Hadith menjadi patokan:-
Ibnu Abbas RA menceritakan bahawa
suatu hari, ada seorang sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW.
سأل رجلٌ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فقال : أيُّ العملِ أحبُّ إلى
اللهِ تعالَى ؟ قال : الحالُّ المُرتَحِلُ . قال : يا رسولَ اللهِ ! ما الحالُّ
المُرتَحِلُ ؟ قال : صاحبُ القرآنِ يضرِبُ في أوَّلِه حتَّى يبلُغَ آخرَه ، وفي
آخرِه حتَّى يبلُغَ أوَّلَه
''Wahai Rasulullah, amalan apakah
yang paling dicintai Allah?'' Beliau menjawab, ''Al-hal wal murtahal.'' Orang
ini bertanya lagi, ''Apa itu al-hal wal murtahal, wahai Rasulullah?'' Beliau
menjawab, ''Iaitu yang membaca Al-Quran dari awal hingga akhir. Setiap kali
selesai ia mengulanginya lagi dari awal.''
Takhrij
HR. at-Thabarani dalam Mu'jam
al-Kabir no. 12783, al-Hakim 1/568, Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya2/260.
Abu Nuaim menilai hadith ini
gharib (dhaif).
al-Mizzi mendhaifkan hadith ini
dengan kelemahan perawi bernama al-Haitsam bin Rabi' , beliau dinilai Abu Hatim
sebagai Shaikh dan tak dikenali.
Ibnu Katsir menilai sanad hadith
ini dhaif dalam Tafsirnya 1/135 kerana bersendirinya Shalih bin Mirri dalam
meriwayatkan hadith ini.
Tetapi dengan dhaifnya hadith
mengulang bacaan al-Quran sehingga khatam,
tidaklah bererti perkara itu terlarang secara mutlak.
Kerana ada perintah umum dan kelebihan
umum apabila kita sentiasa melazimi al-Quran.
Melazimi tidaklah HANYA bermaksud
mengkhatamkan al-Quran berulang kali (membaca), malahlebih dari itu:-
عن أَبي أُمامَةَ قَالَ: سمِعتُ رسولَ اللَّهِ ﷺ يقولُ: اقْرَؤوا
القُرْآنَ، فإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ القيامةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ
Dari Abu Amamah RA, ia mendengar
Rasulullah SAW bersabda, ''Bacalah Alquran, kerana sesungguhnya ia akan menjadi
syafaat bagi para pembacanya di hari kiamat.'' (HR. Muslim no. 804).
Dan seperti saranan dalam hadith
berikut:-
عَنْ أَبي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُول اللَّهِ ﷺ: ومَا اجْتَمَعَ
قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ، ويتَدَارسُونَه
بيْنَهُم، إِلاَّ نَزَلتْ علَيهم السَّكِينَة، وغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَة،
وَحَفَّتْهُم الملائِكَةُ، وذَكَرهُمْ اللَّه فيِمنْ عِنده
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah
SAW bersabda, ''Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah-rumah Allah
untuk melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan mempelajarinya, melainkan akan
turun kepada mereka ketenangan, akan dilingkupi pada diri mereka dengan rahmat,
akan dilingkari oleh para malaikat, dan Allah pun akan menyebut (memuji) mereka
di hadapan makhluk yang ada di dekat-Nya.'' (HR. Muslim no. 2699).
Berkata Imam Nawawi rah:-
Perkara ini sebagaimana yang
dikemukakan sebelumnya, iaitu menunjukkan anjuran untuk bersederhana dalam
ibadah dan anjuran supaya mentadabburi (menghayati) al-Qur’an. Para Salafush
Sholeh memiliki kebiasaan yang berbeza-beza dalam membaca atau mengkhatamkan
al-Qur’an bersesuaian (seiring) dengan keadaan, kefahaman, aktiviti, dan tugas
yang dipikulnya.
Sebahagian daripada mereka mampu
mengkhatamkan al-Qur’an setiap sebulan sekali, ada yang dua puluh hari sekali,
ada juga yang sepuluh hari sekali, dan kebanyakannya mengkhatamkan al-Qur’an
tujuh hari sekali. Tetapi tidak sedikit juga yang mampu mengkhatamkan al-Qur’an
setiap tiga hari sekali, bahkan ada yang mengkhatam sehari semalam sahaja. Ada
juga yang mengkhatamkan al-Qur’an hanya dalam satu malam. Lebih menakjubkan
lagi, ada juga yang mampu mengkhatamkan sehingga lima kali dalam sehari
semalam, bahkan yang paling banyak berdasarkan pengetahuan kami adalah yang
mampu mengkhatam lapan kali dalam sehari semalam. Aku telah menjelaskannya
dalam kitab Adab al-Qurra’ berserta ungkapan-ungkapan yang mengagumkan
berkaitan permasalahan tersebut.
Dan pendapat terpilih tentang
perkara ini adalah mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak-banyaknya selagi mana ia
mampu melakukannya dengan istiqmah (berterusan) dan bukan melakukannya hanya
ketika waktu sihat dan bersemangat sahaja. Ini tentu bagi mereka yang tidak
memiliki tugas-tugas secara umum atau khusus yang akan membebankannya jika
sering mengkhatamkan al-Qur’an. Sehingga apabila seseorang memiliki tugas
berkaitan dengan masyarakat umum atau orang ramai seperti pemerintahan,
mengajar, dan yang lain-lainnya, maka hendaklah ia menempatkannya pada
kedudukan yang sewajarnya iaitu berusaha mengkhatamkan al-Qur’an dengan dalam
masa yang sama dapat menjaganya di sela-sela masa sibuknya tanpa mengabaikan
tugas-tugas yang sedang dipikulnya. Inilah yang dilakukan oleh para Salafush
Soleh. (Syarah Sahih Muslim 8/43).
No comments:
Post a Comment