Friday 29 April 2022

Kisah sahabat berjalan atas laut menakluk Iran?

 

Kisah tular

 

Terdapat kisah tular yang diceritakan oleh seorang karkun tabligh, mengisahkan tentang para sahabat pergi menakluki Iran dengan bekal keimanan dan zikrullah.

 

 

Ulasan

 

Kisah tersebut mempunyai dasar, tetapi bukanlah dalam peristiwa menakluki Iran, tetapi dalam memerangi orang murtad dan enggan bayar zakat di wilayah Bahrain

 

Kisah tersebut ada dinukilkan para sejarawan dalam kitab mereka dah para ahli hadith seperti al-Baihaqi dalam Dalail Nubuwah 6/53-56. dan al-Bukhari dalam Tarikhnya.

 

Dan perlu kita tahu, dalam teks sejarah, kebanyakan para ulama bersikap agak longgar pada sisi periwatmyatannya. Tapi tak adalah sampai riwayat yang palsu pun diterima.

 

Cerita tersebut menceritakan karamah sahabat bernama  Al A’la Al Hadrami ra. Yang karamahnya pernah disaksikan Abu Hurairah ra sebanyak tiga kali dalam peristiwa yang terpisah.

 

 

Karamah al-‘Ala’ dan Pasukannya Diturunkan Air

 

Dalam satu peperangan memerangi kaum murtad di Bahrain, terjadi satu karamah. Ketika al’Ala al-Hadrami dan tenteranya berhenti di suatu tempat di malam hari, tiba-tiba unta mereka menjadi liar dan lari membawa seluruh bekalan termasuk makanan dan minuman. Tiada seekor unta pun yang dapat mereka kejar. Ketika itu perasaan gelisah dan sedih mula menyelubungi sehingga ada yang telah mula berwasiat antara satu sama lain sementera menunggu saat kematian.

 

Lantas al-‘Ala memanggil dan mengumpulkan mereka, lalu beliau memberikan ucapan: “Wahai hadirin sekalian, bukankah kamu semua orang Islam? Bukankah kamu sedang berperang di jalan Allah? Bukankah kamu penolong agama Allah?” Mereka menjawab: “Ya, benar!” Beliau menyambung: “Demi Allah, bergembiralah! Sesungguhnya Dia tidak akan menghinakan kamu.”

 

Setelah masuk waktu Subuh, al-‘Ala’ solat Subuh bersama para tenteranya. Selesai solat, dia mengangkat tangan berdoa bersama para tenteranya. Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyebut, antara doa yang dibaca oleh al-‘Ala’ ialah:

 

يَا عَلِيمُ، يَا حَلِيمُ، يَا عَلِيُّ، يَا عَظِيمُ، إِنَّا عَبِيدُكَ، وَفِي سَبِيلِكَ نُقَاتِلُ عَدُوَّكَ، اسْقِنَا غَيْثًا نَشْرَبُ مِنْهُ وَنَتَوَضَّأُ

 

Wahai Yang Maha Mengetahui, wahai Yang Maha Lembut, wahai Yang Maha Tinggi, wahai Yang Maha Agung. Sesungguhnya kami adalah para hamba-Mu. Pada jalan-Mu kami memerangi musuh-Mu. Turunkanlah kami air yang dengannya kami dapat minum dan berwuduk. (al-Bidayah wa al-Nihayah 9/53)

 

Tiba-tiba Allah SWT ciptakan berdekatan tempat mereka sebuah kolam yang dipenuhi air. Maka al-‘Ala’ dan pasukannya pun mendatangi tempat tersebut, mereka minum dan mandi dengannya. Setelah matahari meninggi, semua unta mereka kembali dari segenap penjuru dengan bekalnya sekali. Lalu mereka memberi minum pula unta-unta tersebut. (al-Kamil fi al-Tarikh, 1/376)

 

Inilah karamah yang telah disaksikan oleh orang ramai dan ia sekaligus merupakan tanda kebesaran Allah SWT bagi al-‘Ala’ al-Hadrami dan pasukannya.

 

 

Karamah Al-‘Ala’ Dapat Melintasi Laut

 

Daripada ‘Urwah, katanya: Abu Bakar al-Siddiq R.A telah mengutuskan al-Ala’ memimpin pasukan tentera ke Bahrain kerana mereka telah murtad. Al-‘Ala’ lalu datang kepada mereka sedangkan ia dipisahkan dengan laut, iaitu al-Raqraq. Walaubagaimanapun mereka dapat merentasinya dengan berjalan melintasi dengan kaki mereka secara mengarung dalam air. Sedangkan tempat tersebut biasanya dilintasi dengan menggunakan kapal-kapal. Akhirnya al-‘Ala berjaya memerangi mereka dan Allah SWT telah memberi kemenangan kepada al-‘Ala’ dan pasukannya. Penduduk Bahrain kemudiannya kembali membayar semula zakat. (Siyar A’lam al-Nubala’, 1/226)

 

Abu Hurairah R.A pernah berkata: “Aku telah melihat tiga perkara daripada al-‘Ala’ yang aku cintai selamanya, iaitu:

 

Beliau pernah menyeberangi lautan dengan menunggang kudanya pada hari peperangan Darin (sebuah wilayah di Bahrain).

 

Beliau bergerak menuju Bahrain, lalu berdoa kepada Allah di tanah gersang sehingga mereka pun diberi air dari sumber yang boleh diminum, lalu orang ramai pun meminumnya sehingga puas.

 

Beliau wafat ketika kami tidak memiliki air. Maka dengan izin Allah SWT, tiba-tiba awan mendung pun muncul, lalu hujan pun turun. Kemudian kami pun memandikan beliau dan membuat liang lahad untuk beliau dengan pedang kami lalu mengebumikannya.” (Lihat Siyar A’lam an-Nubala’, 1/266)

 

Al-'Ala' al-Hadrami dikatakan sebagai orang Islam pertama yang merentasi lautan dalam misi peperangan. (Tahzib al-Asma', 1/341, al-Ishabah, 4/541)

 

Rujukan

 

al-Kafi li al-Fatawi no. 1137.

 

 

 

No comments:

Post a Comment

Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail

  Hadith kelebihan solat di dalam Hijir Ismail Matan hadith أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال لأبي هريرة رضي الله عنه: " إن ...