Thursday, 28 April 2022

Maksud hadith larangan bersikap sombong

 

Ini bukan maksud sombong erti sombong kamus dewan edisi ke-4 secara mutlak, ia berbeza dengan definisi syariat berdasarkan hadith berikut:

 

Tapi sombong menolak kebenaran yang telahpun ditegakkan hujjah, dan memandang rendah orang lain tanpa alasan yang kukuh.

 

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

 

Dari Abdullah bin Mas’ud RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tidak akan masuk syurga, orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan.” Seorang laki-laki bertanya, “Sesungguhnya laki-laki menyukai apabila baju dan kasutnya bagus – cantik (apakah ini termasuk kesombongan)?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan  menyukai yang cantik, kesombongan itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (HR. Muslim no. 131)

 

Sifat sombong sebegini adalah sifat iblis, merasa dirinya lebih baik dari yang lain

 

Imam Nawawi berkata: Hadith ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka, serta menolak kebenaran

 

Tidak masuk syurga sesiapa yang memiliki sifat sombong dalam dirinya walaupun sebesar biji sawi. Sifat sombong mendorong seseorang menolak kebenaran dan merendah serta memperlekeh orang lain.

 

Dalam Riyadusshalihin diterangkan: Menolak kebenaran adalah dengan menolak dan berpaling darinya serta tidak mahu menerimanya. Sedangkan meremehkan manusia yakni merendahkan dan meremehkan orang lain, memandang orang lain tidak ada apa-apa dan melihat dirinya lebih dibandingkan orang lain

 

Suka kepada kecantikan pakaian tidak termasuk kepada sifat kesombongan.

 

Namun demikian ada juga sombong yang dibenarkan ulama.

 

Ini sesuai dengan nasihat Imam Syafi’e, dimana terdapat riwayat bahawa beliau pernah berkata:

 

 “bersikaplah sombong kepada orang sombong”.

 

 

Imam Al-Zuhri pula pernah mengatakan:

 

“Bersikap sombong kepada pecinta dunia merupakan satu ikatan Islam yang kukuh”.

 

 

Imam Yahya bin Mu’adz pula mengatakan,

 

“Bersikap sombong kepada orang yang bersikap sombong kepadamu dengan hartanya, merupakan satu bentuk kerendahan diri.”

 

Kerana itulah dikatakan juga bahawa menzahirkan sikap sombong untuk menyedarkan orang yang sombong (bukan dengan niat berbangga diri) merupakan satu sikap terpuji, contohnya sikap sombong dihadapan orang jahil dan orang kaya yang sombong dengan hartanya. (Bariqah Mahmudiyyah fi Syarah Tariqah Muhammadiyah, 2/186)

 

Selain itu, Imam al-Munawi memasukkan sikap sombong terhadap orang yang sombong ini sebagai salah satu amalan-amalan yang baik. (Faidh al-Qadir Syarah al-Jami’ al-Saghir 3/386)

 

 

Sombong tidak masuk syurga selamanya?

 

Sombong itu sendiri ada tingkatannya, sehinggakan akan menentukan kadar lama/kelalnya seseorang yang berlaku sombong itu di dalam neraka.

 

berdasarkan hadith ini:

 

 

Rasulullah SAW bersabda: ”Seseorang tidak akan masuk ke dalam neraka jika dalam hatinya masih terdapat iman walau sebesar zarah, dan seseorang tidak akan masuk jannah jika dalam hatinya terdapat kibr (kesombongan) walaupun sebesar zarah”. (Sahih al-Bukhari 8/555)

 

Rasulullah SAW bersabda: ”Tidaklah seorang hamba yang meninggal dan dia masih mengucapkan laa ilaaha illallah melainkan dia akan dimasukkan ke dalam jannah”. (Sahih Muslim 1/95, kitabul imaan, 154)

 

Perlu difahami bahawa kibr atau sombong terbagi menjadi dua jenis;

 

 

Pertama, sombong yang menghapus iman secara umum. Orang tersebut tidak dimasukkan ke dalam jannah sebagaimana firman Allah,

 

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

 

“… sesungguhnya orang yang menyombongkan diri dari beribadah kepada-Ku akan masuk neraka dalam keadaan hina.” (QS. Ghafir: 60).

 

Seperti sombongnya Firaun, Iblis, dan kesombongan kaum yahudi.

 

 

 

Kedua, sombong yang tidak menghapus iman secara umum. Jenis ini hanya menghapus kesempurnaan iman yang wajib. Seperti penghinaan terhadap ciptaan Allah, mendustakan kebenaran.

 

Sebagaimana sabda Rasulullah: “Al Kibru (kesombongan) adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia”. (Sahih Muslim 1/93 kitab Al-Iman no. 147, Majmu’ Fatawa, Ibnu Taimiyyah, 7/677)

 

Barangsiapa yang terjangkiti kesombongan jenis pertama, maka dia haram masuk ke dalam jannah untuk selamanya.

 

Namun, bagi siapa yang terjangkiti kesombongan jenis kedua, dia mendapat hak untuk masuk jannah (atas pahala kebaikan yang dia perbuat selama di dunia).

 

 

Maka maksud hadith tidak masuk syurga itu adalah:-

 

Tidak masuk syurga secara langsung, yang tanpa azab dan hisab. Bukan tidak masuk syurga selamanya.

 

Akan tetapi...

 

Dia akan diazab atas dosa sombongnya, kemudian setelah itu dimasukkan ke dalam jannah.

 

Imam Nawawi rahimahullah saat menjelaskan hadith di atas,

 

الظاهر ما اختاره القاضي عياض وغيره من المحققين، أنَّه لا يدخل الجنة دون مجازاة إن جازاه. وقيل: هذا جزاؤه لو جازاه، وقد يتكرم بأنه لا يجازيه، بل لا بد أن يدخل كل الموحدين الجنة إمَّا أولًا، وإمَّا ثانيًا بعد تعذيب بعض أصحاب الكبائر الذين ماتوا مصرين عليها.

 

Penjelasan yang tepat (untuk makna hadith di atas) adalah yang dipilih oleh Qadhi ‘Iyadh dan yang lainnya dari kalangan ulama (muhaqqiq), bahawa maksud tidak masuk syurga adalah tidak masuk syurga yang tanpa melalui proses azab, jika dia dikehendaki akan diazab dulu. Atau boleh dikatakan : ini balasannya jika memang dia dikehendaki Allah akan dibalas.

 

Kerna terkadang orang seperti ini, mendapatkan kemurahan Allah sehingga dosanya tidak diperdebatkan. Bahkan orang-orang yang bertauhid, pasti masuk syurga. Boleh jadi masuk syurga pertama (yang tanpa azab dan hisab), atau kumpulan  berikutnya setelah sebahagian pelaku dosa besar yang meninggal membawa dosa besar yang belum dia taubati mendapat azab (Syarah Sahih Muslim, karya Imam Nawawi 1/79).

 

Rujukan

 

al-Kafi li al-Fatawi no. 1358

 

I’lam Al Anam karya Syekh Shalih Al Fauzan hal. 62


No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...