat ini, disebutkan di dalam hadis yang sahih.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الحَدِيثِ، وَلاَ تَحَسَّسُوا، وَلاَ تَجَسَّسُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَلاَ تَبَاغَضُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Dari Abu Hurairah, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Jauhilah syak wasangka, kerana sesungguhnya syak wasangka itu berita yang paling dusta. Dan janganlah kamu melakukan tahassus, tajassus, saling hasad, saling membelakangi, dan saling membenci. Jadilah kalian bersaudara, wahai para hamba Allâh!”. [HR. Al-Bukhâri, no. 6064]

Makna Tajassus Dan Tahassus

Tajassus secara bahasa iaitu mencari-cari berita dan menyelidiki sesuatu yang rahsia [Lisan al-Arab, 3/147].

Adapun larangan tajassus di dalam ayat di atas dijelaskan oleh para ulama sebagai berikut:

1. Imam Ibnu Jarir ath-Thabari rahimahullah berkata,

“Janganlah sebagian kamu mencari-cari keburukan orang lain, dan janganlah menyelidiki rahsia-rahsianya untuk mencari keburukan-keburukannya. Hendaklah kamu menerima urusannya yang nampak bagi kamu, dengan yang nampak itu hendaknya kamu memuji atau mencela, bukan dengan rahsia-rahsianya yang tidak kamu ketahui.” [Tafsir ath-Thabari, 22/304]

2. Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata,

“Para mufassirin (ahli tafsir) mengatakan, tajassus adalah mencari-cari keburukan dan cela kaum Muslimin. Maka makna ayat di atas adalah janganlah salah seorang diantara kamu mencari-cari keburukan saudaranya untuk diketahuinya, padahal Allâh Azza wa Jalla menutupinya”. [Al-Kabair, hlm. 159]

3. Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah berkata,

“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam ‘janganlah kamu melakukan tajassus, janganlah kamu melakukan tahassus’, ada yang mengatakan bahawa kedua kata itu memiliki makna yang sama, iaitu: menyelidiki berita-berita. Ada yang mengatakan: Keduanya berbeza, tahassus iaitu engkau berusaha mendengarnya sendiri, sedangkan tajassus iaitu engkau menyelidiki berita-berita dari orang lain. Ada yang mengatakan: tahassus adalah berusaha mendengar perbualan orang lain, sedangkan tajassus adalah mencari-cari keburukan-keburukan. Dari sini dan lainnya diketahui, bahawa seseorang tidak boleh mencuri dengar perbualan dari rumah orang lain, dan tidak boleh mencium atau menyentuh pakaian orang lain, agar dia mendengar atau mendapatkan bau atau mendapati kemungkaran. Dan tidak boleh mencari berita dari anak-anak suatu rumah, atau dari jirannya, untuk mengetahui apa yang terjadi di dalam rumah jiran tersebut. Memang benar, jika ada seseorang yang jujur memberitakan berkumpulnya orang-orang yang sedang melakukan maksiat, maka boleh menceroboh mereka dengan tanpa izin, ini dikatakan oleh al-Ghazali”. [Az-Zawajir ‘an Iqtirâfil Kabâir, 2/268].

4.       Dr. Wahbah al-Zuhaili rahimahullah berkata,

Tajassus dari sudut istilah bermaksud: "Mencari cari keaiban dan mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia." [Tafsir al-Munir, 26/247].

5.       Imam al-Maraghi rahimahullah berkata,

Tajassus adalah mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah: Sebaliknya kamu hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai dirinya. [Tafsir al-Maraghi, 13/6506].


Berdasarkan pengertian di atas, ia membawa kepada pemahaman bahawa mencari-cari kesalahan yang tersembunyi merupakan perbuatan yang dilarang dalam ayat tersebut. Sebaliknya, jika kesalahan dan keaiban itu jelas kepada kita maka bolehlah kita mengambil tindakan.

Ini dijelaskan lagi dengan kata-kata Abdullah Ibn Mas’ud R.A ketika beliau dibawakan kepadanya seorang lelaki yang terdapat titisan arak di janggutnya. Lalu Abdullah berkata: Sesungguhnya kita telah dilarang dari melakukan tajassus. Akan tetapi, apabila jelas kepada kita sesuatu maka kita mengambil tindakan terhadapnya [HR Abu Daud, 4890- sahih].



Tajassus Termasuk Dosa Besar

Para Ulama memasukkan perbuatan tajassus ke dalam senarai dosa besar, sepertimana disenaraikan oleh imam adz-Dzahabi dalam kitab al-Kabâir dan Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab az-Zawâjir.

Selain larangan keras dalam ayat di atas, demikian pula terdapat ancaman keras dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam.

Antara lain:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: وَمَنِ اسْتَمَعَ إِلَى حَدِيثِ قَوْمٍ، وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، أَوْ يَفِرُّونَ مِنْهُ، صُبَّ فِي أُذُنِهِ الآنُكُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Dari Ibnu ‘Abbâs Radhiyallahu anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, Beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa berusaha mendengarkan perbicaraan orang-orang lain, sedangkan mereka tidak suka (didengarkan), atau mereka menjauh darinya (berusaha menyembunyikan perbualan tersebut), maka pada telinganya akan dituangkan cairan tembaga pada hari kiamat.” [HR. Al-Bukhâri, no. 7042].

Ibnu Hajar al-Haitami berkata,

“Perbuatan tajassus ini dikategorikan sebagai dosa besar adalah jelas berdasarkan hadis ini, walaupun aku tidak melihat ulama menyebutkannya. Kerana dituangkan cairan tembaga pada dua telinga pada hari kiamat merupakan ancaman yang sangat keras. Kemudian aku lihat sebagian ulama menyebutkannya”. [Az-Zawâjir ‘an Iqtirâfil Kabâir, 2/268].





Bahkan mata orang yang berusaha melihat-lihat rumah orang lain boleh untuk dicungkil!

Ini menunjukkan bahawa tajassus bukan perkara yang ringan, bahkan sangat besar dan berat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ: قَالَ أَبُو القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَوْ أَنَّ امْرَأً اطَّلَعَ عَلَيْكَ بِغَيْرِ إِذْنٍ فَخَذَفْتَهُ بِعَصَاةٍ فَفَقَأْتَ عَيْنَهُ، لَمْ يَكُنْ عَلَيْكَ جُنَاحٌ

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu, dia berkata, “Abu Qâsim Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Jika seseorang mengintipmu dengan tanpa izin lalu engkau melemparnya dengan kerikil sehingga engkau mencungkil matanya, engkau tidak berdosa”. [HR. Al-Bukhâri, no. 6902; Muslim, no. 2158].


Kerosakan Tajassus

Allâh Azza wa Jalla Maha Bijaksana, setiap larangan pasti membawa kerosakan.

Demikian pula larangan tajassus. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam sudah menjelaskan akibat buruk tajassus kepada masyarakat sebagaimana diriwayatkan di dalam hadits berikut:

عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّكَ إِنِ اتَّبَعْتَ عَوْرَاتِ النَّاسِ أَفْسَدْتَهُمْ، أَوْ كِدْتَ أَنْ تُفْسِدَهُمْ» فَقَالَ أَبُو الدَّرْدَاءِ: «كَلِمَةٌ سَمِعَهَا مُعَاوِيَةُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ نَفَعَهُ اللَّهُ تَعَالَى بِهَا

Dari Mu’âwiyah Radhiyallahu anhu, dia berkata” “Aku pernah mendengar Rasûlullâh n bersabda, “Jika engkau mencar-cari keburukan-keburukan orang, engkau telah merosakan mereka atau engkau hampir merosakkan mereka.” [HR. Abu Dawud, no. 4888 - sahih].

Yang harus menjadi perhatian bersama, termasuk yang dilarang iaitu melakukan tajassus kepada suami atau isteri atau jiran tetangga, atau muslim lainnya, yang tidak nampak dengan mata dihadapannya akan keburukan yang dilakukan mereka.


Hukum Tajassus

Dari keterangan di atas jelas baawa tajassus adalah dilarang, bahkan dosa besar, jika dilakukan terhadap kaum Muslimin.

Namun sebagian ulama juga menjelaskan ada bentuk-bentuk tajassus (mencari-cari berita) yang tidak haram.

“Tajassus memiliki tiga hukum iaitu haram, wajib dan dibolehkan [al-Mausû’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/162]

1-      Adapun yang haram adalah tajassus kepada kaum Muslimin berdasarkan sangkaan semata-mata tanpa bukti.

Imam al-Nawawi berkata: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar makruf dan nahi munkar mencari-cari serta melakukan tajassus dan menceroboh ke rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu hendaklah dia mengubahnya [Syarah Sahih Muslim, 2/26].

Imam al-Ramli (tokoh besar mazhab Syafie) berkata: Tidak boleh bagi seseorang untuk mencari-cari kesalahan dan melakukan tajassus serta memecah masuk ke dalam rumah-rumah berdasarkan sangkaan [Nihayah al-Muhtaj, 4/47-49].

Imam Muhammad Saleh Uthaymeen berkata: Seseorang tidak boleh melakukan intipan berdasarkan syak wasangka semata-mata kepada orang lain, kerana kita tidak berhak untuk menilai seseorang berdasarkan apa yang nampak di depan mata sahaja. Tetapi jika terdapat indikasi yang bersertakan bukti menunjukkan ke arah kemaksiatan, maka dia boleh melakukan tajassus, menegur malah mencegahnya dari awal [Fatawa al-Liqa’ al-Shahri, no. 50].

Imam al-Ghazali berkata: Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah kemungkaran) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..[Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990].

Dr Yusof al-Qaradhawi berkata: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya [Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124].

2-      Tajassus yang wajib, dinukilkan bahawa Ibnul Majasyun rahimahullah berkata,

“Saya berpendapat bahawa para pencuri dan perompak harus dikejar ke tempat-tempat yang disyak sebagai tempat persembunyian mereka, perlu dibantu untuk menangkap mereka agar mereka dibunuh atau diusir dari negara. Dan mengejar mereka tentu dengan tajassus dan mencari-cari (menyelidiki) berita mereka”.

Apa yang termasuk dalam dosa kategori kedua (melibatkan kepentingan umum), ia dibenarkan untuk dicegah. Sepertimana dengan perasuah, perompak, pemecah amanah awam, perogol dan siapa sahaja yang dosanya itu boleh mengancam pihak lain, maka perlakuannya itu didedahkan dengan tujuan mengelakkan pihak lain menjadi mangsa dan dizalimi (Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Berita Harian, 6/10/2018).

3-  Adapun tajassus yang dibolehkan adalah ketika terjadi perang antara kaum Muslimin dengan orang-orang kafir. Maka boleh mengirim mata-mata untuk mengetahui berita tentang jumlah dan peralatan tentera kafir, di mana mereka berada, dan semacamnya.

Demikian juga, pihak berkuasa pemerintah boleh membongkar para pelaku maksiat apabila terdapat bukti yang kukuh apabila disiasat, kerana memang kaedah kekuasaan adalah amar ma’ruf dan nahi munkar”. [Al-Mausu’ah ‘Atur al-Fiqhiyyah alMuyassarah. Kuwait: Dar al-Nafais. Jil 1. hlm 424-425].


Imam al- Ramli berkata: Ya, jika berat sangkaannya bahawa berlaku maksiat sekalipun dengan qarinah (petunjuk) yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang terpercaya maka dibolehkan untuknya melakukan tajassus. Bahkan wajib ke atasnya untuk melakukan tajassus sekiranya dia khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya pembunuhan dan perbuatan zina [Nihayah al-Muhtaj, 4/47-49]. Pendapat ini juga dikemukakan oleh Qadhi Iyadh dalamal-Ahkam al- Sulthaniah (halaman 366).


Imam al-Ghazali berkata: Maksiat yang sedang berlaku dan pelakunya sedang melakukannya contohnya memakai sutera, memegang ʿoud (diistilahkan juga sebagai qanbūs atau gambus) dan arak. Maka menghalang maksiat ini adalah wajib dengan segala yang termampu selama tidak membawa kepada maksiat yang lebih keji atau sama dengannya. Dan ini terpakai kepada mana-mana individu dan rakyat.
Demikian juga, Imam al-Ghazali menambah:  Begitu juga duduk berdua-duaan dengan wanita ajnabī (al-khalwah bi al-ajnabiyyah) itu sendiri adalah perbuatan maksiat kerana ia pada sangkaan, akan terjadi maksiat. Dan mendatangkan sesuatu yang menimbulkan sangkaan maksiat itu adalah maksiat.  Kami maksudkan dengan ‘sangkaan’ itu adalah sesuatu yang dilakukan insan pada kebiasaan untuk terjadinya sesuatu maksiat, yang mana dia tidak ada kemampuan untuk mencegahnya. Maka, hakikatnya itu hisbah (pelaksanaan amar ma’aruf nahi mungkar) adalah pada maksiat yang sedang terjadi, tidak berlaku kepada maksiat yang masih dalam jangkaan (boleh jadi berlaku atau tidak) [Ihya’ Ulum al-Din,2/382-384].


Dr Mustafa Bugha dan Muhyiddin Mitsu berkata: Sekiranya mungkar yang kuat sangkanya cuba disembunyikan adalah melibatkan pencerobohan terhadap kehormatan yang mungkin terlepas daripada dihalang disebabkan sikap lengah dan masa yang telah berlalu seperti perbuatan zina dan pembunuhan, maka dia boleh mengintip dalam perkara-perkara mungkar seumpama ini pada tempat-tempat yang menimbulkan syak dan sangka agar kuman-kuman keji tidak menjadi cergas dalam lubuk kekejian dan dosa [al-Wafi fi Syarh al-Arba‟in alNawawiyyah, halaman 262].


Kesimpulan dan cadangan

Dalam memahami tajassus dalam isu amar ma’aruf nahi mungkar ini, penguasa mestilah membezakan antara dosa peribadi dan dosa yang boleh melibatkan kepentingan umum. 

Ada dua jenis dosa yang dilakukan manusia.

Yang pertama; dosa antara dirinya dengan Allah. Mudarat dosa itu terkena kepada dirinya sendiri. Contohnya zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya. Dalam kata lain, ia dosa ataupun aib peribadi antara hamba dengan Tuhannya. Ini tidak dibenarkan melakukan tajassus.

Diriwayatkan daripada Abd al-Rahman Bin Auf katanya:

حَرَسْتُ لَيلَةً مَعَ عُمَرَ بنُ الخَطَّابِ بالمَدِينَةِ إِذ تَبَيَّن لَنَا سِرَاجٌ فِي بَيتِ بَابِهِ مُجافَى عَلَى قَومٍ لهُم أَصْوَاتٌ مُرتَفِعَةٌ ولَغَط. فَقَالَ عُمَرُ: هَذَا بَيت رَبِيعَة بنُ أُمَيَّة بنُ خَلَف وَهُم الآَن شَرَب فَمَا تَرَى، قُلتُ: أَرَى أَنَّا قَدْ أَتَينَا مَا نَهَى اللهُ عَنهُ وَلَا تَجَسَّسُوا وَقَد تَجَسَّسْنَا، فَانْصَرَفَ عُمَرُ وَتَرَكَهُم

Maksudnya: “Aku pernah satu malam bersama Umar bin al-Khattab membuat rondaan di kota Madinah kemudian kami dapati sebuah rumah adanya pelita yang dipasang dan terdapat satu pintu yang sedikit jauh daripada orang lain. Terdapat padanya beberapa orang yang suaranya kuat dan bising. Maka Umar berkata: “Ini rumah Rabiah Bin Umayyah Bin Khalaf, mereka sekarang minum arak, apa pendapatmu: “jawabku: Aku berpendapat sebenarnya kita telah datang apa yang Allah larang daripadanya iaitu jangan mengintip sedangkan kita mengintip, lantas Umar berpaling dan meninggalkan mereka.”

Riwayat al-Tabarani 1806, al-Hakim 4/419, dan al-Baihaqi 18080. Al-Hakim berkata: Hadis ini sahih sanadnya dan tidak dikeluarkan oleh Syaikhan. Imam al-Zahabi bersetuju dengan kesahihan hadis ini.


Dosa peribadi hendaklah disembunyikan dan tidak diuar-uarkan. Jika kita lihat dalam hadis Rasulullah, baginda cuba menyembunyikan dosa peribadi antara seseorang itu dengan Allah. Larangan menceritakan kemaksiatan diri ini, dinyatakan banyak sekali dalam teks hadis (HR Muslim, 1695; Sunan Nasaie, 7125; Muwattha, 1508), dan diantaranya adalah:-


Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

“Wahai Rasulullah, aku berasmara dengan seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu." Lalu Umar al-Khattab berkata kepadanya: "Allah telah tutupi keaibanmu (alangkah baik) jika engkau menutupi (keaiban) dirimu". Rasulullah tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi."Rasulullah menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya), 'Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat'. (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: "Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Rasulullah: Bahkan untuk manusia keseluruhannya” [HR Muslim, no. 4964].

Hadis ini menunjukkan seseorang itu tidak disuruh mengakui dosa peribadinya sekalipun di hadapan Rasulullah, apatah lagi mendedahkannya di hadapan orang lain. Dan ini juga ditegaskan oleh Imam Syafie seperti dinaqalkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqhalani dalam Faatul Baari, 12/124. Menutup keaiban itulah yang disuruh, bukan mencari keaiban peribadi orang lain untuk didedahkan [drmaza, 2011, 1379].


Aib seseorang muslim hendaklah ditutup sepertimana disabda oleh Nabi SAW:
Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda:

ومَن ستَرَ مسلمًا ستَرَه اللهُ يومَ القيامةِ

Maksudnya: Dan barangsiapa menutup keaiban seorang Muslim, Allah akan menutup keaibannya di hari akhirat [HR Bukhari, no.2442].


Yang kedua; dosa antara dirinya dengan Allah namun pada masa sama mendatangkan bahaya ataupun mudarat kepada pihak lain. Contohnya rasuah, menyebarkan hadis palsu, merompak, mencuri, mengedar dadah, merogol, pecah amanah dan seumpamanya. Dosa ini bukan sahaja antara hamba dengan Allah, tetapi ia boleh mengancam pihak lain. Maka dalam kes seperti ini tajassus adalah dibolehkan [Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Berita Harian, 6/10/2018].


Sesungguhnya atsar Umar al-Khattab di atas jelas menunjukkan kepada kita bagaimana kaedah dan sifat sebenar pemimpin yang mengikuti sunnah. Dan ini menunjukkan prihatin dan cakna pemerintah kepada rakyat tentang isu-isu dosa dan maksiat. Justeru, amar makruf dan nahi mungkar adalah digalakkan tetapi ditegah melakukan tajassus kecuali dalam beberapa keadaan yang dibenarkan syariat. Ini bertujuan memelihara hak masing-masing yang perlu dihormati.

Antara hak tersebut ialah:
  • Hak ke atas tempat tinggalnya.
  • Ruang kebebasan peribadi.

Dr. Yusof al-Qaradhawi berkata

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih: (bermaksud):” Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (HR Bukhari, 5608). Justeru, tiada seorang pun mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Adapun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah. [Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq].


Begitu juga kadangkala pengintip menghalalkan cara yang haram bertujuan sampai kepada matlamat, perkara seperti ini juga perlu diambil kira.


Pihak yang berkuasa hendaklah menggariskan kaedah dan peraturan yang diperhaluskan dari semua sudut dan faktor, untuk mengelak daripada melakukan tajassus yang diharamkan.

Antaranya adalah [Bayan Linnas, siri 42; drmaza, 2011, no. 1415]:-

a)   Serbuan bukan dilakukan semata-mata kerana sangkaan
b)   Serbuan hendaklah dilakukan berdasarkan maklumat yang sahih dan diyakini kebenarannya, serta disampaikan oleh orang yang bukan fasiq. Jika orang yang fasiq melaporkannya hendaklah proses tabayyun (selidik) dilakukan.
c)   Hendaklah meminta izin dan kebenaran masuk tanpa menceroboh dan memecahkan pintu serta lain-lain.

 Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَاۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡر لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kalian memasuki rumah-rumah selain rumah kalian sehinggalah kalian meminta izin dan memberi salam kepada ahli rumahnya. Yang demikian itu lebih baik untuk kalian mudah-mudahan kalian mendapat peringatan. (Surah Al-Nuur : 27).


d)     Intipan hanyalah dilakukan oleh pegawai hisbah bukan orang awam.
e)   Pegawai yang dihantar itu terlatih dan memiliki ilmu pengetahuan dan akhlak yang benar berkenaan tugasan tersebut.
f)    Jika serbuan dibuat dilarang melakukan rakaman atau memanggil media dan menyebarkan di berita.

Allah berfirman:

Sesungguhnya orang-orang yang ingin, suka agar tersiar (berita) perbuatan keji di kalangan orang-orang yang Beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui. (An-Nur, 19)

Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w:

“Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya (HR Abu Daud, no. 4880 - hasan).

g)   Hendaklah serbuan itu dilakukan selepas mempunyai tanda-tanda yang jelas atau bukti yang mencukupi.

Ini berdasarkan atsar daripada Ibn Mas’ud yang mengatakan:

إِن يَظْهَر لَنَا شَيء نَأخُذ بِهِ

Maksudnya: Sekiranya telah jelas kepada kita sesuatu, maka kita mengambil tindakan terhadapnya [HR Abu Daud, no. 4890-Isnadnya sahih].


Sebahagian pihak mengkritik beberapa tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa semasa melakukan operasi serbuan. Seperti perbuatan menceroboh masuk tanpa izin dan bersikap kasar, menceroboh masuk ke dalam bilik pasangan yang sudah berkahwin, serta beberapa kes lain. Teguran-teguran sebegini tidak dinafikan dalam usaha memastikan operasi pencegahan maksiat tidak menjadi fitnah terhadap agama Islam.



_________________________________________________________________________

Rujukan

4.       Norita, K. (2015). Konsep penyiasatan dalam Islam. Jurnal Pengajian Islam, 8 (2),      98-123



Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...