Hadith tersebut diriwayatkan oleh
Imam Ahmad bin Hanbal di dalam musnadnya dan Imam al-Thabarani di dalam
al-Mu’jam al-Kabir iaitu:
الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ،
يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ
بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ
بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ
Puasa dan al-Quran akan memberi
syafaat buat hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rab!, Aku telah
menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi
syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menahannya daripada tidur
pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian, keduanya
memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya)
Takhrij
HR. Ahmad no. 6626, at-Thabarani
dalam Mu’jam al-Kabir no. 14672, al-Hakim no. 2036, daripada Abdullah bin Amru
ra.
al-Haithami menyatakan
perawi-perawi Imam al-Thabarani adalah perawi yang sahih. [ Majma’ al-Zawaid,
3/181]
as-Suyuthi menilai hadith ini
sebagai sahih. [ al-Jami’ al-Saghir, 2/66]
Ibnu Hajar al-Haitami al-Makki berpendapat bahawa hadith ini statusnya sama
ada sahih atau hasan. [al-Zawajir, 1/326]
Syeikhal-Arnauth menilai sanad
hadith ini dhaif disebabkan dua perawi di dalam sanad hadith merupakan perawi
yang dhaif iaitu Ibn Lahi’ah dan Huyayyi bin Abdillah. [Musnad Ahmad, 11/199]
Syeikh Ahmad Shakir pula
berpendapat hadith ini sanadnya adalah sahih. [Musnad Ahmad, 6/188]
Syeikh Muqbil al-Wadi’iy
menghukum hadith ini sebagai dhaif. [Lal-Syafa’ah no. 248]
Syeikh al-Albani menilai hadith
ini sahih dalam Sahih jami’ no. 3882.
Melihat kepada beberapa pandangan
atau penilaian para ulama di atas, maka Mufti Wilayah cenderung untuk
mengatakan bahawa hadith di atas adalah sanadnya adalah dhaif.
Walaubagaimanapun, maknanya adalah
sahih kerana di sana terdapat hadith sahih yang lain menyokong makna hadith ini
iaitu ibadah puasa dan membaca al-Quran mampu memberi syafaat atau
menyelamatkan orang yang melakukannya daripada api neraka seperti:
Daripada Abu Umamah RA, aku
mendengar Rasulullah SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا
لِأَصْحَابِهِ
Bacalah al-Quran kerana
sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para
pembacanya [HR. Muslim no. 804]
Daripada Abu Hurairah RA berkata,
bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ
لِقَاءِ رَبِّهِ
Bagi orang yang berpuasa itu dua
kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya
[HR. Muslim no. 1151]
Berpuasa dan membaca al-Quran
merupakan ibadah yang istimewa kerana di sana terdapat banyak kelebihan yang
akan diperolehi bagi orang yang melakukannya. Di samping itu juga, status
hadith yang membicarakan berkaitan puasa dan al-Quran sebagai pemberi syafaat
adalah hadith yang dhaif. Akan tetapi, maknanya adalah sahih kerana terdapat
hadith sahih yang lain menyatakan kedua ibadah tersebut mampu memberi syafaat
kepada orang yang melakukannya.
Rujukan
Irsyad al-Hadith no. 502
No comments:
Post a Comment