Sunday 27 January 2019

Pentingnya menyemak sesuatu berita sebelum sebar









إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهْ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنِ اهْتَدَى بِهُدَاهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya dan meminta pertolongan, pengampunan, dan petunjuk-Nya. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kita dan keburukan amal kita. Barang siapa mendapat dari petunjuk Allah maka tidak akan ada yang menyesatkannya, dan barang siapa yang sesat maka tidak ada pemberi petunjuknya baginya. Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahwa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, semoga doa dan keselamatan tercurah pada Muhammad dan keluarganya, dan sahabat dan siapa saja yang mendapat petunjuk hingga hari kiamat.





Credit imej : Kalimaya Studio



Seringkali kita melihat info atau berita masuk ke laman inbox media sosial kita seperti Facebook, WhatsApp, Telegram, Wechat, Twitter, Flickr dan sebagainya saban hari. Berbagai cara dan ragam manusia telah dilihat apabila berinteraksi (response) dengan info/berita tersebut. Saya sendiri membahagikan ‘response’ individu tersebut kepada 5 kategori iaitu:-

a)    Membacanya sahaja sepintas lalu bagi tujuan informasi diri sendiri
b)    Membaca dan menyemak ketepatan untuk pemahaman diri sendiri
c)    Membaca tanpa menyemak ketepatan berita lalu sebarkan
d)    Membaca dan menyemak ketepatan berita lalu sebarkan
e)    Sebarkan serta merta

Dan di manakah kategori kita? Adakah kita termasuk dalam golongan yang ingin menjadi jaguh, yakni yang terawal menerima dan menyebarkan info sensasi tersebut? Fikir dahulu sebelum melakukannya. Jangan dek kerana info yang kurang tepat lagi tidak benar, kita telah menjerumuskan orang lain kepada kebinasaan.

Kesan berita/info yang tidak benar:

a)    Mengundang permusuhan (telak menempelak satu sama lain)
b)    Mewujudkan prasangka
c)    Tuduh menuduh
d)    Membantutkan perkembangan ilmu berlandaskan disiplin yang betul
e)    Masyarakat hidup dalam kesangsian, ketakutan dan sempit pemikiran
f)     Menyusahkan orang lain
g)    Melunturkan perpaduan

Tabayyun, yakni mentsabit dan menyemak asas kebenaran sesuatu berita adalah dituntut ke atas setiap mukmin. Hal ini untuk mengelakkan kita tidak bermudah mudahan menjatuhkan hukum atau kesimpulan.  Hal ini juga telah dirakamkan di dalam Al-Quran surah Hujurat ayat 6 dan 12:-

“Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.” (Al-Hujurat: 12)

Firman Allah menggunakan perkataan “fatabayyanu” yang bererti “maka periksalah dengan teliti.”

Ayat ini diturunkan berhubung dengan al-Walid bin Uqbah yang diutuskan oleh Rasulullah SAW memungut zakat Bani al-Mustaliq. Setelah berita itu sampai kepada Bani al-Mustaliq, mereka gembira sehingga keluar beramai-ramai untuk menyambut kedatangan utusan tersebut. Sebelum sampai ke sana, ada seorang munafik memberitahu al-Walid bahawa kabilah tersebut murtad, menolak dan tidak mahu membayar zakat, bahkan berhimpun di luar kota menghalang kedatangannya. Setelah menerima berita itu, dia segera kembali ke Madinah melaporkan situasi tersebut. Rasulullah sangat marah mendengarnya lalu menyiapkan sepasukan tentera untuk memerangi mereka. Sebelum tentera itu berangkat, datang utusan mengadap Rasulullah: “Wahai Rasulullah, kedatangan kami ke sini untuk bertanya mengapa utusan Rasulullah tidak sampai untuk memungut zakat, bahkan kembali dari tengah perjalanan? “Kami mempunyai dugaan bahawa timbul salah pengertian antara utusanmu dengan kami.” Justeru, turunlah ayat tersebut.

Ayat ini merupakan larangan keras agar tidak semberono menerima dan mempercayai sesuatu berita yang disampaikan, melainkan diselidiki terlebih dahulu dengan saksama sama ada ia benar atau tidak. Lalu barulah dipertimbangkan untuk diterima ataupun ditolak (Utusan, 16 November 2016, Fiqh Tabbayyun selidik sebelum sebar).

Masyarakat hendaklah tidak terburu-buru untuk menyebarkan sesuatu maklumat sebelum memerhatikan kesannya dari sudut manfaat dan keburukan apabila ia disebarkan. Mengulas kaedah dalam menyebarkan berita, saya mengutip satu infografik yang saya rasakan mudah difahami dan bertepatan dengan kaedah syarak berkenaan prinsip tabayyun seperti gambarajah di atas. Ia adalah ringkasan  yang digrafikkan melalui perincian yang terdapat dalam buku Fikih Jurnalistik karangan Ustaz Faris Khoirul Anam.

Kita hendaklah sentiasa meringankan jari-jemari kita untuk sentiasa menyemak info-info yang ditularkan sebelum sebar. Kita bukanlah hidup di zaman ulama-ulama silam beberapa abad yang lalu, yang memerlukan rehlah (perjalanan jauh beribu batu) dalam mencari, memastikan ketulenan dan menyebarkan ilmu. Di zaman teknologi serba canggih ini, segala maklumat boleh diverifikasi di laman-laman sesawang yang absah. Jika isu halal timbul, kita ada laman sesawang Hab Halal Jakim untuk kita membuat semakan. Jika hadis tanpa status, kita boleh menyemak di laman sesawang semakhadis.com, aplikasi hadis dan kitab-kitab sumber asal hadis yang banyak terdapat secara atas talian sama ada dalam Bahasa Arab mahupun terjemahannya. Info berkenaaan isu semasa negara juga boleh disemak di laman sesawang seperti mysumber.com dan penerangan.gov.my.

Yang terbaharu adalah mengenai isu status halal beberapa produk yang ditularkan oleh netizen melalui media sosial. Terdapat lebih daripada 20 puluh produk ditularkan “TIDAK” mempunya sijil halal. Dan sejauh manakah ketepatan tularan tersebut?

Maka dengan itu Bahagian Hab Halal JAKIM telah berusaha merungkai kekeliruan netizen dengan menjawab kesemua kemuyskilan netizen di facebook rasmi mereka. Isu tular produk tidak halal ini, bukanlah sesuatu isu yang baru, melainkan telah acapkali dutularkan. Pada masa yang sama, JAKIM tetap mesra menjawab soalan-soalan tersebut. JAKIM sentiasa mengemaskini maklumat yang terdapat di dalam laman sesawang ataupun media sosial mereka demi memberi info yang tepat tentang sesuatu isu, lagi-lagi berkenaan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam seperti halal.

Berikut adalah beberapa persolan status halal yang telah saya ringkaskan dalam bentuk jadual untuk memudahkan pembacaan netizen:-

No.
Produk
Status Halal
1
Aiskrim Magnum
Halal diiktiraf JAKIM: Majelis Ulama Indonesia (MUI) dan The Central Islamic Committee of Thailand (CICOT)

2
Coklat Ferrero Rocher
Halal diiktiraf JAKIM : National Independent Halaal Trust (NIHT), Afrika Selatan

3
Sushi King
Halal JAKIM

4
Coklat Kinder Bueno
Halal diiktiraf JAKIM : National Independent Halaal Trust (NIHT), Afrika Selatan

5
Coklat Pepero
Halal diiktiraf JAKIM : Sijil Pengesahan Halal dari Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA) dan Korean Muslim Federation (KMF)

6
Bihun PAMA dan MAMA
Halal JAKIM, MUI dan CICOT
7
Mi Ramen Samiyang
Halal diiktiraf JAKIM : Korean Muslim Federation (KMF)

8
Biskut Gery
Halal diiktiraf JAKIM : MUI

9
Kod E terutamanya E471
Tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan dari sumber yang HARAM.

Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan.

Contoh Nombor E yang paling kerap ditanya oleh orang ramai adalah E471. Ia adalah sejenis pengemulsi iaitu mono dan digliserida.

Sumbernya adalah dari lemak sintetik yang terhasil dari gliserol dan asid lemak semulajadi terutamanya dalam tumbuhan (contohnya minyak kelapa sawit) atau lemak haiwan.

Manakala Bahagian Hab Halal, Jakim/Main/Jain akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan beserta dokumen yang kukuh (seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal).

Sehubungan itu, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan atau luar negara dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, maka ia boleh digunakan tanpa was-was sekalipun mempunyai Kod E.

Namun, sekiranya produk tersebut tidak mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang Diiktiraf oleh JAKIM, walaupun menggunakan Kod E yang sama, pengguna dinasihatkan agar berhati-hati dalam memilih produk tersebut.

Selaku agensi pensijilan halal, saranan pihak kami utamakanlah produk yang mempunyai Sijil Pengesahan/Logo Halal Malaysia atau Luar Negara yang Diiktiraf oleh JAKIM.

10
Berus jenis Bristle
Untuk makluman, perkataan bristle semata-mata bukanlah merujuk kepada bulu babi. Ianya merupakan perkataan dalam bahasa inggeris yang bermaksud bulu pendek/bulu tegak

Perlu diketahui berus gigi kebiasaannya diperbuat daripada nylon atau mana-mana bulu yang lembut.

Walau bagaimanapun, pengguna dinasihatkan agar sentiasa peka dan berhati-hati ketika melakukan belian dengan memerhati label bungkusan.

Hal ini kerana, penggunaan nama-nama berikut merujuk kepada bulu babi iaitu Boar's Bristles or Pig Bristles. Natural/Pure Bristles juga merujuk kepada bulu haiwan sama ada kuda atau babi dan lain-lainnya.

11
Ikan keli diberi makan najis
Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006, ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah haram dimakan sekiranya ikan tersebut SENGAJA dipelihara di dalam air najis atau SENGAJA diberi makan najis seperti daging babi, bangkai atau sebagainya"

12
Minyak Yu Yee cap limau
Halal JAKIM
13
Kopi Luwak
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa biji Kopi Luwak (musang) adalah bersifat mutanajjis dan ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat:

1. Biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan

2. Biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.

Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

14
Jajanan APOLLO
Halal JAKIM

15
Roti Massimo
Halal JAKIM

16
Air kotak Yeo’s
Halal JAKIM

17
McDonald
Halal JAKIM

18
Starbucks
Halal JAKIM

19
KFC
Halal JAKIM

20
Golden Churn Creamy Butter
        Produk Golden Churn Creamery Butter yang dikilangkan oleh Ballantyne Foods Pty Ltd mempunyai Sijil Pengesahan Halal dari Islamic Co-ordinating Council of Victoria (ICCV)

   Produk Golden Churn Creamery Butter yang dikilangkan oleh New Zealand Butter Canners Morrinsville,merupakan pemegang Sijil Halal New Zealand Islamic Development Trust (NZIDT) dan Majelis Ulama Indonesia (MUI)

21
Air berkarbonat Fanta
Halal JAKIM
22
Produk Lam Soon Cap Buruh, knife, Soy fresh, Naturel, Zip, Labour, Antabax, May, Fruitale, Zip, Daisy, FarmCows, Ace, Drinho, Isomax
Halal JAKIM
23
Sabuk buku Fab
Halal JAKIM

24
Toblerone
Tiada sijil Halal

25
Pau Yik Mun Tanjung Malim
Halal JAKIM
26
Ajinomoto
Halal JAKIM

27
Maggi
Halal JAKIM


Semua maklumat berkenaan status halal adalah ringkasan dari saya, untuk mengetahui ulasan secara terperinci sila ke link facebook rasmi Hab Halal Jakim seperti tertera di bahagian rujukan.

Prinsip yang dijelaskan oleh Bahagian Hab Halal JAKIM menyatakan

Sesuatu produk tidak dikira haram melainkan telah jelas mengandungi unsur-unsur yang haram menurut Hukum Syarak.

Mana – mana produk yang tidak mempunyai status halal, lebih baiklah dijauhi untuk mengelakkan syubhah berdasarkan keyakinan masing-masing.



#YakiniHalalMalaysia #SemakSebelumSebar #JauhiFitnahTohmah #MogadirahmatiAllah       #TabayyunSebelumMenghukum


Rujukan:

https://www.facebook.com/pg/HabHalalJakim/photos/?tab=album&album_id=761629273996348 (maklumat adalah terkini sehingga Febuari 14, 2018 berdasarkan posting FB rasmi Hab Halal JAKIM) diakses pada 28 Januari 2019.





Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...