Secara ringkasnya, diceritakan
bahawa Imam Ahmad ketika dalam permusafiran telah singgah di sebuah kota.
Beliau ingin berehat dan tidur di sebuah masjid tetapi telah dihalang oleh
penjaga masjid yang meminta untuk beliau keluar. Penjaga masjid berkenaan tidak
mengenali Imam Ahmad. Lalu, Imam Ahmad pun keluar dan mahu berbaring di luar
masjid, namun tetap dilarang oleh penjaga masjid tadi. Dari kejauhan, ada
seorang penjual roti yang sedang memerhatikan kejadian itu, lalu memanggil
beliau ketika beliau melalui tempat dia berniaga. Di sapanya Imam Ahmad dan
menjemputnya untuk beristirehat di tempatnya. Imam Ahmad masih memperkenalkan
dirinya sebagai Musafir. Sepanjang berada di tempat rehat yang disediakan iaitu
berdekatan dengan si penjual roti, beliau mendengar penjual roti ini sering
beristighfar. Pada setiap tindakannya ketika membuat roti itu, dia melafazkan
istighfar. Imam Ahmad bertanya kepada penjual roti berkenaan : ”Apakah kesan
daripada perbuatanmu ini?” Maka lelaki tadi menjawab : “Semua permintaanku
dikabulkan Allah kecuali satu iaitu aku memohon kepada Allah untuk
mempertemukanku dengan Imam Ahmad.” Mendengar jawapannya itu, Imam Ahmad
bertakbir lalu berkata : “Aku didatangkan ke sini kerana istighfarmu.” Lelaki
tadi bertahmid memuji Allah kerana permintaannya telah pun dikabulkan.
(https://islamkaffah.id/kisah-sang-penjual-roti-dan-pertemuannya-dengan-imam-ahmad-bin-hambal/).
Takhrij
Tidak ditemukan kisah Imam Ahmad
bersama penjual roti sebagaimana yang diceritakan di atas di dalam Manaqib
al-Imam Ahmad oleh Imam Ibn al-Jauzi. Juga daripada mana-mana kitab muktabar
yang lain. Malah, Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil turut menyatakan bahawa
kisah ini tidak diketahui asalnya daripada mana-mana kitab al-Tarajum dan
al-Manaqib. Khususnya kitab-kitab yang menceritakan berkenaan biografi Imam
Ahmad bin Hanbal seperti Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, Tabaqat
al-Hanabilah, Siyar A’lam al-Nubala’, Tarikh Baghdad, al-Bidayah wa al-Nihayah
dan lain-lain kitab yang ada menceritakan mengenai kehidupan Imam Ahmad.
Terdapat juga kisah yang hampir
serupa sebagaimana di atas. Namun, kisah tersebut bukanlah dengan penjual roti
tetapi dengan Ishak bin Rahawayh. Imam Ibn al-Jauzi telah menukilkan riwayat
daripada Abdullah bin Ahmad yang menceritakan bahawa apabila ayahnya telah
dibebaskan daripada Mihnah (Khalq al-Quran). Beliau risau sekiranya Ishak bin
Rahawayh (terlebih dahulu) datang menemuinya. Oleh itu, beliau telah berangkat
pergi kepadanya. Apabila beliau sampai di sebuah bandar yang bernama al-Rai,
beliau telah masuk ke dalam masjid. Ketika itu, hujan turun sangat lebat.
Apabila hari semakin lewat malam, Imam Ahmad telah diarahkan untuk keluar
daripada masjid tersebut kerana mereka (penjaga masjid) mahu menutupnya
(menguncinya). Imam Ahmad pun lantas berkata : “Ini adalah masjid Allah dan aku
adalah hamba Allah.” Kemudian, dikatakan kepadanya : “Mana yang lebih kamu
suka, dikeluarkan atau kamu keluar berjalan sendiri dengan kaki kamu?” Imam
Ahmad pun memberi salam kepada mereka dan terus keluar dari masjid tersebut
dalam keadaan hujan masih turun dengan lebatnya bersama dentuman guruh dan
kilat yang sabung menyabung. Beliau tidak tahu ke mana yang hendak dituju.
Kemudian, seorang lelaki telah keluar daripada rumahnya dan bertanya kepada
Imam Ahmad : “Wahai saudara, kemanakah kamu mahu pergi pada waktu ini?”.
Jawabnya : “Aku tidak tahu kemana mahu pergi”. Kemudian, lelaki tersebut telah
berkata kepada Imam Ahmad : “Masuklah!”. Dan dia telah membawa masuk Imam Ahmad
ke dalam rumahnya dan memberinya pakaian ganti yang kering serta menanggalkan
pakaian yang basah. Kemudian, Imam Ahmad telah berwuduk untuk menunaikan solat.
Kemudian, Imam Ahmad telah dihidangkan pula dengan makanan dan dijemput makan
bersama dengan mereka (lelaki tadi bersama ahli keluarganya). Beliau pun makan
bersama mereka. Lelaki itu, bertanya kepada Imam Ahmad : “Kamu datang daripada
mana?”. Jawabnya : “Aku daripada Baghdad”. Lelaki itu bertanya lagi : Adakah
kamu kenal seorang lelaki yang bernama Ahmad bin Hanbal? Jawabnya : “Akulah
Ahmad bin Hanbal”. Dan lelaki itu pula berkata : “Dan aku pula Ishak bin
Rahawayh.” (Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 512)
Imam al-Zahabi telah menilai
kisah ini sebagai hikayat palsu dan mengkritik Imam Ibn al-Jauzi kerana
memasukkan kisah ini (dalam kitab beliau). (Siyar A’lam al-Nubala’, 11/321-322).
Rujukan
Irsyad al-Hadith no. 498
https://almuqbil.com/web/?action=fatwa_inner&show_id=2134
https://al-maktaba.org/book/31621/43448
Fatwa Syabakah Islamiyah no.
104688
No comments:
Post a Comment