1. Perkataan "tiada
asal" atau "tidak terdapat asal", menurut Sheikh Abdul Fattah
Abu Ghuddah mempunyai beberapa makna. Dalam pendahuluan tahkik kitab al Masnu'
oleh Imam Mulla Ali Qari, beliau menyimpulkan makna perkataan tersebut
digunakan untuk 4 makna berikut:
1) Tiada sanad
2) Palsu
3) Kandungan hadis yang janggal
berbanding keseluruhan nas syariah, samada al Quran, hadis sahih atau dhaif
4) Kandungan hadis yang tidak
terdapat dalam al Quran atau hadis yang sahih.
2. Terdapat makna lain untuk
perkataan tersebut. Antaranya ialah hadis itu lemah, sanadnya salah atau syaz,
mungkar dll. Secara umumnya, perkataan tersebut menunjukkan hadis tersebut
bermasalah. Sudut apa yang dipertikaikan boleh diketahui oleh pakar bidang
hadis. Menurut Sheikh Abdul Fattah, perbezaan antara makna dan maksud perkataan
tersebut boleh diketahui dengan petunjuk dan tanda dalam konteks ia diucapkan.
3. Imam Abu Hatim pernah
mengeluarkan kenyataan, hadis ini batil tiada asal kepada hadis ' sesungguhnya
amalan itu dengan niat ', sedangkan hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh imam
Bukhari dan Muslim. Jika disemak kenyataannya, beliau merujuk kepada sanad
tertentu hadis tersebut yang mungkin beliau menganggapnya sebagai kesilapan
atau tidak terpelihara.
4. Situasi sebegini normal di
kalangan ulama terutama ulama terdahulu seperti penggunaan kalimah mungkar,
mursal, tidak sahih dll. Ia bukan digunakan atas dasar istilah khas yang
mempunyai satu makna sahaja. Justeru, pengamatan mendalam dan bertenang ketika
membaca perkataan ulama sangat diperlukan.
5. Walaupun perkataan tersebut
digunakan dengan pelbagai makna di kalangan ulama terdahulu, pemerhatian
sepintas lalu menunjukkan ia pada zaman moden ini digunakan kepada hadis yang
tidak dijumpai sanadnya. Pengkaji hadis masa kini tidak menggunakan untuk makna
lain. Kecuali apabila menukilkan penyataan ulama terdahulu. Ketika itu,
terdapat pengkaji moden merujuk kepada tiada sanad, palsu dll.
6. Bolehkah hadis tiada asal yang
bermaksud tiada ditemui sanad dan sumber yang dirujuk, dianggap dan dinilai palsu?
Jawapan: boleh dianggap demikian. Kata ibnu Iraq ketika menjelaskan tanda hadis
palsu:
وَمِنْهَا مَا ذكره الإِمَام فَخر الدَّين الرَّازِيّ أَن يروي الْخَبَر
فِي زمن قد استقرئت فِيهِ الْأَخْبَار ودونت فيفتش عَنهُ فَلَا يُوجد فِي صُدُور
الرِّجَال وَلَا فِي بطُون الْكتب ... فاستفدنا من هَذَا أَن الْحفاظ الَّذين
ذكرهم وأضرابهم إِذا قَالَ أحدهم فِي حَدِيث لَا أعرفهُ أَو لَا أصل لَهُ كفى
ذَلِك فِي الحكم عَلَيْهِ بِالْوَضْعِ
[ابن عراق،
تنزيه الشريعة المرفوعة عن الأخبار الشنيعة الموضوعة، ٨/١]
7. Terdapat ulama yang mengambil
sikap bersangka baik terhadap hadis yang dinukilkan oleh ulama besar tetapi
tidak dijumpai sanadnya dan sumber asal, seperti imam Sayuti terhadap hadis
perbezaan umatku adalah rahmat. Namun situasi ini sangat jarang berlaku dan
tidak dipersetujui oleh ulama lain.
8. Pendirian Sheikh Abdul Fattah
Abu Ghuddah, hadis yang tidak dijumpai sanadnya adalah tidak bernilai dan tidak
boleh berpegang dengannya.
9. Pendapat peribadi, hadis
sebegini jika pencarian yang tidak ditemui sumbernya dilakukan oleh sekadar
penuntut ilmu, ustaz, ilmuan biasa dan setarafnya, elok sekadar disebut tidak
dijumpai setakat pencariannya. Ini meraikan keterbatasan kudrat dan ilmunya
dalam bidang ini. Namun ia sudah cukup untuk orang awam menghindari dari
berpegang dan menyebarkan hadis sebegini. Selagi tidak dibuktikan sebalik.
Namun jika terdapat yang berani
terkedepan dan menilai hadis yang tidak ditemuinya sebagai palsu, ia bukan
tindakan yang mungkar dan salah. Terutama pada zaman hadis Nabi telah
dibukukan, mudah dicapai dan pencarian menyeluruh boleh dilaksanakan. Kecuali
apabila dapatan dibuktikan sebaliknya.
Wallahualam.
Sumber:
Dr. Muslim Mustafa dalam telegram MSO-D1 hadith,3/2/2021
No comments:
Post a Comment