Friday, 20 March 2020

Hadith membuat Ibu tersenyum dari Ibnu Umar?



Tular dari video dan ig akaun ustadz Hilman berkenaan hadits yang mafhumnya seperti berikut:


Suatu ketika Ibnu Umar bertanya kepada Rasul.
Ya Rasulullah, bagai mana cara nya aku ingin merasakan kalau Allah tersenyum kepadaku, aku tidak bisa melihat wajah Allah, tapi aku ingin tahu seperti apa Allah tersenyum kepada hamba nya.

Rasulullah sallallahualaihi wasallam menjawab. “Wahai Ibnu Umar, kalau kamu ingin wajah Allah tersenyum kepadamu, maka buatlah senyuman di wajah Ibumu. Kerana di saat ibumu tersenyum kerana kebaikanmu, kerana kelakuanmu, ibumu tersenyum kerana perilakumu, ibumu tersenyum kerana prestasimu, ibumu tersenyum kerana sesuatu yang kau berikan kepadanya. Di saat itu Allah sedang tersenyum kepada hambaNya.



Ulasan

Saya sendiri berhubung dengan Ustaz tersebut untuk pencerahan, dan beliau menyebutkan kepada saya bahawasanya beliau membawa hadith tersebut secara makna berdasarkan hadith di bawah:-


حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ كَثِيرٍ أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ حَدَّثَنَا عَطَاءُ بْنُ السَّائِبِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا


Terjemahan

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Katsir, telah mengabarkan kepada kami Sufyan, telah menceritakan kepada kami 'Atha` bin As Saib, dari ayahnya, dari Abdullah bin 'Amr , ia berkata: Terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dan berkata: aku datang membai'at engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis. Kemudian beliau berkata: "Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis!"


Takhrij

HR. Abu Daud no. 2166 disahihkan oleh Syeikh al-Albani dan dihasankan Syeikh al-Arnauth.


Mungkin dia tersilap nukil nama perawi sahabat dari Abdullah bin 'Amru kepada Ibnu Umar ra. Penggunaan hadith ini semata untuk menjelaskan video yang tular itu tidaklah tepat 100%, kerana terdapat minit akhir dalam video tersebut menyebut "Allah sedang tersenyum melihat hambaNya yang membuatkan ibunya tersenyum".

Hasil carian saya, tidak menemui redaksi hadith seperti berikut, melainkan satu hadith yang mendekati makna ustaz tersebut, iaitu:-


Hadith redha Allah atas redha ibu bapa


 Matan hadith

 رضى الله في رضى الوالدين ، وسخط الله في سخط الوالدين

 Terjemahan

Redha Allah adalah pada redha kedua ibu bapa, dan murka Allah adalah pada murka ibu bapa


Takhrij

Hadith ini dikeluarkan antaranya oleh al-Tirmizi dalam al-Jami' al-Mukhtasar (no. 1899), Ibn Hibban dalam al-Taqasim wa al-Anwa' (no. 429), al-Hakim dalam al-Mustadrak (no. 4/151-152), kesemuanya dari jalur Khalid bin al-Harith dari Syu'bah dari Ya'la bin `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah ibn `Amru dari Nabi SAW secara marfu'. Juga dikeluarkan al-Tirmizi (dalam komentar no. 1899) dari jalur Muhammad bin Basyar dari Muhammad bin Ja'far dari  Syu'bah dari Ya'la bin `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah ibn `Amru secara Mauquf sebagai kata-kata  `Abdullah ibn `Amru.

Sesetengah lafaz menyebut (الرَّبِّ - Tuhan) menggantikan perkataan (الله - Allah).

Hadith ini tidak sahih sebagai kata-kata Nabi SAW, tetapi yang benar ialah ia adalah kata-kata sahabat : `Abdullah ibn `Amru sahaja. Hadith ini datang dalam dua jalur satu Marfu' (bersambung kepada Nabi SAW) dan satu Mauquf (terhenti kepada Sahabat - `Abdullah ibn `Amru - sebagai kata-katanya sahaja), dan riwayat yang mahfuz (terpelihara , yang sebetulnya dan tidak silap) ialah riwayat yang Mauquf.

Dan berkata Imam al-Tirmidzi sejurus saja beliau mengeluarkan (meriwayatkan) hadith ini dalam kitabnya al-Jami' al-Mukhtasar :


 حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ يَعْلَى بْنِ عَطَاءٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو نَحْوَهُ وَلَمْ يَرْفَعْهُ وَهَذَا أَصَحُّ ... وَهَكَذَا رَوَى أَصْحَابُ شُعْبَةَ عَنْ شُعْبَةَ عَنْ يَعْلَى بْنِ عَطَاءٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو مَوْقُوفًا وَلَا نَعْلَمُ أَحَدًا رَفَعَهُ غَيْرَ خَالِدِ بْنِ الْحَارِثِ

"Telah menceritakan kami Muhammad bin Basyar dari Muhammad bin Ja'far dari  Syu'bah dari Ya'la bin `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah ibn `Amru semisalnya (iaitu hadith yang sama seperti yang diriwayatkan Khalid bin al-Harith) dan beliau (iaitu Muhammad bin Basyar) tidak meriwayatkannya secara Marfu' (tetapi Mauquf sahaja) dan riwayat yang Mauquf inilah yang tepat, ...dan hadith ini diriwayatkan oleh anak-anak murid Syu'bah yang lainnya dari Syu'bah dari Ya'la dari `Atha' dari Ayahnya dari `Abdullah bin `Amru secara Mauquf sebagai kata-kata `Abdullah bin `Amru sahaja, dan tidaklah diketahui seorangpun dari kalangan murid-murid Syu'bah yang meriwayatkan hadith ini daripada Syu'bah secara Marfu' selain Khalid bin al-Harith sahaja" (al-Jami' al-Mukhtasar, komentar hadith no. 1899). Juga berkata Imam al-Tirmizi lagi dalam kitabnya al-`Ilal al-Kabir:


 أصحاب شعبة لا يرفعون هذا الحديث ، ورفعه خالد بن الحارث


"Semua murid-murid Syu'bah tidak meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah secara Marfu', Khalid bin al-Harith - sahaja - yang meriwayatkannya secara Marfu'" (al-`Ilal al-Kabir, no. 365).

Berdasarkan penjelasan Imam al-Hafiz Abu `Isa al-Tirmizi diatas, dapatlah diketahui bahawa Khalid bin al-Harith meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah secara Marfu' , sedangkan Muhammad bin Basyar serta lain-lain murid Syu'bah meriwayatkan hadith ini dari Syu'bah juga tetapi secara Mauquf sahaja, dan yang betul ialah ia adalah Mauquf sebagai kata-kata `Abdullah bin `Amru sahaja sebagaimana periwayatan majoriti murid-murid Syu'bah. Manakala Khalid bin al-Harith beliau telah tersilap meriwayatkan hadith ini secara Marfu'. 

Kesimpulannya, ungkapan ini adalah kata-kata `Abdullah bin `Amru dan bukannya kata-kata Nabi SAW. Adapun makna intipati kata-kata `Abdullah ibn `Amru ini benar dan diamalkan fiqhnya.


Rujukan

http://ansarul-hadis.blogspot.com/2012/01/penjelasan-status-hadith-redha-allah.html

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...