Thursday 29 July 2021

Hadith selawat pada hari jumaat 80 kali diampuni dosa selama 80 tahun

 Matan hadith

 

الصَّلَاةُ عَلَيَّ نُورٌ عَلَى الصِّرَاطِ فَمَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُ ثَمَانِينَ عَامًا

 

Terjemahan

 

Selawat ke atasku menjadi cahaya di atas titian sirat. Maka sesiapa yang berselawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali, diampunkan baginya dosa-dosa selama 80 tahun.

 

Takhrij

 

Terdapat dua riwayat tentang selawat sebanyak 80 kali pada hari Jumaat berserta kelebihannya, iaitu riwayat Abu Hurairah RA dan riwayat Anas RA.

 

Pertama: Riwayat Abu Hurairah RA

 

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Shahin dalam kitabnya, al-Targhib fi Fadail al-A’mal (h. 14, no 22) daripada jalur riwayat ‘Awn bin Umarah daripada Sakan al-Barjumi daripada Hajjaj bin Sinan daripada ‘Ali bin Zayd daripada Sa’id bin al-Musayyab daripada Abu Hurayrah RA secara marfu’.

 

Sanad hadith ini adalah TERLALU LEMAH, kerana terdapat EMPAT orang perawi yang dinilai lemah. Mereka adalah:

 

1. ‘Ali bin Zayd bin Jud’an al-Basri: Hammad bin Zayd: “Dia sering mengubah hadith-hadith,” Shu’bah menyatakan dia telah iktilat (mencampur adukkan riwayat). Imam Ahmad: “Laysa bi shay” (hadithnya terlalu sedikit), Abu Zur’ah al-Razi: “Dia tidak kuat, sentiasa keliru dan silap,” Abu Hatim al-Razi: “Dia tidak boleh dijadikan hujah” dan al-Daraqutni: “Saya masih menganggapnya lemah.” Lihat al-Dhahabi, al-Mughni fi al-Du’afa’ (2: 447)

 

2. Hajjaj bin Sinan. Al-Azdi menyatakan tentangnya, “Matruk”. Lihat Ibn Hajar, Lisan al-Mizan (2: 563).

 

3. Zakariyya bin ‘Abd al-Rahman al-Barjami. Dia telah dinilai sebagai lemah oleh al-Azdi. Lihat Ibn Hajar, Lisan al-Mizan (3: 510).

 

4. ‘Awn bin Umarah al-Qaysi. Abu Zur’ah berkata, “Munkar al-hadith.” Al-Hakim berkata, “Saya sempat dengannya, tetapi saya tidak menulis hadith daripadanya. Dia seorang munkar al-hadith dan daif al-hadith.” Abu Dawud berkata, “Lemah.” Lihat Ibn Hajar, Tahdhib al-Tahdhib (8: 154).

 

Hadith ini telah dinilai sebagai lemah oleh al-Daraqutni (Nataij al-Afkar, 5: 56), “munkar” oleh Ibn Hajar (Lisan al-Mizan, 2: 563), al-Sakhawi (al-Qawl al-Badi’, 199), al-Munawi (Fayd al-Qadir, 4: 249), Muhammad Darwish al-Hut (Asna al-Matalib, 175) dan al-Albani (al-Dai’fah, 8: 274).

 

Kedua: Riwayat Anas bin Malik RA.

 

Riwayat ini dikeluarkan oleh al-Khatib al-Baghdadi (Tarikh Baghdad, 15: 636, no 7278) menerusi tariq Wahb bin Dawud bin Sulayman al-Darir, daripada Ismail bin Ibrahim daripada ‘Abd al-Aziz bin Suhayb daripada Anas bin Malik RA secara marfu’. Dalam riwayat ini terdapat penambahan:

 

فَقِيلَ لَهُ: كَيْفَ الصَّلاةُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: تَقُولُ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ، وَتَعْقِدُ وَاحِدَةً

 

Ditanyakan kepada baginda: bagaimana cara berselawat ke atas tuan? Baginda berkata, “Kamu menyebut اللهم صل …” dan kamu mengiranya sebagai sekali.

 

Al-Khatib menukilkan riwayat ini dalam biografi Wahb bin Dawud al-Darir, dan beliau menyatakan al-Darir seorang perawi yang tidak thiqah. Menurut al-Dhahabi, al-Khatib menukilkan hadith itu sebagai contoh hadith yang direka oleh Wahb. (al-Mughni, 2: 727-728).

 

Menurut al-Albani, tanda-tanda kepalsuan pada hadith ini amat jelas. (al-Da’ifah, 1: 382).

 

Kesimpulan

 

Hadith riwayat Abu Hurairah RA adalah sangat lemah, manakala hadith riwayat Anas RA adalah palsu.

 

NAMUN, hari Jumaat adalah hari yang digalakkan bagi seseorang Muslim memperbanyakkan selawat, tanpa sebarang angka tertentu.

 

Fadilat selawat telah dinyatakan dalam banyak hadith-hadith yang sahih. Tak perlu dihidangjajakan dengan yang dhaif dan palsu

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...