Kisah tular
Pada suatu hari, di dalam majlis
Rasulullah ﷺ, seorang sahabat duduk dengan wajah penuh kegelisahan. Matanya
tertunduk, jemarinya saling menggenggam, seolah-olah ada sesuatu yang berat di
hatinya. Dia menghela nafas, lalu dengan suara perlahan, dia berkata,
"Wahai Rasulullah, aku ingin
bertanya… tetapi aku khuatir, mungkin pertanyaanku ini akan membuatku semakin
malu di hadapan Allah."
Rasulullah ﷺ tersenyum lembut,
tatapan baginda penuh kasih sayang. "Katakanlah, wahai saudaraku. Tidak
ada soalan yang membuat seseorang hina jika dia bertanya untuk mencari
kebaikan."
Sahabat itu mengangkat wajahnya
perlahan, matanya mulai berkaca-kaca. "Wahai Rasulullah, aku merasa
solatku sering tidak khusyuk. Kadang-kadang aku teringat urusan dunia,
kadang-kadang fikiranku melayang entah ke mana. Aku takut solatku tidak diterima
oleh Allah… adakah dengan solat seperti itu, aku tetap mendapat pahala?"
Sekejap, suasana menjadi hening.
Para sahabat yang lain menunduk, turut merasakan kegelisahan yang sama. Mereka
tahu betapa beratnya persoalan itu.
Namun, sesuatu yang tidak diduga
berlaku. Rasulullah ﷺ tidak segera menjawab. Baginda menatap sahabat itu
dalam-dalam, lalu air mata mulai mengalir di pipi baginda. Para sahabat
terkejut—jarang mereka melihat Rasulullah ﷺ menangis dalam keadaan seperti ini.
Dengan suara yang bergetar,
Rasulullah ﷺ berkata, "Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya,
sesungguhnya syaitan tidak akan pernah berhenti berusaha mencuri bahagian dari
solat seorang hamba, sehingga dia menjadi lalai. Tetapi ketahuilah… Allah tetap
melihat usahamu."
Baginda menarik nafas dalam, lalu
menyambung, "Wahai saudaraku, jika engkau meninggalkan solat hanya kerana
takut tidak khusyuk, maka syaitan akan menang. Tetapi jika engkau tetap
berusaha solat walaupun dengan fikiran yang sering terganggu, ketahuilah…
setiap kali engkau berusaha kembali kepada Allah dalam solatmu, saat itulah
Allah menyambutmu."
Air mata sahabat itu mengalir
deras. Begitu juga para sahabat lain.
Kemudian Rasulullah ﷺ berkata
dengan penuh kelembutan, "Bayangkan seorang ibu melihat anaknya berjalan
ke arahnya, tetapi anak itu sering jatuh dan tersandung. Adakah ibu itu akan
marah? Tidak! Sebaliknya, dia akan berlari menghampiri anaknya, mengangkatnya,
dan mendakapnya erat. Begitulah Allah… Dia lebih penyayang daripada seorang ibu
kepada anaknya. Selama engkau terus kembali kepada-Nya, Allah akan sentiasa
menerimamu."
Sahabat itu menangis
teresak-esak. Begitu juga para sahabat lain. Betapa Maha Pengasihnya Allah,
betapa luas rahmat-Nya.
Sejak hari itu, sahabat tersebut
tidak lagi berputus asa dalam solatnya. Dia terus berusaha, dan setiap kali
fikirannya melayang, dia mengingati kata-kata Rasulullah ﷺ:
"Setiap kali engkau berusaha
kembali, saat itulah Allah menyambutmu."
Takhrij
Palsu. Tidak ditemui dari
mana-mana kitab hadith muktabar sunnah.
Yang terdekat adalah kisah Ali ra
yang diberikan ganjaran jubah nabi jika berjaya solat khusyuk, dan kisah ini
juga palsu, tidak ditemui asal:
Cerita bermula ketika Rasulullah
SAW sedang duduk di serambi Masjid Nabawi bersama para sahabat sambil menanti
waktu solat tiba. Di tengah-tengah perbualan hangat mereka, datang seorang
lelaki daripada suku Badui yang ingin bertanya kepada Rasulullah SAW.
Lelaki Badui itu bertanya tentang
solat yang tidak khusyuk kerana sering bercampur dengan fikiran mengenai urusan
dunia. Dia ingin tahu bagaimana cara untuk solat dengan penuh khusyuk.
Pertanyaan lelaki Badui ini
mungkin mewakili ramai umat Islam lain yang tinggal jauh dari ‘lingkaran’
Rasulullah SAW kerana berada di pedalaman, bukan dari kalangan sahabat
Muhajirin mahupun Ansar.
Sebelum Rasulullah SAW sempat
menjawab, Ali bin Abi Thalib RA yang turut berada di situ terus berkata dengan
tegas, "Solat seperti itu tidak akan diterima oleh Allah, dan Allah tidak
akan memandang solat yang demikian."
Mendengar kata-kata Ali,
Rasulullah SAW kemudian bertanya kepadanya untuk menguji kebenaran pernyataan
tersebut.
"Wahai Ali, apakah engkau
mampu mengerjakan solat dua rakaat kerana Allah semata-mata tanpa terganggu
oleh sebarang kesusahan, kesibukan, atau bisikan yang melalaikan?"
"Aku mampu melakukannya, ya
Rasulullah," jawab Ali dengan penuh yakin.
Rasulullah SAW sudah mengetahui
bahawa para sahabatnya daripada golongan Muhajirin dan Ansar mampu solat dengan
khusyuk kerana mereka sering melihat dan mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh
baginda sendiri.
Namun, baginda ingin memberikan
pelajaran berharga kepada lelaki Badui tersebut bahawa Islam bukan hanya untuk
sahabat yang dekat dengan Rasulullah SAW, tetapi adalah rahmat bagi seluruh
alam.
Mendengar keyakinan Ali,
Rasulullah SAW pun memberikan sedikit ‘ujian’.
Sebelum Ali mengambil wudhu untuk
menunaikan solat, Rasulullah SAW tersenyum kepadanya dan berkata, "Wahai
Ali, jika engkau mampu melakukannya, aku akan memberikanmu serbanku. Engkau
boleh memilih sama ada serban buatan Syam atau Yaman."
Diketahui bahawa kedua-dua serban
tersebut mempunyai kualiti terbaik.
Ali pun bangkit, mengambil wudhu,
lalu menunaikan solat dua rakaat seperti yang disanggupinya di hadapan
Rasulullah SAW. Semua yang hadir, termasuk lelaki Badui itu, yakin bahawa Ali
pasti akan memperoleh hadiah daripada Rasulullah SAW.
Setelah Ali selesai solat,
Rasulullah SAW bertanya, "Wahai Abul Hasan dan Husain, bagaimana
pendapatmu? Adakah engkau dapat mengerjakannya dengan khusyuk dan
sempurna?"
"Demi kebenaranmu, ya
Rasulullah SAW," jawab Ali dengan nada murung.
"Sesungguhnya pada rakaat
pertama, aku dapat solat dengan penuh khusyuk tanpa sebarang gangguan. Namun,
ketika memasuki rakaat kedua, aku tiba-tiba teringat akan janji engkau dan
berfikir dalam hati, 'Seandainya Rasulullah SAW memberikan serban Yaman,
tentulah lebih baik daripada serban Syam.'"
Ali kemudian berkata lagi,
"Demi hakmu, ya Rasulullah, tidak ada seorang pun yang dapat mengerjakan
solat dua rakaat dengan benar-benar murni kerana Allah semata dan menumpukan
ingatannya hanya kepada Allah."
Mendengar jawapan Ali, Rasulullah
SAW tersenyum dan dengan penuh kelembutan bersabda, "Wahai Abu Thurab
(gelaran bagi Ali), sesungguhnya perkara ini juga berlaku kepada orang lain.
Khusyuk itu diukur mengikut kemampuan manusia. Yang paling penting, apabila
fikiranmu terganggu dengan perkara lain, segera kembalikan fokus kepada
solatmu."
Rasulullah SAW menambah lagi,
"Ketika solat, kita hendaklah beribadah seolah-olah kita dapat melihat
Allah dan berbicara dengan-Nya. Namun, jika tidak mampu mencapai tahap itu,
sekurang-kurangnya ingatlah bahawa Allah sentiasa melihat kita, dan itu sudah
mencukupi."
Rujukan
Fatwa Soaljawab Islam no. 288785
Fatwa Syabakah Islamiyah no.
373342
No comments:
Post a Comment