Syariat memberi salam dan memberi salam sebelum masuk rumah
Firman Allah taala :
فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً
مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً
Maka apabila kamu masuk ke
mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti)
kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik (Surah al-Nur
: 61)
Daripada Abu Hurairah RA baHawa
Rasulullah SAW bersabda:
لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا، ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا
أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ؟ افْشُوا
السّلامَ بَـيْنَكُمْ
Mereka tidak akan masuk syurga
sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih
sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian
mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah
salam sesama kalian (HR. Bukhari no. 54 dan Muslim no. 81).
Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al Ash
radhiallahu’anhu, Nabi shallallahu‘alaihi wasallam bersabda:
اعبُدوا الرحمنَ ، و أطعِمُوا الطعامَ ، وأَفشوا السَّلامَ ، تَدخُلوا
الجنَّةَ بسَلامٍ
Sembahlah Ar Rahman semata,
berikanlah makan (kepada yang memerlukan), tebarkanlah salam, maka engkau akan
masuk syurga dengan selamat (HR. Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 981, Ibnu Majah no. 3694, sahih al-Albani).
Faedah: Disyariatkan menyebarkan dan mengucapkan
salam, juga beri salam sebelum masuk rumah baik berpenghuni mahupun tidak,
kerana ia ucapan yang diberkati dan menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta (Tafsir
al-Muyassar hal. 358).
Memberi salam dan menjawab salam
Firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ
رُدُّوهَا
Dan apabila kamu diberikan
penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka
balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia
(dengan cara yang sama) (Surah al-Nisa’: 86).
Nabi SAW pernah bersabda apabila
ditanya berkaitan Islam apakah yang terbaik:
تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَعَلَى
مَنْ لَمْ تَعْرِفْ
Kamu memberi makan dan mengucapkan
salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal (HR. Bukhari
no. 6236).
Dari Abu Hurairah
radhiallahu’anhu, Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ
الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ
الْعَاطِسِ
Hak sesama Muslim ada lima:
membalas salamnya, menjenguknya ketika ia sakit, mengikuti jenazahnya yang
dibawa ke kuburan, memenuhi undangannya dan bertasymit ketika ia bersin (HR.
Bukhari no.1164 dan Muslim no.4022).
Faedah: Memberi salam hukumnya sunat
yang sangat diuntut, manakala menjawabnya adalah wajib. Jika salamnya kepada
banyak orang, maka fardhu kifayah bagi mereka untuk menjawabnya al-Majmu Syarah
al-Muhazzab 4/460).
Menjawab salam dalam solat
Daripada Bilal RA apabila Ibn
Umar R.anhuma bertanya kepadanya:
كَيْفَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرُدُّ
عَلَيْهِمْ حِينَ كَانُوا يُسَلِّمُونَ عَلَيْهِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ؟ قَالَ:
كَانَ يُشِيرُ بِيَدِهِ
Bagaimanakah Nabi SAW menjawab
salam sekiranya Baginda SAW diberi salam dalam keadaan sedang mendirikan
solat?. Bilal menjawab: Baginda SAW mengisyaratkan dengan tangannya (HR.
Tirmidzi no. 368, hasan sahih at-Tirmidzi, dan Syeikh al-Arnauth menilai hadith
ini adalah sahih).
Faedah: Boleh menjawab salam dalam solat
dengan isyarat jari atau tangan (Tuhfat al-Ahwadzi 2/305).
Memberi dan menjawab salam bertulis
Nabi SAW pernah bersabda kepada
Aisyah R.Anha :
يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ، فَقُلْتُ :
وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ. وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى
Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau
menyampaikan salam untukmu. Lalu saya menjawab : ‘وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ’. Nabi SAW melihat apa yang tidak saya lihat (HR. Bukhari no.
3217 dan Muslim no. 2447, Ahmad no. 24857).
Faedah: Pada sesiapa yang disampaikan
salam padanya, wajiblah dia menjawabnya dengan segera, dan begitu jugalah jika
dia menerima salam pada kertas (surat) daripada orang berada jauh (pihak
ketiga), wajib dia menjawab secara lisan segera ketika dia membacanya (Minhaj
Syarah Sahih Muslim 15/211). Kerana penulisan sama kedudukannya seperti
percakapan (Qawaid Fiqhiyyah wa Tatbiqatiha fi al-Mazahib al-Arbaah 1/339).
Lafaz-lafaz salam
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi
SAW bersabda:
خَـلَقَ اللَّهُ عَزَّ وجَلَّ آدَمَ علـى صُورَتِهِ طُولهُ سِتُّونَ
ذِراعاً، فَلَـمَّا خَـلَقَهُ قال: اذْهَبْ فسَلِّـمْ علـى أولئِكَ: نَفَرٍ مِنَ
الـمَلائِكَةِ جُلُوسٍ فـاسْتَـمعْ ما يُحَيُّونَكَ فإنَّها تَـحِيَّتُكَ
وتـحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فقال: السَّلامُ عَلَـيْكُمْ، فقالوا: السَّلامُ
عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَزَادُوهُ: وَرَحمَةُ اللَّهِ
Telah Allah SWT cipta Adam dengan
ciri-cirinya iaitu dengan tingginya 60 hasta. Setelah Allah SWT menciptanya,
Allah SWT berfirman: Pergilah dan ucapkanlah salam kepada malaikat yang duduk
itu dan dengarkan baik-baik bacaan salam mereka kepAdamu kerana itu adalah
sebagai salam penghormatan dan juga anak cucu keturunanmu. Adam mengucapkan “السَّلامُ عَلَـيْكُمْ”, lalu para malaikat berkata: “السَّلامُ عَلَـيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ”. Para malaikat telah menambah (وَرَحْمَةُ اللَّهِ)”. (HR. Bukhari no. 5759 dan Muslim no. 5075).
Daripada riwayat Anas bin Malik
RA:
كان رجل يمُر بالنبيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقول : السَّلامُ عَلَيْكَ يا رسول الله ، فيقولُ له
النبيُّ صَلى الله عَليه وسلم : (وَعَلَيْكَ السَّلامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
وَمَغْفِرَتُه وَرضْوَانُه)
Terdapat seorang lelaki berjalan
berdekatan dengan Nabi SAW sambil berkata: Salam sejahtera ke atas engkau wahai
Rasulullah! Maka Nabi SAW menjawab kepada lelaki tersebut: Ke atas engkau
salam, rahmat Allah, keampunanNya serta keredhaanNya (HR. Ibnu Sunni dalam Amal
al-Yaum wa al-Lailah no. 235, sanadnya dhaif menurut al-Munawi dalam Takhrij
Ahadith Misykatul Mashabih, dhaif menurut Ibnu Qayyim dalam Zaadul Maad 2/382).
Faedah: Antara lafaz “salam” yang boleh
digunakan adalah:
السلام عليكم
السلام عليكم ورحمة الله
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Boleh juga dengan penambahan “ومغفرته” dan juga “ورضوانه” (Syarah Sahih Muslim 14/140; Irsyad
al-Hadith no. 53).
Cara menjawab salam
Berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ
رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Dan apabila kamu diberikan
penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka
balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia
(dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap
sesuat (al-Nisa’:86).
Faedah: Merujuk kepada firman Allah SWT
ini, jelaslah menunjukkan baHawa kita dituntut untuk menjawab penghormatan atau
salam yang diberikan dengan lebih baik atau membalasnya (jawab) sama seperti
yang diucapkan itu (Irsyad al-Hadith no. 53).
Batas suara salam yang ideal
Daripada Al Miqdad bin Al Aswad
radhiallahu’anhu, ia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجِيءُ مِنَ اللَّيْلِ،
فَيُسَلِّمُ تَسْلِيمًا لَا يُوقِظُ نَائِمًا، وَيُسْمِعُ اليقظان
Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam
pernah datang (ke suatu rumah) di malam hari. Beliau bersalam dengan salam yang
tidak membangunkan orang yang tidur namun boleh didengar orang yang masih
terjaga (HR. Bukhari dalam Adabul Mufrad no.784, sahih al-Albani).
Faedah: Batas suara salam yang ideal
adalah yang tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan.
Salam yang tidak berbalas dan
ancaman mereka yang sengaja tidak menjawab salam
Daripada Abu Hurairah
Radhiallahu’anhu, dari Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam, beliau bersabda:
تَسْلِيمُكَ عَلَى بَنِي آدَمَ إِذَا لَقِيتَهُمْ ، فَإِنْ رَدُّوا
عَلَيْكَ رَدَّتْ عَلَيْكَ وَعَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ ، وَإِنْ لَمْ يَرُدُّوا
عَلَيْكَ رَدَّتْ عَلَيْكَ الْمَلائِكَةُ ، وَلَعَنَتْهُمْ أَوْ سَكَتَتْ عَنْهُمْ
Ucapan salammu kepada orang-orang
jika bertemu mereka, jika mereka membalasnya, maka Malaikat pun membalas salam
untukmu dan untuk mereka. Namun jika mereka tidak membalasnya, maka Malaikat
akan membalas salam untukmu, lalu malah melaknat mereka atau mendiamkan mereka
(HR. Ath Thabrani dalam Musnad Asy-Syamiyyin no. 423, Al Marwazi dalam Ta’zhim
Qadris Shalah no. 359, sahih al-Albani dalam Silsilah Hadith Sahih no. 333).
Faedah: Tidak ada ruginya mengucapkan
salam kepada seseorang walaupun tidak dibalas, kerana malaikat yang akan
membalas salam kita. Hadith ini juga menunjukkan tercelanya sikap enggan
menjawab salam. Kerana menjawab salam itu hukumnya wajib sebagaimana sudah
dijelaskan.
Memendekkan lafaz salam
Syeikh al-Uthaimin telah
menyatakan baHawa tidak mengapa memendekkan lafaz salam menjadi (السلام) kerana Nabi Ibrahim A.S, ketika menjawab salam para malaikat
dia menjawabnya dengan lafaz (سلامٌ) iaitu dengan makna (عليكم سلام) : “Ke atas kamu semua kesejahteraan”. Begitu juga tidak
mengapa, ketika memberi salam, jika seseorang memberi salam dengan lafaz (سلام) iaitu dengan makna (سلامٌ عليكم) : “Salam sejahtera ke atas kamu semua” atau dengan lafaz (السلام) iaitu bermaksud (السلام عليكم) (Fatawa Nur ‘ala al-Darb 2/24). Perkara ini adalah sebagaimana umum kaedah :
الاعتبار بالمقاصد، لا بالألفاظ
Sesuatu itu dikira berdasarkan
kepada niat dan tujuan, bukannya kepada lafaz semata-mata (Ma’lamah Zayid lil
Qawaid al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah 8/16).
Turutan keutamaan memberi salam
Daripada Abu Hurairah RA baHawa
Rasulullah SAW bersabda:
يُسَلِّمُ الرَّاكِبُ عَلَى الْمَاشِي ، وَالْمَاشِي عَلَى الْقَاعِدِ ،
وَالْقَلِيلُ عَلَى الْكَثِيرِ
Hendaklah orang yang menaiki kenderaan
memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang berjalan memberi salam
kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang
ramai (HR. Bukhari no. 5765, Muslim no. 4019).
Faedah: Sunat untuk memulakan ucapan
salam kerana ia adalah sunnah yang amat disukai oleh Rasulullah SAW. Di samping
itu juga, tidak menjadi masalah bagi orang yang berjalan atau orang yang duduk
untuk mengucapkan salam jika orang yang berkenderaan atau orang yang berjalan
tidak mengucapkannya walaupun mereka inilah yang sepatutnya memulakan ucapan
salam berdasarkan hadith di atas. Ini bertujuan bagi menghidupkan sunnah
Rasulullah SAW (Irsyad al-Hadith no. 53).
Memberi salam pada orang yang
dikenali dan tidak dikenali
Daripada Abdullah bin Amr RA, baHawa
Nabi SAW bersabda apabila ditanya berkaitan Islam apakah yang terbaik:
تُطْعِمُ الطَّعَامَ، وَتَقْرَأُ السَّلاَمَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَعَلَى
مَنْ لَمْ تَعْرِفْ
Kamu memberi makan dan
mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak
kenal (HR. Bukhari no. 6236)
Daripada Abu Hurairah RA, baHawa
Nabi SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يُسَلِّمَ الرَّجُلُ عَلَى
الرَّجُلِ، لَا يُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا لِلْمَعْرِفَةِ
Di antara tanda-tanda Kiamat
adalah apabila seseorang itu memberi salam ke atas seseorang yang lain dan
tidak diberikan salam ke atas seseorang itu melainkan kepada orang yang
dikenalinya sahaja (HR. Ahmad no. 3848, hasan Syeikh al-Arnauth).
Faedah: Disyariatkan memberi Islam
kepada orang yang tidak dikenali bagi membuka perbualan dalam bersosial untuk
menjadikan kesemua orang beriman itu bersaudara dan bukannya menjauhkan diri di
antara satu sama lain (Fathul Bari 11/21).
Memberi salam berlawanan jantina
Asma’ bin Yazid R.anha yang
berkata:
مَرَّ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي
نِسْوَةٍ فَسَلَّمَ عَلَيْنَا
Nabi SAW berjalan berhampiran
kami dan mengucapkan salam kepada kami (HR. Abu Daud no. 5205, sahih
al-Albani).
Begitu juga hadith Sahl bin Sa`d
RA berkata:
كَانَتْ فِينَا امْرَأَةٌ وَفِي رِوَايَةٍ كَانَتْ لَنَا عَجُوزٌ تَأْخُذُ
مِنْ أُصُولِ السَّلْقِ فتطرحه في القدر وتكركر حبات من شعير فَإِذَا صَلَّيْنَا
الْجُمُعَةَ انْصَرَفْنَا نُسَلِّمُ عَلَيْهَا فَتُقَدِّمُهُ إلَيْنَا
Dalam kalangan kami ada seorang
wanita tua yang selalu mencabut pokok Silq daripada akarnya lalu memasukkannya
ke dalam periuk dan menambahkan serbuk barli ke dalamnya. Apabila kami selesai
solat Jumaat, kami beredar dan memberi salam kepada wanita tersebut dan beliau
memberi kami makanan yang dimasaknya (HR. Bukhari no. 6248)
Daripada Umm Hani’ R.Anha
berkata:
أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ
الْفَتْحِ وَهُوَ يَغْتَسِلُ وَفَاطِمَةُ تَسْتُرهُ فَسَلَّمْتُ
Aku berjumpa Rasulullah SAW pada
hari Fath al-Makkah. Ketika itu Baginda sedang mandi dan Fatimah
menghadanginya. Lalu aku memberi salam kepada Baginda (HR. Bukhari no. 357).
Faedah: harus memberi dan menjawab
salam berlainan jantina dengan syarat ada keperluan seperti di kaunter,
guru-anak murid, meminta fatwa, jual
beli dll,serta mestilah aman dari dan syahwat (al-Kafi li al-Fatawi no. 666).
Menjawab kiriman salam
Pernah seorang sahabat menyuruh
anaknya untuk berjumpa Nabi SAW dan berpesan untuk menyampaikan salam kepada
Baginda, kata anaknya:
فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَبِى يُقْرِئُكَ السَّلاَمَ. فَقَالَ :
عَلَيْكَ وَعَلَى أَبِيكَ السَّلاَمُ
Aku pun datang menemui Baginda.
Aku sampaikan: Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepAdamu. Lalu Nabi SAW
menjawab: Untukmu dan untuk bapamu balasan salam (HR. Ahmad no. 23104, Abu Daud
no. 2936 dan al-Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 13430, hasan al-Albani).
Faedah: Pengarang 'Aun al-Ma'bud
menukilkan dalam kitab Fathul Wadud, katanya: "Ini menunjukkan baHawa
Rasulullah SAW juga menjawab kepada yang membawa pesanan salam itu (Aunul
Ma’bud 14/97). Rujuk juga hadith Aisyah di atas
(HR. Bukhari no. 3217 dan Muslim no. 2447, Ahmad no. 24857).
Mengucap dan menjawab salam bagi
orang yang bukan Islam
Daripada Abu Hurairah RA, baHawa
Nabi SAW bersabda:
لا تبدَؤوا اليهودَ ولا النصارى بالسلامِ
Janganlah kalian memulakan ucapan
salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani (HR. Muslim no. 2167).
Daripada Anas bin Malik RA, baHawa
Nabi SAW bersabda:
إذا سلَّمَ عليكُم أحدٌ من أَهْلِ الكتابِ فقولوا: وعليكُم
Apabila ahli kitab mengucapkan
salam ke atas kamu, maka katakanlah kepada mereka: (وعليكم) (HR. Bukhari no. 6258
dan Muslim no. 2163).
Faedah: Para ulama melarang kita untuk
memulakan ucapan salam kepada orang bukan Islam. Tapi menjawab salam mereka
pula membenarkan, ulama berkhilaf pada lafaz ucapan sepatutnya dibalas kepada
(Irsyad al-Hadith no. 53):-
a) jawab yang ringkas, (وعليكم) jika lafaz salamnya tidak jelas, atau kita syak pada
ucapannya, seperti dinyatakan pada hadith Anas ra di atas (HR. Bukhari no. 6258 dan Muslim no. 2163).
b) jawab penuh (jika salamnya jelas
dan diketahui dia memang tidak mempunyai maksud yang tidak baik seperti
mempersenda, mengejek dll) seperti disebutkan dalam Surah an-Nisa’ ayat 86.
Memberi salam ketika khatib
sedang berkhutbah
Ini berdasarkan sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A baHawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ
يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ
Apabila kamu mengucapkan;
‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang
berkhutbah, maka kamu telah lagha (HR. Bukhari no. 934).
Faedah: Dimakruhkan bagi seseorang yang
masuk (ke dalam masjid) semasa khutbah untuk memberi salam kepada para hadirin,
sama ada kita berpegang kepada pendapat yang mengatakan diam (ketika khutbah)
itu wajib atau tidak (al-Majmu Syarah al-Muhazzab 4/524).
Mengulang salam walaupun baru
berpisah sebentar
Dari Abu Hurairah
radhiallahu’anhu, Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:
إذا لقِيَ أحدُكم أخاه [ فلْيُسلِّمْ عليه فإن حالت بينهما شجرةٌ أو جدارٌ
أو حجرٌ ولقِيَهُ فلْيُسلِّمْ عليه
Jika seseorang dari kalian
bertemu dengan saudaranya (sesama Muslim) maka ucapkanlah salam. Jika kemudian
keduanya terhalang oleh pohon atau tembok atau batu, kemudian bertemu lagi,
maka ucapkanlah salam lagi (HR. Abu Daud no. 5200, sahih al-Albani).
Faedah: Dianjurkan
untuk memperbanyakkan salam kepada saudara Muslim, bahkan walaupun baru
berpisah sebentar, atau masih dalam satu tempat yang sama, kemudian bertemu
lagi maka dianjurkan mengucapkan salam kembali. Dan salam adalah doa, semakin
banyak salam, semakin banyak doa kebaikan yang akan terucap.
Rujukan
Al-Kafi li al-Fatawi no. 666,
1380, 1453, 1516
Irsyad al-Hadith no. 53, 391, 415
No comments:
Post a Comment