Tuesday 25 June 2019

Makanan Kegemaran Rasulullah SAW





1.       Barli – Bagus untuk demam jika dibuat sup.
Takhrij : HR. Abu Daud no. 3358 – hasan
Ulasan :  Barli telah dijalankan kajian secara ilmiah dan ia mempunyai  lebih 30 manfaat kesihatan [1].

2.       Kurma – Nabi berkata rumah yang tidak mempunyai kurma adalah seperti rumah yang tidak ada makanan.
Takhrij : HR. Muslim no. 2046
Ulasan: Konteks hadits merujuk makanan ruji pada zaman itu [2]. Dan manfaat dalam kesihatan tidak mungkin di nafikan, atioksida, antikanser, kesuburan, memelihara kesihatan otak dan jantung, antidiabetik, dan baik untuk ibu mengandung, melahirkan dan menyusukan anak [3].

3.       Buah Tin – Buah dari syurga. Boleh mengubati buasir.
Takhrij: HR. Dailami di dalam musnadnya no. 4716 dan Abu Nuaim di dalam Tibb an-Nabawi no. 467 – dhaif (Silsilah Hadith Dhaif no. 165).
Ulasan : Buah Tin mempunyai nilai perubatan tradisional dan dibuktikan secara ilmiah, antikanser, antioksida,  anti-Alzheimer, antimikrob, antidiabetic, cegas sembelit, ubati luka dll  [3].

4.  Anggur – Nabi suka buah anggur. Ia membersihkan darah, menguatkan buah pinggang, membersihkan perut
Takhrij: HR. Abu Nuaim di dalam Hilyatul Auliya no. 319, 371, didhaifkan Ibnu Hibban. Ibnu Qayyim mengatakan hadith ini tidak sahih di dalam Zadul Maad 4/292.
Ulasan : Buah anggur mempunyai nilai perubatan dan tradisional serta dibuktikan secara ilmiah. Kaya antioksida, antibakteria, antikanser, memelihara kesihatan jantung, otak ,mata  [3, 4].


5.  Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman, *ubat segala ubat*. Mengubati *cirit birit* jika dibancuh dengan air panas, membuka selera, menguatkan perut, membuang kahak. Elok diminum waktu pagi dengan air suam.
Takhrij: HR. Bukhari no. 5386, 5248 (cirit-birit, berubat dengan madu), Ibnu Majah no. 3441 (menghindar penyakit) – dhaif, no. 3448 (penawar penyakit kecuali mati) –sahih
Ulasan: Madu memang sudah terkenal dengan khasiat perubatannya [5].

6.    Tembikai (Segala Jenis) – Nabi berkata wanita  mengandung tidak akan gagal melahirkan anak yang baik dari segi perwatakkan dan wajahnya.
Takhrij: HN. Ibnu Qayyim di dalam al-Manar al-Munif hal. 130. dan Zadul Maad 4/263 – tidak ada satu pun hadith yang sahih berkenaan kelebihan buah tembikai.
Ulasan: Tembikai memang mengandungi zat dan vitamin yang banyak dan mempunyai maanfaat kesihatan secara ilmiah [6], tetapi menisbatkan kelebihan-kelebihan ini secara tidak sahih datang dari sabda Nabi SAW adalah satu perbuatan yang salah.

7.       Susu – Nabi berkata susu baik untuk membuang panas badan. Menguatkan belakang, memperbaik otak, memperbaharui pandangan mata, membuang kelupaan.
Takhrij: HR. Ahmad no. 18831 (susu lembu adalah ubat penyakit)- hasan, HR. Bukhari no. 5362 (khasiat susu unta)
Ulasan: Susu (manusia, kambing, lembu) memang telah diketahui akan manfaatnya kepada kesihatan manusia, baik untuk tumbesaran anak-anak, sumber protein [7] dan terbaharu adalah susu unta sebagai antimikrob dan merawat penyakit perut dan hati [8].

8.    Cendawan – *Baik untuk mata*, perancang keluarga.
Takhrij: HR. Bukhari no. 5708
Ulasan: Terdapat kesan antikanser, penyembuhan luka dan rawatan mata [9, 10]

9.    Minyak Zaitun – Rawatan  kulit dan rambut.  Melambatkan penuaan, merawat radang perut.
Takhrij: HR. Tirmidzi no. 1851 (berminyak selain makan), 1859 (radang peparu) – sahih
Ulasan: Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan keberkesanan buah/minyak zaitun dalam perubatan dan tradisional seperti mencantikkan kulit dan rambut, memelihara sistem pernafasan dan kardiovaskular, antiradang dan antikanser [3, 11].

10.  Delima – Membersihkan  tubuh dari syaitan & bisikan syaitan selama 40 hari.
Takhrij: HR. Abu Nuai’m di dalam Hilyatul Auliya’ no. 363 – dihukum palsu oleh Az-Zahabi di dalam Siyar ‘Alam an-Nubala 9/392-393 dan as-Suyuthi di dalam Masnu’ah 2/177.
Ulasan: Delima juga telah terbukti secara saintifik mempunyai manfaat dalam kesihatan manusia, tetapi tidaklah sampai mampu menghindari dari bisikan syaitan (dihindari melalui bacaan zikir (al-A’raf: 201), ayat kursi, berdoa (al-Baqarah: 186) dan amalan menghindari was-was yakni meminta perlindungan seperti disebutkan dalam Hadith HR. no. 134, Antara manfaatnya adalah sebagai antioksida, antidiabetic, anticirit birit, antibakteria, memelihara kesihatan saraf, mencegah buasir deman dll [3].

11.  Air – Minuman terbaik. *Jika dahaga hendaklah disedut perlahan-lahan*, *jangan  diteguk*, mudah mendapat sakit pada hati.
Takhrij: HR. Tirmidzi no. 1884 (minum 3x nafas) - sahih, HR. Bukhari no. 5628 (jangan meneguk air terus dari mulut bekas minuman)
Ulasan: Air sangat berharga dalam kehidupan manusia. Dalam konteks minum, seelok-eloknya kita ikutilah sunnah Nabi SAW. Jangan pula kita terlalu cepat percaya dengan sebaran-sebaran umum di internet, media sosial yang menyarankan untuk minum air putih bergelas-gelas sekali gus untuk rawat penyakit-penyakit tertentu.

Saya sendiri telah membaca buku terapi air putih tersebut, kesimpulan yang dapat saya buat berdasarkan tinjauan pustaka dan ilmiah atas kapasiti saya sebagai warga akademik dan penyelidik terbahagi kepada beberapa poin
-terapi tersebut bercanggah dengan keperluan air untuk tubuh badan manusia normal.
-terapi tersebut boleh menyebabkan pesakit mendapat gejala lebih teruk, contohnya terapi pesakit buah pinggang perlu meminum air suam 4 gelas setiap pagi sekali gus selama beberapa hari berterusan. Ini akan menyebabkan pesakit itu mengalami edema.
-tidak ada “citation” dan rujukan yang absah pada setiap fakta yang dikemukakan

Manusia bukanlah memerlukan air putih minimum 8 gelas sehari. Ini adalah fakta yang selalu digunapakai tanpa diselidiki akan kesahihannya. Sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkan tubuh manusia memerlukan minum air putih dengan banyak [12, 13]. Dan Food and Nutrition Board of the National Research Council  telah menilai semula cadangan untuk memminum 8 gelas sehari pada tahun 2002 lagi [13]. Tubuh badan manusia dikurniakan sistem pengesan dahaga yang sangat berkesan. Ia dapat mengesan haus dan menyukat keperluan air yang diperkukan oleh tubuh untuk minum. Dan air yang diminum itu adalah mengikut jantina, keadaan tubuh (BMI), jumlah makanan, aktiviti, umur, adanya dan penyakit-penyakit tertentu. Minum air secara berlebihan pula dapat menyebabkan hyponatremia dan “water intoxication”. Perlu diingat sumber air bukanlah semata-mata berasal dari minuman sahaja malah ia datang dari sumber makanan yang kita makan. Air yang berlebihan akan memberi beban kepada buah pinggang kita untuk menuras dan menapis dan mengkumuhkan air tersebut. Ia akan berkerja lebih masa. Lebih teruk lagi ada kes seorang wanita yang kehilangan pandangan apabila minum air berlebihan, ia telah menyebabkan sel otak membengkak (edema). Beliau telah meminum 7 liter air sehari selama 3 bulan untuk detoksifikasi dan mengurangkan tekanan darah [14]. Perkara yang hampir serupa juga turut berlaku ke atas ibu kepada 3 orang anak di United Kingdom, di mana beliau mengambil hampir 28 tin Redbull sehari [15]. Kesimpulannya menurut kajian yang di jalankan oleh Centre of Disease Control and Prevention, menyatakan bahawa tiada sebarang jumlah tertentu untuk minum air putih dalam sehari, dan keperluan air tubuh turut diambil kira daripada jumlah yang masuk dari sumber yang berbeza seperti makanan, buah dan sayur [16-18].

 *Ingat!!* – air hendaklah diminum berdasarkan keperluan tubuh. Badan kita ada signal (yakni dahaga), ikut sahaja signal tersebut.

Sabda Rasulullah SAW:
"Siapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang membaca mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala walau pun sudah tiada."
Takhrij: Tidak ditemui asalnya.
Ulasan: Boleh jadi ia merujuk kepada hadith berikut. Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ 

Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pelakunya (Sahih Muslim no. 1893).



Nota:

Hadith berkaitan kelebihan makanan sahaja diterangkan melalui *bold* ataupun dinyatakan secara spesifik dalam (). Mana-mana kelebihan tanpa *bold* dan () maka ia tidak dijumpai dalam mana-mana hadith. Makai a akan diulas dengan bukti saintifik sahaja secara general di bahagian ulasan.


Wallahu ‘Alam.





Rujukan

1.       Marwat, S. K., Hashimi, M., Khan, K. U., & Khan, M. A. (2012). Barley (Hordeum vulgare L.) A Prophetic Food Mentioned in Ahadith and its Ethnobotanical Importance. American-Eurasian J. Agric. & Environ. Sci12(7), 835-841.
2.       https://www.facebook.com/DrRozaimiRamle/posts/1179069082120590/ Dicapai pada  25 Jun 2019.
3.       Sumaiyah, M. T. (2015). TUMBUHAN TERPILIH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM DAN SAINS KESIHATAN (Master's thesis, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia).
4.       Sofia, H. Y. (2019). Perubatan Nabi: Kefahaman terhadap sunnah dan praktis perawat. Journal of Islamic Social Sciences and Humanity17, 97-106.
5.       Khan, F. R., Abadin, Z. U., & Rauf, N. (2007). Honey: nutritional and medicinal value. International Journal of Clinical Practice61(10), 1705-1707.
6.       Perkins-Veazie, P. (2010). CUCURBITS, WATERMELON, AND BENEFITS TO HUMAN HEALTH. Acta Horticulturae, (871), 25-32.
7.       Thorning, T. K., Raben, A., Tholstrup, T., Soedamah-Muthu, S. S., Givens, I., & Astrup, A. (2016). Milk and dairy products: good or bad for human health? An assessment of the totality of scientific evidence. Food & Nutrition Research60(1), 32527.
8.       Ali, A., Baby, B., & Vijayan, R. (2019). From Desert to Medicine: A Review of Camel Genomics and Therapeutic Products. Frontiers in Genetics10, 17.
9.       Valverde, M. E., Hernández-Pérez, T., & Paredes-López, O. (2015). Edible Mushrooms: Improving Human Health and Promoting Quality Life. International Journal of Microbiology2015, 1-14.
11.   Covas, M., Fitó, M., & De la Torre, R. (2015). Minor Bioactive Olive Oil Components and Health: Key Data for Their Role in Providing Health Benefits in Humans. Olive and Olive Oil Bioactive Constituents, 31-52.
12.   https://www.bharian.com.my/node/134960. Dicapai pada  26 Jun 2019.
13.   Valtin, H. (2002). “Drink at least eight glasses of water a day.” Really? Is there scientific evidence for “8 × 8”? American Journal of Physiology-Regulatory, Integrative and Comparative Physiology283(5), R993-R1004. doi:10.1152/ajpregu.00365.2002
14.   The Apple Daily Taiwan inside The New Paper (World), Thursday, 22 Nov 2007, page 17.
16.   https://www.medicalnewstoday.com/articles/306638.php. Dicapai pada  26 Jun 2019.
17.   CDC. Beverage Consumption Among High School Students — United States, 2010. MMWR Morb Mortal Wkly Rep. 2011;60(23):778-780.
18.   National Center Health Statistics. National Health and Nutrition Examination Survey, 2013–2014: overview. http://www.cdc.gov/nchs/data/nhanes/nhanes_13_14/2013-14_overview_brochure.pdf. Dicapai pada  26 Jun 2019.

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...