Thursday, 2 June 2022

Apakah al-Hind dalam hadith adalah merujuk kepada tanah nusantara?

 

Berdasarkan hadith:

 

عِصابتانِ مِن أُمَّتي أحرَزهما اللهُ مِن النّارِ عِصابةٌ تغزو الهِنْدَ وعِصابةٌ تكونُ مع عيسى ابنِ مَرْيَمَ

 

Ada dua kelompok dari umatku di mana Allah akan menyelamatkan mereka dari api neraka; kelompok yang memerangi al-Hind dan kelompok yang berperang bersama Nabi Isa ‘Alaihissalam (HR. Ahmad no. 22396, An-Nasaie no. 3175, dari Tsauban. Disahihkan Syeikh al-Albani dan dihasankan oleh Syeikh al-Arnauth).

 

 

Kena lihat dari dua sudut berdasarkan pendapat yang telah dikemukakan para ulama.

 

1.       Kalau melihat dari pendapat Imam az-Zahabi dalam Bidayah wan Nihayah 6/223, peristiwa itu telah berlaku dan ya, tempatnya itu merujuk kepada benua kecil India.

 

Ini disokong oleh beberapa fakta sejarah (Bilad al-Hind fi al-‘Asr al-Islami Mundhu Fajr al-Islam wa Hatta al-Taqsim hal. 16-40, al-Kamil fi al-Tarikh 8/3, 174-206; The History of al-Tabari 5/102) :

 

a)       Futuhat Islamiyah di zaman Khalifah ‘Umar b. al-Khattab RA pada 23H yang diketuai oleh ‘Asim b. ‘Amru sambil dibantu oleh ‘Abd Allah b. ‘Umayr,  ini menyaksikan pembukaan dua buah kota yang terletak di barat wilayah India, iaitu Sijistan dan Mukran

b)      Futuhat Islamiyah di zaman Dinasti Umayyah yang dipimpin oleh Muhammad b. al-Qasim pada 92 hijrah dengan membuka kota Dubayl, Mukran, Qanazbur, Arma’il dan Multan.

c)       Futuhan Islamiyah di zaman Dinasti Abbasiyyah yang digerakkan oleh  Mahmud al-Ghaznawi dan Muhammad al-Ghuri sekitar tahun 390 – 420 hijrah dengan membuka kota Sijistan, Afghan, Kashmir, Kanauj, Khawarizm, Sumnat, Narin dan lain-lain.

 

Seterusnya al-Hind merujuk kepada benua India telah diakui oleh ramai pakar sejarah Arab yang ditemukan dalam tulisan mereka dalam sumber primer seperti al-Kamil fi al-Tarikh karya Ibn al-Athir, Muruj al-Dhahab karya al-Mas‘udi dan Surat al-Ard karya Ibn Hawqal.

 

Malah ia juga disetujui oleh sarjana Arab yang pakar dalam sejarah dan tamandun Islam di India dalam bukunya Bilad al-Hind fi al-‘Asr al-Islami Mundhu Fajr al-Islam wa Hatta al-Taqsim. Buku tersebut membincangkan sejarah dan perkembangan tamadun Islam di India bermula dari zaman awal kemasukan Islam hingga zaman Kerajaan Mughal.

 

2.       Kalau melihat dari pendapat Syeikh Muhammad Rafi dalam ‘Alamaat Qiyamat aur Nuzul Masih hal. 58, peristiwa perperangan dengan al-Hind tidak mempunyai batasan waktu, dan boleh juga terjadi pada masa kini dan akan datang. Maka pada masa akan datang, kemungkinan untuk berlaku perperangan melawan al-Hind itu merujuk kepada wilayah luar benua India juga tidak mustahil.

 

Hal ini juga disokong oleh satu dapatan kajian terkini (2021) yang dilakukan oleh para penyelidik tempatan (USM) dalam menganalisis maksud al-Hind dalam kitab teks arab Mu’jam al-Buldan karya Yaqut  al-Hamawi. Hasil kajian menyatakan al-Hind bukan saja merujuk kepada benua India malah ada bahagian kecil terpecah ke Tanah Melayu dan Indo-China. Kajian ini dapat mengenal pasti 12 nama tempat yang termasuk dalam rantau al-Hind; yang mana 9 daripadanya terletak di Asia Selatan, 2 di  Semenanjung  Tanah  Melayu  dan  1  di  Indo-China.

 

Secara lebih terperincinya, sebagaimana berikut:

 

i.Asia   Selatan: Qāmuhul, Quzdāratau Quṣdār(Khuzdar), al-Qass, Qishmīr, Qunduhār, Qannūj, al-Qīqān, Kābulistānatau Kābul (Kabul) dan Kink(Lembah Ganges).

 

ii.Semenanjung  Tanah  Melayu: al-Qal’ah,  dan Kalāhatau Kalah(Kedah Tua).

 

iii.Indochina: Qamār(Khmer).

 

 

 

 

Rujukan

 

Abu Dulaf al-Khazrajī, M. M.(2013). Riḥlat `Abī Dulaf. J. ‘A. M. al-Hamāwandī. Beirut: Dar Al-Kotob Al-ilmiyah

 

Ibn  al-`Athīr  al-Jazarī,  M.  M.  ‘A.  (1987). al-Kāmil fī al-tārīkh.  M.  Y.  Al-Daqqāq  (Ed.). Beirut: Dār al-Kotob Al-ilmiyyah

Mohamad Zulfazdlee Abul Hassan Ashari, Mohd. Roslan Mohd. Nor, dan Ezad Azraai Jamsari, Perbahasan Sejarah Islam di India dalam al-Kamil fi al-Tarikh Karya Ibn al-Athir, ISLAMIYYAT 35(2) 2013: 35 - 46

 

Rusni Mohamad, Thuraya Ahmad, Identifikasi Al-Hind berdasarkan Mu’jam  Al-Buldān oleh Al-Ḥamawī: Kajian Terhadap Huruf Al-Qāf dan Al-Kāf. Jurnal Pengajian Islam, 2021, Vol. 14, No.II, Hal. 97-108

No comments:

Post a Comment

Kisah hamil perempuan mandul di zaman nabi musa as

  Matan kisah   Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seor...