Monday, 27 May 2019

Hadith Ular Syuja al-Aqra yang menyiksa orang yang melalaikan solat

Sesetengah ulama berkata bahawa diriwayatkan dalam hadith bahawa sesiapa yang menjaga solatnya, maka Allah s.w.t akan mengurniakannya lima keistimewaan, pertama akan diangkat daripadanya kesempitan hidup di dunia, kedua dia akan dihindarkan daripada azab kubur, ketiga dia akan menerima buku catatan amalnya melalui tangan kanan, keempat dia akan melintasi titian sirat sepantas kilat, dan kelima dia akan memasuk Syurga tanpa hisab.

 

Sesiapa yang meringan-ringankannya, maka Allah s.w.t akan menyeksanya dengan lima belas seksaan:

 

a)      5 seksaan di dunia

b)      3 seksaan ketika meninggal dunia

c)      3 seksaan semasa di dalam kubur

d)      3 seksaan semasa dibangkitkan daripada kubur.

 

Seksaan semasa di dunia adalah, pertama, dicabut keberkatan umurnya, keduanya, dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya, ketiga, setiap amalan yang dilakukannya tidak akan diganjari oleh Allah s.w.t, keempat doanya tidak akan diangkat ke langit (doanya tidak akan diterima), dan kelima, tidak ada bahagian baginya dalam doa orang-orang soleh.

 

Seksaan yang akan menimpanya ketika mati ialah, pertama dia akan mati dalam keadaan hina, kedua dia akan mati dalam keadaan lapar, dan ketiga, dia akan mati dalam keadaan dahaga sehingga jika dia diberi minum sebanyak air lautan di dunia pun tidak akan dapat menghilangkan rasa hausnya.

 

Seksaan yang akan menimpanya di dalam kubur ialah, pertama, kubur menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah antara satu sama lain, kedua, api akan dinyalakan di dalam kuburnya dan dia akan dibalik-balikkan di antara bara api siang dan malam, ketiga seekor ular yang besar bernama asy-Syuja' al-Aqra akan dilepaskan ke atasnya. Kedua-dua mata ular itu daripada api dan kuku ular itu dibuat daripada besi. Panjang setiap kuku ular itu sejauh satu hari perjalanan. Ular tersebut akan berkata-kata dengan suara yang gemuruh seumpama petir, "Aku asy-Syuja' al-Aqra. Aku diperintahkan Tuhanku supaya memukul kamu kerana kamu meninggalkan subuh sehingga naik matahari, kerana meninggalkan zuhur hingga asar, kerana meninggalkan asar hingga maghrib, kerana meninggalkan maghrib hingga isyak, kerana meninggalkan isyak hingga subuh." Setiap kali ular itu memukulnya, dia akan terbenam ke dalam bumi sejauh tujuh puluh hasta. Dia akan diazab berterusan di dalam kubur sehingga hari kiamat.

 

Manakala seksaan yang akan menimpanya ketika dibangkitkan dari kubur pada hari kiamat di padang mahsyar ialah pertama, penghisabannya amat berat, kedua dia dimurkai Allah s.w.t, dan ketiga, dia akan dimasukkan ke dalam neraka.

 

Yang tertulis di dalam hadith ini hanya 14 hukuman saja, bukan 15, berkemungkinan perawi terlupa yang ke-15 sepertimana disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Makki dalam az-Zawajir.

 

Takhrij

 

HR. Ibnu Najjar dalam Tarikh Baghdad, daripada Abu Hurairah ra, sepertimana disebutkan oelh as-Suyuthi dalam az-Ziyadat Ala al-Mawdhu’at hal. 391-392.

 

al-Kabair hal. 23-24 karya az-Zahabi (yang telah ditokok tambah). Ada pun, berdasarkan rujukan ke atas al-Kabair karya az-Zahabi yang asli versi tahqiq oleh Syaikh Muhyiddin Mistu, maka tidak disebutkan tentang hadith ini.

 

Kitab Fadhail al-A’mal karya Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandhalawi, kitab Fadhilat Solat, bahagian 2, hadith nombor 7.

 

Kitab Tanbih al-Ghafilin hal. 276 karya Abu al-Laits as-Samarqandi dengan 12 seksaan sahaja.

 

Irsadul Ibad hal. 12 karya Syeikh Zainuddin Malibari.

 

Dalam az-Ziyadat Ala al-Mawdhu’at hal. 391-392, karya as-Suyuti, at-Targhib wa at-Tarhib 2/431 karya Qawwam As-Sunnah al-Asbahani, Majalis al-Asyarah karya al-Khallal (daripada Ali bin Abi Talib ra), dengan riwayat 15 seksaan, cumanya tidak disebutkan ular bernama Syuja al-Aqra.

 

 

Komentar ulama hadith:

 

Imam az- Zahabi berkata hadith ini bathil (Mizan al-I’tidal 3/653).

 

Ibnu Hajar al-Asqhalani berkata hadith ini nampak sekali kebathilannya dan ia termasuk hadith-hadith yang dibuat-buat oleh para ahli tarekat (Lisanul Mizan 5/285).

 

Burhanuddin Al-Halabi juga telah menyebutkan kebathilan hadith ini (AI-KasyfAI-Hatsits hal. 240).

 

Majdi Fathi as-Sayyid Ibrahim (pentahqiq) telah menyatakan bahawa riwayat ini adalah bathil (Al-Majalis al-Asyarah hal 87).

 

Tiada asal menurut Fatwa Lajnah Daimah 3/259 dan Syeikh Shaleh Fauzan dalam Nurun Aladdarb, 20.

 

Hadith palsu menurut Ibn Baz dalam Fatwa Bin Baz no. 5414 dan Syeikh Ibnu Utsaimin dalam Majmu Fatawa 12/75-76.

 

Syeikh Dr. Hisyamuddin ‘Afanah menilai hadith ini palsu dan kebatilannya jelas (Fatwa Thariqah Islam no. 55989).

 

Pernyataan asy-Syuja’ al-Aqra akan menyeksa di alam kubur dalam hadith di atas ini bercanggah dengan hadith sahih.

 

Diriwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 1315 dinyatakan bahawa ular ini akan menyeksa mereka yang tidak menunaikan zakat, bukannya melalaikan solat.

 

Rasulullah shallAllahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:

 

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ

 

Barangsiapa yang Allah berikan harta namun tidak mengeluarkan zakatnya maka pada hari kiamat hartanya itu akan berubah bentuk menjadi seekor ular jantan yang bertanduk dan memiliki dua taring lalu melilit orang itu pada hari kiamat lalu ular itu memakannya dengan kedua rahangnya, iaitu dengan mulutnya seraya berkata: 'Aku inilah hartamu, akulah harta simpananmu (HR. Bukhari no. 1315).

 

Banyak lagi nas yang sahih perlu kita pegang untuk memberi rasa takut dan gerun apabila kita meninggalkan atau melalaikan.

 

Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran tentang kedudukan penghuni neraka yang tidak mengerjakan. Firman Allah SWT:

 

(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu (Surah al-Mudassir: 42-48).

 





Rujukan

 

Fatwa Soalajawab Islam no. 20897, 172024


https://dorar.net/fake-hadith/111


Fatwapedia no. 43506

3 comments:

  1. Jazakallah khair penulis blog ni😊

    ReplyDelete
  2. I rasa penulis kena semak balik apa yang ditulis ada kesalahan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. bahagian mana ada salah....boleh tolong senaraikan....supaya penulis aware

      Delete

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...