Monday 27 May 2019

Status hadith melihat 3 perkara itu ibadah


Daripada ‘Aisyah r.anha bahawa Rasulullah saw bersabda : “Melihat pada tiga perkara ini adalah ibadah : Melihat al-Quran, melihat ibu bapa dan melihat laut. Dalam riwayat lain menyebut : “Melihat Kaabah adalah ibadat. Apakah Status hadis ini?


Jawapan :



Berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah daripada Allah swt yang disebutkan di dalam kebanyakan tempat di dalam al-Quran.  Antaranya firman Allah swt :

وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya :” Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki..”

(Surah al-Nisa’ : 36)

Berkenaan persoalan yang telah dikemukakan, hadis ini telah disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam al-Gharaib al-Multaqitah Min Musnad al-Firdaus. Beliau berkata

قال أبو نعيم : حدثنا عبد الله بن محمد بن جعفر ، حدثنا عبد الله بن محمد بن زكريا ، حدثنا سعيد بن يحيى ، حدثنا زافر ، عن أبي عثمان ، عن يحيى بن سعيد ، عن محمد بن إبراهيم ، عن عائشة ، قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” النَظَرُ فِي ثَلَاثَة أَشْيَاءَ عِبَادَةُ ، النَظَرُ فِي َوجْهِ الَأَبوَيْنِ  وِفِي المُصْحَفِ ، وَفِي البَحْرِ

Maksudnya :” Abu Nuaim berkata :” Abdullah Bin Muhammad Bin Jaafar menceritakan kepada kami : Abdullah Bin Muhammad bin Zakaria menceritakan kepada kami : Sa’id bin Yahya menceritakan kepada kami : Zafir menceritakan kepada kami daripada Abu Uthman daripada Yahya Bin Said daripada Muhammad bin Ibrahim daripada ‘Aisyah r.anha. Beliau berkata : Rasulullah saw bersabda : “Melihat pada tiga perkara (ini) adalah ibadah : melihat kepada wajah kedua ibu bapa, melihat mushaf (al-Quran) dan melihat laut.”

Rujuk al-Gharaib al-Multaqitah Min Musnad al-Firdaus (2688)



Dengan sanad yang sama, hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Dailami daripada sahabat yang sama iaitu Ummul Mukminin ‘Aisyah r.anha :

النَّظَرُ إِلَى الْكَعْبةِ عِبَادَة، وَالنَّظَرُ إِلَى وَجْهِ الْوَالِدَينِ عِبَادَةٌ، وَالنَّظَرُ فِي كِتَابِ اللَهِ عِبَادَةٌ

Maksudnya :”Melihat kaabah adalah ibadah, melihat kepada wajah kedua ibu bapa adalah ibadah dan melihat kitab Allah (al-Quran) adalah ibadah.”

Riwayat al-Dailami (6863 atau 6873) di dalam al-Firdaus Bi Ma’thur al-Khitab

Hadis ini tidak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis muktabar seperti al-Kutub al-Sittah dan lain-lain melainkan hanya terdapat di dalam Musnad al-Firdaus.

Berkenaan status hadis ini, ia merupakan hadis yang lemah. Ini kerana di dalam sanad hadis tersebut terdapat perawi yang dikritik kredibilitinya. Antaranya Zafir. Nama sebenar beliau ialah Zafir Abu Sulaiman al-Quhastani. Ibnu ‘Adiy menyatakan bahawa beliau adalah perawi yang lemah. Kata beliau :

“Secara umumnya apa yang diriwayatkan oleh beliau tidak boleh dijadikan sandaran dan hadis yang dia riwayatkan tidak ditulis. Di samping itu, Zafir adalah perawi yang lemah.”

Rujuk al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ (3/232)

Kesimpulannya, hadis ini adalah hadis yang berstatus lemah. Tambahan pula, Musnad Firdaus adalah antara kitab yang mana terkumpulnya hadis-hadis yang lemah dan palsu seperti mana yang telah dijelaskan para ulama hadis.

Namun sekiranya melihat Kaabah dan setiap makhluk Allah yang lainnya dengan disertai memikirkan dan merasai kebesaran Allah SWT, maka ia merupakan satu ibadah. 

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...