Friday 15 March 2019

Hadith membaca Yasin pada orang yang meninggal dunia




Hadith

Daripada Ma’qil bin Yasar, bahawa Nabi SAW bersabda:

اقْرَؤُوْا يَسٍ عَلَى مَوْتَاكُمْ

Terjemahan

Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal di antara kamu (HR. Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim).



Takhrij

HR. Abu Daud no. 3121, didhaifkan oleh al-Albani.

HR. Ibnu Majah no. 1448, didhaifkan oleh al-Albani.

HR. Ahmad no. 19416, didhaifkan oleh al-Arnauth.

HR. Ibnu Hibban no.  3002, didhaifkan oleh al-Arnauth.

HR. Al-Hakim no. 20174, beliau mendiamkannya.

Imam al-Nawawi mengatakan sanad hadith ini adalah lemah kerana terdapat padanya dua orang perawi yang tidak dikenali (al-Azkar, 144).

Imam Ibn Qathan berkata hadith tersebut tidak sahih kerana Abu Uthman tidak dikenali dan tidak meriwayatkan daripadanya kecuali Sulaiman bin Yasar. Apabila dia tidak dikenali maka bapanya lebih tidak dikenali padahal dia meriwayatkan daripadanya” (Bayan al-Wahm wa al-Iham, 5/49).



Perbahasan

Terdapat satu hadith bertaraf hasan dalam membahaskan isu hampir serupa. Tetapi hadith tersebut menyatakan bacaan Yaasin itu adalah kepada orang yang hendak meninggal dunia.

Imam al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan terdapat sebuah hadith yang terdapat di dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad yang hasan (al-Isabah, 5/249), daripada Safwan RA:


حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ، أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ، حِينَ اشْتَدَّ سَوْقُهُ، فَقَالَ: " هَلْ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَقْرَأُ يس؟ " قَالَ: فَقَرَأَهَا صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ مِنْهَا قُبِضَ، قَالَ: وَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ: إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا.


Terjemahan:


“Menceritakan kepadaku para syeikh (guru) bahawa mereka menghadiri Ghudhaif bin Harith ats-Thumali ketika beliau sedang menghadapi sakitnya maut, maka dia berkata : “Apakah ada di antara kalian yang mahu membacakan Yasin ?”. Dia (Safwan) berkata, maka Salih bin Syuraih al-Sakuniy membacanya (Yasin), tatkala sampai pada ayat ke 40 lalu Ghudhaif wafat. Dia (Safwan) juga berkata : “Para syeikh (guru) mereka berkata :“Apabila dibacakan samping orang yang hendak meninggal nescaya Allah akan meringankan baginya disebabkan dengan bacaan tersebut”(HR. Ahmad no. 16355). Al-Albaani menyatakan isnad hadith ini sahih dalam Irwaa’ al-Ghaleel, 3/152. Al-Arnauth juga menghasankan hadith ini.

Ada ulama yang menganggap hadith ini adalah syawahid kepada hadith yang disebutkan di atas seperti Imam  al-Hafidz al-Murtadha az-Zabidi (Ittihaf Saadatil Muttaqin 10/71).


Kesimpulan

Hendaklah membezakan waktu bilakah sepatutnya surah Yaasin ini dibacakan. Sama ada pada orang yang hendak meninggal atau yang telah meninggal.

Menurut pandangan sederhana Ibnu Utsaimin, bagi mereka yang mengatakan status hadith pertama itu sahih, maka membaca surah Yaasin bagi orang yang hendak meninggal adalah sunnah, dan bagi mereka yang mengatakan status hadith ini lemah (dhaif), maka perbuatan tersebut bukan sunnah. (Fatawa Ibn Utsaimin, 17/72).

Manakala amalan membaca surah Yaasin atau surah al-Quran yang lain pada orang yang telah meninggal dunia, maka tidak terdapat suatupun hadith yang sahih. Membaca Yaasin pada orang yang telah meninggal dunia, berkumpul membaca 40x dan sebagainya adalah merupakan perbuatan yang tiada tuntunannya dalam agama, maka hendaklah dijauhkan (Fatwa Soal Jawab Islam, no. 734).

Dan berkata Ibnu Taimiyah: Membaca al-Quran ke atas orang yang sudah mati adalah bidaah dan ini berbeza dengan membaca surah Yaasin kepada orang yang nazak ( hampir mati, bukan telah mati) yang mana ia disunatkan (al-Ikhtiyaaraat, ms. 91).

Surah Yasin membicarakan tentang Tauhid dan kebangkitan, janji-janji syurga kepada mereka yang beriman.

Bacaan Yasin digalakkan di baca keatas orang yang sedang menghadapi kematian menurut jumhur Imam Mazhab Fiqh. Amalan tersebut bukanlah bid’ah, akan tetapi ia merupakan perkara yang dikhilafkan.

Khilaf ulama pada perkataan موتاكم "mautakum"

1- Ada yang mentafsirkan -telah meninggal atau meninggal di kalangan kamu

2-Ada yang mentafsirkan - hampir meninggal di kalangan kamu  (nazak)

Yang paling tepat adalah pandangan ke-2 kerana:

Ini selaras dengan hadith dalam Sahih Muslim no. 916:

{ لقنوا موتاكم لا إله إلا الله }

"Ajarlah Lailahaillallah kepada orang yang hampir mati di kalangan kamu."

Dan pengertian itu semakna dan disokong atsar sahabat berdasarkan hadith Safwan dalam riwayat Ahmad no. 16355 yang berstatus hasan.



Rujukan

Irsyad al-Hadith siri ke- 177, Mufti Wilayah Persekutuan

Fatwa Soal Jawab Islam no. 734.


http://www.al-ahkam.net/home/content/membaca-yasin-keatas-orang-mati-atau-ketika-nazak

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...