Matan hadith
مَنْ وَسَّعَ عَلَى عِيَالِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ يَزَلْ فِي سَعَةٍ سَائِرَ سَنَتِهِ.
Terjemahan
Barang siapa meluaskan belanjanya
kepada keluarganya pada hari Asyura maka ia sentiasa berada pada keluasan rezeki
sepanjang tahunnya
Takhrij
Hadith ini berdasarkan kajian
didapati telah diriwayatkan oleh lima orang sahabat Nabi SAW, iaitu:
Abu Sa’id al-Khudri RA: iaitu riwayat Ibn Abi al-Dunya
dalam al-’Iyal no. 385, al-Hakim al-Tirmidzi dalam Nawadhir al-Usul 3/14, at-Thabarani
dalam Mu’jam al-Awsath no. 9302, dan al-Baihaqi dalam Syuabul Iman no. 3794.
Dalam sanadnya ada Muhammad bin Isma’il al-Ja’fari yang munkar al-hadith (al-Haithami
3/189).
Ibn Mas’ud RA: iaitu riwayat Ibn ’Adi dalam al-kamil
fi Dhuafa’ 5/211, al-Baihaqi dalam Syuabul Iman no. 3792, dan Ibn Hibban dalam
al-Du’afa’ 3/97, serta at-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir no. 10007 dengan
lafaz: (من وسع على عياله يوم عاشوراء لم يزل فى سعة سائر سنته), dan
dalam sanadnya ada al-Haitsam bin al-Syaddakh yang sangat dhaif (al-Haithami
3/189).
Jabir RA: iaitu riwayat al-Baihaqi dalam
Syuabul Iman no. 3791, kata beliau: Isnadnya dhaif. Juga diriwayatkan dalam
al-Istizkar 3/321 oleh Ibn ’Abd al-Barr dengan lafaz: (من وسع على نفسه وأهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته), disahihkan oleh al-Iraqi tetapi dibantah oleh muridnya Ibnu Hajar yang menilai hadith tersebut munkar. Manakala al-Hafiz Ahmad al-Ghumari menyatakan bahawa
perawi-perawi sanadnya adalah perawi-perawi al-Sahih.
Abu Hurairah RA: iaitu riwayat Ibn ’Adi dan
al-Baihaqi dalam Syuabul Iman no. 3795, Ibnu Adi dalam al-Kamil dan Abu Nua'im dalam Tarikh Asbahan dan Ibnu Jauzi dalam al-Maudhuat . dan al-Uqaili mengatakan dalamnya terdapat perawi yang tidak dikenali iaitu Sulaiman bin Abi Abdillah.
Ibn ’Umar RA: iaitu riwayat al-Daraqutni
dalam al-Afrad dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Ruwat Malik.
Dr. Muhammad Abu al-Laith
al-Khairabadi dalam kitabnya al-Marwiyyat fi Fadl Laylah al-Nisf min Sya’ban wa
al-Tawsi’ah ’ala al-’Iyal Yaum ’Asyura’ fi Mizan al-Naqd al-Hadithi hal. 115
merumuskan bahawa hadith ini berdasarkan jalan-jalan riwayatnya adalah hasan
li-ghairih. Hukum beliau ini bersepakatan dengan ramai ulama hadith yang
tidak menolak hadith ini seperti al-'Iraqi, al-Sakhawi, al-’Ajluni, al-Suyuti,
al-Munawi, Ibn 'Arraq dan lain-lain. Sebelum Dr. Abu al-Laith, al-Hafiz al-'Allamah
Sayyid Ahmad al-Ghumari رحمه الله sebenarnya telahpun
membincangkan takhrij hadith ini secara terperinci dan menghukumnya sebagai
sahih di dalam risalah beliau: (هدية الصغراء بتصحيح حديث التوسعة يوم عاشوراء).
Namun begitu Asy-Syaibani
rahimahullah berkata : "Semua jalur perawi hadith-hadith ini lemah.
Al-`Iraqi rahimahullah berkata : Sebahagian jalur dari Abu Hurairah disahihkan
oleh Al-Hafiz Ibnu Nasir, jadi menurutnya ini hadith hasan, sedangkan Ibnul Jauzi
rahimahullah menulisnya di dalam kumpulan hadith palsu. (Tamyizut-Tayyib minal
Khabith, no. 1472, Tanbihul Ghafilin, 1/367).
Sementara itu Imam As-Suyuti
rahimahullah dengan tegas mengatakan : "Telah diriwayatkan tentang
keutamaan meluaskan nafkah sebuah hadith dhaif, boleh jadi sebabnya adalah
berlebihan di dalam mengagungkannya, dari satu sudut untuk menandingi
orang-orang Rafidhah (Syi'ah) kerana syaitan sangat bercita-cita untuk
memalingkan manusia dari jalan lurus. Ia tidak peduli ke arah mana dari dua
arah mereka akan berpaling, maka hendaklah para pelaku bidaah menghindari
bidaah-bidaah sama sekali." (Al-Amru Bil Ittiba', hal. 88-89).
Ibnu Rajab rahimahullah berkata
dalam Lataif Ma’arif hal. 53 : Hadith anjuran memberikan belanja lebih dari hari-hari
biasa, diriwayatkan dari banyak jalan namun tidak ada satupun yang sahih.
Di antara ulama yang mengatakan demikian adalah Muhammad bin Abdullah bin Al-Hakam
Al-Uqaili rahimahullah, beliau berkata : Hadith itu tidak dikenali.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh
al-Siyam : Taisir al-Fiqh fi Dhau' al-Quran wa al-Sunnah (cet. ke 3. Beirut :
Mu’assasah al-Risalah, 2001. hlm. 142-154:
Tidak didatangkan apa-apa perkara
di dalam hari 'Asyura' melainkan berpuasa, dan terdapat beberapa orang
melakukan perkara seperti berhias, mandi, memakai celak, membelanjakan
keluarga, menjadikannya musim atau perayaan dengan menyembelih binatang
sembelihan, dan manusia meluaskan lagi. Kesemua ini tidak ada asalnya di dalam
agama Allah, tidak ada sebarang dalil yang sahih”.
Al-Qaradawi turut menukilkan dari
Ibn al-Qayyim :
Hadith-hadith mengenai penggunaan
celak pada hari 'Asyura, mencantikkan diri, membelanja keluarga, bersolat, dan
lain-lain yang mempunyai fadhilat, tidak sahih apa-apa mengenainya, dan tidak
ada satu hadith pun, dan tidak datang dari Nabi saw apa-apa darinya, selain
dari hadith-hadith puasanya, dan menganggapnya batil",... dan misalnya :
"Barangsiapa yang melapangkan (berbelanja) ke atas keluarganya pada hari
'Asyura, Allah swt akan melapangkannya sepanjang tahun", maka berkata
Imam Ahmad : Hadith ini tidak ada asal”. (al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa
al-Dha'if, Dar al-Qalam, Beirut, ditahqiq oleh Abu Ghuddah, hal. 111-113;
Lathaif Ma’arif Kaherah hal. 67).
Selain Imam Ahmad antara nuqqad
yang menyatakan hadith ini dhaif adalah Abu Zur’ah, al-Uqaili, Ibnu Jauzi dan
dinilai munkar oleh al-Daraquthni, malah Ibnu Rejab sendiri menyatakan,
walaupun diriwayatkan dari jalur yang pelbagai, namun hadith ini tidak sahih (Lathaif
Ma’arif Kaherah hal. 67).
Hadith ini juga telah didhaifkan
oleh az-Zahabi sepertimana disebutkan oleh as-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah,
Beirut hal. 98-99.
As-Sakhawi, dimana beliau menyatakan sanad-sanad hadith ini, meskipun semuanya dhaif, hanya saja jika semuanya digabungkan maka akan menjadi kuat (Maqasid al-Hasanah hal. 225).
Keterangan As-Sakhawi ini dikomentari Al-Albani sebagai kesalahfahaman. Al-Albani mengatakan, ini adalah pendapat Sakhawi, dan saya tidak menganggapnya benar. Kerana syarat menguatkan hadith dengan menggunakan banyak jalur adalah tidak adanya perawi yang matruk (ditinggalkan) atau perawi tertuduh. Sementara hal itu tidak ada dalam hadith ini (Tamamul Minnah hal. 410)
Syeikh al-Albani juga berkata hadith-hadith
ini berlegar pada perawi yang matruk dan majhul (Tammamul Minnah hal. 413; Silsilah Hadith Dhaif no. 6824).
Al-Muallimi ketika mentahqiq
kitab al-Fawaid Majmu’ah untuk hadith ini, beliau berkata hadith ini tidak
sepatutnya dikatakan sebagai “ dikuatkan dengan perlbagai jalan, sepatuttnya
dilemahkan degan pelbagai jalan”.
Syeikh Ibn Taimiyah berkata:
Diriwayatkan di dalam hadith
maudhu' (palsu) bahawa Nabi saw sesunguhnya bersabda: "Barangsiapa yang
melapangkan kaum keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya
sepanjang tahun". Semua riwayat mengenai Nabi saw (di dalam hal ini)
adalah dusta, akan tetapi diketahui akan riwayat Sufyan bin Uyainah dari
Ibrahim bin Muhammad bin Muntasyir, dari ayahnya berkata : "Telah sampai
kepadaku seseungguhnya; barangsiapa yang melapangkan ahli keluarganya pada hari
'Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun". (Majmu' Fatawa,
Ibn Taimiyah, 25/229,300).”
Adapun amalan sebahagian orang terlalu berusaha mengabsahkan dalil dengan amalan para sahabat/tabien, tetapi amalan mereka tidaklah
menjadi hujah secara automatik. Seperti yang diriwayatkan oleh al-Munawi dalam Faidul Qadir
6/290:
Al-Munawi berkata dalam Faidhul Qadir 6/302 :
وذلك مجرب للبركة والتوسعة ، قال جابر الصحابي : جربناه فوجدناه صحيحا وقال ابن عيينة : جربناه خمسين أو ستين سنة
Hal ini (meluaskan belanja pada
hari Asyura) telah terbukti untuk keberkahan dan keluasan rezeki. Jabir
As-Shahabi berkata : Aku telah mencubanya dan ternyata benar. Ibnu Uyaynah
berkata: Aku telah membuktikannya selama 50 atau 60 tahun.
Imam Yahya bin Sa'id al Qaththan berkata :
Kesimpulan
Setelah menjelaskan panjang lebar,
pendapat yang kuat menurut Syeikh Muhammad Anwar Muhammad Mursal dalam Fatwa
Thariqah Islam no. 84035, adalah hadith tersebut lemah.
Walaubagaimanapun ia
adalah amalan yang dianjurkan oleh ulama terkemudian 4 mazhab, dan sebahagiannya
tidak menetapkan dengan tegas dan tidaklah boleh untuk menganggap ianya sunnah yang
mesti dilakukan (Mawahib al-Jalil 3/314).
Rujukan
https://al-maktaba.org/book/11363/43#p1
Fatwa Syabakah Islamiyah no. 45441
No comments:
Post a Comment